Ahad, 15 Mac 2026

Cukuplah Jika Aku Dapat Menjadi Kayu Api Bagi Perjuangan

Menziarahi murabbi, Pakcik Rosdi Baharom di rumahnya di Seberang Jaya pada 14 Mac 2026.
Setiap orang itu hidup berdasarkan pandangan alamnya. Apa yang dia fahami tentang dunia ini akan membentuk tingkah lakunya, akan membentuk amalnya, membentuk bagaimana dia bergaul dengan masyarakat dan menghabiskan umur hidupnya.

Jika ditanyakan kepada orang, jika mereka melihat matahari dan bulan, apa yang terbayang di minda mereka? Adakah sekadar alam semula jadi? Atau sekadar objek-objek fizik yang beredar sesuai dengan hukum alam? Tetapi jika ditanyakan kepadaku soalan yang sama, aku akan menyatakan bahawa apa yang aku lihat adalah peredaran masa yang pantas. Matahari turun digantikan bulan, kemudian malam digantikan siang. Aku melihat peredaran alam yang pantas ini mewakili peredaran masa yang sangat pantas, dan aku melihat umurku yang berbaki sedikit sahaja yang tinggal. Umur ini ibarat pasir di tepi pantai yang cuba aku genggam, namun ia mengalir turun perlahan-lahan dari celahan jariku.

Peredaran masa yang pantas ini menghantuiku di setiap pandangan. Malah apabila melihat wajah anak dan isteri, pasti timbul soalan di minda, berapa lama lagi masaku yang tinggal bersama mereka? Kita sering merasakan 60-80 tahun masa kehidupan manusia itu satu tempoh hidup yang lama. Walhal jika diukur dengan usia alam yang berbillion tahun ini, umur itu hanya sebesar satu titik mikroskopik. Ibarat jangka hayat seekor nyamuk yang hidup beberapa hari, namun bagi nyamuk, beberapa hari itu panjang, itulah keseluruhan hidupnya.

Maka pandangan alamku ini sering menyebabkan aku sering berlumba dengan masa. Dengan usiaku yang sedikit ini aku perlu gunakan untuk mengisinya sebaik habis. Seproduktif mungkin. Maka apabila sampai masa aku menghembuskan oksigenku yang terakhir, aku mampu tersenyum dan berkata "ya Tuhan, aku telah gunakan semuanya sehabis baik yang aku mampu".

Disebabkan itu aku bersetuju untuk mengambil beberapa tanggungjawab. Bukan kerana aku mahukan jawatan, nama, atau kedudukan. Biarlah ia menjadi mihrabku beramal, mengisi masa-masa yang ada ini melakukan kerja untuk membantu deen Islam tertegak.

Aku juga sedar, aku bukanlah orang yang paling alim dan soleh, kadang kala malu juga untuk ke depan dan bercakap macam bagus. Tetapi aku sering fikirkan, walaupun aku ini tidak bagus, jika deen ini memerlukan kayu-kayu bakar untuk ia bergerak ke hadapan, maka biarlah aku yang menjadi kayu bakarnya. Sekurang-kurangnya aku mempunyai secebis jasa untuk memercikkan perjuangan ini. Aku merasakan itulah sebenarnya yang penting. Jika seseorang itu benar-benar cinta akan sesuatu, dia akan rela menyerahkan dirinya, seluruh hidupnya untuk perjuangan.

Dalam sastera sufi, kecintaan yang sanggup mengorbankan diri boleh dikaitkan dengan kisah Layla dan Majnun, jika di Barat mungkin yang popular adalah kisah Romeo dan Juliet. Namun di kehidupan kita yang sebenar ini, apa yang kita habiskan sehari-hari, itulah sebenarnya lambang kecintaan kita. Jika dihabiskan dengan mencari harta, maka sebenarnya hartalah kecintaan kita. Jika kita habiskan dengan perjuangan, maka itulah cinta kita yang sebenarnya. Namun ini tidaklah bermaksud kepenatan itu tidak datang menjenguk. Selalu ia datang menghambatku. Namun cinta yang lebih besar menyebabkan ia mudah diketepikan. Sehambat mana pun, lama ke lamaan, kecintaan itu akan membawa aku kembali bertaut.

Kecintaan ini berbunga semula apabila aku berkesempatan bertemu dengan murabbi. Perjumpaan yang berjaya mencurahkan minyak pada bara yang kian malap. Perjumpaan yang mengingatkan aku bahawa kita tidak layak meminta kemenangan dari Allah dengan segera, kerana kemenangan itu akan diberikan oleh Allah mengikut timeline-nya, bukan timeline hamba. Kita hanya disuruh berjuang. Berkerja. Matlamat kita bukan kekuasaan politik atau pemerintahan, cukuplah jika diakhirnya nanti kita mampu mengucapkan "aku telah melakukan sesuatu untuk deen". Itu seharusnya sudah menjadi satu kehormatan yang besar buat kita.

Sabtu, 14 Mac 2026

Adakah Sepoy Wajar Diangkat Dalam Sejarah Malaysia?

Sepoy merupakan terma yang berasal dari bahasa Parsi "sipahi" yang membawa maksud askar. Askar Sepoy ini direkrut dari India untuk kegunaan British dalam perang penjajahannya. Oleh itu, jika hendak diangkat, ia mestilah diletakkan dalam konteks sejarah yang betul, iaitu sebahagian dari alat penjajahan British.

Hal ini sebenarnya merupakan pandangan sejarah yang diketahui umum. Dalam penulisan oleh ahli sejarah British, John Darwin misalnya, beliau menyatakan bagaimana syarikat British, East India Company memanipulasi sistem kasta di India bagi mewujudkan pasukan askar Sepoy. Askar ini kesetiaannya adalah kepada majikan yang membayarnya. Askar-askar yang dikumpulkan ini pada era penjajahan, lebih besar jumlahnya dari keseluruhan askar British sendiri. Askar inilah yang kemudiannya digunakan untuk projek penjajahan termasuk di India sendiri. John Darwin menulis:

"...partly because lowland India had already developed occupational castes and mercenary armies (the contrast is with clan-based loyalties and feudal levies), it was easy for the Company to recruit (just as it was possible to pay for) a professional army of sepoys loyal to its foreign paymaster. By 1835 the Bengal army had some sixty-four regiments of 'native infantry', and the Company's Indian armies were much larger than the whole British army, at home and abroad. With this standing army as a battering ram, the Company could knock down all but the most determined opponents".

Rujuk John Darwin, After Tamerlane: The Rise & Fall of Global Empires, 1400-2000 (London: Penguin Books, 2008), hlm. 264.

Penulisan Sebagai Mata Rantai Pembebasan

 

Perjuangan pembebasan itu panjang. Jaraknya melangkaui beberapa generasi. Oleh itu, tidak boleh ada mana-mana generasi yang berputus asa. Segelap mana pun langit, generasi yang sedang hidup perlu menanamkan benih di dalam genggamannya. Setiap titik tinta dakwatnya sangat berharga untuk kelangsungan perjuangan jika dia mengerti. Maka dia tidak akan mengalah. Dia akan terus menulis, walaupun sebaris ayat. Kerana sebaris ayat itu akan menyertai ribuan kitab yang menyeru pada perjuangan dan perubahan. Ayat itu akan menjadi saksi kepada seruan perjuangan yang panjang. Maka tintanya menjadi rantai. Walaupun hanya seutas mata rantai kecil. Kerana bagi mereka yang faham, kegelapan itu hanya gerhana, bukan tenggelamnya matahari.

Sketsa Temu Janji Sakit Jantung di Klinik

 

Nota: Sketsa ini telah diubah suai dengan unsur-unsur humour, metafora dan kesan dramatik dan tidak menggambarkan dialog dan situasi sebenar temu janji saya di klinik pada 23 Februari 2026.

Misi: awak isap rokok?

Saya: Astaghfirullahalazim, tak baik buruk sangka misi, mesti lah tak.

Misi: Kenapa awak datang klinik hari ni?

Saya: Sebab ada appointment misi (dalam hati: takkan la saya nak suka-suka datang bersiar-siar di klinik ni misi, baik saya pergi bazar ramadhan).

Misi: Nadi awak ni rendah ni, kena pergi kecemasan.

Saya: berapa?

Misi: 48

Saya: Alah normal la tu, sebelum ni camtu juga, lepas pergi kecemasan dia akan kata tak ada apa apa.

Misi: Tak, tak normal, awak pergi sekarang belah sana.

………

Di kecemasan selepas buat ECG dan berlebam badan (ECG klinik masih guna alat lama pakai suction)

Doktor kecemasan: Hmmm..ECG awak nampak sama aje macam dulu, takde nampak serangan baru, cuma ada tanda serangan lama, awak pergi tunggu depan bilik 10, nanti doktor panggil untuk konsultasi.

Saya: (Dalam hati: dah agak dah)

……….

Dalam bilik konsultasi.

Doktor: Mana buku awak?

Saya: Eh takde la doktor dia bagi kad appointment je mana ada buku, mungkin sekarang zaman digital kot, dia dah tak guna buku.

Doktor: Takpelah, nanti saya suruh diorang buka buku, bila awak pertama kali kena serangan jantung?

Saya: Tahun 2023 doktor

Doktor: Awak makan ubat tak?

Saya: Makan doktor, saya istiqomah, habis dah ubat saya, cuma vastarel tu kena makan dua kali, saya selalu lupa, kadang saya makan sekali je.

Doktor: Awak kena makan dua kali, vastarel tu nak boost awak punya oxygen.

Saya: Sebab saya istiqomah, saya ingat saya nak stop la ubat-ubat ni doktor, KKM ada tak kajian terkini pesakit boleh phase out makan ubat ni.

Doktor: Tak boleh, dulu kita kurangkan dose statin pun awak kena serangan balik, tak insaf lagi ke?

Saya: Itu dulu doktor, zaman dah berubah, saya takut ada side effect.

Doktor: Mana awak tau ada side effect?

Saya: Saya baca dekat internet.

Doktor: Awak ni kita bagi dose paling rendah dah ni, dan kita monitor, next appointment buat full blood test.

Saya: Jadi tak boleh stop makan ubat ke doktor? (cuba nasib)

Doktor: Awak bawak kertas ni, pergi kat kaunter farmasi beratur ambil ubat.

Pengaruh Sayyid Qutb Kepada Revolusi Iran

Sementara kita suka bergaduh tentang persengketaan sunni-syiah yang langsung tidak menguntungkan umat, sebenarnya pemikiran dua mazhab ini telah lama saling lengkap melengkapi. Misalnya antara pemikir ulung umat adalah Sayyid Qutb. Pemimpin Arab membunuh pemikir umat yang hebat ini, namun pemimpin Parsi menghargainya. Pemikirannya terus membenih dan mempengaruhi pejuang pembebasan umat. Pemikirannya sangat berpengaruh kepada Revolusi di Iran hingga pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei menterjemahkan empat buku Qutb ke dalam bahasa Parsi.

Kerajaan Iran bahkan mengeluarkan setem pada 1984 bagi memperingati kesyahidan Sayyid Qutb. Hari ini kita melihat Iran terus tekal dengan ideologi revolusinya untuk kekal merdeka melawan imperialis Amerika Syarikat dan penjajahan zionis. Sedangkan pemimpin-pemimpin Arab kebanyakannya menjadi anjing Amerika dan zionis.