Rabu, 29 Ogos 2012

Musibah apakah ini



Aku melihat manusia yang tengelam mencari dunia ibarat orang yang mabuk. Mereka mencari kepuasan pada sumber yang tidak pernah akan memuaskan. Sibuk mencari dunia yang akhirnya tidak membawa apa-apa erti , mahu pun melahirkan bahagia di hati.

Golongan muda pula telah hampir hancur tidak ada lagi jati diri dan tidak mampu bangun lagi. Hilang identiti , tidak lagi mengenal siapa mereka dan ke arah mana hidup hendak dibawa. Hidup dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Perkara yang membuang masa dan tidak  langsung memberi apa-apa faedah kepada diri apatah lagi ummat ini.

Yang bermain game komputer sibuk dengan dunia mereka. Dari terbit fajar hingga ke larut malam dihabiskan dengan permainan yang sia-sia.

Yang sibuk bercinta diluar nikah pula semakin menjadi-jadi menayangkan aurat di facebook . Tidak lagi merasa malu berdua-duaan  . Tidak perlu menunggu Jakim membuat serbuan untuk membuat pendedahan , mereka dahulu telah menayangkan maksiat mereka kepada umum dengan gambar dan status yang menjijikkan.

Ada juga yang cuba mencari bahagia menghilangkan kebosanan dengan gelak ketawa dan begembira dengan budaya pop yang dijaja dari merata dunia. Dari Korea , Jepun , hingga ke Amerika semuanya dicuba. Namun setelah habis ketawa mereka merasakan kekosongan masih tetap berada di dalam jiwa.

Kadang-kadang aku bertanya kepada diri. Apakah pengertian iman bagi mereka? Aku juga tertanya tanya apakah mereka percaya akan hari kebangkitan? Apakah yang akan mereka persembahkan dihadapan Rabb ketika disoal mengenai masa dan usia ke pada mana dihabiskan?

Apakah mereka akan menjawab " Wahai Rabb sesungguhnya usia yang Engkau beri kepadaku aku habiskan dengan bermain game komputer dari pagi hingga ke larut malam , usia mudaku aku habiskan dengan gelak ketawa menonton rancangan realiti TV di depan komputer , usia mudaku aku habiskan dengan menceritakan kisah cinta romantik luar nikah ku kepada umum! Maka terimalah aku ya ALLAH masukkanlah aku ke dalam syurga MU"

Apakah cukup jawapan ini nanti untuk membeli syurga?

Semakin lama aku memerhati semakin sakit aku memikirkannya. Mereka berada dalam keadaan yang lemah , rugi dan hina tetapi mereka bergembira. Musibah apakah yang telah menimpa ummat ini?


Sabtu, 28 Julai 2012

Esok masih belum terlambat


Begitu tekun Fitri membetulkan cermin ditandas. Sibuk dan tekun dia menebuk lubang di dinding untuk memasang pemegang cermin . Muncul Yusuf yang kebetulan lalu di koridor. Yusuf berhenti sebentar dan memerhati , wajahnya menampakkan riak kehairanan.

"Eh kau bukan tinggal lagi setahun aje ke? Kenapa semangat sangat pasang cermin tandas nih?" soal Yusuf.

Fitri membalas soalan adik juniornya dengan senyuman.

" Haha , saje tinggalkan jasa sikit , tahun depan berjasa kat tempat lain plak" tambah Fitri berseloroh.

............................................................

Ada hadis yang berbunyi begini :

"Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut"

[Hadis Riwayat Imam Ahmad]
Sebenarnya tiada istilah terlambat dalam melakukan kebaikan. Hadis ini jelas memberikan motivasi yang besar kepada kita untuk melakukan kebaikan walaupun kita tahu esok adalah hari yang tidak lagi kita dapat beramal . Jangan berhenti dari melakukan amal hanya kerana kita tak dapat melihat kesannya.
Sekecil-kecil amal seperti menanam benih  pun tidak boleh ditinggalkan walau tidak nampak hasilnya inikan pula amal-amal besar seperti dakwah sebagai contoh. Walau pun kadang kala kita tidak nampak ajakan kita disambut , bosan mengajak benda yang sama , nasihat berulang kali namun tiada perubahan. Jangan berhenti! Kerana hasil bukan kita yang menentukannya. Tuntutan ke atas kita adalah usaha. 
Terlalu tua untuk berubah? Ada sesetengah orang berpendapat dia sudah begitu sebati dengan maksiat yang dilakukan. "Dari dulu dah memang macam tu". Ermm tidak logik. Selagi ada umur tidak pernah terlambat untuk berubah.
Hari ini ketika saya bersama seorang Ustaz dari Uzbekistan di Masjid datang seorang lelaki dalam lingkungan 30-an . Lelaki tersebut belajar 'Alif Ba Ta' , baru hendak mengenal huruf Al-Qur'an di usia 30-an! Dia berazam mahu belajar membaca Al-Qur'an. Hati saya menangis gembira melihat kesungguhannya. Sungguh perubahan tidak mengenal usia!

Isnin, 16 April 2012

Bekalan di sepanjang jalan dakwah



Penulis: Mustafa Masyhur
Tajuk asal: Zadun ala thoriq
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar
Terjemahan oleh: Ahmad Hasan bin Mohd. Nazam dan Mohd. Nizam bin Mohd Ali

Sepanjang menempuhi jalan hidup dalam usaha membawa semula manusia kembali kepada Allah. Kita akan menemukan jalan yang panjang. Jalan yang memerlukan pengorbanan baik dari segi masa , tenaga , harta bahkan nyawa. Jadi bagi insan yang berazam untuk menempuhi jalan ini perlulah mempunyai bekalan secukupnya.

Andai tidak cukup persediaan dan bekalan mungkin langkah akan terhenti di pertengahan. Usaha akan terbantut apa bila di halangi ujian dan semangat akan pudar apabila menghadapi kecaman dan tohmahan. Oleh itu sedikit panduan dinukilkan oleh Sheikh Mustafa Masyhur buat kita semua agar amalan yang dilakukan dapat terus berjalan dengan istiqamah dan berterusan.

Di antara bekalan yang digariskan adalah doa.

'Dan Tuhanmu berfirman : "Berdoalah kepadaKu nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke neraka Jahannam dalam keadaan hina dina" (Surah Ghafir:60).

Doa merupakan bekalan dan tanda kerendahan kita dengan Allah. Dengan  berdoa kita akan merasa lebih yakin dan dekat dengan Allah. Kita tidak merasa keseorangan dalam menghadapi ujian dan cabaran.

Sememangnya buku ringkas ini sesuai dijadikan panduan apabila kita mula merasakan kejemuan. Bila diri terasa letih dengan perjuangan. Bila hati resah dan sangsi akan perjuangan. Berhentilah seketika untuk mencari dan mengumpul bekalan. Agar diri sentiasa segar dan bersedia untuk berkerja dan beramal.