Rabu, 30 Januari 2013

Merindui sebuah permulaan



Sekarang sudah hampir 6 tahun aku meningalkan kampung tarbiyah . Tempat membesar dan belajar , tempat yang bagiku lebih dari sekadar sekolah. Jika pulang melawat pun mungkin tempatnya tidak lagi sama seperti dulu , dahulu lebih sederhana sekarang mungkin lebih moden. Tapi yang penting isi yang diberi dan hasil yang keluar , jika bangunan sahaja moden tapi mengeluarkan graduan berhati kosong dan berjiwa miskin , tetap tak dapat memberi kesan pada masyarakat.

Seingat dulu , aku di sekolah bukan jenis yang ambil kisah sangat tentang tarbiyah , tak faham sangat pun. Malah rasanya dulu lebih cenderung kepada pelajar yang bermasalah. Teringat lagi kata-kata seorang ustaz dahulu semasa di tingkatan 3. Ketika ditahan kerana melakukan kesalahan , ustaz itu ingin menampar muka tapi kemudian entah kenapa tak jadi , katanya " Kalau macam ni perangai anta , ana tak yakin Allah akan tolong anta". Maksud tolong itu tolong dalam peperiksaan PMR.

Tapi dalam banyak-banyak cikgu dan guru yang sudah putus harapan . Ada juga cikgu yang tak pernah berputus asa. Pernah seorang cikgu perempuan panggil ketika buat kesalahan . "Kamu ni pelajar pandai , tapi kenapa la kawan dengan orang-orang bodoh  tu " katanya dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang memberi harapan . Melihat keikhlasan cikgu tersebut sedikit sebanyak memadamkan api 'rebel' dalam dada.

Bila ingat-ingat balik semuanya 'Alhamdulillah' terkesan juga sebenarnya suasana sebegitu kepada hati yang keras ini. Sekarang sudah takde siapa nak beri nasihat , dah takde siapa nak tampar. Tinggal seorang diri di tempat asing , dengan bahasa asing dan orang asing (bukan alien). Sebenarnya walaupun tiada siapa yang menasihati , Allah sentiasa ada menasihati kita. Bukalah Al-Qur'an dan perhatikan maknanya. Cuba menung-menungkan maksudnya dan halakan pada diri. Inshallah ada 'effect'.Cumanya terpulang pada kita mahu dinasihati atau tidak.

Terlintas pada ayat ini hari ini :

"Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun." (Al-Kahfi : 49)

Bila di menung-menungkan , diulang-ulang 'Alhamdulillah' masih bergetar hati yang keras dan gelap ini. Semakin lama bila di amati membuatkan iman rasa terbangkit dan menimbulkan rasa takut di hati. Alangkah takutnya , bagaimana nasib kita nanti disana. Sekecil-kecil dosa juga akan terzahir , bagaimana mahu menghadap Allah nanti.

Rabu, 29 Ogos 2012

Musibah apakah ini



Aku melihat manusia yang tengelam mencari dunia ibarat orang yang mabuk. Mereka mencari kepuasan pada sumber yang tidak pernah akan memuaskan. Sibuk mencari dunia yang akhirnya tidak membawa apa-apa erti , mahu pun melahirkan bahagia di hati.

Golongan muda pula telah hampir hancur tidak ada lagi jati diri dan tidak mampu bangun lagi. Hilang identiti , tidak lagi mengenal siapa mereka dan ke arah mana hidup hendak dibawa. Hidup dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Perkara yang membuang masa dan tidak  langsung memberi apa-apa faedah kepada diri apatah lagi ummat ini.

Yang bermain game komputer sibuk dengan dunia mereka. Dari terbit fajar hingga ke larut malam dihabiskan dengan permainan yang sia-sia.

Yang sibuk bercinta diluar nikah pula semakin menjadi-jadi menayangkan aurat di facebook . Tidak lagi merasa malu berdua-duaan  . Tidak perlu menunggu Jakim membuat serbuan untuk membuat pendedahan , mereka dahulu telah menayangkan maksiat mereka kepada umum dengan gambar dan status yang menjijikkan.

Ada juga yang cuba mencari bahagia menghilangkan kebosanan dengan gelak ketawa dan begembira dengan budaya pop yang dijaja dari merata dunia. Dari Korea , Jepun , hingga ke Amerika semuanya dicuba. Namun setelah habis ketawa mereka merasakan kekosongan masih tetap berada di dalam jiwa.

Kadang-kadang aku bertanya kepada diri. Apakah pengertian iman bagi mereka? Aku juga tertanya tanya apakah mereka percaya akan hari kebangkitan? Apakah yang akan mereka persembahkan dihadapan Rabb ketika disoal mengenai masa dan usia ke pada mana dihabiskan?

Apakah mereka akan menjawab " Wahai Rabb sesungguhnya usia yang Engkau beri kepadaku aku habiskan dengan bermain game komputer dari pagi hingga ke larut malam , usia mudaku aku habiskan dengan gelak ketawa menonton rancangan realiti TV di depan komputer , usia mudaku aku habiskan dengan menceritakan kisah cinta romantik luar nikah ku kepada umum! Maka terimalah aku ya ALLAH masukkanlah aku ke dalam syurga MU"

Apakah cukup jawapan ini nanti untuk membeli syurga?

Semakin lama aku memerhati semakin sakit aku memikirkannya. Mereka berada dalam keadaan yang lemah , rugi dan hina tetapi mereka bergembira. Musibah apakah yang telah menimpa ummat ini?


Sabtu, 28 Julai 2012

Esok masih belum terlambat


Begitu tekun Fitri membetulkan cermin ditandas. Sibuk dan tekun dia menebuk lubang di dinding untuk memasang pemegang cermin . Muncul Yusuf yang kebetulan lalu di koridor. Yusuf berhenti sebentar dan memerhati , wajahnya menampakkan riak kehairanan.

"Eh kau bukan tinggal lagi setahun aje ke? Kenapa semangat sangat pasang cermin tandas nih?" soal Yusuf.

Fitri membalas soalan adik juniornya dengan senyuman.

" Haha , saje tinggalkan jasa sikit , tahun depan berjasa kat tempat lain plak" tambah Fitri berseloroh.

............................................................

Ada hadis yang berbunyi begini :

"Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut"

[Hadis Riwayat Imam Ahmad]
Sebenarnya tiada istilah terlambat dalam melakukan kebaikan. Hadis ini jelas memberikan motivasi yang besar kepada kita untuk melakukan kebaikan walaupun kita tahu esok adalah hari yang tidak lagi kita dapat beramal . Jangan berhenti dari melakukan amal hanya kerana kita tak dapat melihat kesannya.
Sekecil-kecil amal seperti menanam benih  pun tidak boleh ditinggalkan walau tidak nampak hasilnya inikan pula amal-amal besar seperti dakwah sebagai contoh. Walau pun kadang kala kita tidak nampak ajakan kita disambut , bosan mengajak benda yang sama , nasihat berulang kali namun tiada perubahan. Jangan berhenti! Kerana hasil bukan kita yang menentukannya. Tuntutan ke atas kita adalah usaha. 
Terlalu tua untuk berubah? Ada sesetengah orang berpendapat dia sudah begitu sebati dengan maksiat yang dilakukan. "Dari dulu dah memang macam tu". Ermm tidak logik. Selagi ada umur tidak pernah terlambat untuk berubah.
Hari ini ketika saya bersama seorang Ustaz dari Uzbekistan di Masjid datang seorang lelaki dalam lingkungan 30-an . Lelaki tersebut belajar 'Alif Ba Ta' , baru hendak mengenal huruf Al-Qur'an di usia 30-an! Dia berazam mahu belajar membaca Al-Qur'an. Hati saya menangis gembira melihat kesungguhannya. Sungguh perubahan tidak mengenal usia!

Isnin, 16 April 2012

Bekalan di sepanjang jalan dakwah



Penulis: Mustafa Masyhur
Tajuk asal: Zadun ala thoriq
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar
Terjemahan oleh: Ahmad Hasan bin Mohd. Nazam dan Mohd. Nizam bin Mohd Ali

Sepanjang menempuhi jalan hidup dalam usaha membawa semula manusia kembali kepada Allah. Kita akan menemukan jalan yang panjang. Jalan yang memerlukan pengorbanan baik dari segi masa , tenaga , harta bahkan nyawa. Jadi bagi insan yang berazam untuk menempuhi jalan ini perlulah mempunyai bekalan secukupnya.

Andai tidak cukup persediaan dan bekalan mungkin langkah akan terhenti di pertengahan. Usaha akan terbantut apa bila di halangi ujian dan semangat akan pudar apabila menghadapi kecaman dan tohmahan. Oleh itu sedikit panduan dinukilkan oleh Sheikh Mustafa Masyhur buat kita semua agar amalan yang dilakukan dapat terus berjalan dengan istiqamah dan berterusan.

Di antara bekalan yang digariskan adalah doa.

'Dan Tuhanmu berfirman : "Berdoalah kepadaKu nescaya akan aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke neraka Jahannam dalam keadaan hina dina" (Surah Ghafir:60).

Doa merupakan bekalan dan tanda kerendahan kita dengan Allah. Dengan  berdoa kita akan merasa lebih yakin dan dekat dengan Allah. Kita tidak merasa keseorangan dalam menghadapi ujian dan cabaran.

Sememangnya buku ringkas ini sesuai dijadikan panduan apabila kita mula merasakan kejemuan. Bila diri terasa letih dengan perjuangan. Bila hati resah dan sangsi akan perjuangan. Berhentilah seketika untuk mencari dan mengumpul bekalan. Agar diri sentiasa segar dan bersedia untuk berkerja dan beramal.


Khamis, 23 Februari 2012

Perpaduan yang mustahil



Saya sangat harapkan penulisan ini dikritik dan dicaci secara ilmiah sekiranya dirasakan tidak betul atau tidak sesuai.

Isu perpaduan di Malaysia merupakan satu isu yang tidak pernah selesai. Sebelum merdeka , pasca merdeka tak pernah menyaksikan isu ini berjaya ditangani. Debat YB Khairy dan saudara Rafizi baru-baru ini sedikit sebanyak ada menyentuh asas ketidak-paduan masyarakat Malaysia.

Walaupun saya bukanlah yang paling arif dalam isu ini. Tidak memegang Diploma atau Degree dalam Political Science . Tetapi Malaysia tetap tanah air saya. Baik buruknya tiada tempat yang lebih selesa saya duduki di dunia selain Malaysia.

Kita terasing sejak bayi hingga tua. Masing-masing di comfort zone masing-masing. Bermula dari tadika , sekolah dan universiti jarang sekali berjumpa. Apatah lagi bersosial dan bersahabat.

Kadang-kadang saya tertanya. Adakah dengan menghapuskan hak istimewa orang melayu akan menyebabkan orang melayu terus mundur dan tidak akan maju? Adakah menghapuskan SJKC akan menyebabkan orang cina hilang bahasa dan budaya mereka? Atau hilangnya SJKT akan menghilangkan kebolehan kaum india?

Kadang-kadang saya juga kecewa dengan sikap terlalu mengagungkan ketuanan melayu yang akhirnya melahirkan generasi yang biadap dan tidak mampu menghormati orang lain. Bukan menafikan hak melayu. Tetapi adalah tidak adil hanya menghormati hak sesuatu kaum tetapi membiadabi hak yang lain.

Saya juga pernah terbayang jika saya dilahirkan dalam keluarga cina atau india. Apa perasaan saya melihat hanya orang melayu yang istimewa? Apa pandangan saya terhadap orang melayu?

Namun adalah tidak adil juga sekiranya hanya orang melayu yang melepaskan hak istimewa mereka. Kaum lain juga perlu berlaku adil dengan melonggarkan sekatan kearah perpaduan. Contohnya SJKC dan SJKT. Namun perubahan yang perlu dilakukan tidak lah boleh dilakukan dengan drastik . Perlu ada penerangan dan perbincangan yang sekata dan menyeluruh agar tidak menimbulkan sebarang ketegangan kerana isu ini adalah isu yang begitu sensitif.

Kita memang dilahirkan berbeza dan tidak akan mungkin sama.Tetapi disebabkan kita tidak sama tidak bererti kita tidak boleh bersama. Oleh itu selagi kita tidak dapat menerima perbezaan , bertolak ansur dalam beberapa perkara  dan menghilangkan semua sekataan yang membezakan ini perpaduan mustahil untuk dicapai.

Sabtu, 18 Februari 2012

Carilah tali itu



Tiada siapa yang mahukan keburukan. Tiada siapa yang mahukan kejahatan. Semua orang mahukan kebaikan , kebahagiaan , ketenangan dan kejernihan. Kita bermula sebagai bayi yang suci. Bersih dari dosa dan noda. Kemudian mula merangkak. Memulakan langkah pertama berjalan diatas dunia. Kemudian di ikuti langkah kedua ketiga dan seterusnya. Seiring dengan langkah itu kita mula terdedah dengan masyarakat. Suasana dan persekitaran. Sedikit sebanyak mencorak hidup kita.

Tanpa kita sedari atau kita sedari kita bukan lagi bayi yang suci itu. Kita berubah mahu atau tidak mahu. Suasana sekeliling mewarnai hati bayi yang putih dengan pelbagai warna. Kita mencuba benda-benda baru tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang. Sedikit kepuasan diraih. Hati semakin lama semakin pekat warnanya. Hati kita sudah tidak lagi sesuci dulu!

Namun kita bernasib baik. Diterima ke universiti. Dari alam persekolahan kita melangkah lagi ke alam baru. Suasana yang lebih terbuka , lebih longgar tanpa kongkongan. Tiada lagi guru disiplin. Tiada warden dan tiada pengawas sekolah.

Alam universiti menyaksikan pelbagai perubahan. Ada mereka yang dilihat berubah menjadi lebih baik. Memperbaiki diri. Menggabungkan diri dengan golongan 'usrah'. Ada mereka yang cuba mengubah diri menjadi lebih baik tapi tidak bergabung dengan mana-mana 'usrah'. Ingin menyertai tapi masih skeptikal , ragu-ragu , sukar beri komitmen.Ada juga yang menyertai pada mulanya. Tapi kemudian tercicir kemudian malu untuk menyertai semula.

Bagi yang ingin berubah ketahuilah perubahan anda tidak akan sia-sia. Sekiranya anda teguh dalam perubahan 10 atau 20 tahun akan datang anda akan tersenyum melihat ke belakang. Tetapi ketahuilah perubahan memerlukan sokongan. Anda tidak akan berjaya jika keseorangan. Suasana yang ada tidak membantu anda menjadi lebih baik. Bergabunglah dengan mereka-mereka yang baik. Carilah teman yang suci niatnya. Sertailah mereka dalam kebaikan. Anda akan lebih teguh bila bersama!

Bagi yang masih skeptikal dan ragu-ragu ketahuilah anda tidak akan tahu rasa manisnya epal jika anda tidak memakannya. Anda tidak akan tahu sejuknya salji selagi tidak menyentuhnya. Tidak perlu malu atau takut untuk mencuba. Mungkin rakan-rakan sebaya anda telah lama menyertai tetapi tidak mengajak anda atas kekurangan mereka. Jangan malu atau rendah diri untuk menawarkan diri untuk bersama. Mereka pasti menerima anda dengan senyuman gembira!

Bagi yang sukar memberi komitmen ketahuilah bahawa jalan mendidik hati bukanlah jalan singkat. Bersabarlah dan ketahuilah kesabaran anda akan membuahkan hasil.Anda telah bertahun-tahun terdedah kepada suasana yang mengotorkan hati tidak mungkin ia dapat dibersihkan dengan hanya satu semester!

Bagi yang telah tercicir namun malu untuk bersama semula ketahuilah perubahan yang anda lakukan bukanlah untuk orang lain tetapi diri sendiri. Tiada siapa yang rugi selain anda. Tiada siapa yang untung selain anda. Rendahkan lah sedikit keegoan , berilah kemaafan dan lapangkanlah dada. Tiada siapa yang terlepas dari kekhilafan!

Kita semua adalah aset yang berharga. Walaupun mempunyai latarbelakang yang berbeza ketahuilah kita mampu bersama. Carilah teman yang mampu menjadi penolong dan pembantu kearah kebaikan. Bersamalah mereka berpegang kepada tali yang sama. Jadilah teman yang saling menguatkan!

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.."
(Ali Imran:103)