Sabtu, 1 Mac 2014

Memperbarui Komitmen Dakwah


Judul asal: Maza Ya'ni Intimaa'i lid-Dakwah
Penulis: Muhammad Abduh
Penterjemah: Uril Bahruddin
Judul Terjemahan: Memperbarui Komitmen Dakwah
Penerbit: Robbani Press

Pernah saya bersembang dengan seorang rakan di dalam bas, kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Dia meluahkan perasaan nya berkenaan dengan seruan infaq . "Boleh lah pakcik-pakcik ni suruh bagi duit, diorang dah stabil, ada gaji bulan-bulan, ada pencen, kalau infaq dua tiga ratus pun tak ada effect pada hidup, kita yang student ni?"

Ya, begitulah kita sering rasa. Kehendak dakwah kadang menghimpit. Namun dalam bacaan saya di dalam buku tulisan Muhammad Abduh ini sedikit sebanyak memujuk hati saya. Saya terkesan dengan istilah 'Miskin yang dermawan' yang diungkapkan dalam buku ini. Ya, Rasulullah tidak kaya, tapi beliau dermawan, bukan syarat dermawan perlu kaya, dan bukan syarat memberi infaq perlu stabil.

Pesanan-pesanan beliau dalam buku ini begitu mendalam. Sememangnya dakwah menuntut segalanya dari kita. Kita mengeluh tiada masa, tiada tenaga, penat, susah. Namun itulah jalan dakwah yang kita SENDIRI PILIH. Kerana kita yakin jalan yang susah dan panjang inilah jalan ke Syurga, Syurga yang selalu kita sebut dalam doa dan sujud kita.

Agama ini tidak tertegak dengan angan-angan, tetapi hasil usaha dan nyawa para sahabat dan pejuang Islam yang ikhlas hingga ke akhir zaman. Ia memerlukan insan yang proaktif, tidak hanya menunggu arahan, sensetif dan mampu memberi kontribusi.  Perlu kita mempunyai inisiatif dan tidak mandul. Menjadi ahli yang setia, beradab dalam menegur, rendah hati dan mampu ditegur, tidak hanya mahu membenarkan pendapat sendiri dan memaksakan nya. Susah dan sukar melaksanakan semuanya, tetapi ini lah jalan nya. Jalan yang kita PILIH SENDIRI tanpa ada sesiapa yang memaksa.

Kata-kata Muhammad Abduh:

"Dan ingatlah selalu, wahai saudaraku aktivis dakwah, bahawa ALLAH telah memilih engkau dari sejumlah makhlukNYA untuk mengembangkan risalah ini. Ketahuilah bahawa beban dakwah sangat berat dan keperluannya sangat banyak, sementara orang yang baik itu sedikit jumlahnya, dan engkau adalah salah seorang dari yang sedikit itu. Mintalah pertolongan dari ALLAH. Jadilah orang yang tertib dalam segala urusan. Semoga ALLAH memudahkan urusanmu!"

Buku yang sangat sesuai buat mereka yang telah penat, berhenti, tertinggal ataupun futur.

p/s: Terima kasih Dr. Khairul bagi saya pinjam buku yang sangat bermanfaat ini.

Jumaat, 31 Januari 2014

Dalam Dekapan Ukhuwwah


Penulis: Salim A. Fillah
Tajuk: Dalam Dekapan Ukhuwah
Penerbit: Pro-U Media

Pada saat saya memesan buku ini sebenarnya saya masih di Russia bagi menghabiskan program ijazah. Mulanya saya hanya mengusik kawan di facebook, akhirnya dia benar-benar membelikan buku ini untuk saya. Terima kasih Abg. Wan Iqbal Zaim.

Saya menghabiskan hampir 2 bulan bagi menamatkan pembacaan saya pada karya yang saya kira sangat mengesankan hati dan membuat kan hati berbunga cinta ini. Sebenarnya saya mengambil dua bulan bukanlah kerana pembacaan yang berat, tetapi saya tidak mahu berpisah dengan buku ini terlalu awal. Kata pepatah 

"You felt sad when you turned the last page of a good book, because you knew you will lose a good friend"

Buku ini sememangnya istimewa. Kadang saya membacanya ia membuat saya tersenyum, kadang bersemangat dan ada juga bahagian yang membuatkan saya menitiskan air mata. Ya serious! Terlalu terkesan hingga membuatkan saya menangis.

Bahagian mana yang membuat saya menangis?

Saya menangis saat membaca kisah seerah yang dinukilkan oleh Ustadz Salim pada muka surat yang ke 122.

Usai perang Hunain, Rasulullah memberi harta rampasan perang kepada golongan muallaf Mekah, sedang para sahabat Ansar yang sekian lama setia bersama Rasulullah tidak termasuk dalam pembahagian tersebut. Sahabat Ansar berasa sedih dan dikumpulkan oleh Rasulullah, baginda bersabda:

“Bukankah aku datang kepada kamu ketika kamu dalam kesesatan dan ALLAH memberi petunjuk kepada kamu. Bukankan aku datang kepada kamu ketika kamu miskin kemudian ALLAH mengkayakan kamu. Bukankah aku datang kepada kamu dalam keadaan kamu berpecah belah sehingga ALLAH satukan kamu. Bukankah aku datang kepada kamu ketika kamu dikalahkan sehingga ALLAH memenangkan kamu?”
 
 Setiap pertanyaan Rasulullah dijawab oleh Kaum Anshar  “Daripada ALLAH dan Rasulnya lah segala jasa dan pemberian”.

 Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi:

 “Kalau kamu mau berkata kepadaku , kamu juga dapat berkata, dan kamu benar dalam perkataan kamu ini. Kamu telah datang kepada kami saat miskin, kami kayakan kamu. Kamu datang diburu kamilah yang mempertahankan kamu.”

Air mata mula berlinang di mata Kaum Ansar , mereka mula terisa-isak dan tersedu sedan menangis.

Baginda menyambung , 

“ Apakah di dalam hati kalian masih ada hasrat terhadap sampah dunia , yang dengan sampah ini , aku ingin mengambil hati segolongan orang yang baru masuk Islam , sedangkan keislaman kalian tidak mungkin aku ragukan? Wahai Kaum Ansar , adakah kalian tidak redha jika orang lain pulang dengan kambing dan unta sedangkan kalian pulang membawa ALLAH dan Rasulnya ke tempat kalian?”

“ Demi Dzat yang jiwa Muhammad dalam genggamanNYa , kalau bukan kerana hijrah , tentu aku termasuk dalam golongan Ansar. Jika manusia menempuh satu jalan di celah gunung, dan orang Ansar memilih celah gunung yang lain , tentulah aku pilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya ALLAH , sayangilah orang Ansar , anak-anak orang Ansar , dan cucu-cucu orang Ansar.”

Tangisan mereka semakin deras hingga membasahi janggut. Begitulah tarbiyah Rasululllah sehingga dalam esak tangisan , Kaum Ansar berkata “Kami redha ALLAH dan Rasulnya menjadi bahagian kami dalam pembahagian ini.”


Begitu besar pengorbanan para sahabat. Bagaimana pula kita? Saya sedih mengenangkan hal ini.

Banyak lagi mutiara dan permata indah bakal anda perolehi didalam buku ini. Saya syorkan anda membelinya. Tidak rugi!

A World Without Islam


Penulis: Graham E. Fuller
Tajuk: A World Without Islam
Penerbit: Back Bay Books / Little, Brown and Company
Tahun: 2010


Buku yang ditulis oleh bekas Vice Chairman CIA ini sememangnya antara buku yang membahaskan politik dunia yang terbaik yang pernah saya baca setakat ini. Kerana huraian nya yang sangat menarik, rasional dan tidak bias, saya hanya mengambil masa 8 hari untuk menghabiskan buku setebal 385 muka surat ini.

Fuller dalam penulisan nya menolak teori yang mengaitkan Islam sebagai sebab berlakunya konflik dunia dan perperangan. Sebaliknya percanggahan yang sebenar bukanlah atas basis Islam vs West, tetapi East vs West. Pergolakan yang berlaku bukan disebabkan agama tetapi hanya atas faktor politik, budaya, dan resources. Agama hanya digunakan bagi menjayakan agenda politik, budaya dan penguasaan terhadap sumber. Fuller membayangkan sekiranya Islam tidak pernah wujud, konflik yang ada sekarang tetap akan berlaku, dia menulis:

"The true horrors of the twentieth century have almost nothing to do with religions: two world wars, Franco, Mussolini, Hitler, Lenin, Stalin, Mao, Pol Pot, Rwanda - the death of hundreds of millions of people, all involving secular, even atheist regimes that seized upon dogmatic ideas and brutally implemented them at all cost" - Page 19

Antara Chapter yang paling saya minati adalah Chapter 8 pada Part 2 dimana Fuller memberi gambaran jelas kaitan antara Islam dan Russia. Berbeza dengan negara eropah, populasi Muslim di Russia adalah bukan migran tetapi penduduk asal. Mereka termasuk ke dalam Russia apabila Tsar memulakan gerakan imperialis nya dengan menawan kawasan-kawasan yang telah di Islamkan penduduknya.

Banyak lagi perbahasan-perbahasan menarik yang dibawa oleh Fuller yang mungkin tak mampu saya huraikan dengan baik. Sebaiknya anda mendapatkan nya dan membaca sendiri, saya janji ia akan menjadi pengalaman yang baik buat anda dalam memahami situasi politik dunia di era moden ini.

Saya tinggalkan anda dengan satu paragraph yang meninggalkan kesan mendalam buat saya yang dinukilkan oleh Fuller dalam bukunya.

"Islam has had great impact upon the world, as one of the greatest and most powerful continuous civilizations in history. No other civilization has lasted as long over such a broad expense of the world as Islam" - Page 12.

Ahad, 12 Januari 2014

Apakah itu normal?



Ramai yang mendefinisi kan normal sebagai sama dengan orang lain, atau pun dalam bahasa inggeris 'you're not opposing the surrounding'. Mungkin ayat yang lebih dekat dengan kita sekarang you go with the flow.

Walaupun sebenarnya argumen ini boleh dicabar dan tidak seratus peratus betul. Sebagai contoh pelajar melayu sering dikaitkan dengan datang lambat dan tidak punctual . Sekiranya kelas dijadualkan bermula jam 8.00 pagi, pelajar melayu yang normal akan tiba di kelas jam 8.20 pagi. Jika ada pelajar yang datang 7.50 pagi maka dia tidak normal kerana dia tak ikut flow.

Baiklah itu cerita pelajar melayu kita di peringkat pengajian tinggi.

Banyak yang berpendapat untuk kita berubah menjadi normal kita perlu mengikut arus. Contoh lain. Emilia adalah seorang wanita yang mempunyai idea yang begitu menarik. Dia selalu mencadangkan perkara-perkara baru dengan idea bernasnya. Namun kerana dia duduk dikalangan golongan yang tidak suka berfikir dan tidak mahu berubah,  Jadi Emilia merasakan dirinya tidak normal dan terpinggir, dia lantas mematikan semua idea-idea nya untuk menjadi normal.

Rugi kan?

Sebenarnya ada pilihan kedua berdasarkan sebuah kata-kata "You can always move, you're not a tree" . Jadi apa yang Emilia patut lakukan untuk menjadi normal bukanlah dengan membunuh idea nya. Tetapi berpindah dari suasana/golongan orang yang tidak berfikir kepada suasana/golongan yang menghargai idea-idea baru. Dengan itu dia akan menjadi normal.

Point nya disini adalah suasana persekitaran anda mempunyai impak yang sangat besar kepada anda. Sekiranya anda ingin berubah menjadi baik, tetapi tidak mahu keluar dari lingkungan orang yang jahat, perubahan anda tidak akan berjaya.

Begitu juga sekiranya anda seorang yang bermotivasi dan optimistik, anda akan hilang motivasi dan optimistik tadi sekiranya anda duduk dalam lingkungan pesimis. Jadi sekiranya anda rasa berbeza dengan orang lain, dan yakin bahawa perbezaan itu adalah baik, bahkan ianya adalah benar. Sebenarnya bukan anda yang tidak normal tapi suasana sekeliling anda yang tidak normal.

Remember you can always move, you're not a tree.

Sebenarnya saya terkesan dengan talk yang disampaikan Scott Dinsmore.

Khamis, 25 Julai 2013

Buat adik-adik ku di St Petersburg




Alhamdulillah segala puji bagi Allah , setelah empat tahun kini berakhir sudah pengajianku di bumi tarbiyah St. Petersburg ini. Tidak keterlaluan jika aku katakan antara anugerah  yang paling bermakna bagiku sepanjang tahun pengajianku disini adalah adik-adik junior yang sentiasa aku sayangi. Ku titipkan tulisan ini buat kalian sebagai tanda kasih sayang dan sebagai ucapan perpisahan.

Adik-adik ku yang aku sayangi , jadilah insan yang berguna untuk manusia lain. Hidup ini akan terasa singkat sekiranya kita hidup hanya untuk diri sendiri. Dunia ini telah dipenuhi dengan manusia yang tamak dan hanya mementingkan diri. Apa yang sangat diperlukan pada saat ini adalah manusia yang ikhlas , beriman dan sanggup berkorban untuk orang lain. 

Penyakit sekularisma , hedonisma , materialisma dan individualisma telah melumpuhkan ummat ini. Ummat Islam yang dahulunya kuat kini kehilangan identiti , dihina dan dipijak. Maka tidak ada jalan lain bagi mengubati keadaan ini selain dari membangunkan semula generasi mudanya. Kalianlah generasi yang bakal mengembalikan kegemilangan ummat ini. Maka binalah diri kalian , rakan-rakan kalian dan adik-adik yang bersama kalian. Persiapkanlah diri dengan keimanan , ilmu , dan kefahaman. Usahlah disibukkan hari-hari kalian dengan perkara-perkara kecil yang tidak memberi manfaat. Bangun dan berkerjalah!

Sentiasalah bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu. Jadi lah insan yang sentiasa dahagakan ilmu. Janganlah dihabiskan malam-malam kalian bermain dan menonton perkara yang tidak berfaedah yang menyebabkan kalian lesu untuk bangun ke kelas. Kuasai lah setiap mata pelajaran tidak kira Sosiologi, Fizkultura, Matematik, Teormekh, Sapromat dan lain-lain. Tiada subjek yang tidak penting!

Lihatlah bagaimana generasi Islam sebelum kita membina ketamadunan dengan ilmu. Tidakkah kita berasa malu bahawa generasi Islam kita hari ini merupakan generasi yang ketinggalan dalam bidang keilmuan?  Mari lah kita bersama-sama memikul tugas ini. Ummat ini tidak memerlukan insan-insan yang malas belajar, yang akhirnya memburukkan lagi imej Islam. Berubah lah, mari menjadi bangsa yang kaya dengan ilmu. Ya, menuntut ilmu bukan satu tugas mudah, hayatilah pesan Imam Syafi’e :

“Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menangung peritnya kebodohan”

Adik-adikku yang sangat aku cintai, dekatkan lah diri kalian dengan Al-Qur’an. Hidupkan hari-hari kalian dengan tilawah. Bacalah terjemahannya setiap hari atau secara mingguan. Berusahalah melancarkan bacaan. Sekiranya kalian mengatakan kalian tidak punya masa mempelajari Al-Qur’an, maka aku dan kalian serba tahu itu tidak benar, kerana kita di SMTU mempunyai masa yang berlebihan. Adalah tidak logik jika kita mampu menonton siri-siri drama dan filem hampir dua jam sehari dan tiada masa untuk membaca sehelai dua Al-Qur’an yang hanya mengambil masa 10 minit!

Ingatlah pesanan kekasih kita yang sangat kita cintai, Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya" (HR Muslim)

Maka oleh itu, marilah kita berpegang dengan Al-Qur’an. Ketahuilah Al-Qur’an bukan diturunkan untuk digantung ayatnya di dinding-dinding, bukan juga tujuan di turunkan Al-Qur’an untuk dibacakan kepada air kemudian diminum. Bukan juga untuk dilagukan dan dipertandingkan sahaja. Tetapi ALLAH menurunkan nya untuk kita fahami dan amalkan dalam kehidupan kita, seperti dalam firman nya Surah Al-Baqarah ayat 185:

“Dia menurunkan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan, sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan-penjelasan kepada petunjuk itu dan pembeza antara yang haq dan batil” 

Hayatilah kehidupan para sahabat yang mengamalkan Al-Qur’an dalam hidup mereka. Mereka menjadi satu generasi yang unik, Al-Qur’an mengubah mereka menjadi insan-insan yang sangat dikagumi dalam sejarah peradaban manusia. Itulah formula nya jika kita hendak membangunkan semula generasi ini. Kita perlu menghidupkan Al-Qur’an dalam hidup kita.

Khas buat adik-adikku yang perempuan, sungguh aku berbangga dengan kalian yang terus istiqamah mengenakan hijab dan menjaga kehormatan walaupun berada di negara sekular ini. Kalian menonjolkan Islam tanpa perlu berbicara dan berkata-kata. Oleh kerana kalian berbeza dan berada dalam masyarakat yang tidak memahami tuntutan Islam, sentiasa lah menjaga diri. Elakkan diri berjalan berseorangan walaupun mungkin ke tempat yang dekat dan elakkan melalui jalan yang sunyi. Semoga Allah juga yang menganjari segala amal baik kalian dan sentiasa melindungi kalian.

Adik-adikku ketahuilah bahawa hidup ini adalah satu persinggahan. Kita akan meninggalkan nya satu hari nanti sama ada kita mahu atau tidak. Oleh itu berbekal lah secukupnya. Kejarlah dunia kalian namun jangan dilupakan akhirat. Kejarlah harta kekayaan, Islam tidak menyuruh penganutnya menjadi miskin. Kejarlah pangkat dan kedudukan, Islam tidak menyuruh penganutnya hanya menjadi khadam dan budak suruhan. Kejarlah ijazah dan ilmu, Islam tidak menyuruh penganutnya menjadi bodoh. Namun ingatlah bahawa dunia ini bukan matlamat, ianya hanya alat bantuan agar kita sampai ke destinasi akhir kita dengan selamat.

“Dunia adalah tempat kesenangan yang sementara, sedangkan kampung akhirat adalah tempat kesenangan dan kebahagiaan yang kekal” (Surah Ankabut : 64 )

Di kesempatan ini juga aku ingin memohon maaf atas segala kekurangan ku sepanjang 3 tahun , 2 tahun , 1 tahun dan 1 bulan kita bersama. Aku memohon maaf andai ada berbahasa kasar atau ada membuat lawak-lawak hambar yang mengguris hati . Aku sangat mengharapkan sekiranya ada kebaikan yang aku lakukan kalian dapat mencontohinya, agar aku dapat berkongsi pahalanya dan sekiranya ada keburukan yang aku lakukan kalian dapat memaafkan ku dan meninggalkannya, agar aku tidak mewarisi dosanya.

Terima kasih atas semua memori bersama. Aku akan merindui futsal bersama, main bola petang-petang, pergi gym,  usrah-usrah kita, shoping di galeriya, snowboard di ohta park, BBQ, sambut birthday bersama, tengok bola bersama. Aku akan merindui kalian. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang memberi hadiah dan surat perpisahan. Ia sangat menyentuh hati dan aku menghargainya. Jazakallah. Moga Allah pertemukan kita lagi. Selamat tinggal.

Abangmu dalam Islam,
Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
Saint Petersburg 16 Ramadhan 1434H.