Sabtu, 16 Julai 2016

The Big Short



Penulis: Michael Lewis
Penerbit: Penguin books, 2015

'The line between gambling and investing is artificial and thin' - Michael Lewis

Buku ini merupakan penceritaan semula berkenaan dengan krisis ekonomi di Amerika pada tahun 2007 yang dikenali sebagai 'US housing bubble'. Ia dipanggil housing bubble kerana harga rumah yang meningkat setiap tahun akhirnya mencapai limit dan mula menurun. Penurunan harga menyebabkan banyak pembeli (peminjam) rumah tidak dapat melakukan refinance dan membayar hutang mereka.

Krisis ini sebenarnya telah dilahirkan pada 1987, apabila collateral debt obligation (CDO) yang pertama dilahirkan oleh Drexel Burnham Lambert Inc. Dimana hutang-hutang perumahan (mortgages) disatukan dan bank kemudian boleh mencipta bond. Dengan menjual bond-bond ini, bank mendapat semula cash dan mengalihkan risiko mereka kepada pembeli bond. Model ini boleh bertahan selagi mana peminjam (pembeli rumah) membayar pinjaman bulanan mereka plus interest. Model ini kelihatan stabil.

Namun bermula tahun 2015, sub-prime mortgages mula dimasukkan ke dalam CDO. Apa itu sub-prime mortgages? Ini adalah ketika dimana bankers mula menunjukkan sikap tamak mereka, kerana mereka boleh mendapatkan semula modal asal dengan menerbitkan bond dan mereka tidak perlu menanggung risiko. Sub-prime mortgages adalah pinjaman yang diberi kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan (not credit-worthy). Mereka mungkin immigran, penganggur dan sebagainya. Jadi bagaimana mereka membayar pinjaman? Mereka diberi teaser rate, iaitu kadar faedah tetap (fixed) yang rendah untuk 2 tahun sebelum mereka perlu membayar floating interest rate. Oleh kerana itu, pada tahun 2017 apabila tempoh teaser rate ini tamat, kebanyakan peminjam mula berhenti membayar (default) , mereka tidak mampu lagi membayar dengan kadar faedah floating yang tinggi. Kadar default ini berlaku besar-besaran menyebabkan krisis keewangan berlaku.

Oleh kerana sikap tamak banker di Wall Street mereka mula mencipta CDO mereka sendiri tanpa ada peminjam dan menerbitkan bond. Mereka juga memasukkan pinjaman yang tidak layak ini kedalam CDO dan mendapatkan triple-A rating dari rating agencies seperti S&P dan Moody's, yang mana merupakan tindakan pecah amanah (fraud) kerana pelabur mendapat kefahaman yang salah berkenaan risiko yang ditanggung. Triple-A rating menggambarkan bond yang dikeluarkan baik dan tidak berisiko.

Kenapa bank yang telah mengalihkan risiko kepada pembeli bond terjejas teruk semasa krisis 2007? Kerana kebanyakan banker yang tamak sendiri tidak memahami risiko ini, bagi mereka ia adalah easy money. Bond yang dijual ini kebanyakannya dibeli semula oleh pihak bank sendiri dalam skala billion menyebabkan mereka terdedah kepada risiko apabila peminjam mengalami default.

Buku ini menceritakan bagaimana ada individu-individu yang sedar akan penyelewengan ini. Dan mereka membeli insurans dalam bentuk credit default swap (CDS) yang mana merupakan insurans yang melindungi pemberi pinjaman sekiranya peminjam tidak mampu membayar hutang mereka. Mereka mendapat keuntungan berkali ganda hasil dari pembelian CDS ini.

Akhirnya bank-bank besar (investment bank) di Wall Streets di ishtihar bankrup seperti Bear Stearns, Solomon Brothers & Wachovia. Manakala bank-bank besar lain seperti Goldman Sachs dan Citigroup mendapat bail out dari US Fed dalam bentuk stimulus berjumlah berbillion USD menggunakan duit cukai rakyat.

Buku ini menarik kerana ia berjaya menerangkan krisis yang kompleks sehingga dapat difahami oleh masyarakat awam.

Isnin, 27 Jun 2016

China : Kapitalis yang memakai baju komunis



Di abad yang ke-21 ini setelah kejatuhan blok Soviet Union, hanya tinggal beberapa negara yang masih berdiri dengan ideologi komunisme, sebahagian besar dunia telah menerima dan sebati dengan sistem kapitalis dan konsumerisme. Antara negara-negara ini ialah China, Cuba dan juga Korea Utara.

Ramai orang kagum dengan kejayaan komunisme di era puncak mereka. Sesetengah pemimpin barat berkata "I've seen the future" apabila melihat kejayaan sistem komunis. Soviet Union dilihat sebagai model masa depan bagi negara yang ingin membangun. Soviet merupakan kuasa pengimbang yang menyaingi Amerika Syarikat dan Britain satu ketika dahulu. Mereka berjaya mendahului dalam pelbagai sudut, ketenteraan, sukan, mereka juga terkenal apabila berjaya menghantar Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasa. Pemimpin-pemimpin negara Islam turut terpengaruh dan kagum dengan mereka, mereka menjalin kerjasama erat dengan blok komunis, antaranya Iraq dan Syria dan lain-lain. Namun kisah cinta ini berakhir pada tahun 1991 apabila blok Soviet Union berpecah secara rasmi di tangan Gorbachev.

Idea komunis lahir dari pemikiran Karl Marx, juga dikenali sebagai Marxist. Pada tahun 1848 Karl Marx dan Friedrich Engels menerbitkan ideologi mereka di dalam The Communist Manifesto. Yang menjadi sumber utama fahaman komunis. Jika kita membaca tulisan ini, kita akan dapati ayat-ayat yang penuh semangat, semangat memperjuangkan hak kaum proletariat menentang kaum bourgeois. Jika kita melihat ideologi Marx dan Engels dari sudut ekonomi, asas kepada komunisme adalah pengharaman pemilikan harta. Setiap harta adalah kepunyaan 'state' atau penguasa. Ini adalah punca kegagalan Soviet Union apabila ia telah berkembang begitu besar, dan setiap harta harus di hantar ke Moscow. Menyebabkan negeri-negeri jauh ditimpa bencana kelaparan kerana hasil tani perlu dihantar ke Moscow. Akhirnya membawa kepada ketidakstabilan. 

Jadi mari kita lihat dua asas ini, dan lihat apa yang berlaku di China. Yang pertama adalah perjuangan proleteriat atau kaum buruh  melawan kekuasaan bourgeois yang merupakan kaum bangsawan atau feudal. China menjadi republik dibawah pemerintahan Mao Zedong pada 1949 selepas beberapa siri perang saudara. Mao yang sangat kuat keimanannya kepada komunisme mengikuti jejak langkah yang sama dalam hal-hal ekonomi seperti blok Soviet. Ekonomi merosot ke tahap yang sangat dahsyat, dianggarkan 45 juta manusia mati hingga tahun 1961 dibawah model ekonomi komunis Mao. Dari sudut pandangan pertama kita melihat asas komunis proletariat melawan bourgeois, ia tidak ada sejak dari awal pemerintahan Mao. Kerana kaum pekerja (proletariat)  terus ditindas dan harus bekerja sehingga mati untuk keselesaan kaum bourgeois. Kaum bourgeois bukan lagi feudal dinasti China tetapi merupakan ahli tertinggi parti komunis China.

Asas kedua dalam sistem komunis adalah pengharaman pemilikan harta atau 'private ownership'. Semua adalah milik kerajaan atau 'the state'. Selepas kematian Mao Zedong, pada 1978 Deng Xiaoping mengambil alih kuasa. Ini adalah turning point dimana China hanya komunis pada nama. Xiaoping memulakan reformasi ekonomi dengan membuka pasaran China kepada dunia. Melonggarkan peraturan dagangan dan membenarkan pemilikan harta. Ia bukan lagi ekonomi komunis, tetapi ekonomi kapitalis dengan acuan China.

Sebab itu, kita dapati kilang-kilang yang menindas hak pekerja kebanyakannya di China. Walhal fahaman komunis itu sendiri diasaskan untuk memperjuangkan hak pekerja iaitu kaum proletariat. Walaupun China masih di pimpin oleh parti komunis, ia telah lama meninggalkan ideologi komunis.

Selasa, 21 Jun 2016

Catatan Baitul Muslim 10: Buat semua ayah didunia - Selamat Hari Bapa

Syarifah Amni Zaheerah - 7 bulan.

Tidak pernah terbayang masa depan, ia sentiasa misteri. Menyorok di sebalik tabir takdir, hanya terungkap apabila masanya tiba. Tidak awal tidak lambat. Sehebat mana perancangan manusia, tidak pernah dapat meneka apa yang ada dibelakang tabir itu, ada kala rancangan berjaya dan di banyak kala yang lain, kita bertukar rancangan.

Aku sering termenung saat memandu ke tempat kerja, melihat bendang bertukar musim sepanjang jalan di Tikam Batu hingga Kepala Batas. Ada kala cantik menghijau, ada ketika menguning sehingga ke ufuk, ada ketika gersang dan kontang selepas dituai. Tidak pernah terfikir aku menjadi aku sekarang. Sudah bekerja, sudah berkahwin, sudah menjadi bapa, sudah sedikit 'berisi'. Seperti baru semalam aku berkerja menangkap ikan puyu dan haruan di tepian parit di Bagan Datoh bersama adik-adik ku. Bermain bola dipetang hari berkaki ayam sehingga maghrib. Kini aku bukan lagi budak itu. Dulu sering terfikir 'aku ingin lekas dewasa', kini zaman kanak-kanak yang sering datang membuai rindu.

Walaupun mungkin kini aku sudah dewasa, aku ingin terus belajar. Belajar mengenai hidup, belajar mengenai kehidupan.

Menjadi bapa merupakan pelajaran yang sangat terkesan kepada diriku. Cabaran utama bagi ibu bapa dengan anak yang masih kecil adalah menidurkan mereka. Ia umpama peperangan yang harus ditempuhi setiap hari. Dalam banyak ketika kemahiran meneka sangat diperlukan, kerana anak kecil hanya mampu menggunakan satu bahasa - bahasa tangisan. Dari bahasa ini mungkin dia ingin tidur, mungkin dia sakit perut, mungkin dia hendak bertukar lampin atau ingin minum susu. Sering kali juga tekaan yang dibuat gagal, hingga tekaan ketiga barulah mengena. Mungkin naluri bapa ku belum benar-benar matang.

Membesarkan anak sememangnya bukan satu kerja yang mudah. Segala-galanya perlu disiapkan. Kalau dahulu travel bersama isteri bawa dua beg sahaja, kini tidak lagi. Kereta akan dipenuhi dengan car seat baby, bakul susu, pampers, kain, bedak, pump susu, bantal menyusu, lapik tidur dan seribu satu keperluan yang lain. Separuh muatan kereta adalah barang keperluan anak. Tetapi itu lah manisnya pengalaman, aku sedar satu hari nanti anak ini akan membesar, ke asrama dan tinggal bersama pasangan sendiri. Tidak pernah satu saat aku merasakan ia adalah perkara yang menyusahkan, ia adalah pengalaman sekali seumur hidup, yang aku akan rindui satu hari nanti.

Jika dahulu hendak pergi kemana-mana tidak perlu risau. Boleh ber-camping, mendaki gunung selama 5 hari, boleh tidur dalam hutan. Menjadi bapa, perkara pertama yang bermain dalam fikiran sebelum berjanji untuk apa-apa aktiviti adalah siapa yang akan jagakan anak. Jika dahulu masa mula berkahwin, boleh balik bertemu isteri dua minggu sekali, bila sudah ada si kecil bekerja 3 hari tidak balik rumah sahaja sudah rindu. Takut untuk tinggalkan anak lama-lama, takut dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, takut dia lebih rapat dengan pengasuh dari ayahnya sendiri.

Ada ketika isteri tidak sihat, suami perlu menjadi doctor cum nurse untuk menjaga isteri, dalam masa yang sama perlu menjaga anak. Ada aktiviti luar yang akan terbatas, terpaksa ditolak. Namun ia perlu dilakukan kerana ia adalah tanggungjawab, ia adalah amanah, ia juga adalah ibadah.

Melihat demografi Malaysia, menurut kajian kaum cina mempunyai keluarga yang kecil 1 hingga 2 anak. Keluarga melayu masih mengekalkan keluarga yang besar antara 4 hingga 6 anak. Faktor yang mempengaruhi nombor ini adalah ekonomi. Membesarkan anak bererti sedia berbelanja besar. Namun, orang melayu yang kebanyakan nya beragama Islam masih mengekalkan keluarga yang besar kerana dalam Islam mereka meyakini rezeki adalah dari ALLAH SWT. Setiap anak telah tertulis rezekinya.

Aku sendiri bukan lah dari keluarga bangsawan. tidak mampu balik kampung menaiki jet mewah, cuma mampu menaiki kereta yang telah berumur 10 tahun. Ya, membesarkan anak memerlukan belanja. Dan keadaan ekonomi sekarang tidak membantu kita. Namun aku sering teringat kata-kata seorang pemimpin apabila dipersoalkan mengapa organisasi terus membuka institusi pengajian walaupun tiada keewangan. Katanya "kita tak akan pernah cukup duit". Begitu jugalah dalam memulakan keluarga, terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja. Gaji masuk mungkin sama dengan perbelanjaan bulanan, keinginan-keinginan mungkin terpaksa ditangguhkan atau dikorbankan. Tetapi ia berharga. Segala penat dan pengorbanan ini terbayar apabila melihat anak tersenyum, melihat anak tidur dengan aman. Ia membahagiakan.

Percayalah, sesukar manapun untuk memulakan keluarga, mulakan lah. Berusaha mendepani cabaran, jangan takut. Adakalanya kita perlu tutup mata dan redah sahaja, serah natijah kepada Sang Pencipta. Satu hari anak yang menangis ini akan pandai berjalan, keluar dari jagaan kita. Kita akan merindui tangisan manja mereka, kita akan rindui melihat mereka belajar berdiri dengan memanjat badan kita, kita akan rindui wajah bayi mereka, kita akan rindu saat mereka masih boleh didukung. Akan tiba satu masa ia hanya akan tinggal kenangan dan disimpan dalam album gambar. Hargai lah hari ini, rasai lah hari ini. Hiduplah, ciptalah bahagia dan kebahagiaan.

Selamat Hari Bapa!

Khamis, 9 Jun 2016

Lean in : Women, Work and The Will to Lead



Saya mula tertarik dengan buku ini semasa membaca perbincangan di laman sosial syarikat semasa hari wanita. Post tersebut menyenaraikan wanita-wanita yang menjadi simbol pemerkasaan wanita dunia. Sheryl adalah antara yang tersenarai, bersama bukunya. Selepas mendengar TED talk yang disampaikan beliau, saya semakin tertarik untuk membaca bukunya. Ketika di PBAKL2016, saya tidak sangka akan bertemu dengan buku ini.

Sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa buku ini adalah The Feminist Manifesto, tetapi bagi saya ia adalah perbincangan yang jujur berkenaan dengan dilemma yang dihadapi wanita terutamanya dalam kerjaya. Saya masih ingat kata-kata bekas perdana menteri Malaysia, kita memerlukan wanita dalam workforce, jika tidak kita akan kehilangan 50% daripada sumber manusia yang kita ada. Namun buku ini saya kira, bukan lah khas buat wanita, ia juga sangat bermanfaat bagi seorang suami dan ayah, bagaimana kita dapat memahami dan membantu.

Selain itu, buku ini juga sangat baik untuk lelaki dan juga wanita dalam memahami perkembangan karier, strategi dalam dunia korporat, juga nasihat-nasihat jujur dalam masalah-masalah berkaitan kerjaya.

Wanita pada hari ini mempunyai peranan yang berbeza dari wanita dahulu. Jika dahulu kerjaya-kerjaya seperti jurutera, pemandu kapal terbang, doktor, kebanyakannya di monopoli oleh kaum lelaki, namun kini peluang terbuka sama rata buat kedua-dua gender.

Namun wanita bekerjaya mempunyai kerisauan yang besar iaitu keluarga. Sering kali mereka menarik diri dari kerjaya untuk berkorban menjadi suri rumah untuk menjaga anak-anak. Jarang kita dengar lelaki yang berhenti kerja kerana ingin menjadi suri rumah (mungkin sura rumah buat lelaki). Perkara ini merugikan kerana bakat mereka tidak dapat digunakan.

Disinilah datangnya peranan lelaki. Suami seharusnya menjadi pendorong buat isteri untuk mereka berjaya di alam kerjaya. Suami tidak boleh bertindak sebagai bos di rumah. Tetapi haruslah ia mengambil bahagian dalam tugasan keluarga. Seharusnya suami tidak kekok menjaga anak, menyusukan anak, menyalin lampin bayi, membasuh baju, memasak dan sebagainya. Rasulullah sendiri menjahit sepatunya yang koyak, Baginda tidak hanya menjadi bos di rumah.

Buku ini juga mempunyai banyak nasihat perihal kerjaya, saya sarankan ia dibaca terutamanya buat para fresh graduate yang baru ingin memasuki alam pekerjaan.

Jumaat, 13 Mei 2016

The United States of Europe



Penulis : JR Reid
Penerbit: Penguin Books, 2005

Buku ini adalah salah satu buku yang saya beli di Chowrasta Market Pulau Pinang dengan harga yang sangat murah, teknik untuk mendapat harga murah di Chowrasta Market adalah mencari buku yang popular tetapi kertas buku telah bertukar kuning. Kerana penjual buku di Chowrasta akan menilai buku berdasarkan kualiti fizikalnya, bukan isinya. Elakkan juga dari menunjukkan minat seolah-olah buku itu sangat berharga bagi anda, penjual akan meletakkan harga tinggi kerana dia tahu, anda sangat mahukannya. Yang terakhir, jangan takut untuk minta murah atau buat-buat merajuk macam tak mahu beli.

Ok.

Central idea kepada buku ini adalah perbincangan tentang European Union. Sementara negara-negara lain berpisah untuk menjadi lebih kecil, negara Eropah setelah mengalami kemusnahan dengan dua perang dunia mengambil langkah untuk bersatu. Mereka sedar bahawa fahaman nasionalis hanya akan menyebabkan mereka menjadi semakin lemah dan terpencil.

Banyak negara yang mengambil keputusan untuk berpisah, kita lihat perkembangan terbaru adalah pemisahan Sudan kepada dua negara berbeza. Perkara ini sangat merugikan, tenaga kerja dan sumber alam yang besar kini terbahagi kepada dua, kita perlu sedar dengan berpecah kita bukan mengecapi kemerdekaan, tetapi kita mendedahkan diri kepada pengaruh yang lebih besar, pengaruh yang di mainkan oleh negara-negara yang bersatu.

Eropah sedar akan hal ini, mereka sedaya upaya cuba untuk mencipta identiti baru, identiti continental yang lebih besar dari identiti nasionalis yang terpisah. Mencipta pasaran terbuka, negara tanpa sempadan di kalangan ahli, dan juga central governance. Dengan terhapusnya ideologi nasionalis, tidak ada lagi negara dalam benua Eropah yang merasakan diri mereka lebih gah dari negara lain dan cuba untuk menguasai negara lain. Sebaliknya identiti nasionalis diganti dengan identiti pan-europeanism. Keamanan juga dapat dicapai dan perperangan dapat dihalang.

Kesatuan Eropah juga memberi manfaat yang sangat besar kepada ekonomi, sistem pelbagai matawang yang ditukar kepada single currency mempunyai impak yang sangat besar. Rakyat Eropah tidak perlu lagi berpening kepada untuk menukar matawang apabila melintasi sempadan negara, sebaliknya boleh menggunakan matawang Euro sahaja. Pelbagai jenis cukai dan tariff juga dibuang dari sempadan menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi antara negara-negara ahli. Penggunaan single currency ini memberi penjimatan kepada Kesatuan eropah (EU) sebanyak 10 billion setahun. Euro sebagai matawang kini yang digunakan oleh majoriti manusia di benua eropah, menjadikan ia matawang yang paling banyak digunakan dan merupakan pencabar kepada hegemoni dollar Amerika sebagai matawang dunia.

Model sosial Eropah juga antara topik yang sangat menarik yang dibincangkan dalam buku ini. Eropah mengamalkan sistem welfare state yang sangat terkenal dengan kemudahan kesihatan percuma dan juga pendidikan percuma, juga bantuan-bantuan ketika kehilangan kerja, gaji apabila ibu mengambil cuti setahun untuk menjaga anak yang baru lahir, ia disebut sebagai bantuan from cradle to grave dari kerajaan. Majikan tidak boleh memecat pekerja yang mengambil cuti untuk menjaga anak-anak kerana ia salah disisi undang-undang. Mereka menganggap bahawa kemudahan asasi seperti kesihatan dan pendidikan adalah hak setiap manusia tanpa diskriminasi dan prejudis. Namun sistem ini sangat mahal, Malaysia sebagai contoh apabila diutarakan perkara ini, rata-rata menteri akan memberi jawapan negara akan bangkrap. Jadi bagaimana mereka dapat melaksanakannya?

There is no such thing as free lunch! Somebody have to pay. Apabila pelajar membantah usul Tony Blair untuk meningkatkan yuran pengajian, mereka ditanya akan hal ini. Mereka menjawab, masyarakat mendapat manfaat dari pendidikan, jadi masyarakat perlu membayar untuk pendidikan. Impak ekonomi dari perlaksanaan sistem ini adalah kerajaan perlu menjadi efisyen dalam mengurus perbelanjaan, tiada wang yang dibazirkan. Mereka membayar cukai VAT (juga dikenali sebagai GST) yang sangat tinggi, sesetengah negara sehingga 25%!

Satu lagi cara penjimatan mereka adalah mengurangkan perbelanjaan ketenteraan. Mereka lebih gemar menambah universiti dari membeli kereta kebal baru. EU hanya membelanjakan kurang dari 2% dari GDP mereka untuk ketenteraan. Mereka lebih bergantung kepada NATO dan bantuan Amerika dalam pertahanan. Hal ini kerana mereka telah mengubah falsafah mereka, mereka menganggap membayar seorang ibu untuk menjaga anak lebih berharga dari menghantar seorang tentera untuk berperang dan mati di tanah-tanah asing.

Bagi mereka yang mendalami foreign policy buku ini adalah silibus wajib!

Ahad, 8 Mei 2016

Kuala Lumpur International Book Festival (KLIBF) 2016




Saya berkesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 yang diadakan di MAEPS, Serdang. Berbanding dengan lokasi yang dipilih sebelum ini, iaitu di PWTC, saya kira perubahan PBAKL ke Serdang adalah langkah yang sangat tepat. Tempat parkir yang lebih selesa, juga ruang makan yang lebih bervariasi antara penambahbaikan yang sangat bernas.

Namun disebalik pembaharuan fizikal ini, saya tidak nampak perkataan 'antarabangsa' diterjemahkan dalam senarai pempamer. Kebanyakan booth jualan hanya menyajikan penerbit dan pengedar buku tempatan. Dewan-dewan besar juga diberikan kepada pempamer tempatan.

Dewan pameran antarabangsa saya kira merupakan dewan pameran yang paling hambar. Terdapat satu booth dari penerbit dari negara China, manakala booth lain mempamerkan buku akademik dari penerbit seperti Thomson-Reuters dan sebagainya.

Tidak dinafikan ada booth yang menjual karya international seperti MPH, Popular, Gerak Budaya namun karya non-fiction yang dijual sangat terhad. Kebanyakannya memfokus kepada novel sahaja. Sekiranya ada pun non-fiction yang ada tertumpu kepada politik, autobiografi, dan keewangan. Sangat sukar mendapatkan buku-buku non-fiction terkini, sedangkan ia mempunyai genre yang lebih luas dari 3 genre tersebut. Buku-buku bestseller yang tersenarai dalam New York Times Bestseller juga sangat susah didapati.

Saya tidak nafikan ada buku yang menjual karya international seperti booth pengedar dari Singapura, booth KL book distributor, namun ia sangat sedikit dan tidak melambangkan 'antarabangsa'. Sudah tiba masanya pihak PBAKL melamar penerbit-penerbit besar dunia dalam industri buku menyertai PBAKL. Jika kita mempunyai pempamer dari Penguin, Bantam books atau Harper-Collins , saya kira tiada siapa yang akan mempertikaikan perkataan 'antarabangsa' dalam PBAKL.

Siapa yang masih belum ke PBAKL2016 anda masih mempunyai masa sehingga 9 Mei ini. Jangan lepaskan peluang!

Sabtu, 30 April 2016

Why does the world exist?: One man's quest for the big answer



Penulis: Jim Holt
Penerbit: Profile books, 2013

Selepas membaca buku A brief history of time oleh Stephen Hawking saya mencari buku yang dapat menyambung perbahasan berkenaan dengan permulaan alam semesta. Buku tulisan Jim Holt ini menjadi pilihan saya untuk merungkai persoalan ini dengan lebih mendalam.

Namun berbeza dengan Hawking, Holt mengambil pendekatan merungkai misteri penciptaan alam dengan perbahasan falsafah. Beliau membincangkan pandangan juga kritikan ahli falsafah sepanjang zaman berkenaan dengan persoalan ini. Nama-nama seperti Plato, Decartes, Hume, Nagel, Schopenhauer, Nozick, Al-Ghazali, dan ramai lagi, merupakan nama-nama yang sering dipetik di dalam buku ini bagi membincangkan spekulasi-spekulasi berkenaan dengan kejadian alam.

Holt walaupun dibesarkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan ajaran Kristian, saya kira membincangkan tajuk ini tanpa bias atau memihak kepada mana-mana fahaman dan ideologi. Sama ada pandangan agama, atheist, agnostik, semuanya dibincangkan dengan adil, diberi penghargaan pada sumbangannya, dan di kritik pada kelemahan nya.

Terdapat juga perbahasan-perbahasan falsafah yang saya kira sangat berat untuk dihadam oleh pembaca awam. Namun, dalam masa yang sama terdapat banyak bahagian yang mudah difahami dan persoalan yang dibangkitkan boleh di capai oleh akal fikiran manusia yang tidak mendalami falsafah. Sememangnya, manusia akan terus mencari bagaimana alam ini bermula, meskipun mungkin soalan ini terkeluar dari ilmu manusia. Seolah-olah manusia ini di satu dimensi, manakala soalan ini berada dalam dimensi yang lain.

Sekiranya anda meminati falsafah serta perbahasan-perbahasan ontologikal, anda boleh cuba membaca.

Philosophy - n. A route of many roads leading from nowhere to nothing.