Jumaat, 29 November 2019

Membawa mimpi bertemu rindu


Membawa mimpi bertemu rindu,
Tak terkisah dek sejarah orang dahulu,
Tentang bahagia yang menjalari kalbu,
Apabila anak pulang ke laman ayah ibu.


Redupnya Musolla MATRI



Entah bila kali terakhir aku menangis, selepas 12 tahun meninggalkan MATRI rasanya hatiku sudah begitu keras, jika dibaling batu sekali pun batu itu yang akan pecah bukan hatiku. Tetapi malam yang panjang ini aku menangis, menangis panjang. Aku cuba berhenti tetapi ia tidak mahu berhenti. Mataku semakin panas, dan pipiku semakin basah. Ah tidak boleh begini, gumam hatiku dan membelok masuk ke Hentian Simpang Pulai. Berhenti menenangkan diri. 

Ada perkara yang mengusik jiwaku malam ini. Satu perasaan yang telah lama hilang pergi namun hari ini dia kembali. Ia datang tatkala aku menerima mesej berkenaan dengan Ustaz Omar Haji Salleh yang kini terlantar di Wad 502, Tingkat 5, UiTM Private Specialist Centre, Sungai Buluh. "Siapa ada masa ziarah, ziarahlah, sebab ustaz rindu melihat wajah-wajah anak-anak lepasan MATRI". Aku menangis lagi, kali ini lebih sesak. Masihkah sempat datang berziarah, mengucup tangan menuturkan senyuman.

Teringat guru-guru yang kebanyakannya telah pergi. Pergi membawa amal dan pengorbanan mereka kepada pencipta. Teacher Basimah dengan suaranya yang begitu lembut mendidik, Cikgu Zainudin dengan seni pertukangan di bengkel kemahiran hidup, Ummi Halimaton dengan kelas Bahasa Melayunya, Ustaz Dahlan dengan seni khatnya, Cikgu Desa Senawi dengan kelas matematik juga lawatan ke Tasik Melati, mereka semua sudah tiada lagi. Tiada lagi nasihat dan pesan, tiada lagi teguran dan kasih sayang, mereka telah pergi meninggalkan anak-anak mereka. Dan sekolah ditengah-tengah ladang getah itu menjadi saksi amalan mereka dihadapan Tuhannya.

Aku tidak pernah belajar secara formal bersama Ustaz Omar, namun nasihat dan mutiara kata beliau masih lagi aku simpan kemas dalam buku nota Ijtima' Am selama 5 tahun di MATRI sehingga ke hari ini. Tatkala nostalgia duduk bersila di dalam redup musolla datang mengusik jiwa, tiada hati keras yang mampu menahan keredupan itu, keredupan yang meresap kedalam jiwa, menghidupkannya semula. 

Musolla MATRI merupakan tempat yang paling istimewa, sekiranya MATRI mempunyai jantung, musolla adalah jantungnya. Disitulah kami anak-anak MATRI bermain, belajar, duduk, berdiri, malah berbaring. Musolla bukan sahaja tempat kami solat 5 waktu, disitu kami berhimpun, disitu kami mengulang hafazan, disitu kami berhalaqah, disitu tempat kami membesar. Di musolla juga kami mencari tempat untuk meyambung tidur apabila katil mula diketuk-ketuk Ustaz Mahadzir di awal dini subuh. Di musolla itulah Uztaz Omar akan berkhutbah, menyediakan anak-anak muridnya untuk dihantar keluar ke dunia, membawa kata dan risalahnya, menjadi penyambung lidah menyampaikan nasihat-nasihatnya. Ustaz Omar mungkin tidak mengajar kami di dalam bilik darjah, dia tidak mengajar kami menjadi robot di pejabat, dia tidak sediakan kami untuk menjadi hamba harta dan kerjaya, tetapi dia mengajar kami untuk menjadi sebenar-benar manusia.

Anak-anaknya kini sudah berpuluh generasi, bertebaran di seluruh pelusuk dunia entah ke mana. Namun. Namun dimana pun mereka, setinggi mana pun mereka berada, sebesar mana pun pingat yang mereka bawa, se-gah manapun piala akademik yang mereka cipta, jauh di dalam sudut hati mereka ada suatu sudut yang redup, yang ditinggalkan oleh guru-guru mereka. Agar mereka tidak pernah sesat selama-lamanya. Jika anak-anaknya menyelidiki jiwa mereka, mereka akan jumpa sudut redup itu, seredup musolla yang pernah mereka bersama. Masuklah ke dalam keredupan itu semula dan hidupkanlah semula jiwa. Moga ia akan menunjukkan mereka jalan bertemu guru-guru mereka, sebelum mereka pergi selamanya.

Rabu, 27 November 2019

Merentas gunung memangnya sukar

Merentas gunung memangnya sukar,
Tidak sedikit kaki yang terbakar,
Namun akhirnya senyum terukir dibibir,
Saat melihat cahaya terbit di ufuk takdir.

Ahad, 24 November 2019

Kursus Street Dakwah Bersama Firdaus Wong


Definisi dakwah secara umum adalah mengajak atau menjemput manusia menyembah Allah dan menjauhi syirik. Ini adalah tugas setiap muslim, bukan sahaja mengajak kepada ma'ruf, tetapi juga mencegah kemungkaran. Dakwah ini ditugaskan kepada kita mengikut kemampuan kita, kerana Allah tidak akan memberi kita satu tugas yang kita tidak mampu pikul, setiap orang sesuai dengan kepakaran dan kemampuan masing-masing.

Apakah kepentingan dakwah? Kepentingan yang pertama adalah kebaikan untuk diri kita sendiri. Kita berdakwah untuk menyelamatkan diri kita, apabila kita ditanya nanti di hadapan Allah berkenaan dengan tugas kita. Terdapat pelbagai bentuk dakwah, salah satunya adalah street dakwah.

Apakah pula street dakwah? Street dakwah adalah kita mengeluarkan peranan masjid dan surau ke jalanraya, atau dalam kata lain kita membawa program masjid ke luar, kepada masyarakat. Kebanyakan ceramah dan kuliah masjid di dengari oleh orang-orang yang datang ke masjid, orang yang telah soleh dan beriman. Bagaimana pula masyarakat yang tidak datang ke masjid? Bagaimana mereka mahu mendengar mesej Islam? Disinilah ruang yang di isi oleh street dakwah. Program-program masjid dikeluarkan kepada sasaran kita di jalanan, mereka yang belum mendengar seruan Islam.

Adakah street dakwah ini suatu sunnah? Ya, kerana Rasulullah sendiri keluar, berjalan hingga ke Thoif bagi menyampaikan mesej Islam walaupun nabi tidak menggunakan istilah street dakwah, pengisian dan metodologinya adalah sama. Adakah ia effektif? Jika pun ia tidak effektif, ia merupakan satu sarana yang effektif untuk kita meningkatkan kemahiran diri kita, kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Merancang Street Dakwah:

1. Kumpulan ideal adalah sekitar 5-6 orang.
2. Lokasi yang strategik, tempat tumpuan, selamat dan mempunyai pengangkutan awam.
3. Masa yang sesuai sebaiknya 1 pm - 5 pm iaitu masa kebanyakan manusia di luar rumah mereka.
4. Tema-tema semasa dan mudah difahami seperti "Muslim love Jesus".
5. Mempunyai sukarelawan yang terlatih.

Perkara yang perlu dilakukan:

1. Convey not convert, tugas kita adalah menyampaikan dan serahkan tugas memberi hidayah kepada Allah.
2. Berkomunikasi secara objektif
3. Elakkan memakai baju-baju berunsur politik
4. Gunakan bahasa yang mudah difahami.
5. Cuba cari titik persamaan ketika berkomunikasi.

Jangan lakukan:

1. Bersuara dengan suara yang gedik, dan menjaga akhlak dengan bukan mahram.
2. Jangan berbohong atau menokok tambah.
3. Jangan menghukum.
4. Jangan mudah naik angin.
5. Jangan mencelah kecuali jika diminta memberi pandangan atau pendapat.
6. Jangan berkonfrontasi seperti mana street dakwah di Eropah, kita mahu memenangi hati bukan hujah.

Hak-hak mereka yang ingin kita dakwahi adalah ditemui, dijemput dan tidak diremehkan atau dihina. Antara bahagian yang menarik yang dibentangkan adalah bagaimana menjawab persoalan-persoalan dari sahabat ateis. Yang pertama kita perlu membina hujah bahawa Tuhan itu ada, tidak guna kita menjawab persoalan seperti fiqh andai dia tidak mempercayai tuan. Antara soalan yang biasa ditanyakan "Jika Tuhan itu ada mengapa wujud kesangsaraan di dunia ini?". Soalan ini perlu dijawab menggunakan logik. Persoalan ini bukan bertanya adakah tuhan ada, tetapi mengapa kesengsaraan terjadi. Jika kita tidak tahu bagaimana kesengsaraan terjadi, itu bukan membawa maksud tuhan tidak ada. Sama juga dengan soalan matematik tambahan yang sukar dijawab, kerana kita tidak boleh jawab, itu tidak bererti soalan matematik itu tiada jawapan.

Petikan perkongsian Kursus Street Dakwah bersama Brother Firdaus Wong Wai Hung di Sungai Petani pada 23 November 2019.

Isnin, 11 November 2019

Membaca Kubuzine Isu #002 - Majalah Radikal Alternatif



Saya tidak pernah membaza zine, apatah lagi zine indie, jadi ini merupakan pengalaman pertama membaca zine. Mungkin anda juga seperti saya tidak tahu apa itu zine, jadi kita mulakan dengan menjawab apa itu zine? Ini bukan definisi formal atau akademik, tapi definisi saya sendiri, zine adalah majalah kecil, zine biasanya dibuat sendiri (DIY) dan biasanya tidak mempunyai ISBN atau ISSN. Kandungan zine boleh diisi dengan apa sahaja menurut kehendak penulis/editor zine, ada yang berbentuk berita musik indie, ada yang berkenaan dengan ideologi politik, fesyen, dan seribu satu genre lagi. 

Kubuzine ini ber-genre ideologi politik, sebuah ‘Majalah Radikal Alternatif’, dengan kepercayaan bahawa perubahan (revolusi) itu bernafas panjang, bukan perubahan-perubahan ranting berdikit-dikit (reformasi) – atau dalam istilah mereka revolusi bukan taugeh. Tapi ada juga tema-tema budaya dan lain-lain.

Tema-tema Politik

Kritik-kritik awal dihalakan kepada organisasi Bersih, mereka menyatakan (dan saya setuju) bahawa Bersih bukanlah satu organ tulen rakyat tetapi merupakan proksi Pakatan Harapan. Saya secara peribadi beranggapan mereka sememangnya grassroot movement diperingkat awal – sebelum ditunggangi ahli politik, saya sendiri telah lama mengkritik Bersih, sejak sebelum PRU14. Sifat proksi Bersih sebagai organ Pakatan Harapan tidaklah begitu sukar dinilai, apabila Maria Chin bertanding dibawah bendera Pakatan Harapan sendiri kita sudah boleh tahu di mana stand mereka. Kubuzine juga menempelak golongan yang melaungankan slogan anti-kapitalis bersama gerakan Bersih, kerana hakikatnya dibelakang mereka sendiri ada syarikat-syarikat yang menyalurkan bantuan.

Meriam Kubuzine kemudian dihalakan kepada Mahathir dan penyembah-penyembahnya. Sosok-sosok yang menghina Mahathir akhirnya sujud dijari kakinya, mencium dan menjilat demi kuasa, sosok ini termasuk Hisyamuddin Rais dan Pak Khalid. Dalam analisanya Kubuzine menafsir kenapa Mahathir meminta maaf kepada Raja-Raja, tetapi tidak kepada orang lain, bahkan kepada Anwar sendiri. Mereka menafsir bahawa kemarahan beliau kepada Anwar tidak pernah padam, kerana Anwarlah masyarakat antarabangsa mengkritik hebat pemerintahan beliau hingga dilihat begitu bobrok. Sehingga di dalam memoir beliau tiada gambar Anwar, tetapi ada gambar Najib dan Paklah. Berbaik dengan Raja adalah langkah strategik Mahathir untuk menjatuhkan Najib, manakala yang lain tiada keperluan untuk memohon maaf, mereka akan datang dan sujud sendiri.

Selesai menembak Mahathir, majalah radikal alternatif ini kemudian membicarakan perihal parti politik yang membawa nuansa agama Islam. Pemecatan Husam, perpecahan PAS-PAN menjadi dalil bahawa Tuhan tidak berpihak kepada mana-mana parti. Mereka bertanya, sekarang Tuhan berpihak kepada parti Islam, yang mana, adakah PAS atau PAN? Bagi Kubuzine, ini merupakan masalah apabila Tuhan diheret kedalam gelanggang politik kepartian. Saya kira ada benarnya keputusan Zahid Hamidi tidak membenarkan PAN menggunakan nama Islam dalam gerakan mereka. Membaca analisa ini, saya teringat akan syarahan Howard Zinn sebelum beliau meninggalkan kita semua, beliau mengkritik George Bush yang menggunakan Tuhan dalam pilihanraya presiden. Bush berkata beliau bermimpi Tuhan menyuruhnya bertanding, ditangan Bush dianggarkan 1 juta nyawa terkorban dalam peperangan keatas Iraq (angka sebenar hampir mustahil untuk diketahui dengan tepat).

Review Filem & Anime

Selain tema-tema politik, Kubuzine #002 juga memuatkan penulisan berkenaan dengan review filem dan karya animasi. Pertamanya adalah review berkenaan dengan filem The D Train tulisan John Bennet. Berdasarkan ulasan dan spoiler yang ditulis saya merasakan filem ini hambar dan tidak menarik untuk ditonton (sorry!). Tulisan Kuro Kyoshiro berkenaan dengan ulasan siri anime Psycho Pass dan juga persamaannya dengan karya 1984 oleh George Orwell dan novel Brave New World tulisan Aldous Huxley bagi saya lebih menarik, tidak terlalu cliche, juga memuatkan tema-tema yang lebih filosofikal. Walaupun ia merupakan karya fiksyen dystopia masa hadapan, ia membawakan tema filosofikal yang material untuk difikirkan di alam realiti. Pemerintahan authoritarian dengan kekacauan contohnya, kita boleh kaitkan dengan situasi di Syria dimana pertumpahan darah adalah minimum walaupun kebebasan terbatas di bawah acuan authoritarian, adakah ia lebih baik dari revolusi yang menatijahkan perang saudara, huru-hara, kemusnahan negara, kemusnahan sistem sosial kehidupan, kebuluran, dan kebanjiran pelarian? Tema ini boleh dibahaskan dari kacamata moral, material, atau ideologi, semuanya akan membawa pada rumusan yang berbeza.

Puisi

Ada satu puisi pendek dimuatkan dalam isu Kubuzine kali ini tulisan Benz Ali, tajuknya Penjual & Pembeli. Antara bait-bait puisi yang mungkin enak untuk kita ulang siar adalah “Semua orang boleh dibeli..ratu naga, bapa naga, kucing kurap, sampah sarap..kerana yang ikhlas telah khalas”. Kerana puisi itu sifatnya abstrak dan tepulanglah pada pembaca untuk mentafsir, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut.

Budaya & review buku

Segmen budaya ditulis oleh Syazna Fahem, beliau mengkritik (atau membebel?) berkenaan dengan penyaduran bahasa atau penggunaan bahasa asing ke dalam bahasa Malaysia. Saya kira guru-guru Bahasa Melayu akan bersetuju dengan pandangan Syazna. Berbeza dengan Siti Kassim yang nampak seperti begitu alergik dengan peminjaman kata dari Bahasa Arab, Syazna mengkritik semua, dari garfu yang berasal dari perkataan Portugis garfo, sehinggalah kepada perkataan pura-pura yang ditukar kepada munafik dari Bahasa Arab.

Perbahasan beliau menarik, tetapi tidak bererti kita perlu bersetuju. Saya teringat syarahan cendiakawan ulung Edward Said dalam membahaskan soal budaya, beliau berkata budaya itu dicipta oleh manusia. Jadi terpulanglah kepada kita orang Melayu untuk mencipta apa itu ‘budaya Melayu’, dan bahasa adalah sebahagian dari budaya. Ya, keseragaman itu memudahkan, lebih mudah untuk mengajar bahasa pada murid-murid apabila ia seragam dan mempunyai peraturan. Tetapi kerencamanlah yang menyebabkan dunia itu indah, kerencaman juga akan menjadikan bahasa kita indah. (sorry kawan-kawan nasionalis pro-DBP). 

Saya juga beranggapan istilah yang kita sangka dialih bahasa mempunyai maksud yang sama. Pura-pura sebagai contoh, tidak 100 peratus sama dengan munafik, munafik lebih keras bunyi dan maksudnya. Kita boleh cuba untuk menghentikan perubahan, tetapi kita akan gagal dan penat. Saya juga tidak bersetuju bila dikatakan “tiang bahasa Melayu di Malaysia tidak seteguh Indonesia”waduh pasti marah Ultras Malaya mendengarnya!

Namun ada juga saranan Syazna yang saya kira bernas, bahkan genius! Iaitu mengutamakan penyaduran perkataan dari suku kaum yang ada di Kepulauan Melayu seperti suku kaum Senoi, Jakun, Bidayuh, Dusun, Kadazan, bahkan mungkin dari Tagalog, Minangkabau, Sunda yang semestinya lebih kena dengan kejiwaan bahasa kita. Cuma saya sedikit terkilan kerana dihujungnya, Syazna mengakhiri tulisannya dengan memetik lagu John Lennon, terasa ironis, bahkan sedikit oxymoron.

Ulasan buku di dalam zine ini ditulis oleh Tommy Hatcher berkenaan buku Terraces Lagends: Terraces Lost it’s souls, but not it’s life yang merupakan karya Cass Pennant dan Martin King. Namun saya sukar untuk relate dengan review buku ini yang berkisar tentang hooligan bolasepak. Mungkin anda boleh relate jika anda mempunyai fetishism terhadap subjek ini.

Penutup

Zine ini tidaklah tebal, hanya 70 mukasurat dengan tulisan bersaiz agak besar. Ia boleh dibaca sekali harung dalam tempoh tidak lebih 1 jam. Tidak semua isinya bersifat falsafah dan teori berat, ada yang ringan-ringan sahaja seperti sejarah hooliganism, jadi saya kira ia sesuai dinikmati oleh setiap lapisan spektrum pemikiran. Sehingga ketemu lagi.

Ahad, 10 November 2019

Catatan Baitul Muslim 22: Buku Parenting (2)



Saya membaca buku Jamie Glowacki, dan saya membacanya dengan begitu perlahan. Kerana pertama, benar, kita semua ada perasaan untuk cepat habiskan baca satu buku dan pergi ke pembacaan seterusnya, tapi saya tiada cita-cita membaca buku 100 naskah setahun. Kedua, saya merasakan buku ini betul-betul praktikal dalam mengurus anak-anak kecil. Sekiranya anda mempunyai anak kecil berusia 2-6 tahun, lebih dari seorang anak dalam usia ini, saya sangat sangat sangat sarankan anda membacanya. Ia akan menyelamatkan anda!

Bahasa yang digunakan mungkin sedikit kasar dan blunt, tapi yang lebih penting ia make sense. Jika anda pernah membaca buku Faber & Mazlish, saya kira ada penerbit yang telah terjemahkan ke Bahasa Melayu, asas teori mereka adalah tawar menawar, memberi pilihan kepada anak-anak berbanding memaksa. Teori ini ada benarnya, tetapi ia mempunyai limit dan tidak sesuai untuk semua situasi. Kanak-kanak pada usia ini belum mampu membuat keputusan yang rasional yang mengambil kira kesan jangka masa panjang. Anda boleh beri pilihan untuk mereka pilih baju tidur, tetapi anda tidak boleh beri mereka pilihan sama ada hendak atau tidak memegang tangan anda ketika hendak melintas jalanraya.

Jamie menekankan perlunya ada peraturan dalam keluarga, anak-anak perlu memahami sempadan, agar mereka mampu meneroka dalam sempadan yang selamat - sempadan ini bukan sahaja sempadan fizikal, tetapi sempadan perilaku dan emosi. Anda tidak boleh membiarkan mereka meneka sempadan mereka sendiri, mereka belum mampu. Fasa ini memerlukan anda menjadi ibu bapa yang authoritative, tetapi tidak authoritarian.

Antara teknik ibu bapa yang authoritative, ialah kebolehupayaan mengurus tantrum anak-anak. Jamie memberi contoh situasi di kaunter supermarket. Ketika beratur, biasanya coklat/mainan kanak-kanak akan disusun berdekatan kaunter (marketing genius). Ketika kita menunggu dengan anak-anak, mereka akan lihat, dan mula minta dibelikan coklat. Dalam situasi ini kita ada dua pilihan.

1. Kita belikan mereka dan kita boleh nikmati ketenangan.

2. Kita tak bagi, dan anak kita akan mula dirasuk keinginan mereka, meraung sambil keluar hingus dan berguling di atas lantai, dan semua manusia akan melihat kita.


Dalam situasi ini, jika pilihan kita adalah yang kedua, tapi kita tahu apabila anak kita mula menjerit, kita akan mengalah. Bagi Jamie, adalah lebih baik kita terus bagi sahaja, berbanding kita beri setelah mereka selesai melaksanakan operasi raungan dan gulingan. Ini kerana kita akan lebih authoritative berbanding kita memberi selepas mereka meraung, dimana mereka mendapat signal bahawa strategi manipulasi mereka telah berjaya mengalahkan keputusan kita.

Tetapi mungkin juga anak kita akan dapat signal kita merestui pembelian coklat, dan esok mereka minta lagi, atau dalam bahasa Inggeris "once means always". Dalam hal ini kita perlu beritahu mereka bahawa kita hanya beli sekali sekala bukan sentiasa. Jika kita ke supermarket lagi, kita perlu beritahu sebelum masuk bahawa kita tak akan beli coklat hari ini, agar minda mereka telah bersedia dari awal, dan dia tahu dimana sempadan yang kita letak.


Selasa, 5 November 2019

Pemuda & Cita-Citanya



Sejarah kagum dengan pemuda yang besar cita-citanya. Kadang cita-cita pemuda dilihat tidak realistik, terlalu ideal, bahkan mungkin mustahil di mata pe-tua, kerana kurangnya garam yang pernah dimakan mereka. Namun pemuda dengan dadanya yang menyala terus menggerakkan cita-citanya, menang atau kalah, lambat atau pantas, praktis atau idealis, biarlah ia ditentukan oleh mutiara takdir.

Kadang-kadang aku bertanya juga pada diri, masih adakah padaku cita-cita pemuda. Atau kini aku hanya robot biologikal, yang berulang-alik dari katil di rumah ke kerusi di pejabat. Hidup sekadar hidup, mati sekadar mati, tidak ada amal di bumi. Aku juga tahu, cita tanpa amal itu palsu, cita tanpa peluh lelah akan kalah, cita tanpa usaha adalah sia-sia.

Semalam api cita-cita yang sekian lama terpadam sedikit menyala, apabila diajak bercerita dengan adik-adik yang hidup mereka disulami sukar dan derita. Mereka dibela oleh seorang pemuda, seorang pemuda yang begitu setia pada cita-citanya, seluruh hidupnya dia serahkan pada cita-cita, tanpa ada baki untuk dirinya.

Anak-anak itu dibawa kemana-mana, seolah itulah anak-anaknya, meski dia sendiri belum berumahtangga. Pendidikan mereka diurus, jiwa mereka diisi, dan yang paling penting cita-citanya diwariskan. Ketika orang lain sibuk mengira syiling, dia asyik dengan cita-citanya, memberi harapan kepada anak-anak 'generasi terbuang'. Di susun kelas-kelas tidak formal, dari kelas mengoperasikan mesin kilang, kelas berenang, hinggalah kelas bahasa Tamil. Baginya anak-anaknya istimewa, tidak mahu dia merasa rendah di hadapan dunia.

Moga yang Esa memberikan dia syurga, atas lelah dan usaha. Ketika dunia mengatakan tidak, pemuda tidak langsung berganjak, membawa cita-citanya lebih tinggi, lebih tinggi dari janji-janji perebut kerusi. Walau disuruh kalah, dia pantang mengalah, ketika diberi api oleh dunia, dia pergi menyalakan jiwa-jiwa.

Benarlah cita-cita Umar. Ketika manusia lain mengharapkan bangunan berisi emas dan permata, dia mengharapkan bangunannya diisi dengan pemuda-pemuda yang kuat cita-citanya, agar boleh diutus mengubah dunia.

Biar dunia menjadi saksi cita-cita pemuda.

Jumaat, 1 November 2019

Catatan Baitul Muslim 21: Buku Parenting (1)



Kali terakhir saya membaca buku parenting adalah buku Brainstorm tulisan Daniel Siegel, rasanya sudah sampai masanya untuk membaca semula buku parenting. Kenapa perlu baca?

Kita belajar matematik, sejarah, pendidikan seni, sains, thermodinamic, visual basic dan pelbagai matapelajaran lain di sekolah dan universiti. Kita tidak pernah belajar bagaimana untuk menjadi ayah atau ibu. Tidak ada subjek yang mengajar kita bagaimana mahu menjadi suami atau isteri.

Jika kita punya penyakit dan perlu dibedah, dan doktor bedah memberitahu kita bahawa dia tidak pernah belajar cara membedah manusia, kita akan jerit pada dia "gila! jangan sentuh saya!". Kita tidak sekali-kali akan memberinya peluang untuk merawat kita. Tapi kita yang tidak pernah belajar perihal keibubapaan tiba-tiba mahu mendidik anak-anak hingga berjaya? Magik.

Guru saya berkenaan dengan ilmu kekeluargaan, Tuan Rosdi Baharom pernah bertanya pada saya. "Fathi, bagaimana jika satu hari nanti anak-anak bertanya adakah ayah punya sijil atau kelayakan untuk membesarkan saya?".

Tidak hairan jika masyarakat kita pada hari ini mengabaikan anak-anak mereka, mereka dididik untuk menjadi robot di kilang dan pejabat oleh sistem pendidikan, sebab itu hari-hari kita dengar universiti kita mencari formula "kebolehpasaran graduan", maka lahirlah masyarakat yang hebat di kilang dan pejabat tetapi anak-anak terbiar tanpa kasih sayang.

Ini adalah satu gap dalam sistem pendidikan kita. Oleh itu kita perlu berusaha mengajari diri, membaca, berkursus, berdiskusi.

Selasa, 22 Oktober 2019

Sejarah Islam Yang Hilang



Buku Firas Alkhateeb ini sebenarnya telah lama saya intai, seingat saya sejak saya di bangku universiti lagi, namun takdir menentukan selepas beranak dua baru sempat menyelak helaian-helaiannya. Menghadam isi-isinya, serta merenung hikmah-hikmahnya. Tajuk yang beliau pilih adalah Lost Islamic History atau literal dalam Bahasa Melayu (bahasa yang dituduh Siti Kassim sebagai bahasa yang suka mencuri) adalah Sejarah Islam Yang Hilang. Saya rasa naskah ini sudah dialih bahasa oleh teman-teman dari Indonesia. Bahasa Melayu saya tidak pasti.

Pemilihan tajuk ini saya kira adalah kerana beliau mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh buku teks sejarah di Amerika. Di mana pelajar-pelajar Muslim beliau hanya belajar sejarah Islam dari satu-dua muka surat sahaja, natijahnya mereka lebih mengenal pesona-pesona Barat dari pesona, cendiakawan, dan ahli falsafah Islam.

Namun untuk menulis semula 1400 tahun sejarah Islam ke dalam 274 mukasurat merupakan tugas yang sukar jika tidak mustahil. Oleh itu banyak yang perlu dipilih, dipermudah, dan dipersingkatkan. Saya teringat perbincangan saya dengan Akif di Chowrasta Market bagaimana penulisan sejarah tidak dapat lari dari bersifat bias. Kalau pun tidak bias secara ideologi, pemilihan apa yang 'penting' untuk dimasukkan dan apa yang dikesampingkan, adalah terdedah kepada pemilihan dan bias penulis. Apa yang dia rasakan 'penting', bahkan hingga ke tahap apa yang dirasakan sebagai 'sejarah'.

Dalam sesi-sesi pembelajaran kita berkenaan dengan sejarah Islam, baik yang formal atau tidak formal, selalunya yang meniadi fokus adalah kejayaan, kekuasaan, keadilan, kemakmuran kepimpinan dahulu. Fokus ini bertujuan menaikkan semangat kita, memberi motivasi kepada kita untuk menyusuri kejayaan mereka.

Kita jarang sekali berbincang berkenaan dengan kelemahan mereka, kejatuhan mereka, kesilapan mereka, detik-detik hitam, sehingga kadang kala pandangan kita terhadap sejarah itu menjadi terlalu ideal, romantik, bahkan tiada ruang diberi kepada kekhilafan manusiawi. Sejarah 1400 tahun ini penuh dengan jatuh dan bangun, kalah dan menang, namun tema yang sering kali berulang adalah setiap kali zaman kejatuhan pasti ada tangan yang menyambut panji, melakukan islah, membina, hingga menang semula.

Perpecahan pertama, yang membawa kepada implikasi yang besar, bermula dengan pembunuhan Saidina Uthman, yang membahagikan kesatuan kepada dua, Muawiyah di Syria dan Ali di Kuffah. Muawiyah ternyata lebih dominan, datang dari golongan bangsawan Quraisy, dan mempunyai pengalaman sebagai gabenor Syria beliau tidak mahu mengiktiraf pemerintahan Ali sebelum pembunuhan saudaranya Uthman diberi keadilan, manakala Ali berijtihad menghukum pembunuh Uthman akan menyemarakkan lagi konflik dan perpecahan. Mereka cuba berunding namun gagal, sehingga Ali akhirnya dibunuh oleh golongan Khawarij di Kuffah.

Persoalan peralihan kuasa ternyata merupakan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik dan perpecahan. Pemerintahan Muawiyah menandakan permulaan pemerintahan Kerajaan Umayyah yang mana tampuk pemerintahan ditukar menggunakan sistem warisan atau monarki. Monarki mungkin bukan satu pemerintahan yang ideal dari kacamata moden kita hari ini yang mengagungkan demokrasi. Tetapi dari segi latar sejarah ia bukan suatu yang asing pada zaman tersebut, pemerintahan secara monarki mungkin pada pandangan Muawiyah lebih stabil dan mudah. Namun pemerintahan warisnya Yazid, ternyata tidak disenangi, dilihat sebagai tidak Islamik ditambah dengan sistem cukai yang dianggap tidak adil. Ini membawa kepada pemberontakan golongan Abbasid.

Golongan Abbasid berjaya menjatuhkan kepimpinan Umayyah dan mereka memburu dan membunuh saki baki pemerintah Umayyah. Namun seorang putera Umayyah berumur 20-an Abdul Rahman Al-Dakhil berjaya melarikan diri ke semenanjung Iberia dan mengasaskan pemerintahan Umayyah di Cordova. Islam telah membuka semenanjung Iberia pada tahun 711 sebelum kedatangan Abdul Rahman, apabila Komander Tariq bin Ziyad mengalahkan kerajaan Visigothic dibawah Raja Roderic. Gibraltar yang hari ini merupakan kawasan yang dikuasi British berasal dari nama Jabal Tariq dalam bahasa Arab yang membawa maksud bukit Tariq (rupa-rupanya Bahasa Inggeris juga suka mencuri nama orang Arab).

Namun selepas itu perebutan kuasa berlaku dalam kerajaan Umayyah sehinggalah mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil yang dipanggil 'ta'ifah' dan berperang sesama sendiri. Perpecahan ini membuka peluang bagi Castille dibawah Alfonso VI untuk menakluk semula Al-Andalus. Apabila ancaman ini sampai ke Seville, tentera dari Afrika Utara datang membantu atas dasar persaudaraan Islam, mereka dipanggil Al-Murabitun yang merupakan etnik Berber - etnik Berber yang terkenal hari ini adalah Zinedine Zidane - pemain bola Perancis. Tentera Murabitun dipimpin Yusuf Tashfin menyeberangi selat Gibraltar dan berjaya menewaskan Alfonso.

Tidak berminat dengan perpecahan politik Andalus, Yusuf Tashfin kembali semula ke Afrika Utara. Tidak lama selepas itu beliau dipanggil semula untuk membantu, namun kali kedua perpecahan antara raja-raja ta'ifah Andalus semakin meruncing menyebabkan kempen itu gagal, Murabitun pulang sekali lagi dan tidak mahu masuk campur lagi. Kali ketiga dipanggil membantu, Ibnu Tashfin datang dan merampas kuasa dari tai'fah-tai'fah ini serta menyatukan kembali mereka. Begitulah sejarah berputar, namun akhirnya Islam terpadam dari semenanjung Iberia dengan kejatuhan Granada.

Pergaduhan dan perpecahan ini adalah sebahagian dari sejarah Islam yang perlu dikaji dan direnungi. Agar perspektif kita terhadap sejarah tidak terlalu idealistik malah mungkin beredar di laman emosi nostalgia berbanding dengan kebenaran yang objektif. Pada tahun 900-an misalnya kerajaan Islam terpisah kepada tiga Abasiyyah, Fatimiyah, dan Umayyah.

Firas Alkhateeb menutup makalahnya dengan kebangkitan idea negara bangsa yang memecahkan tanah-tanah Islam dengan sempadan yang dilukis oleh tangan-tangan kolonialis. Di era moden ini ummat Islam berada dalam persimpangan dan dilemma. Dalam merasionalkan kejatuhan sejarah yang panjang ini, mereka kini menimbang idea baru dan lama. Satu pihak muncul dengan mengatakan untuk mengembalikan kegemilangan, ummat ini perlu kembali kepada nilai-nilai agamanya yang sejati. Pihak kedua pula mengatakan untuk maju ke depan ummat ini perlu menanggalkan idea-idea agama, dan menerima falsafah liberal, moden, dan sekular seperti negara-negara Barat. Buat masa kini, idea ini masih bertarung dan belum mencapai konsensus dalam kalangan ummat ini.


Selasa, 15 Oktober 2019

Wacana Demokrasi Fareed Zakaria



Akhirnya selesai menghabiskan pembacaan berkenaan dengan wacana demokrasi karya penganalisis politik CNN, Fareed Zakaria dalam bukunya The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. Buku ini nipis sahaja, tidak sampai 300 muka surat pun, tapi saya terpaksa membacanya dengan perlahan kerana banyak idea, dan permasalahan yang di ketengahkan perlu di renungi dan difikirkan.

Saya masih ingat ada rakan saya yang bercita-cita membaca 100 buku setahun, saya bertanya mengapa? Katanya umur manusia singkat, dia mahu membaca sebanyak mungkin sebelum tirai nyawanya ditutup. Saya tidak bersetuju, saya lebih cenderung dengan nasihat Chomsky, tidak guna membaca tanpa renungan, dan dilupakan setelah lima saat.

Sejak dari itu, saya tidak hanya membaca. Saya memilih bacaan, menulis semula idea-idea yang saya jumpa sepanjang pembacaan, merenung, menilai, sudah tentu pembacaan lebih lambat, tetapi ia lebih mengayakan jiwa. Jika sebelum ini saya membaca sekitar 20 buku setahun, sekarang hanya sekitar 10 buku setahun.

Buku ini saya kira boleh di lihat dari dua sudut, satu sudut ideologi, dan yang kedua sudut perbahasan intelektual.

Buku ini mendapat pujian dari arkitek perang Vietnam, Henry Kissinger, pengasas teori 'Clash of Civilisation' yang merupakan teori penting permulaan siri perang baru oleh Amerika selepas Perang Dingin, Samuel Huntington, juga orientalis Barat, Bernard Lewis. Jadi kita sudah dapat tahu apa naratif ideologi Fareed Zakaria, iaitu American Exceptionalism. Walaupun kita tidak bersetuju dengan naratif ideologinya, tidak semestinya perbahasan intelektualnya patut kita buang terus ke dalam tong sampah. Saya sendiri membaca karya-karya Kissinger, Huntington, malah penyokong tegar kapitalis seperti Thomas Friedman.

Fareed Zakaria saya kira sangat tepat dalam analisanya yang menggariskan garisan pemisah antara demokrasi dan liberalisma. Dalam kata lain demokrasi boleh wujud dalam kerangka non-liberal. Sementara pemerintahan liberal demokrasi di kebanyakan negara barat adalah dari tradisi lama mereka yang membina konsep constitutional liberalism. Tradisi ini bermula apabila Constantine memindahkan pusat pemerintahan ke Byzantium yang mengukuhkan Gereja Rom dan membolehkannya menjadi pengimbang kuasa. Asas kepada teori kebebasan atau liberalisma adalah pengimbangan kuasa, iaitu kuasa tidak berpusat pada mana-mana individu secara mutlak. Tradisi ini diteruskan dengan pemberontakan baron-baron Inggeris yang melahirkan Magna Carta, Triti Wesphalian, hinggalah ke liberalisma yang kita ada hari ini.

Dari sudut pensejarahan, walaupun demokrasi bermula dari Yunani Kuno, tradisi liberal tidak, contohnya pembunuhan Socrates yang dilakukan dengan aksi demokratik, tetapi ia bukan aksi liberal.
Dalam bab-bab kesimpulan beliau, Fareed Zakaria menyimpulkan perlunya pengurangan demokrasi dalam menyelesaikan permasalahan demokrasi. Beliau membawa contoh institusi mahkamah yang lebih dihormati rakyat berbanding badan eksekutif dan legislatif. Kerana pembukaan institusi kepada sistem demokrasi membawa kepada tekanan politik, yang menyebabkan institusi itu gagal merangka polisi jangka panjang. Sebaliknya terikat dengan kuasa pelobi malah majoriti yang tidak selalunya rasional. Majoriti tidak selalunya betul ini dapat kita lihat dengan pemilihan Hitler yang dibuat secara demokratik, namun natijahnya adalah kepimpinan authoritarian, peperangan, dan pembunuhan beramai-ramai.


Ahad, 6 Oktober 2019

Hari Lahir 20-an Yang Terakhir



Saya bergegas ke pejabat pagi itu, hasratnya mahu bertolak jam 5 pagi, supaya boleh keluar sedikit awal petang nanti untuk mengambil Amni dari tadikanya. Tapi nampaknya tidak sempat kerana terlebih tidur. Semasa bergegas masuk ke dalam kereta dan mahu memulakan perjalanan sekitar jam 6 pagi, ada kotak hadiah bersama kad ucapan ditinggalkan di tempat duduk kiri oleh isteri tercinta. Oh, hari ini hari lahir 20-an saya yang terakhir.

Bukankah hari ini dibenarkan untuk ber-nostalgia?

Kehidupan - Perjalanan mencari diri

Glowacki menulis didalam bukunya bagaimana kanak-kanak melalui proses 'pengindividuan' apabila dia mula sedar bahawa dia merupakan makhluk unik dan mempunyai diri sendiri. Anak-anak mula membuat keputusan sendiri, walaupun dari kaca mata ibubapa ia adalah sesuatu yang remeh-temeh. Contohnya mahu makan nasi di tengah malam ketika semua orang sudah mahu tidur, atau mahu pakai baju tidur bercorak dinosaur untuk pergi ke kenduri-kendara.

Merenung ke belakang, saya tidak ingat apa-apa secara jelas usia awal saya membesar. Tetapi kadang-kala ketika menyelak album lama, melihat gambar kecil saya makan aiskrim dengan comot di tepi kolam Masjid Negara, saya boleh mengimbas sedikit, meski pun tidak begitu jelas.

Saya masih ingat arwah Opah bercerita tentang pengalamannya hidup di zaman penjajahan Jepun, bagaimana beliau menceritakan beliau bersama keluarga masuk menyorok di dalam parit ketika pesawat Jepun mengebom Malaya. Opah banyak menyimpan duit lama, pada suatu hari raya Opah mengeluarkan plastik berisi duit 50 sen lama, setiap cucu diberi dua keping sebagai duit raya. Pada ketika itu di Changkat Tin masih terdapat nasi lemak yang berharga 30 sen, tetapi perlu dibeli pada awal pagi.

Saya membesar di Kuala Lumpur dimana 12 tahun awal kehidupan saya dihabiskan di Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara, Taman Tasik Titiwangsa, merupakan tempat-tempat biasa yang ibu bawa kami lawati. Walaupun tidak ber-ideologi politik ketika kecil saya duduk berdekatan dengan Markas PAS Taman Melewar dan selalu membeli belah di kedai-kedai yang dibuka bersempena dengan acara atau ceramah yang diadakan. Ketika mereka membuat rumah terbuka, saya juga sering beratur bersama anak-anak lain bersalaman dengan ustaz-ustaz PAS, seingat saya, saya pernah bersalaman dengan Ustaz Fadzil Noor. Saya juga selalu melihat perkataan 'ABU' di-spray dimerata tempat di sekitar KL, namun saya tidak tahu maksudnya, hinggalah saya dewasa, baru saya ketahui ia adalah acronym untuk Asalkan-Bukan-UMNO.

Hidup dalam perjalanan

Apabila saya melangkah ke tingkatan satu, ia merupakan satu anjakan besar, ia adalah titik masa yang menandakan bahawa saya tidak lagi hidup di rumah, tetapi hidup dalam perjalanan. Saya masih ingat ketika kali pertama dihantar oleh ibu dan ayah ke asrama di Perlis, saya duduk di kantin - tidak menangis - merenung jauh ke tanah di bawah, permandangan padang, dewan makan, blok aspura dan aspuri, rumah sampah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, hari pertama saya memulakan persekolahan di asrama MATRI.

Selepas itu hidup saya bersama rakan-rakan, yang kebanyakannya menjadi sahamat akrab hingga ke hari ini. Cuti-cuti singkat biasanya saya habiskan di rumah sahabat-sahabat di Sungai Petani, Alor Setar, Perlis, cuma cuti panjang saya menaiki bas Transnasional balik ke Kuala Lumpur. Saya masih ingat kali pertama menaiki bas pulang, saya tidak dapat tidur, dari malam itu di Kangar sehinggalah sampai di Hentian Pudu. Balik ke KL pun saya akan keluar bersama kawan-kawan, atau ke program dan perkhemahan bersama sahabat-sahabat.

Kali terakhir pulang ke Kuala Lumpur dari Arau setelah tamat SPM , saya menaiki kereta api, walaupun kereta api memakan masa yang lebih lama, 12 jam berbanding 8 jam menaiki bas, tetapi kereta apai mempunyai nostalgianya sendiri. Saya masih ingat antara gerabak terdapat ruang kecil yang mempunyai pintu, perjalanan pulang kali terakhir, saya duduk di tepi pintu yang kami buka, bersama sahabat karibku Abu Asri. Di kala kereta api bergerak, kami menikmati permandangan sawah padi dari Perlis hingga ke Kedah. Kadang kala perasaan rindu hinggap di hujung hati ku, Abu kini sudah tiada, sudah dipanggil Tuhan.

Merenung tingkap bersalji

Tingkap asrama Stachek 111 merupakan tempat kegemaran saya merenung salji yang menyimbah bumi Leningrad. Tidak pernah ke sekolah kebangsaan atau asrama elit, saya merupakan antara pelajar yang bertuah diterima melanjutkan pelajaran dengan biasiswa di bumi revolusi Russia. Saya selalu menaiki keretapi ke Moscow setiap bulan bagi menghadiri program pelajar, program persatuan, dan program kedutaan. Pernah satu ketika saya menulis "terasa seluruh hidupku dihabiskan diatas kereta api".

Tingkap di dalam kereta api di Russia juga cantik dan menggamit jiwa, ketika musim salji kita boleh melihat kawasan perdalaman yang dipanggil Dacha, dengan rumah-rumah kampung yang dilitupi salji. Russia nampak bersih ketika musim sejuk, dengan semua manusia menutup aurat. Apabila salji mula cair, puntung-puntung rokok yang menyorok dibawah timbunan salji mula keluar.

Sehingga ke hari ini

Mungkin disebabkan jiwaku yang suka merenung tingkap dari kecil, sehingga hari ini aku masih berharian menaiki bas. Dahulu untuk belajar, hari ini untuk bekerja. Namun sekarang perenungan aku lebih cantik, hendak ke Pulau Pinang perlu menyeberangi laut, jadi setiap hari Tuhan memberi aku peluang untuk termenung melihat ombak, burung, juga kapal-kapal berlabuh. 

Hari ini aku sudah tiada lagi Opah dan Abu, tapi aku masih punya ayah dan ibu, kini aku punya isteri dan dua anak kecil. Pastinya merenung nostalgia merupakan sesuatu yang manis, sepedih mana pun memori lalu kita boleh melihatnya semula dan tersenyum. Tiba masa untuk kita tinggalkan nostalgia dan memori, untuk hidup pada hari ini. Menyayangi orang yang kita masih ada, menikmati kurnia Tuhan Maha Mulia. 

Walaupun aku bakal meninggalkan hidupku di zaman 20-an, aku gamit nostalgia dan kenangannya. Atas kehidupan, aku bersyukur, oh Tuhan.

Sabtu, 28 September 2019

Ikan Paus Berbillion Dollar


Langit pada hari Khamis 19 September 2019 masih kabur diselubungi jerebu. Dari terminal Raja Tun Uda tanah besar semenanjung hilang dalam samar penglihatan yang terbatas, ternyata jerebu kali ini sehebat jerebu tahun 90-an. Kerana keadaan atmosfera yang tidak sihat, aku mengambil keputusan untuk tidak bermain futsal pada hari tersebut, namun hatiku tidak begitu tenang hari itu kerana ia mungkin merupakan hari terakhir futsal bersama Mickey, beliau bakal berpindah ke Carolina Utara, sebuah negeri selatan dari Washington, dan disebelah timurnya terbentang Lautan Atlantik.

Aku pun menghantar mesej pada beliau mengucap selamat jalan, dan bertanya bila pesawatnya bakal berlepas, ternyata dia mempunyai beberapa lagi hari berbaki. Aku hadiahkan kepada beliau naskah buku Tuesday with Morrie, buku yang bagi aku secara personal sangat mendalam nasihat dan renungannya berkenaan dengan persoalan kehidupan. Seingat aku, kali pertama aku membacanya adalah selepas dipengaruhi Seetal, yang bercerita dengan penuh semangat bertapa berharganya buku tersebut dan memberi aku naskah untuk dipinjam dan dibaca.

Mickey memberiku buku Billion Dollar Whale tulisan Tom Wright & Bradley Hope, katanya elok kita bertukar buku. Buku ini bukanlah buku yang asing bagiku, apatah lagi di Malaysia. Kali terakhir aku ke kedai buku, harganya sekitar RM80 seingat aku. Secara purata ia adalah buku yang mahal, kebiasaannya aku hanya membeli buku sekitar harga RM30-RM40 senaskah. Lebih dari RM40 bagiku agak mahal. Tetapi bukan sebab harga aku tidak membeli buku ini, seingat aku terdapat beberapa buku mahal yang aku beli seperti tulisan Noam Chomsky dan Howard Zinn. 

Mungkin aku tidak membelinya atas faktor ideologi politik. Aku masih ingat perbualanku bersama seorang teman rapat yang bekerja di sebuah akhbar, akhbar yang melaporkan secara extensive berkenaan dengan 1MDB. Temanku tersebut merupakan penyokong pembangkang satu ketika dahulu, blog peribadinya antara lain pernah menulis perihal buku Tony Pua, The Tiger That Lost Its Roar. Namun seperti banyak anak muda yang lain, euphoria reformasi telah hilang apabila pembangkang mengambil alih kerajaan, ceramah-ceramah indah terbukti tidak mudah untuk ditukar menjadi polisi. Katanya baginya buku tersebut 'populis', mengambil keuntungan dari skandal ini. Kami meneroka kedai buku Kinokuniya bersama hari itu, beliau melabel buku-buku populis lain, antaranya buku I am Malala.

Mungkin juga aku tidak membelinya kerana aku boleh membaca berita sahaja. Selepas skandal 1MDB meletup, ia dilapor dan diulas secara meluas, baik oleh media antarabangsa, akhbar tempatan, blog, hatta propaganda-propaganda di Facebook. Ia boleh dibaca dari pelbagai sudut, pembangkang atau kerajaan, jadi mengapa perlu beli buku? Atau mungkin disebabkan diet buku aku yang lebih berat kepada teori dan falsafah dalam politik dan ekonomi, aku melihat buku ini lebih kepada berunsur sensasi.

"We will discuss it in a week" kata Mickey menyerahkan kepadaku naskah buku yang dikeluarkan dari almari pejabat. Aku suka membaca perlahan-lahan jadi aku non-committal.

Tetapi ketika aku mula menyelak naskah ini di dalam bas Rapid Penang ternyata ia sangat mengasyikkan, mataku seolah digam pada helaian-helaiannya. Hari pertama sahaja aku menghabiskan lebih dari 50 mukasurat. Ia ditulis ala-ala novel, dengan cliff-hanger di setiap penghujung bab. Buku ini fokusnya bukan Najib atau 1MDB, tetapi Jho Low (JL).

Ia dimulakan dengan kisah bagaimana JL dibesarkan, bagaimana bapanya, Larry mempunyai harapan besar untuk anaknya lalu menghantarnya ke sekolah elit di Wharton, di mana beliau mula memasuki orbit golongan elit dan bangsawan, bersosial dan berkenalan dengan golongan kaya dan raja. Bermula dengan kenalan ini JL memulakan skimnya untuk menjadi kaya tanpa perlu bekerja keras. Dari seorang nobody dari Pulau Pinang beliau menjadi billionaire yang sibuk ber-party mewah bersama bintang-bintang Hollywood. 

Namun ada sesuatu isu besar yang boleh dilihat dari kejayaan JL menipu dan meng-kayakan dirinya, iaitu kegagalan institusi keewangan antarabangsa, terutamanya bank dalam membolehkan ia semua berlaku, menutup mata bagi mengalihkan wang berjumlah berbillion dollar. Membaca buku ini mengingatkan aku kepada buku The Big Short yang memaparkan ketamakan golongan banker yang rakus mengaut keuntungan di atas angin menjual sub-prime mortgage yang akhirnya menarik runtuh sistem keewangan, cuma kali ini ia mempunyai mastermind

Dalam siri konspirasinya JL berjaya menggunakan, menipu, dan memanipulasi pelbagai pihak termasuk kerajaan, bank-bank seperti BSI, Falcon, Goldman Sachs, juga pemain korporat seperti 1MDB, IPIC, Aabar, juga pelbagai industri hiburan termasuklah artis-artis Hollywood. Namun seperti mana skim-skim penipuan sepanjang sejarah, ia memerlukan terlalu ramai konspirator, akhirnya JL sendiri tidak dapat mengawal apa yang dia mulakan. Kejatuhan skim JL menarik bersamanya konspirator-konspiratornya, dan Malaysia juga mencatat sejarah apabila kerajaan bertukar buat kali pertama. 

Hari ini prosiding mahkamah telah dimulakan, dan banyak perkara yang parallel dengan apa yang ditulis oleh Wright & Hope dengan keterangan-keterangan saksi di mahkamah. Setiap rakyat yang ikhlas berharap ia akan membawa keadilan, dan pesalah di beri hukuman setimpal. Ia adalah penting agar pemimpin masa akan datang sentiasa berwaspada dengan tingkah laku mereka, berhati-hati dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan, dan yang paling penting sentiasa berlaku amanah dengan tanggungjawab mereka mengurus harta negara. Ia adalah pengajaran kepada ahli politik bahawa mereka tidak duduk diatas undang-undang.

Buku ini sememangnya ditulis dengan komposisi yang menarik, seperti sebuah novel. Kerana ia membabitkan isu politik tempatan, ia harus cuba dibaca dengan meletakkan ideologi politik di luar, dan disudut lain, agar ia boleh di hadam secara objektif. Keabsahan perincian laporan ini diharap akan kita ketahui dengan berlangsungnya prosiding di mahkamah. Suka atau tidak suka, skandal ini akan kekal dalam sejarah negara.


Berjalan-jalan di Laman Filosofi



Kegelapan malam, tatkala jam menghampiri jam dua pagi adalah masa yang baik untuk merenung, berjalan-jalan di laman filosofi, memikir apa yang salah pada hari ini supaya tidak diulangi esok, dan apa yang kita terlepas pandang dan perlu hargai. Melihat semula hari ini, begitu banyak kekurangan yang berlaku. Abaikan lapan jam masa kehidupan yang dibuang menjadi robot untuk memproses data.

“Kenapa abi angry?” soal si kecil cilik kepada umminya. Soalan itu pantas meruntuhkan ego seorang bapa, menyentak jiwa paling dalam, begitu rupanya pandangan seorang anak yang belum pandai menipu. Amarahku terpadam disimbah pertanyaan keanak-anakan. Rupanya aku terlupa sebentar menjadi seorang yang penyayang, aku berubah menjadi pemarah.

Bukan marah itu tidak perlu, tetapi ia tidak boleh diguna selalu. Ia tidak boleh menggantikan sayang, meski ia mudah digunakan. Aku masih belum sempat membaca Glowacki, tetapi aku sempat membelek helaian-helaian awal makalahnya. Anak-anakku kini dalam proses ‘pengindividuan’ – mereka sedang memisahkan diri untuk menjadi individu yang berbeza, mereka mula sedar bahawa mereka bukan ibubapa mereka, dan mereka mula belajar membuat pilihan, menolak pilihan yang diberi. Situasi ini acap kali menimbulkan konflik, jika ia tidak difahami dan diurus. Esok aku akan bermula semula.

Malam ini kisah Will begitu filosofikal, bagaimana seorang pemuda genius mencari diri dan arah kehidupan. Falsafahnya sangat dalam berkisar tentang keberanian untuk berterus terang pada diri sendiri, membuka peluang untuk membenarkan orang lain masuk ke dalam hidup kita, perbezaan antara mengetahui dan merasai, juga pengorbanan dan bantuan orang di sekeliling kita.

Will bernasib baik kerana dia ‘ditemui’ oleh seorang guru bernama Sean yang mencabarnya dengan soalan yang paling mudah “Apa yang engkau mahukan?”. Sean tahu anak muda ini masih belum mengetahui apa yang berharga dalam hidup, dan dia mengambil keputusan untuk bersabar dalam mendidik. Akhirnya pemuda itu sedar, bahawa sekadar pandai tidak cukup, sekadar tahu belum benar. Hidup adalah perasaan yang perlu dirasai, dan ia tidak mungkin kita rasai jika kita tidak mengambil risiko sebagai peluang.

Kita boleh menghafal novel dari kulit ke kulit, tetapi ia tidak mungkin sama dengan pengalaman sendiri mengendong anak yang masih merah dan bertali pusat, bangun ditengah malam memberinya susu, melihat dia belajar berdiri dan berlari, mendengar dia menyebut perkataan pertama. Itulah kehidupan, ia perlu dirasai, hidup bukan novel.

Ah, Idlan menangis lagi, lampinnya perlu ditukar, dia perlu disusukan.


Ahad, 15 September 2019

Memaknai Rumi: Siri 7



Ignorance is God’s prison.
Knowing is God’s palace.
When you are with everyone but me,
you’re with no one.
When you are with no one but me,
you’re with everyone. (28)

Kita suka tinggal di kampung kita, makan makanan kita, minum minuman kita, bercakap dengan masyarakat kita, dalam bahasa kita, di negara kita. Kita selesa dengan ke-kita-an, tak mampu keluar dari kampung halaman. Biar kita dilontar di cerok dunia manapun, baik di teluk Finland, atau di seberang Atlantik, kita kembali mencari ke-kita-an.

“Ah! Adakah kau benci dirimu sendiri?”

Bukan teman, ilmu adalah keluasan. Alam adalah buku kurniaan tuhan, buatmu kembara dalam mukasuratnya. Lalu kau akan temui teluk-teluk baru, rasa-rasa baru, warna-warna baru, suara-suara baru, mereka bukan bermaksud membunuhmu teman, mereka adalah kitab yang terbuka bagi kita belajar dan kenal-kenalan.

Kita takut akan kegelapan, namun bagaimana mahu berjumpa emas yang tertanam di pelusuk dunia? Bukankah kita perlu menggalinya? Menyusur lombong-lombong gelap agar beroleh butir emas dan permata yang tersimpan. Jangan cemuh mereka yang berani menempuh kegelapan, engkau sendiri harus belajar menjadi berani. Tidakkah engkau bosan hai teman dengan keterangan, walaupun idea-ideanya telah basi dengan beredarnya gerabak zaman.

Tatkala menyusur gelap peganglah tali Tuhanmu, biarkan air mata itu tumpah di helaian sejadah, dukamu luruskan dengan keheningan subuh, dalam sujud dan ibadah. Jika Tuhan bersamamu apakah lagi yang perlu kau takutkan teman? Bisa ular? Gigitan harimau? Semuanya dibawah telapak kakinya. Maka merebahlah sujud, peganglah tali itu, kau akan banyak dikala sedikit, kuat dikala lemah, teguh dikala runtuh.

Jangan sengketa lagi, jangan ragui hati. Tebarlah mencari ilmu, kemanapun teluknya, sedalam manapun gelapnya. Asalkan kau berpegang akan tali Nya, masakan kau kan binasa.

Memaknai Rumi: Siri 6



This is not a day for asking questions,
not a day on any calendar.
This day is conscious of itself.
This day is a lover, bread, and gentleness,
more manifest than saying can say.  (41)

Ada satu perkara menarik pada ‘minda’ manusia. Ia sering bertanya soalan, berfikir, sehingga manusia itu penat dengan berfikir sahaja! Hari ini bukan lagi hari berfikir, kita harus tutup minda, berhenti berfikir. Hari ini kita perlu merasa hidup dan bertemu dengan jiwa. Tinggalkan minda dan soalan-soalannya yang tidak kunjung putus. Hiduplah dengan jiwa!

Hiduplah sekarang, jangan biar mindamu melayang tetapi hayatilah angin yang bertiup. Sedarkan jiwa dan nikmatilah makanan dengan sebenar-benar nikmat, setiap kunyahan, setiap rasa di lidah, setiap gumpalan yang melepasi kerongkong, jangan berfikir sekarang, sekarang masa makan.

Hari ini hari untuk kita mencintai, rasailah kebahagiaan mencintai manusia lain, baik yang besar mahupun kecil, yang kita gelar kawan, atau yang kita bisikkan sayang. Bercintalah tanpa berfikiran, kerana berfikiran akan membuatkan kau lelah lagi, hingga percintaan itu tidak dapat dinikmati. Jadikan mindamu seperti mesin, ia alat buat kau berfikir, namun setelah kau berfikir berkenaan dengan kerja atau pelajaran atau apa pun, tutuplah ia, tekan butang kuasa, biarkan ia rehat. Tidak perlu berfikir sepanjang masa, hanya ketika perlu sahaja.

Dengan ini, kau bisa nikmati bahagia.