Isnin, 30 Mac 2020

Mimpi-mimpi yang takkan bisa terulang



Saya selalu menulis kerana banyak sebab. Ada kalanya menulis adalah terapi diri, saat dihimpit kesedihan, atau perasaan-perasaaan datang, menulis adalah instrumen saya untuk mengalirkan emosi keluar, untuk kembali tenang dan hidup semula. Banyak ketika, menulis datang kerana hasil membaca, apabila membaca, terkadang ada idea yang seolah-olah mahu keluar tetapi tersekat di dalam minda, ia akan terus berlegar-legar di dalam minda selama beberapa hari, kadang beberapa minggu, hingga menyebabkan saya sukar untuk memikirkan perkara lain, dengan menulis, idea ini keluar dan minda kembali segar. Sedia menerima idea-idea baru.

Menulis juga merupakan peluang, satu peluang untuk berinteraksi dengan generasi yang akan datang, yang mungkin saya tidak kenal, tidak pernah tahu namanya, tidak pernah menatap wajahnya, jiwa-jiwa yang tak pernah muncul dalam mimpi-mimpi saya, tapi jika tulisan saya saya tulis tidak terpadam, mereka boleh mendengar suara saya pada satu hari nanti. Mungkin sebahagiannya akan tersimpan di perpustakaan, atau jika alam maya masih belum menemui akhiratnya, mungkin mereka akan terjumpa saya di laman blog ini.

Hari ini saya ingin menulis tanpa fokus, seperti daun layu yang jatuh di atas arus sungai, biarlah sungai minda mengalirkan penulisan ini sendiri. Setia dalam alirannya, mendamaikan dalam alunannya, mendinginkan dalam sentuhannya.

Musim berkurung akibat wabak corona ini bagi saya merupakan satu anugerah. Selama ini roda kehidupan berjalan tanpa henti, tanpa sedar anak saya yang baru semalam lahir kini sudah mempunyai lapan gigi. Pengurungan ini memberi ruang untuk saya duduk bersama keluarga, melihat anak-anak makan, membiarkan mereka memanjat belakang badan, membiarkan tangan-tangan halus menampar muka dan mendengar alunan tangisan mereka. Saat-saat ini akan berlalu cepat, esok mereka akan masuk ke menara gading, tidak mahu lagi dikendong atau didukung, tidak mahu lagi digomol pipi-pipi bersih dan gebu mereka. 

Dunia ini memang aneh. Dalam sekelip mata ia bertukar, kerana sekecil wabak yang tidak terlihat dunia terhenti, kedai-kedai di tutup, kereta dan motor sejuk di rumah, seolah-olah ia merupakan waktu rehat kepada bumi yang telah tua ini, yang sudah penat menghidu karbon dioksida kilang manusia, yang sudah penat mengorbankan hutan belantara, yang sudah penat memberi segala galiannya, kini tiba masa semuanya terhenti. Bumi tua ini akhirnya mampu duduk tenang seketika diatas kerusi tuanya, tidak lagi hirau akan jerit pekik manusia.

Semalam genap satu bulan pemergian ayahku, terasa begitu cepat 30 tahun ini berlalu, ibarat mimpi, yang aku tahu tak mungkin bisa diulang, ia mimpi yang telah pergi ke alam abadi, tidak tersentuh lagi oleh tangan-tangan manusiawi. Jika ayah menjadi ukuran usiaku, maka aku telah menghabiskan separuh umurku, hanya ada 30 tahun berbaki. Walaupun aku tahu, umur itu rahsia tuhan, disimpan disebalik tabir yang tak mampu diintai insan, namun hatiku seolah hampir pasti, bahawa umurku hanya berbaki sedikit, tiga puluh paling lama, mungkin kurang daripada itu. 

Mati bagi saya satu kejadian yang menakutkan, bila difikirkan secara mendalam, difikir secara sebenar dan secara sedar. Apa yang akan menanti selepas itu? Soalan ini ditanya oleh setiap manusia, setiap agama dan bangsa. Namun ada kalanya aku rindu untuk mati, aku mahu hilang dari dunia ini. Mahu aman, tiada fikiran, tiada emosi, tiada kegelisahan atau kenikmatan, hilang, diam, tenang, kosong.

Rahsia-rahsia ini tidak mungkin akan kita tahu, walau kita membaca seribu buku. Takkan tersirat walau kita digelar professor atau pak doktor. Namun masa-masa yang masih disisakan oleh tuhan kepada manusia ini elok digunakan. Dinikmati dengan menghirup secawan kopi, ditemani senaskah manuskrip ilmu, sambil dimenung alam buana indah hingga ke hujung fatamorgana yang paling jauh.

Ahad, 15 Mac 2020

Bertemu Ikon Perjuangan Palestin - Dr. Ang Swee Chai



Saya sudah agak lama mengetahui akan perjuangan dan aktivisme Dr. Ang Swee Chai. Namun hanya selepas membaca buku beliau From Beirut to Jerusalem saya benar-benar dapat merasai struggle dan kesakitan yang beliau tempuhi. Seorang yang sangat kuat beragama Kristian, lahir di Pulau Pinang, berwarganegara Singapura dan mendapat suaka politik di United Kingdom. Beliau adalah antara doktor yang menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Kem Shabra-Shatila ketika Lebanon diserang oleh Israel. Beliau kemudian merupakan antara saksi yang memberi keterangan berkenaan peristiwa tersebut di Kahan Comission di Israel.

Saya banyak menulis artikel berkenaan beliau di portal Independent Insight dan Borneo Komrad, dan akhirnya beliau menjemput saya ke Singapura untuk berjumpa dan makan malam bersama beliau dan keluarganya. Namun, passport saya telah lama mati dan tidak pernah diperbaharui selepas saya pulang dari menuntut ilmu di Rusia. Akhirnya saya sempat berjumpa beliau di UN Conference di KL pada 28 Februari 2020 dan mendengar sendiri syarahan berkenaan pengalaman beliau secara live membantu dan mengubati rakyat Palestin dan Lubnan yang cedera diserang penjajahan Israel. Gambar-gambar kecederaan yang ditayangkan sangat mengerikan, bagaimana peluru kecil yang dipanggil butterfly bullet meninggalkan luka yang besar, mengecaikan tulang dan daging manusia.

Saya bawa buku beliau untuk autograf, beliau sebaliknya memberi saya buku beliau versi terbaru. Dan saya menghadiahkan beliau buku kecil antologi puisi kami Maka Kitab Itu Pun Menyanyi sebagai token penghargaan dan persahabatan. Saya terangkan kepada beliau ada satu puisi yang saya tulis didalamnya berkenaan dengan perjuangan rakyat Palestin. Terlalu banyak sebenarnya yang mahu ditulis hasil pendengaran syarahan beliau. Malah banyak gambar-gambar kekejaman Israel yang dikongsi terlalu dahsyat untuk saya kongsikan di ruang ini. Semangat juang mereka seharusnya kita tekuni dan sokongi.



Perbualan dengan diplomat-diplomat dari negara lain juga sangat menyegarkan. Antaranya adalah seorang diplomat dari Afrika, saya bertanyakan bagaimana negara yang menerima bantuan dari Amerika boleh mengutarakan usul dan menyokong usul perjuangan Palestin. Beliau lantas berceramah kepada saya soal prinsip, dan bagaimana bantuan tidak akan dapat mengubah prinsip keadilan yang didokong negaranya.

Terima kasih juga kepada pegawai-pegawai Wisma Putra yang ramah melayani kami para tetamu.

From the river to the sea, Palestine will be free!

Selasa, 10 Mac 2020

Kalau Bintang Punya Suara



Apa itu keindahan?
Adakah ia senyuman?
Walau jiwa dalam kesedihan?

Bolehkah aku terus menangis disini,
tanpa perlu menyapu sepi?

Aku ingin hilang,
aku ingin menjadi lalang,
yang tumbuh tak dipandang,
tiada perasaan sedih atau galang,
tanpa jiwa yang perlu mengerang.

Aku mahu hilang bersama angin,
ditelan dalam laut dingin.

Kalau bintang punya suara,
Aku ingin dia berkata.

"Ayuh bersamaku saudara,
pabila mentari mula bicara,
hilanglah bersamaku saudara,
pejamlah dan hilangkan sengsara".

Khamis, 5 Mac 2020

Belajar Hidup Dari Ayah

Kami bersama ayah sewaktu kecil. dari kiri Syed Ahmad Islami, dalam dukungan Syed Ihsan, dan yang paling kanan Syed Ahmad Fathi. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah, Syed Mohd Khair merupakan anak kelahiran Changkat Tin, Tanjung Tualang, Perak. Ibunya bernama Andak Jijah dan ayahnya bernama Syed Mohd Jiplus. Beliau bersekolah di Sultan Yusuf School (SYS) dan kemudian menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan kejuruteraan awam. Beliau dipanggil pulang oleh Allah pada umur 61 tahun pada 29 Februari 2020 di rumah kami di Gombak.

Pulang ke Sungai Petani selesai pengebumian ayah berseorangan sememangnya merupakan masa yang sangat subur untuk mengimbau memori. Kemana sahaja saya lihat, akan terkenang ayah. Bila lalu di kawasan Tapah dan terlampak air terjun Lata Kinjang, teringat ayah selalu sebut berkenaan dengan Lata Kinjang dan pernah bawa kami mandi disana. Bila teringat anak-anak teringat ayah selalu menyanyi bila jumpa cucu-cucunya "Oh Amni, budak solehah. Oh Idlan budak yang soleh", malah mainan anak-anak kebanyakannya ayah yang beli, saya jarang hingga hampir tak pernah beli mainan untuk anak-anak.

Masa balik kampung dan ketika baru mula belajar bercakap dahulu saya masih ingat saya dengar ayah sebut perkataan "berbaloi", saya tak faham dan ayah terangkan apa maksud perkataan berbaloi. Kereta kami tak ada radio, biasanya kami akan dengar ayah menyanyi nasyid lagu Raihan, Rabbani, dan Hijaz sampai kami tertidur. Semasa kecil saya masih ingat saya pernah dibawa ayah ke pejabatnya, Pejabat JKR di Menara UMNO Kuala Lumpur, saya tidak pasti kenapa ayah bawa saya hari itu.

Saya juga masih ingat ayah mengajar saya matematik masa kecil. Yang paling saya ingat adalah ayah ajar saya cara bundarkan nombor, senang sahaja saya jawab soalan-soalan ayah. Kemudian ayah tanya soalan trick question, cuba bundarkan nombor 10, saya fikir tak dapat-dapat, ayah tak mahu beri jawapan dan terus tanya saya hingga akhirnya saya menangis. Itu metodologi ayah mengajar, dia mahu anak-anaknya berfikir sampai limit pemikiran, kemudian baru dia bantu. Tapi ia berkesan, saya ingat sehingga ke hari ini.

Masa kecil juga, ayah belikan kami akuarium. Macam-macam ikan kami pernah bela, ada ikan yang kami beli di kedai ikan seperti ikan flowerhorn, ada ikan yang kami tangkap sendiri di Ulu Yam, di dalam longkang di Taman Melewar seperti ikan Talapia. Juga ikan yang kami tangkap di parit kampung seperti ikan Haruan, Puyu, Sepat, Ikan Mata Tiga. Balik kampung biasanya di bahagian kaki tempat duduk belakang ada baldi berisi air dan ikan yang kami tangkap di kampung. Ayah ajar macam mana nak keluarkan air dari akuarium guna paip air, isi air dalam paip, tutup, satu hujung bubuh dalam aquarium dan hujung satu lagi lepas dibawah, air akan turun sendiri hasil tekanan udara. Kami belajar fizik secara amali sebelum masuk sekolah menengah!

Zaman dahulu tengok cerita guna tape, video tape ini zaman sebelum ada Video CD. Antara cerita yang ayah kerap kali ulang pada kami ialah filem 'Lion of the Desert' yang mengisahkan perjuangan Umar Mukhtar di Libya menentang penjajahan Fasis Itali. Sampai hari ini ia merupakan cerita kegemaran saya. Ketika di universiti saya download semula, memang betul-betul memori. Apabila teknologi VCD muncul ayah banyak membeli VCD tentang teknik bermain bola, juga VCD berkenaan dengan 'Golden Goals' Liga Inggeris. Melalui VCD ini saya mula melihat gol-gol hasil permainan Thierry Henry, Patrick Vieira, Fredrik Ljungberg, dan yang saya paling minat adalah gol Dennis Berkamp melawan Newcastle. Sejak itu saya menjadi menyokong kelab Arsenal dibawah kelolaan Arsene Wenger, dan memupuk minat saya bermain bola. Ayah selalu membawa kami ke padang di hujung minggu berlatih dan bermain bola.

Ayah juga gemar bermain badminton. Saya masih ingat raket Yonex ayah yang mempunyai pemegang berbulu-bulu berwarna hitam. Kadang-kadang di pagi hujung minggu ayah membawa kami berlatih di court terbuka Taman Melewar, ayah ajar posisi bermain, satu kaki kena selalu ditengah gelanggang, badan yang bergerak kiri kanan depan belakang, ayah ajar macam mana nak pukul back-hand. Kadang kala ayah bawa kami bermain di dewan Parlimen bersama sahabat-sahabatnya. Tapi minat saya lebih kepada bola dari badminton.

Kami 5 beradik, dari kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Ihsan, Syarifah Nabihah, Syed Zulfaqar, dan Syed Ahmad Islami. Sumber: Album Lama Keluarga.
Apabila teknologi komputer mula muncul, ayah bersemangat mengajar kami perisian-perisian komputer. Walaupun kami ketika itu lebih berminat bermain game seperti Age of Empire dan Pokemon Yellow. Ayah ajar macam mana nak guna Microsoft Excel sebagai kalkulator, cara buat slide guna Powerpoint dan cara guna Microsoft Word. Saya masih ingat semasa satu halaqah keluarga, ayah akan tunjuk pengajaran hidup dari hidup seekor rama-rama, ayah gunakan Powerpoint untuk cerita kepada kami.

Ayah juga selalu mengeluarkan saya dari zon selesa, saya masih ingat ketika cuti sekolah menengah berlaku banjir besar di Pahang. Ayah hantar kami ke Pahang mengikuti sahabat beliau, Pakcik Kamarudin Putih, saya sangat segan ketika itu kerana tak kenal, ayah tak ikut sekali, tapi saya tak berani melawan, saya mengikuti miri bantuan banjir membersihkan lumpur di kampung, sekolah, dan rumah-rumah penduduk yang terjejas. Di ketika lain, semasa cuti sekolah, ayah akan menyuruh saya balik kampung sendiri menaiki bas, zaman itu belum ada talifon bimbit, saya pun tak pasti macam mana saya berjaya sampai ke kampung sendiri.

Ayah juga minat berkebun, masa kecil ketika di kampung kami akan bermain dengan pokok keembung, ayah tunjuk macam mana nak picit buah keembung supaya dia meletup keluarkan biji. Ayah akan kumpul benih-benih dari kampung dan tanam dirumah. Bila kami kerumah yang ada pokok keembung dengan warna bunga yang kami belum ada ayah akan minta benih. Di rumah pada suatu ketika penuh pokok keembung dengan bermacam warna bunga. Saya paling suka picit bagi meletup buah keembung. Kami belajar biologi secara amali di rumah! Kami juga selalu mengambil buah Kelapa Pandan bila menziarahi rumah Arwah Pak Andak, kemudian ayah akan bawa kami tanam di tanahnya di Changkat Tin.

Ayah juga minat camping. Dirumah kami ada khemah, sleeping bag, binokular, kompas, beliau selalu camping dengan sahabat semasa muda, kadang ayah membawa kami. Saya masih ingat ayah ada beli satu buku bertajuk "Ikhtiar Hidup", buku itu merupakan manual survival di hutan bila bersendirian. Ayah akan tunjuk pada kami dan bercerita bagaimana nak potong akar pokok untuk mendapatkan air, cara memasang perangkap haiwan, cara memasak dengan menanam dan menyalakan api di atas tanah.

Ayah juga minat bertukang. Dari toolbox ayah kami belajar cara menggunakan tukul, cara memaku, cara menggunakan gergaji. Ayah mengajar kami cara menggunakan kertas pasir untuk meratakan permukaan kayu dan bagaimana nak sapu syelek pada kayu. Cara guna thinner untuk bersihkan cat yang melekat di tangan. Semuanya skil-skil kehidupan yang saya masih guna hingga ke hari ini. Ayah juga pandai berenang, dan selalu ajar kami berenang di Teluk Batik, Perak. Ketika saya di sekolah menengah ayah selalu membawa adik-adik berenang di kolam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Semasa di sekolah rendah kami memang tidak dibenarkan menonton televisyen pada waktu malam. Nak tengok kartun Doremon dan Crayon Shin Chan pun selalu dimarah kerana sudah dekat maghrib. Apabila di sekolah kawan-kawan bersembang berkenaan dengan lawak Senario yang mereka tonton semalam, saya langsung tidak ada clue sebab saya tak diajar tengok TV pada waktu malam. Sampai sekarang saya jenis yang tak suka tengok TV. Sekarang mungkin TV semakin sudah tidak relevan sebab sekarang ada YouTube.

Ayah juga sangat teliti bab duit. Setiap anak mempunyai tabung. Dari duit belanja RM2 yang diberi setiap hari, 20 sen perlu dimasukkan ke dalam tabung. Saya ingat pada satu hari saya tercicir duit 2 ringgit saya, bila ke sekolah tak boleh beli apa-apa makanan, balik saya cerita pada ayah ingatkan ayah nak beri 2 ringgit baru, sebaliknya kena marah dan diperingatkan untuk jaga duit elok-elok. Begitu ayah mendisiplinkan kami. Duit raya kami hampir semua dimasukkan ke dalam Tabung Haji, tidak dibenarkan beli mercun. Cuma selepas dah besar sikit kami pernah membeli mercun guna duit raya, itu pun sedikit sahaja.

Selepas habis sekolah rendah, ayah beri saya dua pilihan sahaja untuk sekolah menengah, sama ada ke Ibnu Khaldun di Klang atau Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Perlis. Saya memilih Perlis kerana kakak saya ada di MATRI. Saya dan kakak sahaja yang bersekolah di MATRI penuh dari tingkatan satu hingga lima, adik-adik lain bercampur dua-dua sekolah. Kami tidak pernah dihantar di sekolah kebangsaan. Ayah sangat pentingkan pendidikan agama, walaupun kami tak kaya ayah sanggup berkorban dan bayar yuran kami. Di MATRI saya diajar berdikari, saya belajar guna kad bank dan guna ATM.

Ketika di MATRI saya diberitahu pakcik-pakcik disana bahawa rumah pam air berdekatan musolla MATRI adalah hasil tangan ayah. Tapi ayah tidak pernah bercerita kepada saya tentang hal ini. Semasa saya kecil saya sudah pernah ke MATRI mengikut ayah bermusafir dengan Ustaz Mudrikah, saya masih ingat kami melawat gua, dah besar baru saya tahu nama gua tersebut adalah Gua Kelam, saya masih ingat ayah belikan saya jagung bakar ketika itu. Kami tidur di musolla.

Habis sekolah saya mendapat tawaran ke asasi kejuruteraan UIAM dan biasiswa MARA dibawah skim pelajar cemerlang (SPC) ke Rusia. Ayah tak berapa berkenan saya ke Rusia, tapi beliau hormati keputusan saya dan benarkan saya pergi. Beliau membawa saya mendaftar di UniKL-MIAT untuk program foundation. Namun hari kedua, beliau tidak menghantar saya semula sebaliknya menyuruh saya menumpang ayah kawan saya Haziq Husni, pada ketika itu. Lepas sekolah memang ayah suruh saya berdikari, apa-apa borang ayah tak akan isi, ayah suruh isi sendiri, dia hanya akan isi bahagian dia  sahaja seperti gaji. Semasa saya menyambung sarjana di UTM dia langsung tak hantar, sebaliknya dia suruh saya naik bas sendiri. Ayah nak anak-anaknya belajar berdikari.

Kami diwaktu kecil bersama ibu, Norizan Mohamad Noh. Dari Kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Zulfaqar, Syed Ahmad Islami, Syed Ihsan (dalam dukungan), Syarifah Nabihah dan Kakak Pembantu Rumah yang menjaga kami dahulu. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah juga seorang yang sangat meraikan keluarga dan sahabat. Hampir setiap jemputan kenduri akan cuba dihadirinya. Betul kata adikku Zulfaqar, bahawa banyak sifat kami merupakan copy paste sifat ayah, saya sehingga ke hari ini sukar menolak perlawaan kenduri dan jamuan, mesti pergi melainkan ada perkara yang tak dapat dielakkan. Begitulah sifat ayah mencorak hidup saya.

Begitulah sedikit sebanyak sifat-sifat ayah yang saya masih ingati hingga ke hari ini. Tentu banyak lagi kisah-kisah yang ada berkenaan ayah dari kawan-kawannya dan sedara mara. Saya harap saya diberi kesempatan untuk jumpa sahabat lama ayah, juga sedara mara ayah yang saya tak berapa kenal untuk menggali lagi kisah perwatakan ayah. Biarlah coretan-coretan ini menjadi kenangan saya dengan ayah.

Al-Fatihah untuk ayah.

Isnin, 2 Mac 2020

Ayah: Hari Separuh Jiwaku Mati

Gambar ayah, Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus ketika beliau masih muda. - Dari Album Keluarga.

Sewaktu kecil, banyak program motivasi, program muhasabah diri yang aku ikuti. Yang banyak berkisar tentang kematian ibu ayah, untuk menggetarkan rasa, diceritakam suasana bagaimana sebagai anak, kita pulang ke rumah, mendapati rumah sudah dikerumuni keluarga dan jiran tertangga, dan ditengah-tengah ruang tamu terbujur badan yang kaku diselimuti kain. Semua program-program itu tidak dapat menyiapkan perasaanku untuk menghadapi hari ini.

Petang itu ayah kelihatan juga seperti penat, aku tanya keadaannya, dia kata dia okay sahaja. Kami pun bersiap seperti biasa, ayah keluar rumah melambai kami pulang ke Sungai Petani selepas berhujung minggu di Kuala Lumpur.

Sekitar jam sembilan, Zulfaqar menalifon saat kami sudah hampir melepasi Perak, aku pada mulanya tidak dapat mengangkat kerana sedang memandu, namun aku berkali-kali cuba menalifon semula, akhirnya dapat, katanya ayah muntah-muntah dan tak boleh bangun. Aku bertanya adakah ayah sedar? Katanya ayah sedar dan sedang menunggu ambulance. Aku ambil keputusan untuk teruskan perjalanan. Tidak lama kemudian Ihsan menalifon sambil menangis katanya ayah telah tiada, diikuti dengan panggilan dari Islami. Aku keluar di Exit Changkat Jering, dan berpatah semula ke Gombak. Kakak juga dalam perjalanan ke Gombak dari Kelantan.

Aku tidak menangis ketika itu, aku menjawab dengan tenang kesemua panggilan, dan memberitahu bahawa aku dalam perjalanan pulang. Perasaan aku terlalu kebas ketika itu, seperti aku dapat menerima kenyataan bahawa kini aku sudah tidak lagi punya insan untuk dipanggil ayah. Namun apabila mesej mula berpusu-pusu masuk, emosi yang ku sangka kukuh mula retak, empangan emosiku pecah, air mata mula mengalir dipipi. Terasa separuh jiwaku telah mati.

Sebagai anak, tentulah banyak kenangan bersama ayah, ada yang masih kukuh dalam ingatan, ada yang sudah samar-samar, ada yang sudah pudar dan hanya nyata dalam album-album gambar. Aku harap ini semua hanya mimpi buruk, yang akan hilang apabila aku bangun semula. Aku merasakan ingin untuk hidup dihari semalam, hari yang tenang, bukan hari ini yang menyakitkan dan panjang, bukan hari esok yang melukakan. Namun tidak mampu tangan insan menolak qada' Tuhan.

Apabila sampai dirumah sekitar jam 12 malam baru aku sedar perihal realiti yang sedang aku hidupi, ini memang bukan mimpi ngeri. Aku duduk disisi tubuh ayah yang telah kaku, mengambil naskah surah Yasin, cuba membaca tanpa menangis walau aku tahu aku tak mampu. Dalam serak aku berdoa, ya Allah ampunilah ayahku. Selesai bacaan aku selak kain muka ayah, wajahnya kini pucat kerana darah sudah berhenti mengalir. Aku tekap wajahku pada pipi ayah, mungkin ini yang terakhir, aku bisikkan pada telinga ayah "Ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal Ayah, Assalamualaikum".

Sekitar jam 3 pagi, apabila tetamu mula surut, kami sudah selesai berbincang dengan nazir berkenaan dengan butiran pengurusan jenazah esok pagi, aku membawa anak-anak ke hotel berdekatan untuk berehat sebentar. Mencari ketenangan sebelum mengharungi ribut esok hari.

Pagi esoknya, jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rahimah untuk dimandikan. Aku bersyukur, kami semua 5 beradik bersama ibu diberi kesempatan untuk memandikan ayah. "Inilah bakti terakhir kita buat ayah" kata ibu kepada kami sambil meratakan air ke badan ayah yang kini sudah mengeras. Ibu tidak henti berselawat, kami adik beradik tidak berhenti menangis. Aku cuba mengangkat tangan ayah, namun sudah keras, pengurus jenazah mula mengurut-ngurut tangan ayah untuk mengendurkan otot yang mengeras. Hanya wajah ayah yang seperti tersenyum, memberi kami sedikit perlindungan dari kesedihan yang menjiwai emosi. Inilah tubuh yang berkerja bertahun-tahun menyara kami sekeluarga, yang membawa motor menghantar kami ke sekolah setiap pagi dengan wang saku 2 ringgit, di tubuh ini kami mencari kasih, mencari sayang, hari ini kami menghantarnya pulang.

Ketika sudah selesai dikafan, pengurus jenazah bertanya adakah masih ada yang nak melihat wajah arwah ayah buat kali terakhir. Tak mampu aku untuk mengatakan tidak. Lalu beliau buka bahagian muka, aku menekapkan wajahku di pipi ayah. Ya, kali ini betul-betul terakhir, sebelum aku hanya boleh melihat wajahnya pada gambar-gambar lama. "Ahmad sayang ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal ayah, jumpa disana, assalamualaikum" aku bisikkan ke telinga ayah kali terakhir di dunia ini. Satu persatu adik beradik ayah masuk mengucup wajahnya buat kali terakhir, Mak Kecik, Pak Oteh, Mak Yang, Mak Chu, Pak Ngah bergilir-gilir mengucup pipi saudara seibu seayah mereka.

Kubur ayah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak ditandai dengan batu bernombor 1128.

Selepas selesai solat, jenazah ditanam dan talkin dibaca, tubuhku terasa sangat penat, kepalaku sangat pening, dan emosiku telah habis kering. Terasa kekok bila masuk semula ke rumah selepas perkemubian. Rumah ini terasa asing, terasa tidak sama, terasa tidak lengkap, terasa seperti ada yang hilang tanpa kelibat ayah.

Aku tidak tahu bila aku akan merasa normal semula. Adakah perasaan sedih ini akan hilang, atau ia akan kekal memaruti hatiku selama-lamanya. Namun aku sedar, kematian ini adalah hakikat insan, ia merupakan tazkirah bagi yang masih bernyawa. Peluang bagi mereka yang masih bernafas. Semoga Allah terima ruh ayah sebagai orang yang soleh, kami redha dengan pemergian ayah. Terima kasih ya Allah kerana meminjamkan kepada kami seorang ayah. Semoga Allah merahmati ayah.

Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus.
30 April 1959 – 29 Febuari 2020.

Jumaat, 28 Februari 2020

Harapan Yang Memperbodohkan Rakyat



Harapan berjanji.
Harapan mungkiri.
Harapan menang.
Harapan bercakaran.
Harapan bergaduh dengan Harapan.
Harapan mengkhianati Harapan.
Harapan keluar dari Harapan.
Harapan robohkan Harapan.
Harapan tak mahu rakyat memilih semula.
Harapan sembang mandat rakyat.
Harapan lupa orang sudah tidak percaya.
Harapan lupa orang sudah penat.
Harapan masih mahu memperbodohkan rakyat.

Selasa, 25 Februari 2020

Mengejek Kemenangan Yang Tertangguh


Dahulu mereka mengejek
Mereka menghambur perkataan jelek.

Eh apa ini kemenangan tertangguh
Terima kalah sahajalah bodoh
Buat apa mahu bertangguh
Telan sahaja segala cemuh.

Kemenangan mereka disambut bangga
Konon sejarah telah tercipta.

Nampak luarannya begitu gah
Tapi terlalu mudah disanggah
Belum berangin sudah rebah
Isinya kosong walau luarnya megah.

Akhirnya kemenangan mereka lebur
Walau belum masa untuk dikubur.

Kemenangan mereka mati
Saling khianat mengkhianati
Kemenangan mereka luruh
Tanpa ada serangan musuh.

Begitu lemah kemenangan mereka
Mereka sendiri keliru
Mahu jadi katak atau berudu
Kini mereka tersedu.

Ibarat embun di hari pagi
Disentuh mentari ia pun pergi
Umpama di tepi pantai istana pasir
Hilang semua apabila ombak bersisir.

Mereka mengejek kemenangan tertangguh
Kepada Tuhan kita berteduh
Akhirnya kemenangan mereka yang runtuh

Kita perlu belajar tidak angkuh.

Khamis, 20 Februari 2020

Di Hujung Dunia Ada Sebuah Gunung


Di hujung dunia ada sebuah gunung,
Yang didatangi manusia murung.

Di kakinya ada anak-anak badwi,
Memijak tak berkasut,
Dengan rambut yang kusut,
Mereka mengumpul syiling,
Dari pengembara di lereng.

Juga di kakinya ada gembala keldai,
Menunggu tanpa lalai,
Yang memberi tumpang,
Kepada pendaki yang datang.

Datang mencari diri,
Datang meninggalkan diri,
Datang meneroka diri, 
Datang menghibur hati,
Begitu pelbagai yang mereka niati.

Di hujung dunia itu,
Di atas gunung itu,
Tidak perlu dibawa dosa,
Tidak perlu dibawa pahala,
Cukup datang sebagai manusia.

Manusia.

Manusia mencari diri hingga ke hujung dunia, Tetapi mereka terlupa,
Terlupa mencari diri di dalam jiwa,
Kerana mungkin,
Mungkin sahaja,
Mungkin sekali,
Mungkin disitu letaknya bahagia.



Sabtu, 15 Februari 2020

Membaca Nutmag Edisi Ke-4


Sebenarnya sudah lama saya mencari Persatuan Penulis, untuk duduk bersama bersolidariti, bertukar pandangan, beraktiviti dan berdiskusi, namun takdir tidak mengizinkan. Takdir pada mulanya mengizinkan saya mengikuti MYWriters Penang melalui kumpulan Facebook mereka sahaja, namun akhirnya sempat bertemu dengan penggerak mereka, Anna Tan dan Diyaa Mani selepas acara Sembang Lokal yang diadakan di Lokalhouz anjuran Buku Jalanan Bagan. Saya sempat membeli NutMag edisi terbaru, bilangan 4 untuk membaca tulisan-tulisan mereka.

NutMag ini merupakan majalah kecil mereka, mungkin lebih sesuai dikategorikan sebagai sebuah zine. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan bermuatan puisi, esei pendek, dan cerita pendek (CerTot menurut mantan menteri pendidikan).

Selepas kata-kata pendahuluan oleh editor, Anna Tan, yang menerangkan berkenaan tema zine ini iaitu "transisi", ia dimulakan dengan puisi pendek oleh Mark Walker berkenaan dengan bertapa singkatnya hidup ini. Kemudian kisah zaman remaja Farouk Gulsara, yang mengisahkan kegelisahan beliau semasa usia remaja kerana beliau lebih pendek dari kebanyakan remaja. Kisah beliau mengembara ke Langkawi bersama rakan-rakannya menghargai kecantikan alam juga sangat menyegarkan. Penulisan seterusnya adalah oleh Celine Wu, yang mengisahkan kritikan beliau sebagai imigran ditanah asing dan dikisahkan dalam bentuk tumbuhan, bagaimana imigran selalu dipandang dengan prejudis dan syak wasangka, sedangkan mereka hanya melakukan apa yang termampu untuk kekal hidup dalam survival kehidupan.

Antara kriteria yang menjadikan kisah pendek boleh dianggap bermutu bagi saya adalah kebolehannya mengelirukan pembaca, pembaca mungkin menganggapnya sebagai kisah benar walhal ia adalah karya fiksyen. Inilah perkara yang berjaya dilakukan oleh Diyaa Mani apabila beliau menulis perihal fotografer muda yang bertemu dengan fotografer idola beliau. Tulisan Mathijs Nanne pula merupakan kritikan terhadap pembangunan pesat Pulau Pinang yang ditulis dalam bentuk surat kepada kekasih. Walaupun kritiknya terhadap pembangunan yang lestari mungkin boleh diterima, tetapi saya kira banyak kritikan beliau seolah berlebihan, contohnya Jurassic Park di Komtar yang saya kira merupakan satu initiatif yang baik tetapi tidak dapat dihargai oleh Mathijs. Kemudian, Aathhini Adithan menulis berkenaan dengan seorang lelaki transgender yang berhalusinasi kononnya maknya yang telah meninggal menerima transformasi beliau.

Jika ada tulisan yang boleh diberi markah paling rendah, bagi saya ia adalah tulisan Tan Jie Ying, saya faham penulisan beliau berbentuk sarcastic criticism terhadap pemerintahan, kerajaan dan agama, tiada masalah dengan perspektif kritik tersebut. Tetapi sekurang-kurangnya ia perlulah ditulis dalam bentuk yang boleh difahami, apa yang beliau tulis adalah sebaliknya.

Wan Phing Lim menulis perihal seorang arkitek yang dikhianati oleh teman wanitanya, satu kisah yang ringkas, mudah difahami dan menarik, tentang bagaimana minat terhadap bidang arkitek berjaya membawa keluar Nathanael dari belenggu kesedihan. Winston Lim pula menulis perihal amah Indonesia yang didera oleh majikan, walaupun ringkas pembaca akan berasa sedikit lega kerana akhirnya penderaan Ina berakhir jua. Dimulakan dengan puisi, penutup zine ini adalah puisi tulisan Jackie Ashkin berkenaan dengan kematian.

Zine ini pada saya merupakan bacaan ringan sahaja, dan sesuai dibaca ketika mood tidak serious. Apa-apa pun selamat berkarya kita ucapkan kepada semua barisan penulis MYWriters Penang, semoga mereka terus menyumbang buah karya bagi mengayakan lagi warisan literatura negara.

Jumaat, 14 Februari 2020

Sebesar dunia yang dikejar



Kadang-kadang banyak perkara yang membuatkan kita risau. Resah dan takut sehingga terfikir-fikir dan membuatkan kita tidak boleh tidur malam. Kadang ianya berkenaan dengan peperiksaan pada esok hari. Temu duga yang akan dijalani minggu hadapan, presentation final year projek dan sebagainya.

Ada juga perkara yang kita alami membuatkan kita sedih dan sukar untuk bangun semula bagi meneruskan kehidupan. Seperti kehilangan duit yang banyak , kereta accident teruk sampai tak boleh baiki, kehilangan isteri atau insan tersayang , kalah bertanding dalam pilihanraya dan bermacam lagi.

Kebanyakan perkara yang kita takuti hilang dari kita itu, perkara yang kita kejar-kejarkan itu kebanyakannya adalah benda yang memang bersifat tidak kekal dan akan hilang juga satu hari nanti. Itulah perkara-perkara dunia yang sangat besar di mata kita.

Sehingga kadang kala manusia menghabiskan seluruh umurnya dan menggunakan semua tenaga yang ada bagi mengejar dunia ini. Kerja bagus. Kereta dan rumah. Namun bila mereka berdiri menghadap Tuhan, baru mereka sedar sebesar mana dunia yang dikejar.

Pemikiran Asghar Ali Engineer Berkenaan Dengan Islam & Negara


Penulisan ini merupakan sambungan ulasan buku yang bertajuk Islam dan Cabaran Masa Kini yang ditulis oleh Asghar Ali Engineer hasil terjemahan Khadijah Abdullah terbitan Ikraq, Kuala Lumpur. Ikraq merupakan imprint kepada Gerakbudaya. Pada ulasan lalu, telah diulas bab pertama dari buku ini yang membincangkan asal usul Islam. Tulisan kali ini akan menjurus kepada tajuk kedua dalam buku ini iaitu perihal Islam dan negara. Ulasan ini lebih kepada perbincangan pemikiran Asghar dalam hal ini, ia bukan bertujuan untuk menerima atau menolak ideanya, membenarkan atau menyalahkan pemikirannya.

Asghar memulakan perbincangannya dengan mengetengahkan idea bahawa Al-Qur'an datang menerangkan konsep masyarakat bukan konsep negara. Dalam hal ini, ia membawakan ayat-ayat yang deskriptif bukan tetap, atau dalam kata lain ia boleh ditafsirkan semula sesuai mengikut zaman dan tempat. Kebolehan menafsir semula inilah bagi Asghar adalah sifat keabadian Al-Qur'an, yang membolehkannya kekal relevan sepanjang zaman. Membaca akan hal ini, saya teringat akan perbincangan oleh Reza Aslan berkenaan dengan perkembangan agama Kristian, apabila terbukti bahawa teori Galileo berkenaan dengan Heliocentric adalah benar, mengalahkan teori Geocentric yang diperjuangkan Kristian, ini tidak bermakna Kristian akan hilang dan ditinggalkan. Apa yang berlaku adalah penafsiran semula teks agama, dan hingga ke hari ini agama Kristian masih dianuti ramai orang. Reza Aslan berpendapat bahawa kemajuan dunia sains tidak akan menghapuskan agama, sebaliknya akan berlaku penafsiran-penafsiran baru yang akan menjadikan agama terus relevan.

Asghar berhujah lagi bahawa konsep pemerintahan khalifah tidak disebut dalam Al-Qur'an, oleh itu ia tidak boleh dianggap sebahagian dari kepercayaan Islam, konsep khalifah menurut Asghar dicipta oleh ulama-ulama terkemudian dalam kitab-kitab fiqh. Selepas meletakkan batu permulaan ini Asghar kemudian berpindah kepada bentuk negara yang dibentuk oleh Rasulullah. Kepelbagaian kabilah, kaum Yahudi, dan masyarakat Islam menjadi hujah Asghar bahawa masyarakat yang rencam ini mirip kepada masyarakat sekular moden. Beliau kemudian menafsirkan semula maksud "ummah' yang baginya merangkumi semua kaum, kabilah, dan agama, bukan eksklusif untuk orang-orang Islam sahaja.

Piagam Madinah atau "sahifah" menurut Asghar adalah sesuatu yang bersifat revolusioner, iaitu sesuatu yang baru bagi kabilah Arab yang hidup dalam kelompok masing-masing, piagam ini membentuk satu rangka untuk kehidupan bersama antara kabilah, dan agama yang bermacam-macam. Pengiktirafan terhadap hak-hak kehidupan bersama ini bagi Asghar merupakan konsep politik agama dan sekular, bukan sebagai sebuah negara teologi. Dokumen ini juga membuktikan bahawa corak pemerintahan baginda adalah pemerintahan yang demokratik, berasaskan musyawarah dan persetujuan, bukan tekanan atau paksaan.

Apakah matlamat pemerintahan Islam?

Bagi Asghar, penekanan berlebihan kepada aspek Akhirat menurunkan darjat agama kepada semata-mata amalan dan mengabaikan isi agama yang revolusioner dalam soal dunia. Beliau menolak doktrin ketaatan kepada pemerintahan Islam yang zalim, yang baginya bertentangan dengan inti Al-Qur'an yang sentiasa menekankan pembentukan masyarakat yang adil dan saksama. Beliau melihat dalam hal ini, "jihad" hendaklah difahami sebagai instrumen yang hanya bertujuan menghapuskan kezaliman, bukan sebagai instrumen penaklukan, penjajahan, atau pengembangan agama melalui paksaan.

Beliau kemudian menyerang pemikiran Maulana Maududi daripada Jama'at Islami yang membawa konsep theo-democracy atau demokrasi ketuhanan. Beliau menolak negara teologi yang menafikan inisiatif manusia dalam penggubalan undang-undang. Bagi beliau penggubalan undang-undang perlu bersesuaian dengan masa dan tempat, seperti mana berbezanya fatwa Imam Abu Hanifa dalam suasana Iraq yang kompleks berbanding fuqaha' di Hijaz yang hidup dalam suasana yang lebih mudah. Kata beliau "jika syariat yang dikumpul oleh ahli fiqih di abad-abad permulaan Islam dianggap undang-undang yang tidak boleh diubah berkenaan negara Islam, maka saya bimbang ini akan bermakna kedaulatan ulama". Bagi beliau, para fuqaha moden sepatutnya meminda hukum-hakam yang diwarisi dari zaman silam. Penekanan terhadap unsur emperikal akan menjadikan undang-undang usang, manakala penekanan terhadap aspek transcendental akan menyebabkan undang-undang bersifat abstrak.

Definisi ma'ruf dan mungkar juga didefinisikan semula oleh Asghar, baginya ma'ruf adalah apa yang biasa diterima masyarakat, manakala munkar adalah apa yang ditolak masyarakat. Ia boleh berubah mengikut perubahan dan kemajuan masyarakat sesuai dengan keperluan masyarakat. Bagi Asghar konsep ini dibiarkan kabur oleh Al-Qur'an bagi membuka ruang penafsiran. Akhir sekali, dalam bab ini, beliau menafsirkan semula istilah "kafir", bagi Asghar kafir sebenar adalah golongan yang takbur, menekan, merampas, menindas, berbuat salah, tidak mendokong makruf dan menerima munkar. Bagi Asghar, Mukmin bukan hanya mereka yang ber-syahadah, tetapi mereka yang mendokong keadilan dan membela mereka yang lemah.

Sekali lagi, ini adalah inti pemikiran Asghar Ali Engineer berkenaan dengan konsep Islam dan kenegaraan, ia bukan penulisan persetujuan atau penolakan. Tentu sahaja kita dapati banyak penafsiran beliau tidak selari dengan pemikiran ulama arus perdana. Kita boleh tidak bersetuju dengan pendapat dan penafsiran beliau, dan jika kita tidak setuju, kita boleh bawakan hujah-hujah kita. Kerana pemikiran haruslah dilawan dengan fikiran balas. Jika punya nyawa dan masa, akan kita teliti pula pemikiran beliau dalam bab yang seterusnya iaitu Islam dan Falsafah.

Khamis, 6 Februari 2020

And The Mountains Echoed



Susah sebenarnya hendak menulis reviu yang objektif untuk buku ini secara stand alone, kerana saya sudah membaca dua karya awal Khaled Hosseini iaitu The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Jadi walaupun saya cuba untuk menilainya secara tersendiri, tetapi minda saya sering juga mahu membandingkannya dengan karya awal beliau. Secara jujur, jika dilakukan perbandingan, pada saya, novel beliau kali ini tidaklah dapat mencapai martabat 2 novelnya sebelum ini dari segi evocation of emotions, perihal kesakitan, dan kepedihan yang boleh menerbitkan air mata.

Novel pertama beliau mengangkat isu penindasan etnik minoriti Hazara dan juga perihal persahabatan. Manakala novel kedua beliau mengangkat isu penindasan wanita dibawah pemerintahan Taliban dan nilai kasih sayang antara ibu dan anak. Tetapi novel ini tiada isu besar yang diangkat, lebih kepada konflik dan pergolakan keluarga yang tidaklah begitu menggelojakkan perasaan.

Baik, mari kita cuba melihatnya dengan lebih objektif dan tersendiri.

Seperti karya awal Hosseini, novel ini juga berorbitkan Afghanistan. Beliau mendapat idea asal novel ini apabila membaca perihal keluarga miskin Afghan yang terpaksa menjual anak kepada orang kaya ketika musim sejuk demi survival keluarga.

Ia bermula di sebuah kampung dimana Abdullah yang sangat menyayangi adik beliau Pari, terpaksa menerima kenyataan bahawa bapanya menjual Pari kepada keluarga yang lebih kaya. Bapanya berbuat demikian agar Pari mendapat kehidupan yang lebih baik. Juga agar dia dapat menyara keluarga dan anaknya yang lain. Peristiwa ini merenggut jiwa dan kehidupan Abdullah. Ini adalah tema awal novel ini. Ia diungkapkan dengan satu quote:

"Sometimes you have to cut a finger to save a hand".

Dalam novel ini Hosseini menceritakan kisah dari pelbagai watak, kehidupan mereka tersendiri, hingga akhirnya ia dijahit menjadi sebuah cerita yang lengkap. Setiap watak diberikan sifat baik dan buruk, jadi tidak ada naratif good versus evil dalam buku ini. Banyak juga detail yang diberikan tentang watak yang kedengaran mundane. Beliau ingin menonjolkan nilai "manusia itu hanya manusia biasa", ada kebaikan dan keburukan. Inilah maksud puisi Rumi yang beliau letakkan di awal buku ini, yang berbunyi:

"Beyond good and bad there is a field, I'll meet you there".

Rabu, 5 Februari 2020

Siapa yang perlu aku tipu?



Siapakah yang perlu aku tipu?
Adakah akal atau hatiku?
Adakah emosi atau perasaanku?

Jalan ini dahulunya segar
mekar dengan muda yang memunggar
kini aku tak nampak
kini perasaanku sesak
kini nafasku rosak.

Terasa begitu berat bahuku
Terasa begitu sesak nafasku
Mungkin terlalu banyak cita-cita
hingga lupa sifatnya manusia.

Yang punya lelah
Yang punya kesah
Yang punya kalah
Yang mampu rebah.

Atau mungkin senyumku palsu
cuba menolak jiwa yang bisu.

Dicari gembira yang tiada
Masihkah aku manusia?
Sudah terlalu jauhkah aku dibawa sungai duka
hingga tak mampu berpatah dari muara
kembali ke hilir bahagia.

Dalam gelap ini aku mahu berhenti
Aku mahu menghilangkan diri
Aku ingin tutup semua pintu aktiviti
Agar jiwa dapat diselimuti sunyi.

Aneh manusia itu.

Sekejap dia menjauhi sunyi
Sekejap dia mencintai sunyi.

Atau apa manusia itu?

Adakah ia sekadar penat
Atau mungkinkah masanya telah tiba
untuknya menutup mata
biarlah dunia dengan putarannya
dan aku dengan kesunyiannya.

Isnin, 3 Februari 2020

Goodreads & Falsafah Membaca



Saya akui antara benda yang memotivasikan saya untuk membaca adalah Goodreads.com, yang sekarang dimiliki oleh Amazon selepas Amazon membeli Goodreads pada tahun 2013. Goodreads membolehkan kita menanda buku yang kita telah beli, tanda berapa muka surat kita sudah baca, juga berikan review dan pandangan terhadap buku yang kita telah baca. Jika buku yang kita baca tiada dalam database Goodreads, kita boleh masukkan secara manual.

Selain itu Goodreads juga buat cabaran setiap tahun, berapa banyak buku kita nak baca setahun, dan kita boleh mencabar diri dengan tentukan sendiri berapa banyak buku yang kita hendak cabar diri kita untuk baca. Selepas habis kita boleh tanda sebagai 'sudah baca', Goodreads juga akan rekod bila kita mula membaca, bila tamat. Setiap hujung tahun Goodreads akan hantar report pembacaan kita pada tahun tersebut. Goodreads juga kini keluarkan statistik, kita boleh lihat jumlah bacaan kita seiring dengan masa, per buku, atau per muka surat.

Dahulu falsafah membaca saya memang idealis, kalau boleh nak baca semua buku yang ada diatas dunia sebelum mati. Namun lama kelamaan falsafah membaca saya menjadi realis, bukan sekadar bilangan buku, tapi apa yang kita dapat dari buku tersebut. Idea dan renungan-renungannya. Jadi saya akan catatkan nota-nota apa yang saya dapat. Sudah tentu proses ini melambatkan pembacaan, tetapi pembacaan menjadi lebih bermakna dan bermanfaat.

Kalau dahulu saya akan cabar diri membaca 20 buku setahun, sekarang mungkin dalam 10 buku sahaja. Kerana kita akhirnya akan mati juga sebelum sempat baca semua buku yang ada. Mungkin juga selepas ini saya akan cabar diri baca satu buku sahaja setahun untuk membaca karya-karya yang tebal dan berat seperti buku Robert Fisk The Great War for Civilization.

Sabtu, 1 Februari 2020

Usrah yang melalaikan: Jawapan buat Benz Ali



Jean-Paul Sartre menulis bahawa jika anda dikritik oleh kedua-dua belah pihak, diatas teks yang sama, ini adalah beberapa petanda bahawa anda berada di pihak yang betul. Apabila golongan Islamis membaca buku saya mereka mengatakan bahawa saya mungkin jatuh ke lembah kesesatan, malah terkejut dengan contoh dan buku komunis yang saya petik. Apabila golongan kiri membaca buku yang sama mereka mengatakan ia tepu dengan nilai ke-usrah-an. Saya tidaklah beranggapan saya sahaja yang benar, tetapi jika ujian Sartre ini diambil kira, saya kira sedikit sebanyak saya telah menjalaninya.

Tulisan ini bertujuan menjawab kritikan bahagian dua yang ditulis oleh komrad yang dikasihi, saudara Benz Ali dalam artikelnya di blog Republikbuku yang bertajuk 'Usrah yang melalaikan – Kritik pada buku Berfikir Tentang Pemikiran'. Artikel beliau banyak mengulangi hujah dari satu artikel yang ditulis 13 tahun lalu oleh Fathi Aris Omar bertajuk 'Dibawah Mendung Usrah'. Oleh kerana saya telah menjawab artikel itu dengan artikel saya yang bertajuk 'Setelah Mendung Usrah Ada Awan Yang Cerah', dalam artikel ini saya tidak akan mengulanginya. Cukuplah pada pendapat saya artikel saya itu menjawabnya, saya juga kira buku saya itu bukan sekadar menyentuh usrah sahaja. Jika ada fikiran baru, saya akan meng-update artikel tersebut.

Sebaliknya tulisan ini akan cuba menjawab persoalan lain yang di bangkitkan oleh Benz Ali mengenai  buku saya, yang pada saya menarik untuk sama-sama kita renungkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Benz Ali kerana sudi membaca dan mengkritik tulisan saya, seperti yang saya tulis di portal Borneo Komrad dalam artikel bertajuk 'Harga Sebuah Kritikan', kritikan itu berharga kerana ia adalah sarana pengembangan ilmu. Semoga proses ini mengembangkan lagi ilmu saya, juga ilmu saudara Benz Ali. Walaupun beliau kecewa dengan seratus mukasurat pertama, tidak mengapalah kerana saya tidak dapat memuaskan hati semua orang, buku itu juga tidak ditulis untuk memuaskan hati sesiapa, ia adalah renungan jujur saya, saya berterima kasih kepada beliau kerana jujur dalam mengungkapkan perasaannya.

Berkenaan dengan pembacaan buku sastera, saya akui ini merupakan salah satu kelemahan saya. Saya lebih cenderung membaca buku-buku non-fiksyen jadi anda tidak akan temui petikan Dostoevskiy dalam buku tersebut. Saya juga tidak membaca Tolstoy tetapi ada memetik buah fikir Tolstoy yang saya ambil secondary reference dari tulisan Michael Lewis dalam bukunya 'The Big Short'. Saya ada membeli buku Dostoevskiy dan Tolstoy dalam bahasa Rusia dari kedai buku Dom Knigi di Nevskiy Prospekt, St. Peterburg, namun sehingga hari ini belum membacanya. Saya juga ada membeli karya lengkap Leon Trotsky bertajuk 'The History of the Russian Revolution' tetapi juga masih belum sempat dibaca buku tebal tersebut. Saya ada membaca buah fikir Trotsky dan Lenin dari secondary source tulisan Paul D'Amato dalam bukunya yang bertajuk 'The Meaning of Marxism', tetapi saya membacanya setelah buku saya diterbitkan, jadi ia tidak disentuh dalam buku itu. Mungkin kebelakangan ini baru mula membaca karya-karya sastera, seperti novel-novel Khaled Hosseini, juga bertatih membaca puisi-puisi Rumi.

Buku Dostoevsky dan Tolstoy yang dibeli di Dom Knigi (Rumah Buku) di Nevskiy Prospekt, St. Petersburg, Russia.

Suka saya sebutkan, buku yang saya tulis itu diterbitkan pada suatu masa tersebut, jadi ia terbatas kepada pengalaman dan buku yang saya baca pada masa tersebut. Ia mempunyai skop, tentulah ia tidak boleh atau tidak sempat memuatkan semua buku yang dicadangkan. Namun saya terbuka untuk membacanya, tiada masalah, walaupun Fathi Aris Omar menuduh 'manusia usrah' itu tidak rencam bacaannya, saya akan cuba mendapatkan buku-buku yang dicadangkan dan membacanya perlahan-lahan.

Bekenaan dengan mengajar konsep ketuhanan disebut sebagai doktrinisasi, jika kita membaca buku keibubapaan, buku Jamie Glowacki contohnya, kita akan dapati bahawa kanak-kanak di awal usia masih belum mampu berfikir secara logik dan rasional. Oleh sebab itu kadang kala, jika anda berpengalaman sebagai ibubapa, ada kehendak mereka yang sukar diterima logik akal, contohnya memasukkan taik cicak ke dalam mulut, atau ingin keluar berjalan di taman jam 11 malam. Anak-anak itu memang dilahirkan kosong. Maka apa sahaja yang diajar adalah doktrinisasi, jika diajar sains ia adalah doktrin sains, jika diajar agama ia adalah doktrin agama, jika diajar ateis ia adalah doktrin ateis, jika diajar makan nasi ia juga adalah satu doktrin, kenapa tidak makan roti? atau spegeti? Kenapa tidak beri mereka pilihan? Glowacki mengatakan adalah tugas ibubapa menentukan perkara-perkara  diawal usia kerana mereka tidak mampu untuk buat pilihan pun. Hendak suruh mereka cari sendiri? Membaca pun belum pandai, apatah lagi mengkaji kepelbagaian di internet. Jadi tidak timbul soal doktrin.

Agama apa yang perlu diajar? Konsep ketuhanan mana? Tentulah apa yang dirasakan benar oleh ibubapanya. Dalam Islam sendiri nabi mengatakan ibubapa yang akan mencorak anak tersebut untuk menjadi Nasrani, Yahudi, atau Muslim. Itu adalah sifat natural. Apabila mereka sudah besar, sudah boleh membaca, mencari, menganalisa, maka terpulanglah kepada mereka untuk menentukan sendiri apa yang dirasakan benar. Mereka boleh membaca buku-buku Benz Ali dan artikel Fathi Aris Omar, mereka juga boleh membaca buku Maududi dan Al-Banna jika mereka mahu, atau menonton siri Young Sheldon.

Berkenaan dengan Young Sheldon. Babak kegemaran saya adalah ketika Sheldon berdebat dengan Pastor Jeff, selepas itu beliau menubuhkan agamanya sendiri yang digelar "Mathology" dimana satu-satunya dosa dalam agama beliau adalah kebodohan. Saya gelak besar melihat babak tersebut. Saya kira saya punya sedikit persamaan dengan Sheldon, walaupun Sheldon ateis dan saya digelar sebagai 'manusia usrah', kami masing-masing meminati Carl Sagan. Ketika Halloween, semua orang memakai kostum masing-masing dan Sheldon memilih untuk memakai kostum seperti Carl Sagan. Buku pertama Sagan yang saya baca adalah 'Pale Blue Dot' ia sememangnya satu buku yang sangat mengesani pemikiran dan membuatkan pembaca jatuh cinta pada sains. Saya ada juga ada beberapa kali menulis ulasansaya berkenaan dengan karya Sagan. Jika saya bosan saya sering mendengar audio pendek Sagan berkenaan dengan bumi, hingga kawan-kawan menasihati saya move on dari pemikiran Sagan. Saya ada membeli bukunya yang kedua 'Cosmos', tapi belum sempat dibaca. Dalam buku tersebut juga saya ada menyentuh buah fikir Sagan, pasti Sheldon boleh relate dengan bahagian yang saya tulis tersebut. Jadi, adakah ini melayakkan saya untuk menjadi anak usrah Benz Ali?

Kemudian persoalan adakah kualiti umat Islam lebih baik atau orang putih?

Soalan ini pada saya berbentuk umum. Apa yang dimaksudkan dengan ‘kualiti’ dan ‘baik’? Adakah yang dimaksudkan dengan kualiti dan baik ini dari sudut ekonomi, penguasaan politik, kualiti hidup, atau apa? Secara ekonomi, ada yang cemerlang, ada yang baik, dan ada yang sangat mengecewakan. Dari segi penguasaan politik, ya, sangat lemah, itulah juga naratif yang cuba dibawa oleh kebanyakan gerakan Islam, dalam membina kesatuan semula yang kini dipisah dengan semangat negara bangsa. Namun jika dikatakan secara umum bahawa keadaan umat hari ini lemah, ya, saya sangat bersetuju, kita dalam banyak aspek tertinggal dibelakang. Namun adakah kelemahan ini disebabkan usrah? Atau kepercayaan pada Tuhan dan Nabi? atau pergi haji? Bagi saya tidak. Malah bagi saya usrah, kuliah buku (Kubu), atau apa sahaja bentuk-bentuk diskusi bukan masalahnya, ia bukan sarang pembodohan tetapi medan perjumpaan dan diskusi. Masalah yang lebih besar mungkin penagihan dadah, pendidikan yang tidak menyeluruh kepada semua segmen masyarakat, kemiskinan, kelemahan pentadbiran, juga kelemahan kesatuan antarabangsa.

Juga jangan kita lupa, 'kualiti' orang putih itu banyak merupakan hasil yang dijarah dari negara-negara kolonial. Kemajuan ekonomi itu dicapai dengan pelbagai jenis penindasan, baik penindasan pekerja domestik, juga penguasaan secara paksaan dari tanah-tanah jajahan, koloni, juga perhambaan. Setelah mereka maju mereka mendabik dada mereka mempunyai kemajuan dari segi ekonomi dan ketinggian moral, namun mereka tidak perkatakan berkenaan dengan negara-negara yang mereka jarah. 

Akhir sekali, sebagai penutup kepada siri jawapan kali ini, jika Benz Ali kecewa dengan buku saya itu, saya juga sedikit kecewa dengan ulasan beliau apabila beliau menyebut “ini yang aku harapkan dan nak dengar..” kerana seolah-olah dalam pembacaannya, dia sudah membentuk apa yang dia ingin percaya. Ini juga yang dikritik oleh Tolstoy, yang mana rangkapnya ada saya petik dalam buku saya tersebut dari buku Michael Lewis. Kata Tolstoy:

“The most difficult subjects can be explained to the most slow-witted man if he has not formed any idea of them already; but the simplest thing cannot be made clear to the most intelligent man if he is firmly persuaded that he knows already, without a shadow of doubt, what is laid before him.”

Tetapi ia bukanlah kekecewaan yang besar, kritikan-kritikan tajam beliau lebih besar harganya dari kekecewaan kecil ini, pemikiran merupakan satu perjalanan bagi saya, tentulah kritikan-kritikan ini akan menjadi sebahagian dari proses pembentukan fikir saya, untuk itu saya ucapkan terima kasih buat beliau yang sudi duduk membaca dan menulis perihal masalah-masalahnya.