Ahad, 8 Ogos 2021

Memetik Al-Muqaddimah Dari Almari


Pada awalnya saya memetik buku Al-Muqaddimah dari almari untuk membuat sedikit rujukan. Kerana senarai buku yang sedang dibaca masih banyak belum selesai, saya tidak bercadang untuk membaca naskah ini sekarang. Kerana aktiviti membaca bagi saya sudah menjadi aktiviti yang sangat kompleks. Dahulu saya membaca dengan lebih mudah, sekadar baca dan fikirkan apa isi utama yang cuba dibawakan penulis.

Namun tabiat membaca saya lama kelamaan berubah. Sukar untuk membaca secara bersahaja (kecuali novel). Setiap kali membaca pasti saya mempunyai urgensi untuk menandakan bacaan saya, membuat nota bagi setiap isi yang saya rasakan bermakna dan perlu dimasukkan dalam bakul nota saya. Ini menjadikan pembacaan sebagai satu proses yang sangat berat, tidak lagi santai. Namun ia lebih bermakna kerana ia menjadi bacaan yang berisi, bukan bacaan santai yang berlalu seperti tiupan angin.

Setelah menyelak dan membaca prakata yang ditulis oleh 'Abd-ar-Rahman Abu Zayd ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Khaldun al-Hadrami (nama penuh Ibn Khaldun), naskah ini terus meresapi minda. Sukar untuk diletakkan semula ke almari tanpa membelek-belek halamannya.

Dalam prakatanya Ibn Khaldun membicarakan perihal sejarah, yang menurut hemat beliau merupakan cabang dari keilmuan falsafah. Beliau mengkritik ahli sejarah sebelum beliau yang menulis tanpa kritis, sekadar menyalin bahan umpama burung kakak tua. Beliau juga mengkritik ahli sejarah yang tidak cermat memilih sumber, tidak mengasingkan fakta yang absah dari fakta yang menyeleweng dan rekaan. Bagi Ibnu Khaldun sejarah bukan sekadar perlu disalin semula, tetapi ahli sejarah perlu memberi makna kepada apa yang berlaku, menerangkan kepada pembaca mengapa sesuatu berlaku dalam sejarah. Ahli sejarah juga perlu menyesuaikan pensejarahan mereka seiring dengan peredaran masa, sejarah yang ditulis tanpa mengambil kira perubahan zaman merupakan sejarah yang kaku.

Bruce B. Lawrence membangkitkan penghargaan Ibn Khaldun kepada penulisan dalam komentarnya. Bagi Ibn Khaldun, penulisan adalah satu kemahiran yang paling berguna. Dari rahim penulisanlah lahirnya pengiraan matematik dan juga kajian saintifik. Ini bukanlah satu analisa yang silap oleh Ibn Khaldun. Menurut Yuval Noah Harari, nama manusia pertama yang dicatatkan oleh sistem penulisan adalah 'Kushim' yang merupakan seorang akauntan dari Sumeria, Mesopotamia. Kushim memerlukan tulisan untuk menyimpan data-data perihal percukaian. Dari penulisan juga lahir budaya intelektual, ia adalah komponen paling dasar dalam kehidupan kosmopolitan. Namun dalam masa yang sama Ibnu Khaldun tetap menghargai kepentingan puisi dan budaya oratori.

Kerana rasukan naskah ini begitu kuat, ia terbawa bersama dengan saya ke PPV. Sambil menunggu dos kedua Sinovac, sempatlah meninjau dan menikmati kalam-kalam tulisan Ibn Khaldun.

Sabtu, 31 Julai 2021

Membaca Zine Hubooks Edisi-2

Gambar Oleh Paksu Sbx.

Zine Hubooks ini sememangnya menyelerakan. Kerana ia membincangkan persoalan buku, perihal penulisnya, pembacanya, penggemarnya, pengumpulnya, ia sangat dekat di hati saya. Tulisan Hafez J. Malim dalam naskah ini menyoroti pengalaman peribadi beliau bagaimana sebuah novel kanak-kanak pernah menjadikan beliau seorang pembaca buku. Novel Anak Din Biola tulisan Maaruf Mahmud. Apabila sudah dewasa, menemui semula naskah Anak Din Biola merungkai pelbagai nostalgia buat beliau.

Bicara kolektor bersama Dr. Saiful Akram, Jiwa Rasa, dan Rosli Yaakob juga menarik bagi saya. Walaupun saya bukan kolektor, membaca jawapan temuramah mereka sangat memberikan inspirasi. Terdetik hati untuk mengira naskah di almari buku peribadi, setelah dikira, almari saya hanya memuatkan sekitar 200 buku sahaja. Jauh tertinggal dari ribuan buku yang ada dalam almari para kolektor ini. Walaupun kagum, saya tidaklah berkeinginan mengumpul buku dengan banyak sekarang. Saya lebih kepada seorang pembaca dari penyimpan, walaupun setelah dibaca saya tidak akan jual, tetap akan simpan, fokus saya adalah membaca. Dari jumlah buku yang saya ada ini, kira-kira 30 peratus sudah dibaca.

Aisyah Rais mengimbau sejarah zine Fragranfrantik yang aktif dari tahun 2010 hingga 2014. Apabila membaca, saya terfikir, begitulah sifatnya penulisan. Walaupun sirinya mungkin sudah berakhir, jika ia berjaya menyentuh pembaca, ia akan timbul semula dalam peredaran zaman. Tulisan Yohana Hermadi dalam bahasa Inggeris juga memercik sedikit fikiran di minda saya. Beliau mengisahkan kesukaran beliau untuk mendapatkan naskah buku-buku sejarah Sabah. Membaca pengalamannya saya sedikit rasa bersalah dalam diri. Ada banyak ketika saya mengemas rumah-rumah lama pusaka, keluarga saya sendiri atau keluarga orang lain, saya banyak menemui buku langka tetapi tidak menyelamatkannya. Membaca tulisan beliau ini membuatkan saya kini berazam, jika peluang itu hadir lagi saya akan selamatkan naskah langka. Jika bukan pun untuk saya, saya boleh sediakan untuk para kolektor. Mungkin boleh juga dijadikan bisnes kecil-kecilan.

Sedikit cerita peribadi. Naskah zine ini mengandungi gambar koleksi buku lama yang gambarnya tidak berapa sopan. Saya sendiri tidak tahu pada mulanya kerana tidak menyelaknya habis pada ketika itu. Ia dibelek oleh isteri tercinta. Beliau kemudian menasihati saya agar tidak mempromosikannya dan tidak berkongsi akannya di media sosial walaupun ada tulisan saya di dalam naskah zine ini. Beliau juga mengingatkan agar ia tidak sampai ke tangan anak-anak. Saya akur dengan nasihat beliau lalu menggunakan upaya kreatif saya untuk menghilangkan gambar-gambar yang tidak sopan ini dalam masa yang sama memelihara tulisan-tulisan yang lain. 

Banyak lagi tulisan-tulisan dalam naskah ini yang tidak saya sentuh dalam komentar ringkas ini. Antara penulis lain termasuklah Mohd Jazuan, Fazli Malek, Benz Ali, Iqbal, Omar Bachok, dan Yen. Edisi kali ini juga ada peningkatan dengan penyenaraian buku-buku yang disebut dan dipetik dalam zine ini. Senarai buku ini ada di muka surat hujung, walau bagaimana pun saya merasakan ada nama naskah buku yang tertinggal dari senarai ini. Moga edisi baharu nanti lebih banyak isi dan perbahasan perihal buku yang menarik, juga mungkin, lebih sopan.

Memaknai Rumi: Siri 12


"Brother, stand the pain.
Escape the poison of your impulses.
The sky will bow to your beauty, if you do.
Learn to light the candle. Rise with the sun.
Turn away from the cave of your sleeping.
That way a thorn expands to a rose.
A particular glows with the universal. (62)

Dunia hari ini berpusing terlalu laju. Maklumat berubah terlalu pantas. Terlalu banyak informasi bersesak-sesak, yang semuanya mahu masuk ke dalam minda kita. Maklumat melimpah ruah sehingga kita pun tidak tahu apa yang perlu kita perbuat dengan semua maklumat yang ada ini. Semua masalah, baik jauh dan yang dekat, yang ada dan kebanyakannya yang tiada kena mengena dengan kita, semuanya ingin mengisi ruang minda kita. Kita pun kabur, pening, apa yang penting, apa yang tiada gunanya. Hari-hari kita diberi berita.

Ada wazir yang derhaka istana.
Ada kaisar yang tidak mahu melepas kuasa.
Ada skandal pada pemuka agama.
Ada lokap untuk wanita bersuara.
Ada pesukan tewas di negara Suria.
Ada gangguan makhluk halus bernama Kuruna.
Ada itu ini, disini, disitu, disana.

Kemudian ada kita. Kita yang mendapat berita.

Petang ini akhirnya aku memutuskan untuk duduk di halaman senja. Sambil ditemani anak dengan aiskrimnya. Aku putuskan senja ini aku mahu membaca puisi sahaja, bukan berita. Ada satu naskah terjemahan Rumi yang aku simpan. Sekian tahun aku baca tidak pernah habis. Naskah itu bukan untuk dihabiskan segera tetapi untuk dibaca bila seleranya tiba. Bila jiwa inginkan puisi, aku akan menyelaknya seketika, membaca kisah, dan meneka-neka makna aksaranya, sebelum aku simpannya semula.

Maka senja ini adalah senja bersama Rumi, bukan berita. Hari ini aku membaca sebuah puisi. Selepas kisah seorang jelita, selepas kisah panglima, selepas kisah seorang sultan penguasa. Perihal seorang lelaki di Qazwin, yang mahu sesuatu tanpa melalui proses kesakitannya. Maka aku nukilkan disini seperenggan. Dan dibawah adalah terjemahanku diatas Coleman. Meminjam nurun ala nur, ia adalah terjemahan di atas terjemahan. Yang sudah pasti tidak literal, tetapi lirikal.

"Aduhai kekanda,
bertahanlah dalam derita.
Tahanlah diri dari racun tindakan,
yang laju keluar tanpa fikiran.

Maka langit seluruhnya akan tunduk padamu,
menghargai kecantikan, jika kau lakukan itu.
Belajarlah untuk menerangkan lilin,
agar dengan suria kau bangkit menjalin.

Bangunlah dari diselimuti gua mimpi,
agar bisa berkembang membungai bumi.
Hingga akhirnya kau kan bisa bersinar menghapus kelam,
menerangi sekalian alam".

Melalui rangkap ini aku ingin bahaskan sedikit maksud yang aku fahami. Empat baris pertama bagiku mudah, untuk berjaya kita kena melalui prosesnya, kesakitan, kesusahan, tangisan, itu semua adalah kandungan kejayaan. Hari ini kita melihat semuanya hendak dilakukan dengan laju. Kita mahu baca berita dengan klik dan scroll sahaja. Jika dahulu perlu ke kedai, keluarkan duit, beli surat khabar, selak satu persatu, untuk dapat berita perlukan banyak usaha fizikal. Hari ini kita perlu rerakkan ibu jari sahaja. Maklumat juga pantas keluar dan masuk, kita membaca tulisan-tulisan di laman sosial maya, boleh ditulis pendek, pantas, viral, dan penuh sensasi. Tetapi keghairahan kepada kepantasan ini mengorbankan makna, tiada inti dan estetika, tiada renungan yang lama, penelitian yang rapi. Akhirnya kelajuan ini isinya adalah kekosongan.

Empat baris kedua adalah balasan yang kita dapat sekiranya kita bersabar dari tindakan dan perkataan yang reaksionari. Dunia akan melihat kita sebagai seorang yang pandai, pendiam tidak bererti pembodoh, banyak berkata tidak semestinya bijak. Sebaliknya kita berkata dan bertindak apabila perlu, setelah difikir dengan dalam. Tindakan kita adalah tindakan yang berstrategi dan punya makna. Tidak cukup kita hanya mencaci dan merungut, kita perlu nyalakan lilin, perlu berusaha untuk berjaya. Usaha-usaha kecil yang kita kumpul akan menyamai kejayaan yang besar. Ribuan cahaya lilin akan menerangi alam seterang suria.

Empat baris terakhir adalah ajakan untuk bekerja. Untuk bangun dari mimpi-mimpi yang sia-sia. Bangun dari bermalas-malasan. Dengan usahalah kita mampu memperbaik dunia. Bukan dengan keluhan dan omelan sahaja. Ini adalah inti pati puisi Rumi menurut fahaman saya untuk senja ini. Cebisan pengajaran dari Qazwin ratusan tahun yang lalu untuk manusia hari ini.

Sabtu, 24 Julai 2021

Kaca hari ini adalah mutiara masa hadapan



Dalam perbincangan bersama The Biblio Press yang lalu, saya ditanya apa yang memotivasikan saya untuk menulis. Menulis, seperti aktiviti manusia yang lain, sebenarnya dibelakangi banyak sebab. Makan, sebagai contoh, kita makan mungkin sebab lapar, dalam masa yang sama, kita makan sebab makanan itu sedap, atau mungkin sebabnya adalah terpengaruh dengan gambar makanan di Instagram. Ada banyak sebab kenapa manusia makan sesuatu makanan.

Menulis juga begitu, satu proses yang panjang, dan dalam proses itu kita dijalari pelbagai sebab. Ada ketika kita menulis sebab hendak bercerita, adakalanya hendak meluah perasaan, ada kalanya untuk berkongsi idea, begitulah seterusnya. Setiap orang tidak sama motivasi menulisnya, malah orang yang sama mungkin mempunyai pelbagai motivasi untuk menulis.

Pada sesi itu, jawapan saya adalah menulis adalah untuk generasi akan datang. Apa yang kita rasakan biasa pada hari ini adalah sejarah yang bermakna untuk generasi akan datang. Menonton filem melalui VCD sebagai contoh, atau mendengar lagu dari kaset, atau transfer gambar ke dalam disket, merupakan perkara biasa satu ketika dahulu. Tapi generasi hari ini mungkin tidak kenal dan tidak pernah tahu apa itu VCD, kaset, dan disket. Mereka sudah ada Netflix, Spotify, dan Cloud Storage.

Namun jawapan saya itu mungkin satu dari pelbagai sebab untuk menulis. Sebab lain untuk menulis adalah kerana ada satu perkara yang membuatkan kita teruja dan termotivasi. Kita menulis sebab there are something that incites us. Dan setiap orang punya perkara yang berbeza yang membuatkannya excited

Carl Sagan melihat bintang-bintang dan kagum, lantas dia menulis tentangnya. Jane Goodall kagum melihat Chimpanzee lalu menulis tentangnya. Begitulah juga kita, kita harus menulis tentang apa yang membuatkan kita kagum dan berfikir. Bagi saya itulah motivasi menulis. 

Tidak kiralah apa yang membuatkan kita kagum itu dirasakan menarik atau tidak oleh masyarakat. Saya kira jika penulis hanya menulis apa yang mahu dibaca oleh masyarakat, tidak mahu menulis perkara lain kerana takut tidak dibaca atau karya tidak dijual, itu bagi saya satu kemiskinan. Kadang kala kita mengikut arus, tetapi ada kalanya kita yang harus menjadi arus. 

Kebanyakan penulis yang saya rasakan best adalah penulis yang menjadi arus. Mereka menulis sesuatu yang orang lain tidak tulis. Walaupun pada mulanya masyarakat tidak mengendahkan mereka. Karya mereka menjadi karya rintis yang membuka pintu kepada bidang-bidang yang baharu. Orientalism tulisan Edward Said adalah salah satu contoh karya rintis. Belum ada sebelumnya sarjana yang menghabiskan masa, menggali sejarah penulisan Barat yang menulis perihal bangsa Timur. Tidak ada penulis yang mengkritik prejudis mereka melalui penulisan akademik dengan analisa yang kritikal. E.W. Said merintis penulisan seperti ini dengan karya monumentalnya yang membuka pintu kepada lebih banyak kajian dalam bidang pasca-kolonial.

Jadi menulislah apa sahaja yang membuatkan kita excited, tidak kira jika ia dianggap mundane atau biasa untuk zaman ini, kerana penulisan sifatnya merentasi zaman. Kaca hari ini adalah mutiara masa hadapan. Tulislah walaupun tidak mendapat sambutan, kerana masyarakat dan generasi sifatnya seperti tahun dan zaman, mereka bertukar ganti, tidak disambut generasi kini tidak bererti tidak akan disambut generasi akan datang.

Jika saya boleh memberikan serangkap nasihat buat penulis baru, saya ingin ungkapkan apa yang ditulis oleh Shlomo Sand, seorang professor dan sejarawan Israel dalam prakatanya dalam buku The Invention of the Jewish People. Kita diajar untuk menulis apabila kita sudah memikirkan sesuatu idea dan membuat konklusi tentangnya. Atau dalam kata lain, kita menulis tentang hal yang kita sudah yakin dan pasti. Ini merupakan metodologi penulisan yang diajarkan kepada kita dalam institusi pendidikan. Ia adalah metodologi yang praktikal dan terbukti berkesan dalam menghasilkan penulisan yang coherent dari awal hingga ke akhir, tulisan yang bersambung dan tanpa kontradiksi. 

Namun menurut Shlomo Sand, penulisan yang ditulis tanpa membuat konklusi awal adalah penulisan yang membebaskan. Kita menulis dalam masa yang sama meneroka jawapan-jawapan yang mungkin dijadikan konklusi. Penulisan kita mengikuti fakta, bahan, dan bukti yang kita temui sepanjang penulisan. Kita tidak tahu ke mana tulisan itu akan membawa kita. Ini akan melahirkan penulisan yang lebih membebaskan, lebih ikhlas, dan lebih adventure. 

Mengangambil iktibar dari metodologi Shlomo Sand ini, nasihat saya adalah tulislah dengan bebas walaupun anda belum punyai idea dan konklusi. Proses penulisan sepatutnya menjadi proses kajian, proses dimana kita menelaah bahan-bahan yang ada, melihatnya dengan objektif dan kritikal, lalu menulisnya tanpa bias dan prejudis. Gaya penulisan seperti ini memberikan kita kebebasan untuk menulis, idea boleh mengalir tanpa konkongan. Ini penting bagi penulisan di peringkat awal kerana objektif awal adalah untuk mengeluarkan idea. Tulis sahaja, biar pun compang-camping. Penyusunan dan penstrukturan boleh kita lakukan kemudian, apabila idea sudah keseluruhannya kita keluarkan.

Jadi, tulislah apa yang menarik dan menjadi minat anda, dan tulislah ia dengan penuh kebebasan.

Jumaat, 9 Julai 2021

Memetik Sebiji Puisi di Taman Rumi


Ada satu puisi yang ditulis oleh Rumi yang menurut saya sangat kuat pengaruhnya pada diri saya. Puisi ini diletakkan pada bahagian awal dalam naskah The Essential Rumi (di mukasurat ketiga pada naskah saya), naskah yang menterjemahkan puisi-puisi Rumi dengan nuansa lirikal ke dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ini dilakukan oleh Coleman Barks. Walaupun ada yang mengkritik Barks atas terjemahan dan tafsirannya pada karya-karya Rumi, saya kira beliau mempunyai sumbangan yang signifikan dalam membuka pintu pembaca yang tidak mempunyai ilmu Bahasa Farsi untuk masuk bertandang di taman pemikiran karyawan agung Rumi ini. Minum dari puisi-puisinya yang manis dan mengkhayalkan, pada masa yang sama mengambil pulang beberapa putik pengajaran.

Saya pernah membaca puisi tersebut kepada kekasih saya. Pada ketika itu beliau sedang mencurahkan perasaan pada saya perihal masalah-masalah hidupnya. Saya ingin memberikannya kekuatan dan semangat dari rangkap tersebut. Apabila dia mendengar sahaja bait-bait puisi tersebut, dia lantas menangis. Bait tersebut berbunyi:

“Tutuplah kedua matamu wahai kekasihku,
Agar kau bisa melihat dengan mata hatimu,
Mengapa kau masih memilih dipenjara duka?
Sedangkan pintu bahagia sudah luas dibuka”

Bait ini saya terjemahkan secara lirikal juga, tidak literal. Terjemahan saya atas terjemahan Coleman Barks yang menterjemahkan Rumi. Terjemahan atas terjemahan. Namun saya kira maknanya tetap disitu. Kita sering melihat hidup dalam kaca mata material. Kita yakin dengan apa yang kita nampak, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup kita dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Oleh itu kadang kala ketika membuat keputusan, kita perlu menutup mata dan percaya pada perasaan. Biar sungai takdir yang membawa kita ke muara yang baharu, muara yang kita sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya.

Kita sering memenjara diri sendiri, mengalah dengan keadaan. Kita bukan tumbuhan, kita punya kaki untuk melangkah kepada perubahan. Tiada yang menghalang melainkan perasaan dan minda kita sendiri. Apabila minda kita bebas, kita tidak takut lagi melangkah keluar dari keadaan. Pergi jauh meninggalkan keburukan lalu kepada masa depan yang lebih baik. Kunci pintu penjara ada di tangan kita. Jangan takut, tutuplah mata dan melangkahlah keluar. Ya, bait-bait puisi Rumi ini membawa falsafah kebebasan.

Saya juga merasakan dengan kuat sekali, bahawa kadangkala keinginan untuk bebas itu memakan jiwa saya dengan begitu marak sekali. Sejak kecil kita diajar untuk tunduk dan taat, unjuk menjiwai jiwa hamba, untuk menurut apa yang ditentukan pada kita. Tetapi apabila dewasa, agensi kreatif dalam diri kita, keinginan untuk bebas yang ditanam Tuhan dalam jiwa kita sebagai sebahagian sifat manusia, mereka memberontak. Mereka mahu bebas mengembara, menjumpai, mencari, mencuba, mengekspresi, mereka mahu jiwa mereka terbang.

Maka ketika kita merasakan dunia ini terlalu mencengkam. Seperti takdirnya sudah ditetapkan. Beranikanlah diri untuk berpegang kepada bisikan kebebasan, untuk berangkat dari takdir yang membosankan kepada takdir baharu yang lebih menghidupkan. Tiada siapa yang dapat memenjarakan kita jika kita memilih untuk memegang kuncinya.  

Selasa, 29 Jun 2021

Dipenjara Abah


Entah hari ini hari apa, tarikh yang ke berapa. Semuanya begitu samar, mungkin kerana masa yang dikatakan sebagai relatif oleh Einstein itu tidak dapat lagi diukur apabila kita dipenjarakan. Begitulah apa yang aku rasakan hari ini, ketika kita bersama-sama mengerumuni ruang penjara yang disediakan Abah. Dari janji asal supaya "just stay at home" selama dua minggu, kini kita sudah dipenjarakan memasuki tahun yang kedua. Dengan pengagihan vaksin yang lembab, mungkin kita akan dipenjarakan lagi pada tahun hadapan.

Tulisan malam ini bukanlah satira politik, bukan juga omelan perihal takdir. Perenggan pertama itu sekadar latar belakang keadaan semasa. Untuk menangkap mood negara pada hari ini. Tulisan malam ini sekadar catatan malam sunyi, setelah lama tidak menulis dari hati. Menulis dari minda ada kalanya memberi kepuasan, namun setelah beberapa ketika ia terasa kering, sekadar fakta dan data, tiada jiwa. Maka malam ini jari jemari dibiarkan bebas berdansa di papan kekunci, mencurah sedikit lebihan emosi yang telah sekian lama bertakung di hati. Dansa jemari ini juga sebagai introspeksi diri, setelah sekian lama diri hanyut dibawa sungai zaman.

Manusia itu memang dilahirkan lemah. Kita dimasukkan ke dalam sebuah bekas, bekas yang merupakan objek biologi. Ada bahagian dari objek ini yang boleh kita kawal, seperti pergerakan tangan, kebanyakannya berfungsi secara automatik, tanpa kawalan kita seperti kelajuan peredaran darah atau bilangan bulu roma yang perlu ditumbuhkan di tangan. Bekas ini sifatnya tidak tahan lama, ia akan bertukar tua, dan ada masanya ia gagal, dan kita tidak mampu mengawal kegagalan itu, maka kita akan meninggalkan bekas ini.

Manusia cuba mengawal pelbagai benda. Masa sebagai contoh, merupakan satu perkara yang bukan objek, malah mungkin juga bukan subjek. Kita mengimaginasikan masa, cuba mengiranya dalam unit saat, minit, jam, hari, minggu, tahun, abad dan seterusnya. Namun hakikatnya tanpa bantuan alat mekanikal, kita sendiri pun tidak tahu berapa lama harusnya kita katakan satu minit itu. Manusia juga cuba mengawal alam, kita membina bumbung, apabila cuaca kering kita membenihkan awan, kita menahan aliran sungai dengan membina empangan, kita membiakkan ayam dan ikan untuk menjamin kelangsungan makanan. Namun sebenarnya tidak ada satu perkara pun yang boleh dikawal oleh manusia. Tiada siapa yang boleh meramal cuaca dengan tepat apatah lagi sejarah. Ahli ekonomi sering meramal bahawa tahun depan ekonomi akan berkembang sebanyak 10 peratus, kemudian kita mengalami kegawatan ekonomi di masa hadapan.

Disebalik kemajuan teknologi, perkembangan data, kelajuan internet, disebalik segala-galanya, disebalik usaha terbaik manusia, disebalik semuanya sebenarnya manusia tidak dapat mengawal apa-apa. Bukan sahaja alam, bahkan bekas yang mengisi diri mereka. Bekas ini mudah sahaja gagal dan rosak, tidak perlu akan ribut, api, atau mara bahaya, cukup dengan sebutir virus mikroskopik yang tidak mampu dilihat oleh kornea mata.

Maka apakah tujuan penulisan bebas malam ini? Berserah pada takdir? Hidup tanpa cuba merancang? Tidak ada. Penulisan ini tidak berhajat untuk memberikan ilmu atau pelajaran. Ia hanya catatan buat fikiran. Tulisan ini tiada inklinasi ideolog atau teolog. Sekadar aksara-aksara bebas yang memenuhi skrin digital. Jika anda punya masa maka silalah baca lagi, jika tidak, seeloknya rehatlah dengan mimpi.

Membelek-belek media sosial hari ini tiada apa lagi yang bisa membangkitkan jiwa. Dahulu aku juga aktif berpatisipasi di sana. Mengutara idea, mematah hujah, berlawan dengan kawan, menulis panjang, namun daya usaha sebegitu sudah tidak ada. Aku tak pasti sama ada ruang itu sudah membosankan diriku, atau mungkin aku sudah tua, tidak tersengat lagi deria dengan slogan-slogan yang ada. Dikotomi ideolog kiri atau kanan juga sudah tidak meransang lagi mindaku, aku merasakan ia perlawanan yang sudah basi, mungkin juga sudah bosan untuk diterokai. Bagiku hari ini, yang penting adalah kebenaran, bukan kiri atau kanan. 

Atau mungkin aku yang sudah ketandusan idea. Sudah tidak punya apa-apa untuk ditawarkan pada dunia. Mungkin juga ini adalah satu fasa, bila mana kita tandus idea, kita perlu belajar mendengar, belajar melihat sahaja pertelingkahan yang ada. Tidak meletak setia di mana-mana. Cukup berada di arena sebagai pelajar, memerhati dan memahami sejarah yang sedang diukir. Belajar dalam diam tanpa cuba memberi solusi atau memperbaiki. Manusia cuba memperbaiki dunia sepanjang sejarahnya, adakah mereka berjaya? Hingga hari ini mereka cuba memperbaikinya. Atau memang dunia itu tidak akan boleh diperbaiki, cuma boleh dihidupi, dengan seribu satu kelemahan dan kekurangannya.

Akhirnya hidupan kopi sudah kering diminum. Maka dengan berakhirnya kopi, berakhirlah dansa jemari ini. Tiba masanya untuk menutup suis alatan elektronik, memadam lampu, memadam minda, menarik selimut, memeluk sayang dan tenggelam dalam pengembaraan mimpi. Esok kita akan bangun semula dalam penjara ini, mencuba dengan apa adanya, apa kudratnya, untuk mengharunginya, tanpa kita sedari lagi apakah nama hari esok. Mungkin "selasa" atau mungkin "satu hari lagi di penjara". Apa pun nama hari esok, biarlah.

Selamat malam dunia.

Sabtu, 26 Jun 2021

Reviu Kembara Ilmu Dari Sungai Korok ke Saint Andrews


Akhirnya saya berjaya juga melunaskan bacaan saya bagi makalah ini, makalah ini bagi saya agak serupa dengan makalah “Kembara Darus Senawi 1963” yang juga berjaya saya hadamkan tahun ini. Kedua-duanya merupakan mini-memoir, cebisan kisah kehidupan perihal kelana mencari ilmu. Naratif Ustaz Darus Senawi lebih kepada penceritaan pengalaman, manakala naratif Dr. Daud Bakar lebih kepada nasihat dan motivasi. Buku tulisan Dr. Daud Bakar ini saya kira sesuai dibaca oleh golongan pelajar, baik pelajar sekolah rendah, menengah, hinggalah kepada pelajar universiti dan calon PhD. Satu bacaan yang sangat baik, membuatkan kita ingin kembali menuntut ilmu juga menulis mengembaraan kita sendiri pula. Cuma mungkin sedikit kritik saya, buku ini mempunyai banyak ayat yang kedengaran seperti “self-congratulation”, atau dalam bahasa Jawa, memuji diri sendiri. Namun saya kira ia adalah gaya penulisan, bagi membuat pembaca terhibur.

Buku ini sebenarnya sudah agak lama berada di dalam almari buku saya, maklumlah saya punya sedikit perasaan insekuriti kalau-kalau bahan bacaan dalam almari habis, jadi biasanya jumlah buku akan sentiasa lebih dari masa yang ada untuk dibaca agar saya berada di paras yang selamat. Mengenangkan saya ada sesi bersama Dr. Daud tidak lama lagi bersama 5pages1day, saya kira elok saya habiskan buku ini sebelum sesi tersebut, paling kurang adalah sedikit modal perbincangan.

Dalam prakata beliau, beliau memaklumkan bahawa buku ini ditulis dalam masa 14 hari. Bagaimana buku boleh ditulis dalam masa 14 hari? Saya ada juga menulis sedikit buku, satu pun tidak pernah ditulis dalam masa 14 hari, kebiasaannya ia mengambil masa 1 hingga ke 4 tahun untuk satu buku. Jadi kemampuan ini saya kira luar biasa. (xiii)

Dr. Daud memulakan kisahnya dengan latar keluarga, bagaimana ibunya diceraikan ketika beliau masih berumur 10 bulan. Situasi ini mengubah sepenuhnya kehidupan awal beliau. Masyarakat pada ketika itu sangat memandang buruk pada mereka yang berstatus janda, hingga keluarganya perlu berpindah dari Alor Setar ke Bedong untuk lari dari stigma dan kekejaman masyarakat. Kecekalan bondanya bertarung dengan nasib, takdir juga stigma masyarakat menjadi inspirasi buat dirinya. Kemiskinan yang dialami beliau ini merupakan sekolahnya, sekolah yang beliau sebut sebagai “Sekolah Kehidupan & Kesusahan”. (3) Sekolah kehidupan memberikan pelajaran secara percuma kepada siapa-siapa yang sudi untuk belajar daripadanya. (10)

Beliau melontarkan pemikiran bahawa tiada yang sempurna dalam dunia ini, kitalah yang patut menggunakan semua ketidaksempurnaan ini untuk menghasilkan perkara yang paling baik yang boleh dicapai. Begitu juga di sudut negara, tidak kira sebaik atau sebagus mana polisi dan sistem pemerintahan yang ada, ia hanya boleh menjadi sebaik “pengguna” yang menggerakkan dan mengamalkan sistem tersebut. Jika kita punya kereta yang sempurna tetapi pemandu yang mabuk, maka kereta yang sempurna itu tidak akan dapat mengelakkan tragedi. Kita sering menyalahkan ahli politik atas segala masalah, namun kita tidak sedar bahawa ahli politik itu lahir dalam keluarga di negara kita, disekolahkan di sekolah kita, dan diundi untuk berkuasa oleh masyarakat kita. Ahli politik yang ada adalah hasil keluaran masyarakat kita. Oleh itu penting kita menyedari segala kelemahan dan kekurangan yang ada di dunia ini, menggunakannya untuk membina kejayaan bukan untuk membina alasan. (12-13)

Ketika belajar kita sering ingin segera habis, segera bebas dan menjadi ahli masyarakat yang dewasa. Malah ada yang merayakan penghabisan peperiksaan dengan membakar buku teks juga menconteng baju sekolah dengan kata-kata kesat. Namun apabila kita memasuki alam pekerjaan barulah kita sedar bertapa manisnya zaman pengajian. Kita tidak punya apa-apa tanggungjawab selain dari belajar. Kita diberi makan dan pakai untuk belajar. Dr. Daud Bakar dalam mengelamuni zaman pengajian ini melontarkan kerinduannya untuk “menikmati” semula zaman pengajian andai waktu bisa diputar. Saya sangat bersetuju dengan lamunan ini, belajar adalah satu kenikmatan, namun sering kali kita menganggapnya sebagai bebanan. Oleh itu bagi mereka yang sedang dalam zaman pengajian, baik di sekolah atau universiti, ketahuilah bahawa anda berada di fasa kenikmatan, nikmatilah ia sebaik mungkin! Sebelum ia terlepas dari genggaman masa. (37)

Antara kisah yang beliau kenangkan dalam makalah ini adalah bagaimana abahya (ayah tiri) yang mengambil SPM lewat, ketika bekerja. Beliau perlu menghabiskan SPM bagi kenaikan tangga gaji, dan beliau telah mendudukinya lebih dari 10 kali sebelum berjaya. Bagi Dr. Daud kekentalan abahnya ini merupakan antara motivasi beliau untuk berjaya. (40)

Apabila memasuki sekolah, ada sesuatu yang mengujakan beliau, yang membuatkan beliau histeria dengan keseronokan yang melampau, iaitu apabila beliau memasuki perpustakaan sekolah. Bagi anak kampung yang selama ini hanya terpukau dengan sawah padi, pengalaman dikelilingi buku sangat mengujakan beliau sehingga beliau memilih untuk menjadi pengawas perpustakaan. Perkara ini membuatkan saya berfikir tentang kajian yang menyatakan bahawa anak-anak yang membesar di rumah yang penuh dengan buku mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berjaya. Dr. Daud nampaknya membuktikan kajian ini tidaklah begitu tepat, anak yang membesar dikelilingi sawah juga boleh berjaya. (58)

Sebagai seorang ayah kepada dua anak, ada satu momen ketika membaca buku ini yang membuatkan saya tersentuh, terkesima, dan mungkin terpana. Iaitu ketika beliau menceritakan perihal “2 minit yang paling hebat”. Bagaimana ibunya akan menyiapkan beliau ke sekolah setiap pagi, setiap pagi ketika menyikat rambutnya, emaknya akan mengambil masa dua minit untuk memberinya nasihat agar rajin belajar dan menaruhkan harapan kepada beliau. 2 minit ini adalah motivasi yang lebih berharga dari semua sesi pakar motivasi menurut beliau, ia masih beliau ingati hingga ke hari ini, walaupun kini ibunya telah tiada. Saya juga sering menyiapkan anak-anak ke tadika di pagi hari (sebelum pandemik). Di pagi hari, saya biasanya bersalaman dan mencium pipi mereka sahaja di pintu tadika. Tidak pernah saya luangkan masa untuk memberi nasihat dan motivasi kepada anak bagi menghantarkan mereka belajar. Kini mereka semakin membesar, saya kira saya juga perlu memberikan mereka 2 minit motivasi. (60)

Bagi Datuk Daud Bakar, tanda pendidikan itu berjaya adalah ia menghiburkan hati dan minda, pelajar berasa seronok melayari fakta ilmu yang dikaitkan dengan fakta kehidupan semasa. Jika kita membaca buku ini, kita akan ketahui bahawa pendidikan itu merupakan satu kenikmatan. Ia adalah hiburan intelektual buat minda dan hati kita. Saya setuju dengan pandangan beliau ini, bahawa pendidikan yang berjaya adalah pendidikan yang berjaya menjadikan seorang murid itu seronok belajar, bukannya menjadikan mereka merasa pendidikan sebagai bebanan hidup hingga mereka merasa ingin membunuh diri. (73)

Ketika menyampung pengajian di Kuwait beliau menceritakan bagaimana beliau banyak membaca buku di luar bilik kuliah, antaranya buku perihal sirah, dakwah, sejarah, sastera Arab, politik, tafsir, dan hadis. (125) Antara buku yang diminati beliau adalah buku genre penyiasatan seperti Shelock Holmes. Perkara ini berbeza dengan saya yang kadangkala merasakan membaca karya fiksyen ini membuang masa. Sekadar melayan emosi terhadap perkara yang tidak ada. Namun tidaklah saya memusuhi semua novel, ada juga novel yang saya minati seperti novel historical fiction, yang bercerita dengan latar sejarah yang sebenar, antara novelis kegemaran saya adalah Khaled Hosseini. (158)

Dr. Daud Bakar berjaya menghabiskan PhD beliau di St. Andrew, Scotland. Antara nasihat beliau untuk pelajar PhD adalah memilih tajuk yang paling mudah, bukan tajuk yang paling mencabar, selepas dapat PhD barulah meneroka tajuk-tajuk yang lebih mencabar. Kerana misi PhD bukan untuk mencari “wow”, sebaliknya untuk membuat kajian dengan selesa dengan data dan bahan yang mudah diperolehi. Bagi beliau cukuplah ia sebagai satu latihan menulis tesis PhD yang bermutu dari sudut metodologi. Ini merupakan nasihat yang bagus pada kira saya, saya juga ada menyimpan niat untuk sambung belajar hingga ke peringkat PhD. (147)

Beliau juga menyatakan bahawa hobi “gila” beliau sekarang adalah menulis. (163) Dalam sesi temubual saya bersama beliau, beliau menyatakan bahawa beliau sudah sampai ke satu tahap dimana beliau tidak boleh lagi membaca secara intensif. Setiap kali beliau membaca, ada perkataan dan idea yang membuatkan beliau berhenti kerana mendapat “spark” untuk menulis. Jadi pembacaannya akan tergendala kerana idea menulis datang. Beliau juga ada menyatakan bahawa beliau minat membaca dan mengumpul majalah, antaranya majalah National Geographic, Readers Digest, Time dan The Economist. Beliau bukan sahaja membaca tetapi mencatat nota dengan kemas bagi setiap bacaannya. (183) Bagi Dr. Daud Bakar, membaca bukan sekadar membantu kita mengumpul fakta, ia juga membantu kita berfikir serta menguasai sesuatu bahasa. (178)

Menutup buku ini setelah menelitinya hingga ke helaian yang terakhir sememangnya membawa satu emosi semacam sedih, kerana kita sudah berada dihujung kembara. Sebuah kembara ilmu yang sebenar, kembara ilmu yang hidup. Bagi saya secara peribadi, selain hikmah-hikmah yang saya dapat yang telah saya coretkan, apa yang perlu adalah saya pula menyambung kembara saya. Mencari ilmu hingga ke peringkat yang paling tinggi. Sesudah itu, sampai giliran kita untuk menintanya, untuk generasi akan datang pula.

Jumaat, 25 Jun 2021

Manuskrip "Dua Sayap Ilmu"



Pada 21 Jun 2021 akhirnya saya selamat menyerahkan manuskrip buku baharu yang bertajuk "Dua Sayap Ilmu" kepada penerbit. Sebenarnya ini penerbit kedua saya hantar manuskrip yang sama, penerbit pertama agak sibuk jadi saya ambil keputusan untuk menukar penerbit kerana saya bercadang manuskrip ini diterbitkan pada tahun ini.

Ini mungkin buku terakhir bagi tahun ini. Tahun ini saya lebih fokus menyiapkan buku-buku untuk rekod peribadi. Buku pertama tahun ini adalah catatan pengalaman mendaki Gunung Tahan pada tahun 2014 yang bertajuk Gunung Tahan Hiking Log. Buku ini sebenarnya sudah lama ada dalam bentuk PDF, dan pada tahun lepas, semasa awal Covid-19 merebak, ada perancangan untuk mendaki Gunung Tahan kali ke-2, namun keadaan tidak mengizinkan. Jadi tenaga yang tidak jadi digunakan untuk mendaki dialirkan untuk menyunting dan menerbitkan catatan pendakian lama. Selain rekod peribadi, moga ia juga dapat dirujuk pendaki akan datang, juga sebagai cebisan sejarah Gunung Tahan yang mana kami menjadi sebahagian dari ceritanya.

Buku kedua pula adalah catatan nota di sekolah bertajuk Catatan Ijtima' Am MATRI: Dari Tahun 2003 Hingga 2007. Juga bersifat peribadi. Buku ini antara lain merupakan projek untuk menyimpan sejarah sekolah. Asalnya sekadar mahu dijadikan rekod peribadi dan rekod perpustakaan, tetapi mungkin sekolah yang terpencil di Perlis ini mempunyai nilai sentimental yang sangat kuat. Buku kedua ini banyak dipesan oleh alumni-alumni sekolah dan juga ibubapa alumni sekolah, sehingga terpaksa dicetak beberapa kali. Malah jumlah cetakannya juga jauh lebih banyak dari buku-buku yang pernah saya terbitkan secara kecil-kecilan, sungguh diluar jangkaan.

Buku "Dua Sayap Ilmu" ini mungkin satu-satunya buku yang mempunyai nilai komersil untuk bacaan umum pada tahun ini yang bukan bersifat peribadi. Buku ini merupakan kumpulan esei, renungan, juga pengalaman terhadap dua aktiviti yang sangat mengujakan. Dua aktiviti ini adalah sayap yang menerbangkan ilmu zaman-berzaman. Memastikan khazanah pemikiran silap dapat dihirup kesegarannya oleh generasi hari ini. Dua sayap ini adalah membaca dan menulis. Dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang. 

Buku ini banyak kali berevolusi, kerana selagi belum diterbitkan, tangan saya selalunya gatal untuk menambah-nambah dan menukar-nukar. Namun alhamdulillah, akhirnya sampai ke tangan penerbit. Harapnya ada lah rezeki untuk diterbitkan tahun ini. Manakala kegatalan tangan sepatutnya difokuskan pada manuskrip-manuskrip lain yang tersadai dan terbengkalai.

Moga-moga semua naskah ini ada sedikit sumbangannya kepada khazanah penulisan negara, juga saham kecil bagi saya untuk melayari negeri abadi nanti. 

Ameen ya rabbal alameen.

Sabtu, 19 Jun 2021

Dunia Tidak Lagi Seperti Dulu: Perginya Cikgu Abu Bakar Hamid

 

Gambar Cikgu Abu Bakar Hamid bersama saudara Abdullah Afifi dari laman Facebook Abdullah Afifi.

Pada 18 Jun 2021, laman Perlis FM memberitakan bahawa:

"Abu Bakar Hamid atau Lebih dikenali sebagai DJ Bakar Hindustan  (Mantan DJ Perlis FM) telah meninggal dunia pada Subuh tadi. Di fahamkan jenazah beliau akan dikebumikan di Mata Ayer, Perlis. Semoga diampunkan segala dosanya diterima segala amal kebajikannya serta moga ditempatkan beliau dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah."

Menurut Sheera, anak kepada Cikgu Bakar, beliau menghidap darah tinggi dan kencing manis, pada hari kejadian Cikgu Bakar diserang stroke. Menerima perkhabaran sedih ini, bahawa Cikgu Bakar telah kembali ke rahmatullah amat meruntun hati kecil saya. Selain seorang DJ, beliau adalah seorang guru, Cikgu Bakar akan datang bertemu kami para pelajar di sebelah petang di Ma'ahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) untuk mengajar subjek Pendidikan Seni Visual.

MATRI tidak ada cikgu khas untuk subjek Seni Visual, jadi Cikgu Bakarlah yang mengisi kelompongan ini dan membuat kelas bersama kami secara separuh masa. Kebiasaannya Cikgu Bakar akan datang membawa sedikit cucur udang sebagai penarik buat kami para pelajar. Kerana beliau tahu pada sebelah petang kami suka bermain dan bersukan. Jadi, kadang kami tak mai kelas seni beliau sebab hendak bermain bola di padang.

Tangan Cikgu Bakar memang berseni, kami biasa akan meneka-neka apabila dia mula mewarna kertas menggunakan berus air. Takda siapa boleh teka apa yang dia lukis, tapi makin lama, makin banyak warna yang dia tambah, kami semua kagum, wow. Beliau juga banyak berjenaka dengan kami disamping perwatakan rockers beliau dengan rambut yang panjang menyebabkan kami cepat mesra. Senior saya, Siddiqi, mendengar berita ini berkongsi:

"Bulan ini, kisah kesedihan kedua. Pemergian seorang 'guru' dalam bidang kesenian. Lukisan pertama Cikgu Bakar yang saya paling ingati adalah air sirap di dalam bungkusan plastik. Lukisan yang menjadikan kami dahaga, betul-betul nampak macam air sirap walau hanya 5 minit disiapkan. Cikgu Bakar sesekala ajarkan Bahasa Hindustan. Baginya Hindustan adalah bahasa pertamanya dan Bahasa Melayu adalah bahasa keduanya. Katanya dia lebih banyak gunakan Bahasa Hindustan semenjak dari kecil lagi. Semoga Allah SWT tempatkan Cikgu Bakar dikalangan hambanya yang soleh dan dimasukkan ke Syurganya."

Saya yang tidak berseni ini pun berjaya mendapat pangkat A2 dalam subjek Seni Visual semasa SPM berkat didikan penuh kemesraan dari beliau. Walaupun saya tidaklah bekerjaya dalam bidang seni visual, tetapi bakat seni kadang kala ada juga datang apabila melukis dan mewarna bersama anak-anak di rumah. Sampai hari ini saya masih simpan berus seni visual saya dahulu, water color saya telah buang sebab dakwatnya sudah keras setelah berbelas tahun disimpan.

Cikgu Bakar juga merupakan guru seni buat kakak saya, Syarifah Nabihah. Kakak saya sering mengikuti kelas seni Cikgu Bakar di tingkatan 4 dan 5 tetapi tidak mengambilnya sebagai subjek peperiksaan SPM. Saya dahulu juga tidak yakin untuk menduduki subjek Seni Visual semasa SPM, maklumlah tangan tak berseni. Tetapi Cikgu Bakar memujuk, katanya tidak mengapa, dia akan membantu projek SPM saya. Seingat saya, projek saya dahulu untuk SPM adalah membuat arca trofi dengan skulptur orang sedang bermain skateboard. Ibu saya juga masih ingat saya ada membuat arca di belakang rumah ketika cuti. Alhamdulillah keputusan boleh dikatakan cemerlang walaupun tiada bakat. Cikgu Bakar merupakan satu-satunya cikgu yang bertukar kad dengan murid menurut kakak saya, kad ini masih disimpan oleh beliau.

Kad Cikgu Bakar yang disimpan oleh kakak saya, pesan cikgu "Hidup jangan jadi sate!"

Antara pelajar lain yang rapat dengan Cikgu Bakar adalah junior saya, saudara Abdullah Afifi, beliau berkongsi:

"Innalillahi wainnailaihirojiun. Telah perginya Cikgu Bakar yang sangat aku sanyangi. Cikgu Bakar mengajar kelas Pendidikan Seni Visual di MATRI, Perlis. Setiap 2 bulan sekali aku akan call dia tanya khabar. Semoga beliau ditempatkan dikalangan orang yang beriman."

Saya pernah juga call beliau dahulu beberapa tahun selepas keluar sekolah, sebelum beliau menukar nombor, setelah beberapa tahun keluar sekolah ternyata beliau masih mengingati suara saya, anak muridnya. Beliau mengungkapkan kerinduan untuk bertemu semula semua anak-anak muridnya. Saya ada menerima berita beliau sakit dan cuba mencari nombor talifon beliau, saya cuba hubungi tempat kerja beliau yang lalu, namun tidak berjaya. Tidak sempat untuk bersembang buat kali terakhir.

Antara pelajar-pelajar Seni Visual MATRI tahun 2006-2007 bersama-sama saya adalah Saiful Islam Izraei, Abdullah Affan Nashiron, Huzaifah Zarullail, Ikhwan Mahadzir, Umar Muhajir, dan Najmi Abdul Rahim. Affan kini sudahpun menjadi cikgu seni, beliau berkongsi:

"Kisah Cikgu Bakar adalah kisah seorang guru yang bukan cikgu. Jika tidak kerana cikgu, mungkin saya tidak menjadi cikgu seni hari ini. Terima kasih cikgu. Al-Fatihah."

Sama-sama kita utuskan doa buat cikgu kita yang telah pergi. Hilang satu lagi permata yang mustahil untuk dicari ganti, yang pernah mengisi kehidupan kita. Setiap kali menerima berita pemergian guru, hati saya sering termenung dan bergumam "dunia ini sudah tidak lagi seperti dahulu".

Jumaat, 18 Jun 2021

Perjuangan Palestin Daripada Sisi Golongan Kiri

 

Pada 30 Mei 2021 yang lalu saya berkesempatan untuk ke udara di laman Neo-Melayu bersamaSaudara Iqbal Harraz dalam sesi bual bicara untuk membincangkan tajuk “Melihat Sejarah Pembebasan Palestin Dari Sudut Perjuangan Kelompok Kiri”. Saya kira pihak Neo-Melayu banyak mengadakan perbincangan dan wacana yang segar yang sangat baik sebagai makanan intelektual buat masyarakat. Walaupun saya tidaklah mampu untuk mengikuti kesemuanya, namun ada juga yang saya ikuti terutamanya yang kontroversi, seperti wacana yang membincangkan pemikiran Ustaz Noor Deros, saya harap pihak Neo-Melayu dapat meneruskan wacana-wacana kritis seperti ini di masa hadapan.

Persoalan Palestin ini merupakan persoalan yang lama. Sejarahnya panjang. Jika ditanyakan kepada penyokong Israel, sejarahnya bermula 2 ribu tahun yang lalu, apabila Joshua di dalam Deuteronomy  diberitahu Tuhan bahawa dia akan memimpin Bani Israel menawan dan mewarisi promise land. Dan kita boleh baca seterusnya dalam buku Joshua di dalam perjanjian lama, bagaimana ketika menakluki Jericho, Joshua membunuh semua orang, lelaki, perempuan, tua, muda, lembu, kambing dan termasuk keldai-keldai turut dibunuh. Jadi dari ayat-ayat ini kebiasaannya dijadikan hujah sejarah oleh Israel bahawa mereka punya hak sejarah ke atas Palestin. Tetapi hujah ini banyak masalah. Pertama, Joshua menakluk Palestin dari canaanites, bermaksud bukan Bani Israel penduduk asal tetapi ada penduduk lain. Kedua, ahli sejarah dan arkeologi yang mengkaji peristiwa ini kebanyakannya mengatakan ia tidak berlaku. Ini diakui oleh sejarawan Israel sendiri seperti Prof. Shlomo Sand.

Tetapi perbincangan ini bukan hendak berbicara tentang sejarah kuno Timur Tengah, tetapi ingin mengulas semula perbincangan saya dengan Saudara Iqbal. Jika ada yang berminat perihal subjek sejarah penjajahan Palestin bolehlah membaca buku ahli falsafah Perancis, Roger Garaudy yang bertajuk The Case of Israel: A Study of Political Zionism yang diterbitkan oleh Shorouk International pada 1983. Garaudy ini seorang komunis, dia merupakan ahli Parti Komunis Perancis, dan mempunyai 2 PhD, salah satu PhD beliau adalah perihal Marxism. Jadi beliau adalah dari golongan kiri. Buku yang kedua yang saya ingin cadangkan adalah buku yang ditulis oleh Prof. Nur Masalha, Palestine: A four thousand history. Kebanyakan Zionis mengatakan Palestin tidak wujud, nama Palestin itu diberikan oleh Kerajaan Rom apabila Tentera Roman menawan Judea, lantas ditukar Judea kepada Palestine. Prof Masalha menolak hujah ini, menurut beliau nama Palestine ini telah didokumenkan sejak Bronze Age kira-kira 3,200 tahun yang lalu.

Persoalan Palestin hari ini, atau disebut sebagai The Question of Palestine oleh United Nations adalah persoalan moden. Tadi kita membincangkan persoalan ini daripada pandangan penyokong Israel, yang mana mereka mendakwa mereka mempunyai hak sejarah berdasarkan janji Tuhan pada Bani Israel dalam Bible. Tapi jika soalan yang sama ditanyakan kepada penyokong Palestin atau masyarakat antarabangsa, persoalan ini bermula pada tahun 1948. Apa yang berlaku pada 1948? Menurut sejarawan Israel, Ilan Pappe, 1948 berlakunya pembersihan etnik dimana 700,000 penduduk Palestin dihalau keluar. Ilan Pappe juga seorang yang berhaluan kiri, dia pernah bertanding untuk Knesset dibawah Parti Komunis Israel, HaMiflega HaKomunistit HaYisra'elit. Buku beliau bertajuk The ethnic cleansing of Palestine, yang mana menurut beliau, apa yang berlaku pada 1948 bukanlah Nakbah seperti yang dianggap oleh orang Palestin, ataupun perjuangan kemerdekaan seperti yang dianggap oleh orang Israel, tetapi 1948 adalah sebuah pembersihan etnik yang dirancang rapi melalui sebuah rancangan yang dipanggil Plan Dalet. Bagi Pappe ia adalah jenayah perang yang nama penjenayahnya diketahui dan mereka perlu didakwa di mahkamah antarabangsa atas jenayah mereka.

Baik, setelah kita membincangkan bahagian pertama tajuk ini dari sudut sejarah secara ringkas, kita beralih pada bahagian seterusnya iaitu perjuangan ini dari sudut pandang golongan kiri. Saya ingin menambah bahawa rakyat Palestin ini merupakan bangsa yang pelbagai, pelbagai dari segi ideologi, agama, dan budaya. Tidak semua orang Arab Palestin beragama Islam, ada yang beragama Kristian. Hatta di Gaza pun ada Arab Kristian, sering kali menjadi isu apabila Arab Kristian di Gaza dihalang untuk melawat Jerusalem ketika Krismas. Malah dalam sejarah perjuangan Palestin, sebelum Hamas ditubuhkan pada tahun 1987, ada perjuangan Palestin kiri yang lebih radikal, kita ada Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP), PFLP ini ditubuhkan pada tahun 1967 (20 tahun sebelum Hamas) dan berfahaman Marxist-Leninist dan revolutionary socialist, ia adalah sebuah pertubuhan kiri. PFLP pernah assassinate menteri Israel, Rehavam Zeevi. Bagi yang mengikuti penulisan saya sebelum ini, saya sering menyebut nama seorang sasterawan Palestin, Ghassan Kanafani. Beliau merupakan wartawan dan penulis kepada PFLP dan juga seorang figura dalam perjuangan Palestin, dia akhirnya dibunuh oleh Mossad.

Bila kita sebut “golongan kiri”, bagi saya ia adalah satu perbincangan yang sangat luas, boleh jadi ekonomi kiri, atau teologi kiri, jadi kita perlu kecilkan skop kita untuk kita ada satu meaningful discussion. Jadi skop golongan kiri kita adalah ideologi politik kiri, kerana persoalan Palestin ini adalah persoalan politik antarabangsa, jadi skop kita adalah kiri dari sudut politik, bukan ideologi ekonomi kiri atau teori teologi kiri.

Tetapi saya kira skop politik kiri ini masih lagi terlalu besar, sebab ideologi politik kiri ini mempunyai sejarah yang panjang. Dan ideologi politik kiri ini berubah mengikut masa, ada idea dan pemikiran pengasas-pengasas ideologi kiri yang tidak lagi relevan dengan pemikiran politik kiri pada hari ini. Saya bagi contoh, Karl Marx. Jika ada yang mengatakan dia golongan kiri tapi tidak mengenali Karl Marx ia adalah sesuatu yang janggal. Antara orang yang mengkritik Karl Marx dengan baik menurut saya adalah Edward Said. Bagi saya Edward Said ini merupakan legendary scholar, sesetengah scholar beranggapan bahawa Edward Said ini bukan ahli akademik tetapi beliau merupakan sebuah universiti. Edward Said adalah seorang Palestin Kristian. Dalam buku beliau, Orientalism, beliau ada mengkritik Marx. Pemikiran Marx sangat humanis dan penuh simpati kepada golongan tertindas, kita baca dalam The Communist Manifesto, Marx dan Engels menulis bahawa “The proletarians have nothing to lose but their chains. They have a world to win. Proletarians of All Countries, Unite!”. Jadi Marx banyak menulis perihal pembebasan. Said membahaskan bagaimana dalam kajian Marx terhadap pemerintahan British di India, Marx berpendapat bahawa dengan memusnahkan Asia, British dapat melaksanakan revolusi sosial yang sebenar. Bagi Said, walaupun Marx mempunyai simpati yang kuat kepada kesengsaraan manusia, namun dalam persoalan kolonial India, Marx merestui apa yang dilakukan British. Pemikiran ini menurut Said membingungkan, beliau mempersoalkan dimanakah moral dalam pemikiran Marx? Dimanakah simpati kepada manusia hilang? Kemana ia hilang apabila pemikiran Orientalis menyusup masuk ke dalam pemikiran Marx? Edward Said tidak hanya mengkritik Marx, beliau juga mengkritik tokoh lain seperti John Stuart Mill, yang terkenal dengan On Liberty dan idea Utilitarianism. Mill sendiri bekerja dengan syarikat kolonial East India Company.

Jadi kita dapati pemikiran pro-kolonial ini ada pada pengasas pemikiran kiri. Malah Mikhail Bakunin, pengasas collectivist anarchism juga terkenal dengan pemikiran anti-semitik, iaitu pemikiran yang rasis, yang membenci Yahudi atas dasar bangsa. Oleh itu kita perlu kecilkan lagi skop kita, kita bercakap tentang golongan kiri dalam politik kontemporari. Gerakan kiri yang kita bahaskan adalah gerakan politik kiri kontemporari yang sudah berubah, tidak lagi pro-kolonial atau mempunyai prejudis bangsa. Gerakan kiri masa kini sesuai dengan perjuangan Palestin kerana mereka tidak dapat lagi menerima Israel pada hari ini yang berbentuk settler-colonialism dan juga polisi-polisi yang rasis dan apartheid.

Tetapi politik kontemporari juga masih merupakan skop yang besar, adakah kita mahu berbicara tentang politik kiri kontemporari kiri di China? Atau Cuba?  Jadi kita perlu memilih skop geografi. Edward Said dalam perbahasan Orientalism memilih Britain dan France sebagai skop kajiannya, bukan kerana tiada Orientalis di German, Belanda atau Rusia atau negara Eropah lain, tetapi kerana France dan Britain adalah dua kuasa imperial yang dominan yang banyak menghasilkan penulisan perihal orang Timur dari lensa Barat. Jadi untuk skop ini kita akan membincangkan politik kontemporari di dua negara, iaitu Amerika Syarikat dan Britain. Kenapa dua negara ini? Kerana Amerika adalah tali survival Israel, jika Amerika berhenti menyokong Israel, Israel akan jatuh. Kedua adalah Britain, walaupun Britain bukan lagi pemegang tampuk hegemoni dunia, Britain mempunyai beban sejarah dalam penubuhan Israel dan masih mempunyai pengaruh kuat dalam mempengaruhi persepsi dunia.

Ada satu dokumentari yang diterbitkan oleh Al-Jazeera yang bertajuk The Lobby, dokumentari ini menyiasat bagaimana Israel melobi pemimpin di dua negara iaitu Britain dan Amerika Syarikat. Saya sarankan kita semua melihat dokumentari ini, ia boleh dilihat di YouTube. Versi Amerika Syarikat pada mulanya dihalang untuk penerbitan, namun akhirnya didedahkan juga (leaked) kepada The Electronic Intifada dan beberapa outlet media yang lain. Dalam versi US kita boleh melihat bagaimana lobbyist yang disiasat berkata “Europe has lost”. Sebab itu jika kita lihat resolusi-resolusi UN, Eropah sentiasa bersama masyarakat dunia menentang polisi Israel. Antara figura paling penting dan berkaliber dalam politik kiri UK tidak lain dan tidak bukan adalah Jeremy Corbyn, pemimpin Labour Party (Parti Buruh), beliau hampir mengalahkan Theresa May pada 2017 dan menyebabkan parlimen tergantung. Corbyn memang terkenal dengan pemikiran yang anti-kolonial, anti-perang dan beliau merupakan penyokong kuat Palestin. Sebab itu lobi Israel berusaha keras untuk membuang Corbyn, dan jika dilihat pada pilihanraya 2019, lobi Israel berusaha keras untuk melabel beliau sebagai anti-semite untuk menghalang beliau dari memenangi pilihanraya. Dalam manifesto 2019, Labour berjanji untuk mengantung penjualan senjata kepada Israel dan yang paling penting, Labour berjanji akan “immediately recognise the state of Palestine”. Selain serangan label anti-semitism (Guardian meletakkan ini sebagai sebab pertama kekalahan Labour pada tahun 2019), Labour tidak memenangi pilihanraya disebabkan stand beliau dalam isu Brexit.

Israel juga bergantung kuat pada Amerika Syarikat yang membekalkannya sejata. Noam Chomsky pernah menyebutkan bagaimana Israel merupakan rakan Pentagon. Israel memberi Amerika tapak ketenteraan dan depoh simpanan senjata di Timur Tengah. Amerika juga menggunakan Israel bagi menguji persenjataan baru, senjata yang diuji ini akan diiklankan kepada negara lain sebagai terbukti berkesan. Jika ditanya saya secara peribadi, siapa yang berjaya mengubah persepsi golongan kiri, liberal, dan progresif di US terutamanya perihal Palestin adalah Chomsky. Chomsky adalah intelektual yang berani menyatakan kebenaran. Apa yang menyebabkan pemikiran Chomsky berjaya mengubah pemikiran golongan ini adalah kerana beliau sendiri merupakan seorang Yahudi, malah pada usia muda beliau merupakan seorang Zionist. Jika seorang yang bukan Yahudi mengkritik Israel, dia dengan mudah akan dituduh sebagai anti-semite, tetapi label tersebut tidak dapat dilemparkan kepada Chomsky. Kes yang sama berlaku kepada Senator Bernie Sanders, penyokong Palestin yang turut berbangsa Yahudi.

Untuk melabel orang-orang Yahudi yang tidak menyokong Israel, kerana anti-semite tidak dapat digunakan, mereka akan menggunkan label self-hating Jew. Norman Finkelstein pernah ditanya apa pandangan beliau terhadap label tersebut pada dirinya. Jawapan yang beliau berikan sangat brilliant, apa kena mengena label tersebut dengan fakta, jika dia merupakan self-loving Jew, adakah semua yang dikatakan beliau adalah benar?

Walaupun polisi luarAmerika masih kuat dilobi oleh Kristian Zionis dan juga organisasi lobi seperti AIPAC, kelihatan bibit-bibit perubahan mula berputik. Jika sebelum ini sokongan keatas Israel berbentuk bi-partisan antara Demokrat dan Republikan, hari ini kita melihat ramai ahli politik terutamanya generasi baru yang progresif dalam kem Demokrat, mereka sedar bahawa polisi Israel bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Ahli politik seperti Bernie Sanders, Cori Bush, Betty McCollum, Ilhan Omar, Rashida Tlaib, Ayanna Pressley dan Alexandria Ocasio-Cortez mula menukar persepsi publik dan menggambarkan sisi manusia dalam perjuangan Palestin. Ada satu dokumentari yang menarik jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan bagaimana golongan muda bekerja untuk menukar traditional demokrat kepada demokrat yang lebih progresif, dokumentari ini boleh ditonton di Netflix bertajuk Knock Down The House.

Dalam discourse Israel-Palestine di Amerika Syarikat, terutamanya golongan progresif adalah apa yang diungkapkan sebagai “Progressive Except for Palestine” (PEP). Maksudnya ahli politik biasanya akan berkempen untuk polisi yang progresif tapi ada pengecualian, iaitu Palestin. Jadi ini yang dibuang apabila traditional demokrat dibuang dan diganti dengan demokrat yang lebih progressif. Ada satu buku yang menarik bertajuk Except for Palestine: The Limits of Progressive Politics yang ditulis oleh Marc Lamont Hill, buku ini membuka pintu untuk mengajak golongan kiri di Amerika untuk mengaplikasikan polisi progresif tidak hanya pada isu domestik tetapi meliputi isu Palestin. Marc Lamont Hill adalah seorang professor dan dipecat dari CNN apabila beliau menyebut "free Palestine from the river to the sea".

Itu belum kita bincangkan gerakan-gerakan Yahudi organik seperti IfNotNow dan Jewish Voice for Peace yang secara aktif melawan naratif Israel dan cuba memastikan ahli politik berpihak kepada Palestin. Walaupun Israel menikmati sokongan ketenteraan dari Pentagon, jika public opinion berubah, Israel bakal kehilangan penyokong kuatnya. Sama seperti perang Vietnam yang disokong oleh Pentagon dan ditentang oleh publik, ia berakhir dengan pengunduran.

Sebagai kesimpulan, kita hendaklah memahami bahawa perjuangan Palestin sebenarnya melangkaui semangat agama, malah masyarakat Palestin sendiri yang pelbagai mempunyai gerakan-gerakan pembebasan dari jalur bukan agama. Seperti PFLP yang kita bahaskan tadi. Malah apabila kita melakukan tinjauan, diskusi perjuangan pembebasan Palestin ini banyak dijuarai oleh gerakan kiri terutamanya Parti Buruh di United Kingdom dan juga ahli Demokrat yang progresif di Amerika Syarikat. Dengan berganding bahu bersama, projek kolonial di Palestin pasti akan dapat ditamatkan. Sejarah membuktikan bahawa semua projek kolonial akan berakhir.

Rujukan:

1.       Deuteronomy (1:38) NKJV pg. 110

2.       Joshua (6:21) NKJV pg. 136

3.       Killebrew, Ann E. (2005). Biblical Peoples and Ethnicity: An Archaeological Study of Egyptians, Canaanites, and Early Israel, 1300–1100 B.C.E pg. 152: "Almost without exception, scholars agree that the account in Joshua holds little historical value vis-à-vis early Israel and most likely reflects much later historical times."

4.       Roger Garaudy. The Case of Israel: A Study of Political Zionism. Shorouk International, 1983.

5.       Masalha, Nur. Palestine: A four thousand year history. Zed Books Ltd., 2018.

6.       Pappe, Ilan. The ethnic cleansing of Palestine. Simon and Schuster, 2007.

7.       Israel bans Christians in Gaza from reaching West Bank, Jerusalem for Christmas http://www.xinhuanet.com/english/2019-12/15/c_138633357.htm

8.       Pilger, Kanafani & Peranan Kita Buat Palestin http://theindependentinsight.com/2021/05/26/pilger-kanafani-peranan-kita-buat-palestin/

9.       Said, Edward. "Orientalism: Western concepts of the Orient." Penguin 1991. Pg. 153-154

10.    Dokumentari yang diterbitkan oleh Al-Jazeera yang bertajuk The Lobby.

Part 1 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=ceCOhdgRBoc

Part 2 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=Vuk1EhkEctE

Part 3 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=L3dn-VV3czc

Part 4 (UK): https://www.youtube.com/watch?v=pddH2sfNKNY

Part 1 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=3lSjXhMUVKE

Part 2 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=XytkI7afHcQ

Part 3 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=Mm-Dm4pO0xY

Part 4 (USA): https://www.youtube.com/watch?v=_1OgxfCT044

11.    Manifesto Labour UK 2019 https://labour.org.uk/manifesto-2019/a-new-internationalism/

12.    Five reasons why Labour lost the election https://www.theguardian.com/politics/2019/dec/13/five-reasons-why-labour-lost-the-election

13.    Noam Chomsky - Why Does the U.S. Support Israel? https://www.youtube.com/watch?v=lUQ_0MubbcM

14.    A portrait of Chomsky as a young Zionist: Noam Chomsky interviewed by Gabriel Matthew Schivone https://chomsky.info/20111107/

15.    Time to boycott Israel? | Head to Head https://www.youtube.com/watch?v=8YFfQnwuVLo&t=1835s

16.    CNN severs ties with liberal pundit Marc Lamont Hill after his controversial remarks on Israel https://edition.cnn.com/2018/11/29/media/marc-lamont-hill-cnn/index.html

Sheikh Jarrah: The Story Behind The Story

 

On 18 June 2021, I am honored to join a forum with my Palestinian brother, Dr. Sharif Abu Shammala and my Palestinian Sister, Leen Saleh. This forum was moderated by Brother Abdurrahman Ismail and was titled "Sheikh Jarrah: The Story Behind The Story". The recording of this event can be found on Facebook and on Youtube. In this posting I wanted to share my notes for the event.

I was born in 1990, 42 years after the Jewish militias, the Haganah, Irgun and Stern Gang ethnically cleanse Palestine in 1948 the year that the Palestinian known as the Nakba. But 73 years on after 1948 the ethnic cleansing still going on in Palestine, in the West Bank, Jerusalem and many other places such as Silwan and the famous one recently in Sheikh Jarrah. Now I am 31 years old, I have 2 kids and Palestine is still not liberated. Which beg the question, is there any hope? Is there any light at the end of the tunnel?

This question relates back to the question asked by the moderator on the slogan “Lan Narhal”. You see, even though the Zionist tried their best to ethnically cleanse Palestine, their operation is not complete. The Palestinians are still there resisting the colonialization and occupation after 73 years. That is for me a success, an optimism to hold on. After 73 years of trying, by the most brutal way you can imagine, Palestinians stay on their land. Palestinians right now can be said to be divided geographically, first the one that been absorbed by Israel as citizen in 1948, second Palestinians that live under occupation after 1967, third Palestinian that lived in open prison in Gaza, and forth, Palestinians living in other countries as refugees and in diaspora. This unique division actually gave Palestinian an edge to struggle in multiple fronts.

The first three is very important, as they hold their ground. Israeli propaganda usually will tell you that Palestine does not exist, there is no letter ‘P’ in Arabic, so it is impossible that Palestinian exist. But then, you have to ask, how come they did not exist, but they resist? So, for me, “Lan Narhal” means that the Palestinians refusal to be erased from history, they will struggle to liberate themselves and they have the full support from us and especially from me.

For the second part of the question, what should we do?

As individual and society, I think we still need to educate our selves and our friends in Malaysia regarding the issue. Especially the Christian Zionist that we have in Malaysia. We need to understand the history and be able to explained it to others. We need to be the voices of our Palestinians brother and sister when the mainstream media were silent about them. We need to write Facebook post, write a tweet, blog post, write articles, do a podcast, so that the issue will be widely known. We also need to participate in a targeted boycott especially the companies which has been highlighted by BDS Malaysia, among others were HP, Puma, security company G4S and caterpillar. We should pressure our government to ban these companies which explicitly complicit in Israeli crime from operating in our country. 

As a country, our government should drop the “two-states solution” stance because this is not a solution, it is just a smokescreen to continue the occupation and colonization. There are more illegal settlement and land grab after Oslo. Our government also needs to vigorously work with international partner to isolate Israel. Make sure apartheid Israel was isolated like apartheid South Africa was once isolated. Including the exclusion of Israel from the Olympics etcetera. 

Isnin, 14 Jun 2021

Catatan Baitul Muslim 44: Berpisah Dengan Puting Yellow


Berbeza dengan kakaknya Amni, Idlan dari kecil sudah terbiasa menghisap puting. Namun apabila kami mula menghantarnya ke taska, kami hanya memberikannya puting apabila dia hendak tidur. Manakala di taska, walaupun ada puting spare di dalam beg, cikgu taska hampir tidak pernah menggunakannya. Apabila Idlan meningkat umur kepada 3 tahun, dia semakin suka menghisap puting, bukan lagi semasa tidur, selalu sahaja dia meminta, jika tidak diberi akan menangis.

Apabila kerajaan mengumumkan PKP 3.0 dan kami semua berada di rumah setiap hari, Idlan semakin kerap bersama dengan putingnya. Kini dia bukan lagi menghisap puting di rumah (puting blue), puting spare di dalam beg taskanya juga dia gunakan (puting yellow). Kami berfikir bagaimana hendak memisahkan dia dengan puting.

Di usia tiga tahun dia sudah pandai bercakap, sudah boleh bawa bincang, sudah ada elemen rasional dan logika dalam cara dia berfikir. Pada usia ini dia sudah memahami sedikit konsep 'sebab dan akibat'. Kadang kala saya kata juga padanya dia sudah besar dan tidak boleh asyik menghisap puting. Ada juga sekali dua berjaya tidur tanpa puting sebelum proses ini terungkai dan dia kembali semula kesana dan kemari dengan putingnya. 

Kadang kami merasakan dia sudah boleh sahaja tidak berputing, cuma kadangkala kami tewas kerana kasihan apabila dia mula merayu untuk mendapatkan putingnya. Kadang kala saya terfikir juga mahu melakukan tindakan drastik, membuang atau menyorokkan putingnya, namun saya tidak meneruskan hasrat itu. Sehinggalah satu hari puting bluenya hilang, kini dia hanya ada satu puting sahaja.

Tokmi Idlan (neneknya) mempunyai helah tersendiri untuk memisahkannya dari putingnya. Oleh kerana dia sudah boleh bertutur dan dibawa berbincang, satu hari Tokminya meletakkan kicap dan garam pada putingnya supaya kelihatan kotor. Apabila dia meminta puting, dia melihat putingnya sudah hitam dan tidak mahu lagi menghisapnya. Bila ditanya "mana puting adek?".

Dia akan menjawab "takdak, dah jadi brown".

Satu dua hari pertama ada juga dia meminta lagi putingnya, kadangkala dia membuat isyarat dengan meletakkan tangan di bibirnya. Selaku ibu ayah tentu sahaja kasihan, namun kami mengingatkannya tentang putingnya yang sudah hitam, lantas dia berubah fikiran dan tidak jadi mahukan puting. Satu dua hari pada awal perpisahan ini susah juga dia mahu tidur, perlu digosok-gosok belakang badan lebih dari sejam sebelum dia berjaya tidur, dan tengah malam kadang dia merengek juga mencari putingnya kerana sudah biasa menghisap semasa tidur. Namun setelah empat ke lima hari dia sudah boleh beraktiviti dan tidur tanpa puting, dia juga sudah berhenti meminta. Mungkin dia sudah lupa akan puting kesayangannya itu. Tulisan ini sekadar mahu berkongsi pengalaman bagaimana untuk menghentikan anak menghisap puting, moga ia boleh dijadikan tips kepada ibubapa di luar sana yang ingin memisahkan anak dari selalu menghisap puting.

Sabtu, 12 Jun 2021

Catatan Baitul Muslim 43: Persetujuan Tanpa Kata-Kata


Kehidupan yang saya rasakan hari ini terasa begitu berbeza, dunia telah berubah terlalu banyak sehingga saya merasakan ianya begitu menyesakkan, terlalu sibuk hingga tiada nafas untuk instospeksi, kehidupan hanya dijalani untuk survival, ia kering, hanya dilalui untuk menghabiskan masa untuk melihat hari seterusnya. Seolah ia berlalu tanpa diisi, tanpa pelajaran dan pengajian. Setelah segala keributan berlalu, di pagi ini akhirnya ada sedikit ruang untuk merenung, mencatat, dan cuba memahami kehidupan. Catatan kali ini ingin ditulis dengan bebas, tanpa ada tujuan lain melainkan merungkai perasaan yang ada, bukan untuk memuaskan hati sesiapa.

Teringat saya kepada satu perjumpaan silam, tika belum berumahtangga, saya bersama seorang sahabat bernama Saiful bertandang bertemu seorang pakcik yang kami anggap sebagai murabbi dan pendidik. Pertemuan kami pada ketika itu atas urusan pengajian dalam bidang kajian kami. Namun saya tidak ingat apa yang dibincangkan sehingga diskusi kami pada ketika itu memasuki daerah rumahtangga, walaupun kami berdua ketika itu masih bujang dan sedang mengaji. 

Murabbi tersebut menceritakan bagaimana dia dan isterinya mendapat anak pada usia awal rumahtangga. Sejak dari itu mereka sibuk menguruskan anak-anak, dan beliau merasakan beliau tidak sempat untuk benar-benar "berkenalan" dan bercinta dengan isterinya. Kerana setelah mendapat anak keseluruhan tenaga, emosi, perhatian, dan perbualan akan memfokus perihal anak-anak, urusan hubungan dan percintaan suami-isteri menjadi hal yang kedua. Sekian lama, mereka berdua tidak lagi muda dan merasakan mereka sudah terlepas dari zaman muda untuk bercinta.

Nasihat yang saya dapat dari pertemuan itu adalah perlunya menjaga hubungan percintaan suami-isteri yang sihat dan segar. Kerana itulah yang memayungi kehidupan anak-anak, jika ia tidak dijaga, makan payungnya bocor dan anak-anak akan basah ditimpa hujan. Oleh itu ia tidak boleh menjadi agenda kedua dalam keluarga. Ia perlu menjadi agenda pertama dalam keluarga bersama agenda mendidik dan menjaga anak-anak. Ya, kedua-duanya sepatutnya menjadi agenda pertama.

Tanpa perkenalan yang sebenar. Rumahtangga akan berjalan secara auto-pilot, iaitu masing-masing bersetuju dalam banyak perkara tanpa ada perbincangan yang dalam dan merungkai persoalan. Masing-masing merasakan pihak disebelah sana bersetuju tanpa bertanya, ia adalah sebuah persetujuan tanpa kata-kata, atau sering disebut sebagai silent agreement. Walaupun sebenarnya mungkin sebelah pihak tidaklah seratus peratus bersetuju, tetapi perbincangan itu tidak berlaku kerana masing-masing merasakan ianya tidak penting, yang lebih penting adalah memastikan urusan anak-anak terurus. Hal ini akan membuatkan sebelah pihak merasakan emosinya terabai, atau kesukarannya tidak ditangani bersama. Bak kata seorang guru saya, semua masalah, kegelisahan, tidak puas hati ini dikumpul. Setiap hari ia dimasukkan ke dalam botol dan ditutup. Sehinggalah botol itu penuh, pecah dan meletup.

Jika letupan itu ditangani dengan perbincangan, maka ia adalah satu perkara yang baik. Ia masih lagi boleh dibincangkan dan ditangani bersama. Namun adalah lebih baik ia sentiasa dibincangkan dan tidak dikumpul. Kerana boleh jadi letupan itu tidak menatijahkan perbincangan, ia mungkin boleh menghasilkan perbuatan yang berdasarkan emosi yang merosakkan rumahtangga sehingga ia tidak lagi dapat diperbaiki.

Antara perkara yang penting pada fikiran saya untuk dibincangkan adalah hal ehwal perbelanjaan keluarga. Ia tidak boleh hanya diketepikan atas dasar cinta dan percaya. "Aku kahwin ini kerana cinta, ikhlas mencintai, jadi hal duit ini biarlah aku terima sahaja apa adanya". Ini merupakan mentaliti yang salah dan tidak sihat. Perancangan keewangan bersama bukan bermakna tiadanya "cinta dan percaya", tetapi ia melahirkan suasana yang saling memahami. Tiada pihak yang merasakan terbeban, dan masing-masing faham akan komitmen yang perlu diberikan untuk menjayakan keluarga tanpa ada lagi sangkaan-sangkaan. Jika tidak dibincangkan dan diperhalusi, mungkin satu pihak menyangkakan pihak lain tidak memberi dengan cukup, sedangkan pihak satu lagi merasakan dia sudah memberi lebih. Oleh itu perlu ada jalur perbincangan perihal ehwal kewangan keluarga.

Hari ini wanita kebanyakannya bekerja, pekerjaan dianggap simbol bahawa wanita mempunyai potensi yang sama dengan lelaki dan mempunyai autonomi ekonomi. Saya bersetuju dengan perkara ini, bagi saya wanita sememangnya harus bekerja, kerana tanpa kuasa ekonomi wanita tidak punya pengaruh yang kuat dalam mempengaruhi keputusan dalam keluarga. Dengan kuasa ekonomi, balance of power dalam keluarga lebih stabil dan tidak berat sebelah. Namun dalam hal ini, bagi saya kesaksamaan dalam hak bekerja perlu diikuti dengan kesaksamaan dalam memberi sumbangan kepada ekonomi keluarga. Jika isteri bekerja, saya tidak bersetuju dengan pernyataan yang mengatakan "duit suami adalah duit isteri, tetapi duit isteri adalah duitnya". Jika hak yang sama diberikan dalam pekerjaan, perlu ada tangungjawab yang sama dalam perbelanjaan keluarga.

Namun janganlah soal ini dilihat sebagai perlawanan antara lelaki dan wanita. Ia seharusnya menjadi perbincangan bersama dalam keluarga. Perbincangan yang melahirkan persetujuan yang membolehkan kedua-dua pihak berlapang dada. Bagi saya berlapang dada dan tidak berkira dalam keluarga itu satu perkara yang baik dan akan menatijahkan keluarga yang lebih harmoni, namun biarlah kita berlapang dada setelah kita berbincang dan jelas perihal hak dan tanggungjawab masing-masing.