Jumaat, 26 November 2021

Pertarungan Paling Sengit Dalam Jiwa


Aku memanjatkan tangan. Melihat ke atas. Cuba menggapai cahaya. Teraba-raba, namun gelap. Gelap gelita. Tiada cahaya yang datang menyapa. Hanya duka. Duka yang dalamnya seperti tiada penghujung. Menghisap seluruh raga dan jiwaku. Hingga jiwaku tidak lagi berwarna, mengeras seperti batu, kaku tak bernyawa. Kita mempunyai perasaan yang sangat dalam, yang jarang-jarang dapat kita rasai. Perasaan yang terkambus dalam lapisan rutin. Namun kadang dari kedalaman, perasaan itu keluar, dan perasaan itu meruntun diri. Kita tidak dapat bezakan, adakah ia bahagia? sepi? atau rindu? atau kemurungan yang akan menghambat jiwa selama-lamanya.

Selepas kehilangan dua orang teman, aku merasakan jiwaku begitu genting, begitu rapuh, mudah sahaja ia lemas dan sesak ditelan suasana yang ada. Aku pun tidak tahu sama ada aku over-sensitive. Atau perasaan yang datang ini sebenarnya tidak original? Sengaja aku sendiri cipta, tetapi kenapa aku perlu mencipta kesedihan yang panjang untuk menyiksa diriku sendiri? Kalau betul perasaan ini dibuat-buat kenapa aku tidak dapat memadamkannya. Ia seolah-olah telah menjangkiti jiwaku, memelukku erat, tidak dapat lagi aku melepaskannya. Mungkin silapku juga, suka melayan perasaan. Kononnya membelai memori itu satu kenikmatan, namun lama kelamaan ia menelanku perlahan-lahan. Masa lampau selalu terasa indah, terasa gamat, terasa bahagia, tidak seperti hari ini yang dibungkam kesedihan.

Aku tak mahu bercakap soal pemikiran. Walaupun aku tahu, bahawa minda manusia itu sering sahaja ditipu masa, sering merasakan kenangan dan harapan masa depan sentiasa membahagiakan, sehingga lupa untuk hidup sekarang. Tapi manusia mempunyai sisi lain selain dari pemikiran dan pengetahuan. Kadang pengetahuan tak dapat mengubati perasaan. Perasaan adalah dimensi yang berbeza, tidak bersilang dengan garis intelektual. Perasaan adalah ilmu yang jauh lebih dalam, ilmu yang dapat dirasai tetapi tidak dapat dibuktikan.

Aku senang jika dapat berbual dengan teman-teman rapat dan isteri, perbualan berdua-duaan selalu aku dambakan. Meski pun sukar untuk didapatkan. Entah apa yang ada pada perbualan. Bagiku perbualan dengan orang yang rapat adalah ubat, walaupun kadang kala aku merasakan ubat itu bersifat sementara. Kemurungan kembali memeluk selepas hilangnya bait perkataan yang terakhir. Perbualan panjang sampai ke pagi adalah ibarat secawan kopi panas, yang menghangatkan semula hati yang keras. Tapi ada juga keadaan aku rasa mahu menyendiri. Walaupun aku sendiri tak pasti sama ada menyendiri itu bagus atau tidak. 

Kadang kala aku berjaya melupakan kesedihan dengan membaca, atau membuat perkara-perkara yang aku suka. Aku juga merasakan beban perasaan kadang kala menghilangkan minatku perihal banyak perkara. Aku tak pasti sama ada itu disebabkan perasaan, atau mungkin api mudaku telah padam. Mungkin aku di fasa umur yang baru, dan aku perlu biasakan diri dengan pertarungan sengit di dalam jiwa ini, bertarung dengan kesedihan dan perasaan. Mungkin jika aku berjaya mengalahkannya aku dapat menjadi insan yang baru, aku boleh bermula semula dengan hati yang baru.

Kadang kala aku rasa, aku berjaya lupakan semua kenangan ini, dan untuk seketika dapat merasai kebahagiaan hidup di masa sekarang. Namun aku asyik mengumpul memorabilia dalam hidup. Mudah sahaja aku terjumpa sesuatu. Gambar lama. Surat lama. Lagu lama. Perasaan lama. Semua ini merupakan pintu, yang membawa aku masuk semula ke daerah sedih. Kadang aku tak dapat bezakan antara sedih dan kebahagiaan, kadang aku merasakan dengan mengimbau kenangan, walaupun sedih, ia membahagiakan. Aku berasa bersalah untuk melupakan mereka yang telah pergi. Bukankah gambar-gambar aku dengan mereka itu untuk ingatan? Adilkah untuk mereka jika ia dilupakan?

Atau mungkin aku terlalu lama tidak berehat di tepi pantai. Tanpa perlu risau bahawa esok aku perlu bangun membanting tulang lagi. Proses pengurungan selama dua tahun ini sebenarnya tiga tahun bagiku. Kerana setahun sebelum ia berlaku aku telah lama menahan diri dari bercuti, apabila tiba masa bercuti sahaja perintah berkurung bermula. Mungkin juga perintah berkurung itu tepat mengenai masa selepas ayah pergi meninggalkanku. Aku tidak boleh ke mana-mana melainkan termenung dan berfikir. Cuba merasionalkan hidup yang sudah tidak lagi rasional.

Tapi sebenarnya ada sebab manusia mati. Manusia perlu mati untuk memberikan ruang pada manusia baru. Bayangkan jika manusia hidup selama-lamanya. Bukankah bumi ini akan menjadi semakin sempit. Jika manusia hendak hidup selama-lamanya mereka perlu mengorbankan kebolehan mereka untuk mendapat anak. Jika tidak populasi hanya akan bertambah dan bumi ini akan tenggelam dengan manusia. Tetapi mampukah manusia hidup tanpa punya anak-anak? Apakah makna hidup jika mereka tidak boleh bahagia? Bahagiakah manusia kalau dia hanya hidup dengan orang-orang yang sama selama-lamanya, tiada anak-anak baru yang mewarnai kehidupan? Walaupun mindaku tahu ini semua, tetapi ia hanya pengetahuan yang tak dapat mengubat perasaan. Apabila yang pergi adalah orang-orang yang dikenali dan dikasihi, pengetahuan ini tidak dapat dijadikan hujah untuk melawan emosi.

Aku pernah bersembang dengan seorang rakan. Katanya kita semua ada masalah mental, kita semua ada depresi, cuma bezanya adalah intensiti dan kebolehan kita mengawalnya. Jika ia masih ditahap yang boleh dikawal oleh diri, ia adalah depresi yang normal. Tetapi jika ia merupakan perasaan yang tidak dapat lagi dikawal, sehingga mengurangkan aspek kesihatan kita yang lain, sehingga ia menggagalkan kita dari berfungsi sebagai manusia, maka ketika itu ia adalah depresi yang sudah tidak normal. Namun apa yang dimaksudkan dengan mengawal? Adakah dengan memendam itu satu proses kawalan? Atau memendam itu proses pengumpulan? Yang akan menyebabkan letupan apabila buah depresi yang dikumpul sudah penuh dalam bakul perasaan. Kita mungkin dapat berfungsi seperti biasa jika kita memendam perasaan. Ia ibarat memakai topeng, manusia lain melihat kita sebagai normal. 

Ah, jauh juga aku mengarut dalam penulisan ini. Maaflah. Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyumbang apa-apa idea. Ia hanya kertas kosong yang aku contengkan dengan perasaan. Aku conteng semuanya di sini. Dengan harapan selepas itu dapat aku konyokkan. Kemudian membalingnya ke dalam lautan. Biar ia dibawa ombak dan arus, ke dasar lautan yang paling dalam. Agar aku tak perlu lagi melaluinya. Perasaan sedih ini ibarat kisah cinta yang berakhir dengan duka, yang lebih baik jika aku ditakdirkan tidak berjumpa dengannya buat kali pertama.

Baiklah, masa untuk membaling kertas yang sudah aku konyokkan. Selamat malam.

Selasa, 16 November 2021

Jenis Membaca Yang Sia-Sia


Pernah satu ketika laman Facebook menyuap saya dengan begitu banyak iklan
speedreading, bertalu-talu iklannya sehingga membuatkan saya muak dan mual. Maka benarlah kata-kata pengkritik teknologi bahawa algorithma tidak dapat memahami manusia. Sebaliknya ia bergantung kepada apa yang menjadi inputnya. Rubbish in rubbish out bak kata mat saleh. Mungkin ada carian atau klik saya yang menjadi input salah bagi algorithma ini, tapi tidak ingat pula saya bahawa saya ada mencari maklumat perihal teknik membaca dengan pantas, kerana saya tidak suka membaca dengan pantas.

Saya tidak beriman (tidak percaya) dengan mazhab speedreading. Saya tiada keinginan untuk membaca 52 buku sebulan, seperti yang diiklankan kepada saya. Bahkan saya pernah berazam untuk mengabadikan satu tahun untuk membaca, mengkaji, dan menghadam hanya satu buku walaupun azam itu belum tertunai. Pasti ada sahaja buku lain yang menarik yang memotong queue pembacaan saya. Kadang kala, pembacaan saya juga terganggu kerana jemputan-jemputan diskusi, kerana biasanya saya perlu membaca buku tertentu sebelum diskusi, saya pun bukan tahu semua benda.

Seperti falsafah Syed Hussein Alatas, bagi saya tujuan membaca bukan untuk membaca. Bagi Alatas, tujuan sesuatu perkara mesti berada di luar perkara tersebut. Contohnya, kita bukan makan untuk makan, tetapi makan untuk kenyang. Mungkin membaca 52 buku itu satu latihan bagi orang yang tiada kerja lain, jadi kerjanya membaca sahaja pagi petang siang malam. Tetapi bagi saya yang berkeluarga, berkerja, dan bermasyarakat, membaca 52 buku sebulan adalah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan. 

Bukan mustahil secara material, ia boleh diperbuat, tapi mustahil pembacaan itu boleh dihadam, direnung, dikaji, dan diambil pelajaran. Dunia sekarang memang mengetengahkan pemikiran "semua mahu cepat". Tetapi proses pembelajaran bukan begitu, masa adalah sebahagian kandungan dalam proses pembelajaran. Sebab itu saya kurang bersetuju dengan cadangan membuang subjek di universiti supaya cepat habis belajar. Apa guna cepat habis belajar tetapi tiada apa pun yang sebenarnya yang dipelajari. Malahan, saya berpandangan, ada sesetengah ilmu yang tak dapat dicapai dalam tempoh garis masa yang ditetapkan oleh universiti. Jika kita membaca sejarah, ada sesetengah cendiakawan yang menghabiskan keseluruhan hidupnya hanya untuk mendalami satu bidang ilmu yang spesifik. Kita pula ingin belajar semua dalam masa 4 tahun, ini kerja gila.

Membaca adalah proses menuntut ilmu. Jadi tentulah ia memerlukan masa. Jika kedekut dan tak mahu memberi masa, usahlah membaca. Kerana membaca untuk membaca, tanpa ada refleksi adalah kerja sia-sia. Ya, ada jenis membaca yang sia-sia. Sebab itu Chomsky mengatakan bahawa tiada guna seorang itu membaca jika dia melupakannya selepas 10 minit. Apa guna mata kita menjeling-jeling tulisan dengan laju andai maksudnya tidak masuk ke dalam minda, perasaan penulis tidak meresap ke hati kita, dan idea yang hendak disampaikan tidak kita renungi dan perhalusi. Jadi jenis pembacaan yang begitu laju ini adalah jenis membaca yang sia-sia.

Membaca memerlukan kita merenung. Ada kalanya kita sampai kepada satu idea yang memaksa kita untuk meletakkan dahulu buku. Sebab kita memerlukan masa untuk memikirkannya. Otak kita memerlukan masa untuk memproses sesebuah idea untuk dihubungkan agar bisa menjadi satu gagasan ilmu yang berguna. Selepas difikir habis, baru layak kita membuka dan membacanya semula. Bukan tujuan membaca untuk berbangga dengan jumlah mukasurat, jumlah buku, atau saiz almari. Mempunyai banyak buku bukan bererti seseorang itu pandai, ia bererti dia mampu dari sudut ekonomi untuk membeli buku. Sebab itu pepatah Arab yang berbunyi:

"Bagaikan keldai yang membawa kitab-kitab di atas belakangnya". 

Walaupun dia membawa kitab, keldai itu tidak memiliki ilmu. Begitulah juga orang-orang yang mengumpulkan buku-buku namun tidak mereka baca. Jadi janganlah kita terjerat dengan fahaman moden untuk membaca laju yang tidak berfaedah ini. Buku yang ditulis itu seeloknya dibaca dengan perlahan, dengan teliti, diambil pelajarannya, dan diamal dalam kehidupan. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, membaca tanpa berfikir pula umpama ke daun keladi air dicurah.

Rabu, 10 November 2021

MATRI: Mencari Hati Yang Hilang

Gambar bersama Arwah Ustaz Dahlan Mohd Zain pada Hari Kecemerlangan MATRI pada tahun 2005. Turut berada di dalam gambar Ustaz Omar Haji Salleh, Pakcik Ghazali, Ustaz Nasrul Islam Darus, dan Ustaz Abdul Hakim.

Kadang kala aku tak tahu sama ada aku telah tempuhi jalan yang benar. Adakah aku sudah hidup sehidupnya? Menggunakan hidup yang satu ini sebaiknya? Adakah aku telah buat yang terbaik, atau sebenarnya ada yang aku boleh tingkatkan? Kita memang disuruh menghisab diri sebelum dihisab.

Aku sering merasakan kini bahawa hidup ini terasa begitu rutin dan kering. Entah bila kali terakhir hati ku tersentuh dan menangis berkenaan dengan apa-apa pun. Apa sahaja yang datang dalam hidup, aku terima dan hadapi dengan rasional. Telah jauh aku melayari kehidupan, hingga ke ceruk yang tidak pernah dilalui orang, bertemu dengan bermacam jenis manusia. Namun dalam pelayaran ini, terasa seperti hati ku tertinggal entah di mana.

Sungguh benar kematian itu satu tazkirah yang menggegarkan.

Kematian pertama yang menggegarkan jiwaku adalah pemergian arwah Abu Asri Zailani pada tahun 2016. Aku dan Abu lebih dari kawan. Sudah seperti adik beradik. Kadang, baju juga kami kongsi, ada bajuku yang aku beri pada Abu semasa di asrama. Dia juga ada memberikanku baju. Keluargaku mengenali Abu kerana selalu datang ke rumah, begitu juga keluarganya mengenaliku. Ujian kehidupan yang beliau lalui tidak sama sepertiku. Ujiannya jauh lebih berat. Pemergian Abu menggoncangkanku sehingga ke akar jiwa.

Namun setelah berlalu sungai masa, jiwaku kembali hanyut dibawa arus kehidupan. Hingga aku kehilangan pula sahabat lagi, yang pergi pada usia yang begitu muda. Semasa zaman puncaknya, jiwa bersama getarannya berjaya menggetarkan jiwa-jiwa manusia dengan karyanya. Pemergian sahabatku Umar Muhajir sekali lagi menggoncangkan jiwaku, fikiranku murung berhari-hari, pemergiannya memaksa aku kembali ke tempat jiwaku ditatang, Perlis. Seolah jika aku tidak kembali ke sana, aku tidak dapat lagi meneruskan kehidupan ini.

Pada mulanya aku tidak mahu pergi. Kerana pada ketika itu aku punya urusan keluarga di Kuala Lumpur, aku tidak rasa aku akan sempat untuk bersama menyempurnakan jenazahnya jika pun aku bergegas untuk ke Perlis. Di tambah dengan anak-anak kecil yang perlu diurus, ia semakin menyesakkan keadaan. Tetapi kemudian teman karibku Hilmi Azhari (Aloi) menghantar mesej:

"Nak mai perlis kee"

Mungkin itu hebatnya mempunyai teman-teman rapat yang istimewa, mereka seolah-olah dapat membaca ribut fikiranku meski tidak bertentang mata. Aku pulang ke Sungai Petani dan menyelesaikan urusan anak-anak. Mesej ringkas itu tidak ringkas bagiku. Apa yang aku tafsirkan adalah "oh kawan, marilah ke mari, mari bersama kita berbicara, bertukar kata untuk melawan duka, detik sedih ini kita tidak boleh bersendiri, jiwa perlukan jiwa lain untuk berkongsi dan berbagi" bukan soalan "nak mai Perlis kee" yang aku tafsirkan dari mesej itu. Bagiku ia bukan satu mesej yang ringkas, tetapi mempunyai makna yang jauh menusuk dalam.

Hari itu aku menangis sendirian di dalam kereta seperti anak kecil. Pasti buruk muka lelaki tua menangis, tapi biarlah, hanya Tuhan yang melihat, air mata turun tanpa izin. Isteri dan anak-anak pun tiada dalam kereta, jadi aku tidak perlu berlakon untuk sesiapa. Aku boleh menangis sepuas hati.

Menangis sering dikaitkan dengan kelemahan. Kita perlu sentiasa tabah, kuat, senyum walaupun tidak gembira. Namun aku merasakan menangis ada gunanya buat manusia. Menangis adalah fitrah, seperti bayi yang keluar dari perut ibu, suara pertamanya adalah tangisan, tiada yang ketawa. Bagi aku bila kita menangis, sujud penuh kekerdilan di hadapan Tuhan, ada satu perasaan yang membebaskan timbul dalam jiwa. Menangis juga merupakan pesanan Tuhan buatku. Aku sudah berlayar terlalu jauh hingga hatiku sudah tawar dalam merasa. Atau mungkin hatiku telah mati. Kemampuan untuk menangis menyedarkanku bahawa aku masih punya hati, walaupun hati yang sakit ia masih mampu merasa dan aku masih mampu menangis.

Aku juga merasakan bahawa kini aku perlu menumbuhkan daun kehidupan yang baharu. Aku kuat merasakan bahawa kini aku berada di fasa pasca-rasionalisma. Dahulu aku sering cuba untuk merasionalkan semua perkara, semua perkara harus diuji dengan rasional. Namun aku kini merasakan itu merupakan satu perkara yang memenatkan. Aku cuba merasionalkan hidup hingga aku terlupa untuk hidup. Terlupa untuk menikmati dan merasai setiap saat.

Aku tidaklah mengecam orang yang mahu merasionalkan semua perkara. Jika mereka mampu dan mahu, terserahlah pada mereka. Mungkin mereka akan berjaya dan dapat menyumbang sesuatu pada ilmu dan intelek manusia. Mungkin juga akhirnya tidak berjaya. Namun apa yang pasti, ia memerlukan pelaburan masa dan usia yang besar. Sedang aku merasakan lebih baik aku laburkan usiaku untuk hidup dari cuba setiap masa untuk merasionalkan hidup. Kini perasaan itu semakin kuat, aku tidak berjaya merasionalkan kematian insan-insan yang aku sayangi. Mengapa mereka perlu pergi dahulu sebelumku? Tiada rasional yang berjaya aku jumpai. Akhirnya, aku pasrah, ia tidak dapat dirasionalkan, ia hanya boleh diterima dengan sabar dan redha.

Perasaanku juga kuat mengatakan bahawa aku perlu mencari hatiku semula pada fasa pasca-rasionalisma ini. Kata Imam Ghazali, hati itu perlu dicari pada tiga tempat, dalam bacaan Al-Qur'an, dalam solat, atau dalam mengingati mati. Jika tidak jumpa pada ketiga-tiga tempat ini, kita harus memohon pada Allah untuk hati yang baru. Aku kuat merasakan bahawa aku memerlukan hati yang baharu. Walaupun hatiku masih boleh menangis, getarannya tidak seperti dahulu.

Jika ada satu tempat untuk aku mencari semula hatiku, tempat itu adalah di musolla MATRI. Musolla MATRI mungkin kelihatan seperti binaan kayu biasa. Binaannya bukanlah sebuah karya seni arkitek moden. Namun, untuk anak-anak MATRI seperti aku, ia menyimpan sesuatu memori yang sangat signifikan, sangat penting, sangat halus, sangat seni dan sangat mendalam. Di sini, hati-hati kami pernah hidup dan membunga, hati-hati kami pernah merasai kebahagiaan jiwa. Aku pun tak dapat mentafsir apa yang membuatkan jiwaku merasakan musolla MATRI ini begitu istimewa, firasatku kuat mengatakan mungkin ia adalah berkat keikhlasan murobbi, guru-guru, dan ustaz-ustaz yang mengajar kami. Jadi, mungkin jika ada anak-anak MATRI yang sama sepertiku, ingin mencari hati yang hilang, aku akan menasihatkan mereka untuk pulang ke musolla kayu ini.

Sampai sahaja aku di Perlis, aku bertanya Aloi sempatkah jika aku ingin solat zohor di musolla MATRI? Katanya sempat, maka itulah tempat pertama yang aku tuju sebelum menziarahi pusara arwah Umar Muhajir di Arau, Perlis. Sampai di musolla, segala memori terurai, disini kami pernah solat dahulu, tempat kami menghafal Al-Qur'an dan mendengar tazkirah. Disini juga aku selalu tidur, dan yang tak mungkin aku lupakan, disini juga aku dirotan di hadapan seluruh warga sekolah semasa di tingkatan 3, pengalaman yang menjadikan aku manusia. Di sini juga tempat aku berdoa dan menangis, tempat aku ber-qiyamullail. Doaku hari itu:

"Ya Allah, Ya Tuhan yang memiliki hati, kurniakan kepadaku hati yang baru, hati yang hidup dan bersih seperti aku di tingkatan satu!"

Pulang dari perjalanan spiritualku dari Perlis. Aku bertekad untuk cuba menjadi insan yang baru. Aku menyelak-nyelak Al-Qur'an peribadiku. Merenung ayat-ayatnya. Aku harap, apabila tiba masaku untuk pergi, nanti Tuhan akan berkata padaku:

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku".

Allahumma, amin.

Jumaat, 5 November 2021

Mengenang Umar Muhajir bin Ghazali

Gambar bersama Umar Muhajir di puncak Gunung Tahan pada bulan Oktober 2014.

Setelah sekian lama, akhirnya kerajaan membuka sempadan negeri dan aku dapat pulang menziarahi ibu di Kuala Lumpur. Aku dan isteri tidaklah terus pulang selepas pengumuman dari perdana menteri, sebaliknya kami menguruskan dahulu jadual kerja, dan akhirnya memohon cuti. Kami pulang ke Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat, 29 Oktober 2021. Rancangan asal adalah untuk balik ke Kuala Lumpur selama seminggu.

Pada hari Jumaat, 5 November 2021 aku sedang sibuk menyunting sebuah manuskrip di komputer, anak-anak masih tidur. Tiba-tiba Cikgu Norizan Yong menalefon ibuku, ditanya akan keberadaanku di Kuala Lumpur. Beliau memberitahu ibuku berita duka bahawa teman sekolahku, saudara Umar Muhajir bin Ghazali telah meninggal dunia. Ibuku terkejut dan memberi tahu ku. Segera aku cari talifon bimbit dan membuka grup WhatsApp Batch-13 MATRI. Terlalu leka menyunting, pagi itu aku tidak memeriksa talifon bimbit.

Ada mesej dari Muhammad Radhi Abdul Rahman pada jam 7.19 pagi.

"Sahabat kita, Umar Muhajir telah meninggal dunia, mungkin dalam lepas isyak malam tadi" tulis beliau.

Kemudian, ada mesej pada jam 7.23 pagi yang dipanjangkan oleh Izzat Ibrahim.

"Assalamu’alaikum wbt. Kpd Adik2 Abang yg dikasihi. Pada pagi Jumaat yg mulia ini,  Abang menerima panggilan telefon (jam 5:38pg) drpd Rohana menyampaikan berita yg amat menyedihkan. Ingin diberitau bhw. Muhajir Ghazali telah meninggal dunia semalam (mungkin selepas Isyak) di rumah rakannya di Jitra, Kedah.  Arwah kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar utk melalui proses post mortem  kematian. Menurut Rohana, Muhajir jatuh di dalam bilik air. "

Hati saya mula diresapi sedih, benarlah kini, bahawa sahabat saya Umar Muhajir telah tiada. Walaupun emosi tidak mahu menerima, akal rasional memujuk untuk menerima kenyataan. Kenangan bersama Umar terimbau jauh, bermula dari perkenalan di asrama Huffaz di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Asrama yang tersergam di depan ladang getah, wujudnya sayup, apabila angin bertiup gersikan daun-daun pokok getah akan membelai jiwa-jiwa kami, aman.

Dahulu ketika zaman persekolahan, aku selalu juga bertandang di rumah Umar di Arau, Perlis. Rumahnya terletak dalam kawasan sawah padi, ketika sawah padi menghijau, permandangan di rumah beliau sangat menakjubkan. Ketika di tingkatan 4 dan 5, Umar duduk di depan mejaku di dalam kelas, kami duduk dibelah belakang, dari meja kami boleh dilihat Bukit tunjung yang rimbun. Umar merupakan benteng penting bagiku untuk tidur. Biasanya aku akan tidur menyorok di belakang Umar supaya tidak dilihat cikgu di dalam kelas.

Umar antara pelajar yang cemerlang bersamaku ketika SPM. Namun berbeza dengan rakan-rakan lain, beliau tidak memilih untuk memasuki universiti awam. Beliau memilih untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni di One Academy meski pun kami bersama-sama berada di kelas aliran sains, beliau memilih aliran seni selepas sekolah. Beliau terkenal dengan karya-karya fotografi dan videografi. Beliau memilih untuk menggunakan nama Umar Mita sebagai nama penanya di medan seni, nama ini diambil sempena nama Ryoichi Mita (Umar Mita nama Islamnya) yang merupakan orang Jepun pertama yang menterjemahkan Al-Qur'an ke dalam bahasa Jepun.

Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, Umar adalah salah seorang sahabat yang sanggup turun dan menghantar saya hingga ke lapangan terbang. Malah beliau menulis di laman blognya Mitaumaru posting yang bertajuk Syed Ahmad Fathi, Dosvidanya! Beliau menulis:

"you've finally made it !
i'm happy for you !
Goodbye my dear friend..
Study well there..
we're gonna miss you here..
Selamat Belajar di Russia !
Dosvidanya !!"

Hari ini, aku pula yang harus mengucapkan selamat tinggal pada beliau. Namun bukan dosvidanya, kerana dosvidanya maksudnya adalah "hingga ketemu lagi" dalam Bahasa Rusia. Perginya Umar hari ini tidak ada lagi kembalinya. Kami tidak dapat bertemu lagi.

Pada bulan Oktober 2014, aku bersama Umar dan sahabat-sahabat lain sempat bersama-sama mendaki Gunung Tahan. Aku masih ingat apabila sampai ke puncak, melihatkan pemandangan yang menakjubkan, Umar berkata:

"MashaAllah, cantiknya macam di syurga!"

Pengalaman ini ada aku catitkan di dalam buku Gunung Tahan Hiking Log. Moga-moga kini Allah menerima sahabatku Umar untuk masuk ke dalam syurga yang sebenar, syurga yang jauh lebih cantik dan indah dari permandangan di puncak Gunung Tahan.

Sahabat kami Amirul Marzuki (lebih dikenali sebagai Aon) menulis kenangannya bersama Umar di Facebook. Umar dahulu sangat pandai berbahasa Inggeris dan menjadi rujukan rakan-rakan. Beliau malah terpilih sebagai pendebat bahasa Inggeris sekolah dan menang pertandingan debat antara sekolah. Aon juga menulis bagaimana dahulu mereka bersama-sama melintas jalan kereta api di Kampung Stesen, Arau, Perlis untuk ke pasar malam sebagai antara kenangan bersama melakukan perkara berbahaya. Selain terkenal dengan videografi dan fotografi, Umar juga meminati sukan lasak seperti rock climbingPassion Umar terhadap fotografi dan rock climbing ini ada didokumentarikan dan diterbitkan oleh Mirrah Syafiqah dan Khairul Ariffin dalam sebuah video yang bertajuk Umar Mita - Making The Move.

Kehilangan Umar Muhajir Ghazali sememangnya meninggalkan kesedihan yang dalam di hati. Seorang sahabat yang baik, kreatif dan sentiasa memberikan inspirasi. Damailah kau Umar di negeri abadi. Umar Muhajir "Sang Penghijrah" telah berhijrah ke alam abadi. Kita juga akan menyusul dan berhijrah ke sana satu hari nanti. Moga Allah mengampunkan dosa-dosa Umar, menerima semua amal soleh Umar, dan dimasukkan ke dalam syurga.

Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu.

Dalam kenangan,
Umar Muhajir bin Ghazali (Umar Mita)
01 May 1990 - 04 November 2021.

Sabtu, 23 Oktober 2021

Tujuan Menulis Bukan Untuk Menulis

Syed Hussein Alatas ada menulis tulisan yang bertajuk "Islam dan Sastera" dalam bukunya Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Ada satu perkara yang menarik yang beliau bahaskan dalam penulisan ini iaitu falsafah atau tujuan bagi seni dan sastera. Bagi beliau tujuan sastera bukanlah sastera itu sendiri, beliau tidak bersetuju dengan falsafah bahawa "seni untuk seni". Beliau menulis:

"Pandangan ini sebenarnya karut kerana dari segi hakikat wujud sesuatu, tujuan sesuatu itu luar dari wujudnya sendiri" (Ms. 98)

Beliau memberikan contoh dari perkara lain. Memasak misalnya, tujuan kita memasak bukan untuk memasak, tetapi untuk menyediakan makanan. Jika pun seseorang itu ingin memaknakan apa yang dikatakan "seni untuk seni" itu sebagai tidak mempunyai apa-apa tujuan, sekadar untuk kepuasan diri. Sebenarnya "kepuasan diri" itulah yang menjadi tujuan seninya dan memandu seninya. Jadi menurut Syed Hussein Alatas, seni untuk seni itu adalah mustahil.

Menulis adalah salah satu dari cabang sastera. Jadi boleh kita katakan bahawa tujuan menulis juga bukan untuk menulis, malah mustahil kita menulis untuk menulis. Setiap penulisan pasti ada maudhuk atau topiknya. Oleh itu tujuan penulisan bolehlah dikatakan adalah untuk menyampaikan sesuatu topik atau mesej. Mesej ini boleh jadi merupakan perasaan peribadi penulis, boleh jadi juga pemerhatian-pemerhatian objektif penulis yang diterjemahkan ke dalam bentuk pemikiran kemudian disusun dalam bentuk perkataan.

Jadi menulis bolehlah kita katakan, dalam falsafahnya yang paling asas adalah alat untuk menyampaikan sesuatu mesej. Seperti alat-alat lain, penulisan boleh jadi digunakan untuk kebaikan, dan boleh jadi digunakan untuk kejahatan. Seperti pisau, boleh kita gunakan untuk mengupas buah-buahan untuk dimakan, pisau yang sama boleh digunakan untuk membocorkan tayar kawan kita yang annoying yang kita benci. Sama juga dengan tulisan, boleh digunakan sebagai medium untuk menyampaikan nasihat-nasihat jujur yang mungkin boleh menghidupkan jiwa manusia, menarik mereka keluar dari lubang depresi. Penulisan yang sama juga boleh digunakan untuk memfitnah dan memaki hamun orang lain.

Oleh kerana itu, penulisan dan sastera sebenarnya tidak pernah neutral. Malah mungkin mustahil untuk bersifat neutral jika ditinjau dari pemikiran Syed Hussein Alatas. Sekuat mana pun seorang penulis untuk lari dari sebarang keterikatan, akhirnya dia tidak dapat lari dari ikatan yang mengikat kehidupannya. Ikatan ini termasuklah zaman ketika dia dilahirkan (ikatan masa), tempat geografi dia melalui kehidupannya (ikatan ruang), dan juga keadaan masyarakat yang mengelilinginya (ikatan sosial), dan seribu satu ikatan lain yang mungkin tidak tampak sebagai satu ikatan yang nyata namun mempunyai pengaruh tentang bagaimana dia berfikir, menulis dan bersastera. Kerana akhirnya tiada manusia yang bebas secara mutlak, seperti kata Jean Jacques Rousseau:
"Manusia dilahirkan bebas, tetapi dimana sahaja dia berada, dia digari"
Jika kita membaca buku bertajuk Orientalism tulisan Edward Wadie Said, ini merupakan permasaalahan yang beliau sendiri mengaku bahawa  beliau tidak mampu menyelesaikannya. Di sebelah tangan, beliau mengkritik tulisan-tulisan Orientalis Barat yang memburukkan bangsa Timur, merendahkan sifat mereka, serta mencemarkan kebaikan orang-orang Arab dan Islam. Bagi Said, perkara ini terjadi kerana Barat mempunyai kuasa politik, sosial, dan intelektual untuk menulis dan menggambarkan orang-orang Timur dengan gambaran yang reductionist dengan membuat generalisasi yang besar. Namun di sebelah tangan yang lain, Said mengakui bahawa dia tidak mempunyai solusi tentang bagaimana untuk menulis dan menggambarkan masyarakat dan tamadun lain dengan benar-benar objektif tanpa sebarang bias.
"Mungkin tugas yang paling penting adalah untuk menyediakan alternatif kontemporari untuk menggantikan Orientalisme, tentang bagaimana kita dapat mengkaji budaya dan masyarakat lain dari perspektif yang bebas, adil, dan tidak manipulatif...persoalan ini adalah persoalan yang tidak dapat saya selesaikan dalam kajian ini" (Orientalism, ms. 24)
Walaupun pemikir-pemikir seperti Rousseau dan Said merasakan bahawa manusia tidak mampu lari dari perspektifnya, saya merasakan ia bukanlah sesuatu yang binari, tetapi mempunyai spektrum. Kita mungkin tidak boleh menulis dengan seratus peratus objektiviti, tetapi kita masih boleh cuba untuk menghampirinya. Mungkin dengan 80 peratus atau 90 peratus objektiviti. Dan saya kira untuk melakukan perkara tersebut, kita perlu menanggalkan lensa-lensa ideologi yang mengaburi mata kita.

Ini bukanlah perkara yang mudah untuk dibuat, kerana boleh jadi seorang penulis itu sendiri tidak sedar bahawa dia sedang memakai lensa ideologi. Fahaman dan doktrin yang ditanam ke dalam minda manusia sejak dari lahir menyebabkan mereka tidak mampu membezakan fikirannya dengan ideologi. Malah mereka merasakan ideologi itu sebahagian dari dirinya, jika dipisahkan ia bagai memisahkan nyawa dari tubuh. Jadi penulisan yang ideologikal bagi pembaca, mungkin merupakan penulisan yang objektif dari pandangan penulis.

Selain dari menanggalkan lapisan ideologi, saya kira untuk sesuatu penulisan itu menghampiri objektiviti, ia harus kembali pada falsafah awal Alatas tadi, perihal tujuan dan niat penulis. Tentang apa yang menggerakkannya untuk menulis. Mungkin pada awalnya seseorang penulis menulis dengan lensa yang tebal dengan ideologi, namun dalam masa yang sama dia berjanji pada dirinya untuk menerima kebenaran seiring penemuan-penemuannya semasa beliau menulis dan mengkaji. Mereka berniat dan berjanji untuk mengikuti bukti, walaupun ia bertentangan dengan ideologi asalnya. Dalam kata lain, sejak dari awal dia bersedia untuk mengubah posisinya dengan kemunculan bukti dan fakta baharu. Terdapat banyak contoh penulis sebegini, mungkin jika ingin dinukil satu contoh untuk rujukan lanjut adalah kisah penulisan Joram van Klaveren.

Penulisan ini telah jauh tersimpang, bermula dari buku Syed Hussein Alatas, ia telah menceroboh ke ruang pebahasan yang lain. Saya kira elok jika kita pulang ke pangkal jalan dan membuat sedikit kesimpulan. Bagi Alatas penulisan mestilah mempunyai tujuan lain diluar kewujudannya, dan tujuan lain ini, seperti tinjauan kita tadi boleh jadi merupakan alat kepada ideologi, baik ditulis dengan sedar, separa-sedar, atau tanpa sedar. Dalam kata lain, ia bukan lagi penulisan yang objektif tetapi berubah menjadi propaganda. Tetapi kita juga telah bahaskan tadi bahawa kita tidak mampu untuk lari darinya, memang penulisan merupakan alat untuk menyampaikan sesuatu mesej. Jadi apa yang boleh kita lakukan adalah mengurangkan ketebalan lensa ideologi kita dalam masa yang sama berjanji pada diri untuk menerima bukti dan bersedia untuk mengubah posisi.

Tujuan menulis bukan untuk menulis, tetapi untuk mencari dan menyampaikan kebenaran.

Jumaat, 22 Oktober 2021

Catatan Baitul Muslim 47: Kawan Adik Nama Atif

 

Pada satu hari, ketika Idlan berumur 3 tahun, out of the blue, dia berkata padaku bahawa di taska dia mempunyai kawan bernama Atif. Idlan ini menurut amatan saya sangat kuat ingatannya. Pernah kami ke rumah saudara mara di Alor Setar. Ada anak yang lebih tua umur darinya bermain crane truck dan meminjamkan padanya untuk bermain. Kemudian dia tidak mahu memulangkan crane truck tersebut. Tetapi sesudah puas dipujuk akhirnya dia pulangkan. Selepas beberapa tahun dia masih ingat kejadian itu, sering kali apabila bermain crane truck dirumah dia akan berkata "crane truck macam abang tu punya" tanda ingatannya pada peristiwa itu.

Apabila dia masuk ke taska, apabila pulang dipetang hari. Saya selalu tanya siapa nama kawannya, nama cikgunya. Jawapan yang saya selalu terima adalah "tak tau". Jadi apabila satu hari dia memberi tahu bahawa kawannya bernama Atif, saya sedikit teruja. Pertamanya ia merupakan tanda dia sudah mempunyai kawan di taska. Kedua, bagi saya ia adalah satu pencapaian sosial. Kita sering mengukur pencapaian akademik. Tapi jarang sekali kita mengukur kemampuan sosial anak-anak.

Mempunyai kawan di luar dari lingkungan keluarga merupakan satu pengalaman berharga. Kita sendiri sangat menyayangi kawan-kawan, malah mungkin ada diantaranya yang kita anggap seperti keluarga sendiri dek kerana keakrabannya. Pengalaman bersahabat dalam hidup merupakan satu pengalaman yang berharga dan membahagiakan.

Kakaknya Amni, dahulu juga sering membawa nama kawan-kawannya ke rumah. Saya selalu menyebut nama kawan-kawannya semasa sembang-sembang bersama anak-anak. Agar mereka merasakan bahawa kita ambil tahu dan mengenali rakan-rakannya. Jadi tidaklah mereka merasakan keluarga satu dunia, tempat belajar satu dunia yang lain yang terpisah. Nama kawan-kawan ini juga mampu menjadikan komunikasi lebih berkesan, anak-anak merasakan bahawa kita berkomunikasi dengan mereka dalam keadaan kita mengetahui keadaan sekeliling mereka.

Oleh itu apabila Idlan sudah pandai menyebut nama kawan sepermainannya, pantas saya menggunakannya sebagai "vocab" tambahan dalam komunikasi dengannya. Jika ada hari dia rasa tidak mahu ke taska, saya akan menggunakan vocab baru ini. Saya akan memujuk "kesian Atif nanti dia pergi school nak main dengan adik tapi adik tak datang school". Balik sekolah juga perbualan menjadi lebih spesifik. Jika sebelum ini hanya bertanya "adik main apa dengan kawan-kawan?", sekarang soalan boleh diubah kepada lebih spesifik "adik main apa dengan Atif hari ini?". Jadi saya boleh bersembang dengan lingo yang dia rasakan dekat dengannya dan dia boleh relate dengan soalan tersebut. Jika jawapannya sebelum ini "tak tau" sekarang jawapannya "adik main lawan-lawan". 

Perkara ini mungkin kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi saya ia adalah unsur penting dalam mengayakan komunikasi dengan anak-anak. Komunikasi yang lebih berkesan, bukan sekadar berbasa-basi tetapi ada unsur personal touch

Selasa, 19 Oktober 2021

Biodata & Sosok Peribadi Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam

 

Penulisan ini merupakan nota program Cinta Rasul yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom pada hari Selasa, 19 Oktober 2021 di mana saya dijemput menjadi panel bersama Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Adni Abd Razak sebagai rakan panelis. Ustaz Abd Hadi Abu Kassim menjadi moderator pada program ini. Program ini merupakan anjuran Biro Pembangunan Keluarga HALUAN Negeri Kedah bersama Sekolah Rendah Islam Ummi (SeRU).

Pengenalan

Setiap tahun kita menyambut kelahiran Nabi Muhammad dalam sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini tidak seharusnya dijadikan acara tahunan bagi bergaduh sesama kita perihal persoalan sama ada ia adalah sambutan yang baik atau pun merupakan bid’ah. Sebaliknya ia perlu digunakan sebagai wadah untuk kita memperingati kekasih agung kita, membaca kisah-kisah baginda serta memperbaharui kecintaan kita kepada Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam. Pada penulisan ringkas ini, kita akan melihat semula sebahagian dari kisah kehidupan baginda serta akhlak dan peribadi baginda.

Biodata Ringkas Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam

Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam adalah Nabi yang paling hebat dalam sejarah. Mengapa kita mengatakan Nabi Muhammad paling hebat?

Allah berfirman:

“Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Surah Al-Baqarah 2: 253) [1]

Jadi dari ayat ini kita fahami bahawa nabi-nabi ini mempunyai martabat dan darjat yang berbeza disisi Allah. Ada nabi yang kisahnya diceritakan di dalam Al-Qur’an dan ada juga yang tidak diceritakan. Setiap dari mereka diuji dengan tribulasi yang berbeza untuk mengangkat darjat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Dan Nabi Muhammad merupakan Nabi yang diuji dengan ujian yang paling berat. Menurut Mufti Ismail ibn Musa Menk, Nabi Muhammad merupakan insan yang paling disayangi Allah, tetapi Allah tidak memberi segala kesenangan dunia kepada baginda. [2] Oleh itu kita dapat fahami bahawa, jika Allah tidak memberi kesenangan dunia kepada kita, itu tidak bererti Allah tidak sayang kepada kita. Sedangkan Rasulullah sendiri tidak hidup dalam kesenangan, tetapi Allah memberi pada baginda ketenangan hati.

Ayah baginda wafat sebelum kelahiran baginda. Baginda lahir pada zaman ketika mana manusia belum lagi mempunyai teknologi seperti elektrik, kereta, smart phone, atau roket, tetapi beliau merupakan insan yang dipilih Allah untuk menjadi Rasul. Rasulullah yatim sejak lahir. Mengapa Allah memilih seorang yang yatim sebagai insan yang paling mulia? Ini kerana Allah ingin memberi ketenangan kepada anak-anak yatim lain di dunia. Seorang yatim itu bukan menjadi yatim kerana tidak disukai Allah, tetapi mungkin kerana Allah lebi sayang pada mereka jadi Allah menjadikan mereka yatim seperti yatimnya Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad kemudian disusukan oleh Halimatus Sa’diyah, pada ketika dalam jagaan Halimatus Sa’diyah ini Allah menghantar malaikat Jibril untuk membersihkan hati baginda. Beliau kemudian pulang ke pangkuan ibunya pada umur 5 tahun, dan dalam sesetengah riwayat, ibunya meninggal dunia ketika dia berumur 6 tahun. Hari ini umur 6 tahun ini adalah umur tadika, belum masuk darjah 1. Segala kesusahan ini tidak bermakna Allah tidak mencintai baginda Rasul, oleh itu jika kita menghadapi cabaran dan kesusahan dalam hidup, itu tidak bermakna Allah tidak sayang kita, tetapi Allah mahu kita lebih dekat dengan-Nya. Kita kena sentiasa mensyukuri apa yang kita ada, dan mengetahui bahawa setiap orang diuji dengan masalah. Semakin berat ujian itu semakin Allah mahu kita mendekati-Nya.

Selepas itu Nabi dijaga oleh datuknya, namun selepas 2 tahun, datuknya pula meninggal. Bayangkan pada umur 8 tahun (darjah 2), kita sudah kehilangan 3 orang yang kita cintai, orang yang membesarkan dan menjaga kita. Saya sendiri kehilangan ayah pada umur 30-tahun, perasaan sedihnya itu tak mampu diungkapkan. Kemudian Nabi dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Abu Thalib merupakan ayah kepada Ali Radiallahu-anhu, tetapi Ali pada ketika itu belum lagi lahir.

Apabila Rasulullah semakin membesar dan semakin dewasa, baginda dikenali oleh masyarakat pada ketika itu sebagai orang yang boleh dipercayai “Al-Ameen”. Jadi kita pula bagaimana? Adakah ibu, ayah, guru, cikgu kita merasakan kita ini seorang yang jujur dan boleh dipercayai. Adakah orang kampung kita kenal kita sebagai seorang yang baik? Hatta sebelum baginda dilantik menjadi Nabi, masyarakat merujuk kepada beliau untuk menyelesaikan perbalahan yang ada. Sebagai contoh, pada ketika kaum-kaum di Mekah berbalah siapa yang lebih layak meletakkan Hajar-ul-Aswad, Nabi Muhammad dirujuk dan setiap kaum menerima resolusi yang diberikan oleh baginda.

Sosok Peribadi Rasulullah Sallallahu-alaihi-wasallam

Keperibadian Rasulullah ini sangat tinggi dan boleh kita lihat dari pelbagai sudut. Dan banyak penulis yang menulis tentang peribadi Rasul dari pelbagai sudut. Ada yang menulis peribadi Rasulullah ketika perang, bagaimana berinteraksi dengan musuh. Ada yang menulis peribadi Rasulullah dalam menjadi pemimpin masyarakat. Ada juga yang menulis bagaimana Rasulullah mendidik anak-anak, contohnya buku Children Around The Prophet tulisan Dr. Hesham Al-Wadi. Di kesempatan yang singkat ini saya ingin berkongsi peribadi Rasulullah berurusan dan berinteraksi dengan manusia.

Sheikh Abi Khalid Aiman bin Abdul Aziz menulis berkenaan “Syamail Rasul” (penampilan atau keperibadian Rasul) bahawa Rasulullah adalah orang yang paling baik wajahnya dan paling baik perangainya. [3] Rasulullah ini bukanlah seorang yang suka berkata “fahisyan” – perkataan-perkataan kotor. Sedangkan dalam kalangan kita ada sesetengah orang yang fahisyan ini menjadi sifat mereka. Gurauan mereka penuh dengan kata-kata kotor, carutan, dan maki hamun, malah hari ini sosial media mereka penuh dengan perkataan-perkataan kotor. Kata-kata kotor ini seolah-olah menjadi zikir mereka. Dan nabi bukan “mutafahish” – iaitu orang yang apabila dia marah dia mengeluarkan kata-kata yang kotor. Jadi kita juga kena berhati-hati, menjaga perkataan ketika marah, sebaik-baiknya kita diam dan tunggu lepas kemarahan reda. Jangan apabila bergaduh kita menengking kawan kita.

Nabi juga bukan seorang yang suka menjerit-jerit suaranya, seperti orang-orang di pasar. Nabi bukan seorang yang suka jerkah-jerkah orang ketika berkata-kata. Rasulullah juga sangat pemaaf orangnya, baginda tidak pernah membalas sesuatu kejahatan dengan kejahatan. Beliau juga tidak pernah membalas kezaliman yang dilakukan kepada dirinya kecuali perkara yang dilakukan itu melanggar suruhan Allah. Jika seseorang itu melanggar perintah Allah baru kita lihat Rasulullah marah. Jadi inilah peribadi Rasul yang kita kena contohi, mendahulukan kepentingan Allah dari kepentingan diri sendiri.

Rasulullah juga sifatnya memudahkan urusan manusia. Jika diberi pilihan, Rasulullah sentiasa memilih yang senang selagi mana ia tidak berdosa. Dalam Islam ini ada perkara-perkara yang bersifat usul (tsawabit) seperti ke-Esa-an Allah dan ada perkara yang furu’ (mutaghaiyirat) – perkara yang ada pelbagai pandangan mazhab seperti dalam fiqh dan muamalah. Jadi dalam hal-hal pilihan ini kita boleh memilih yang lebih mudah. Jadi kita juga perlu begitu, perlu ada toleransi, dan sifat memahami seperti Nabi, kita memudahkan urusan orang lain.

Selain itu sifat peribadi Rasulullah adalah beliau tidak pernah memukul dengan tangan baginda. Baginda tidak pernah memukul hamba, perempuan, atau khadam melainkan ketika jihad fi sabilillah. Kata Anas Radiallahu-anhu “Aku berkhidmat kepada Rasululullah 10 tahun (ashara sinin), tak pernah baginda katakan kepadaku uff (hei), tak pernah juga baginda bertanya kenapa akan perbuatanku, iaitu kenapa kau berbuat begitu? tidak pernah juga akan perkara yang aku tertinggal, baginda bertanya kenapa tidak kau lakukan?”.

Rasulullah sangat menjaga hubungan sesama manusia. Jika baginda berjabat tangan (bersalaman) dengan seseorang, baginda tidak akan mengangkat tangannya melainkan orang yang bersalam dengannya telah mengangkat tangan. Jika bercakap dengan seseorang, baginda akan menghalakan wajahnya dan perkataannya kepada orang itu, sehingga orang itu merasa dia adalah orang yang dekat dengan nabi, dan dia rasa bahawa Nabi sayang padanya. Seperti kata Amru Bin Asr, apabila beliau masuk Islam dan bercakap dengan Nabi, dia rasakan seolah-olah Nabi paling sayang pada dirinya. Setiap sahabat Nabi rasa mereka disayangi, mereka rasa mereka paling dekat dengan Nabi. Tapi apabila ditanya Nabi, siapa yang dia paling sayang, jawapan baginda adalah Abu Bakr.

Kata Jarir Ibni Abdillah Radiallahu-anhu “Rasulullah tak pernah tengok aku selepas aku Islam, (illa tabassum) melainkan bila dia tengok aku dia senyum”. Kata Abdullah bin Harith “Aku tidak pernah melihat orang yang paling banyak senyum lebih dari Rasulullah”.

Kesimpulan

Semoga dengan penulisan ini kita dapat memperbaharui semula kecintaan kita pada baginda nabi. Dari kisah awal kehidupan baginda kita dapat fahami bahawa segala ujian dan cabaran itu bukanlah bermakna Allah tidak sayang akan seseorang tetapi sebaliknya, dari perjalanan hidup baginda kita dapat fahami bahawa Allah sentiasa menguji hamba-hambanya yang dia kasihi. Kita juga telah melihat keperibadian baginda termasuklah tidak berkata kotor, pemaaf, memudahkan manusia, bercakap baik dengan manusia serta selalu menghadiahkan senyuman. Ini semua adalah sifat-sifat yang perlu kita contohi dan amalkan atas dasar kecintaan kita pada baginda.

Rujukan:

[1] Al-Qur’an. Surah Al-Baqarah. (2:253)

[2] Ismail ibn Musa Menk (Mufti Menk). The Storyof Prophet Muhammad. Light Upon Light Winter Conference, 1 Januari 2021. 

[3] Mohd Asri Zainul Abidin. Akhlak dankeperibadian Nabi SAW / Karomah Usaid dan Abbad R.A. (Dirakam pada 01 Mac 2011). Islam Itu Indah, 2 Jun 2013. 

Cahaya Terakhir di Kelopak Mata


Angin sejuk berlalu di malam hari,
mengusik jiwa dengan sepi yang melingkari,
mungkin lembaran-lembaran dapat membantu,
membuang batu-batu dari kalbumu.

Dunia yang kau genggam ini hari,
ibarat pasir pantai dicelahan jemari,
akhirnya akan berguguran jua,
walau sekuat mana kau mengenggamnya.

Maka tinggalkanlah sedikit kata,
buat generasi seterusnya di semesta,
sebelum hilangnya,
cahaya terakhir di kelopak mata.

Isnin, 18 Oktober 2021

Sejarah Penulisan dan Periwayatan Kitab Perjanjian Baru


Saya sebenarnya sudah lama mengenali Bart D. Ehrman melalui video-video beliau di Youtube. Hampir semua syarahan, temubual, dan perdebatan beliau telah saya tontoni tanpa jemu. Malah hampir setiap hari saya mendengarnya. Mungkin syarahan beliau adalah syarahan kegemaran saya selepas Chomsky dan Zinn. Atas minat saya perihal syarahan-syarahan beliau, akhirnya saya membeli buku beliau yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. Saya dapati gaya penulisan beliau sangat mirip dengan cara syarahan beliau, energetic, persuasive, passionate dan convincing. Saya hanya mengambil masa 10 hari untuk menghabiskan buku beliau, walhal ada buku yang saya masih baca sejak tahun lalu pun belum dihabiskan!

Beliau memulakan penulisannya dengan autobiografi, perjalanan peribadi beliau, bagaimana beliau masuk ke dalam bidang kajian manuskrip perjanjian baru (New Testament studies) dengan fokus pada kritik tekstual (textual criticism). Perkara ini bermula ketika remaja, apabila beliau merasa kekosongan hidup dan berjumpa seorang brother bernama Bruce. Bruce meyakinkan beliau kekosongan hidup yang dirasainya adalah kerana ketiadaan Jesus dalam dirinya. Bart kemudian mengikuti Bruce dan menjadi born again Christian, mengikuti aliran Evangelikal pekat yang percaya bahawa Bible adalah perkataan dari Tuhan tanpa sebarang kesilapan (inerrant word of God).

Komitmen beliau terhadap Bible ini kemudian diteruskan dengan pengajian beliau di sebuah institusi fundamentalis bernama Moody Bible Institute. Masih tidak berasa puas, beliau menyambung pengajian ke institusi lebih tinggi di Wheaton dan kemudian di Princeton untuk menguasai bahasa kuno Yunani bagi membolehkannya membaca Kitab Perjanjian Baru dalam bahasa asal mereka ditulis. Pengajian tinggi ini akhirnya membuka mata Bart bahawa terdapat pelbagai kesilapan dan berbezaan antara manuskrip-manuskrip Kitab Perjanjian Baru. Beliau akhirnya menukar fikiran dan tidak lagi berpegang dengan fahaman fundamentalis evangelikal.

“The Bible began to appear to me as a very human book. Just as human scribes had copied, and changed, the text of scripture, so too had human authors originally written the texts of scripture. This was a human book from beginning to end” (11)

Dalam menelusuri sejarah awal Kristian, Bart Ehrman mengemukakan bagaimana agama Kristian berbeza dari agama polytheist dan agama pagan pada zamannya dari sudut sifatnya yang bookish – menutamakan kitab (ahli kitab). Agama polytheist dan agama pagan tidak mempunyai doktrin moral dan etika seperti agama berpandukan kitab, bukan bermaksud mereka tidak bermoral atau tidak beretika tetapi moral dan etika bukan sebahagian dari agama tetapi dianggap sebahagian dari falsafah peribadi. Berbeza dengan Kristian, mereka tidak mempunyai “kod etika” atau “doktrin yang benar” tetapi agama pagan lebih memfokuskan tentang bagaimana untuk menyembah tuhan dengan berkorban dan acara ritual. (19)

Selain Gospels (tulisan perihal kisah hidup Jesus), kebanyakan kandungan Kitab Perjanjian Baru adalah surat-surat yang ditulis Paul dan pemimpin awal Kristian kepada komuniti dan sesetengahnya kepada individu. Contohnya Galatians dan Corinthians (tempat), juga pada Philemon (individu). (22) Masalah utama dengan Kitab Perjanjian Baru adalah ketiadaan manuskrip asal (autograf), sebaliknya apa yang ada adalah manuskrip-manuskrip terkemudian yang merupakan salinan beratus-ratus tahun selepas salinan asal ditulis. Dan salinan kepada salinan kepada salinan kepada salinan ini dipenuhi dengan kesilapan dan perbezaan. Untuk menyelesaikan masalah ini, scholar (cendiakawan) membuat penilaian kritis terhadap teks (textual criticism) sebagai cubaan untuk menentukan tulisan asal (original). Walau bagaimanapun perbezaan ini terlalu banyak sehingga sesetengah cendiakawan merasakan usaha untuk menentukan tulisan yang original ini tidak mungkin dicapai. Dalam kata lain tulisan asal ini telah hilang dan tidak lagi wujud. (58)

Antara sejarah penulisan Kitab Perjanjian Baru yang diketengahkan oleh Ehrman adalah bagaimana Desiderius Erasmus menerbitkan edisi pertama Kitab ini dalam bahasa Yunani. Namun edisi Erasmus ini menimbulkan kontroversi kerana ia tidak mempunyai ayat penting dari 1 John (5:7-8) atau ayat yang lebih dikenali sebagai Johannine Comma. Ayat ini sangat penting kerana ia merupakan ayat penting untuk menjadi dalil kepada tiga tuhan (triune God) atau lebih dikenali sebagai doktrin triniti. Ayat ini tiada dalam kebanyakan manuskrip Yunani yang dirujuk oleh Erasmus oleh itu Erasmus tidak memasukkannya, tetapi ayat tersebut ada dalam manuskrip Vulgate dalam bahasa Latin. Erasmus berjanji akan memasukkan ayat tersebut pada edisi seterusnya dengan syarat pengkritiknya dapat memberikan manuskrip Yunani yang mempunyai Johannine Comma. Lalu pengkritiknya menterjemahkan ayat tersebut dari Latin, dan mencipta sebuah manuskrip Yunani baharu dan diserahkan pada Erasmus. Dari manuskrip yang dicipta ini, Erasmus memasukkan semula ayat tersebut pada edisi beliau yang baharu. (81-82)

Kebanyakan kesilapan dari manuskrip-manuskrip yang ada adalah kesilapan kecil yang tidak disengajakan, hal ini disebabkan oleh scribes yang tidak fokus, tidak attentif, mengantuk, atau tersilap. Namun terdapat banyak perbezaan-perbezaan yang disengajakan. Dan para cendiakawan dan pengkaji secara majoritinya bersetuju bahawa teks asal telah diubah. Yang menjadi pertikaian cendiakawan adalah bacaan mana yang merupakan bacaan asal apabila membandingkan perbezaan bacaan dalam kalangan manuskrip ini. (94)

Perubahan bacaan ini juga menjadi perdebatan sentral dalam perpecahan Katolik dan Protestan. Oleh kerana manuskrip-manuskrip ini terdapat banyak masalah, scripture (kitab) tidak dapat dijadikan satu-satunya sumber agama tetapi ia perlu kepada panduan apostolic tradition (autoriti Pope) hujah kelompok Katolik. Ini bertentangan dengan pandangan golongan Protestan yang bergantung penuh pada kitab melalui konsep sola scriptura. Richard Simon menkritik fahaman Protestan menulis:

“The great changes that have taken place in the manuscripts of the Bible…since the first originals were lost, completely destroy the principle of the Protestants…, who only consult these same manuscripts of the Bible in the form they are today. If the truth of religion had not lived on in the Church, it would not be safe to look for it now in books that have been subjected to so many changes and that in so many matters dependent on the will of the copyists”. (104)

Salah satu metodologi yang digunakan oleh cendiakawan dalam menentukan bacaan original adalah mengutamakan bacaan yang sukar. Logik dari metodologi ini adalah tendensi scribes untuk memudahkan bacaan apabila mereka menjumpai ayat yang sukar. Formulasi ini diasaskan oleh Johann Albrecht Bengel yang berbunyi “the more difficult reading is preferable to the easier one”. (111) Antara doktrin utama Kristian adalah ketuhanan Jesus. Bart Ehrman membawakan kisah pengkajian cendiakawan bernama Johann J. Wettstein yang diberi akses untuk mengkaji antara manuskrip tertua iaitu Codex Alexandrinus di England. Kajian Wettstein mendapati ayat-ayat yang digunakan untuk dijadikan dalil ketuhanan Jesus secara tipikal mempunyai masalah teks (dalam kata lain, ayat-ayat ini telah diubahsuai). Apabila masalah ini diselesaikan menggunakan metodologi kritik teks, dalam kebanyakan kes bacaan sebenar tidak mengakui ketuhanan Jesus. (113)

Pada pandangan Ehrman, kebanyakan naskah terjemahan Kitab Perjanjian Baru dalam bahasa Inggeris yang ada pada hari ini adalah berdasarkan teks yang salah. Teks yang salah ini menatijahkan tafsiran yang salah pula dibuat ke atasnya. Dalam kata lain, tafsiran yang dibuat tidak dapat menyampaikan maksud penulis asal. (127) Antara motif perubahan teks ini adalah kerana terdapat perdebatan perihal teologi pada fasa permulaan agama Kristian dan scribes yang menyalin semula manuskrip ingin memastikan bahawa teks yang disalin menyokong teologi mereka. Perkara ini berlaku pada peringkat awal sebelum kemunculan scribes yang dilatih secara professional. Peringkat awal ini, iaitu pada abad ke-2 dan ke-3 permulaan agama Kristian, persoalan teologi masih belum konklusif (aliran yang boleh dianggap orthodoks belum wujud). Ada Kristian yang mengakui ke-Esa-an tuhan (hanya ada satu tuhan), ada yang mengakui adanya dua tuhan (tuhan perjanjian lama dan tuhan perjanjian baru), ada juga yang mengatakan tuhan itu ada 12 malah ada yang mengatakan ada 365 tuhan! (152)

Bart Ehrman kemudian membawa pembaca menganalisa perubahan-perubahan yang dibuat bermotifkan teologi ini. Yang pertama adalah perubahan “anti-adoptionist”. Ada kelompok adoptionist yang mengatakan bahawa Jesus bukanlah tuhan tetapi manusia biasa yang diangkat (adopted) menjadi anak tuhan. Scribes menukar ayat-ayat yang menyokong fahaman adoptionist ini – oleh itu perubahan yang dilakukan ini ditermakan sebagai “anti-adoptionist”. (155-157) Motif teologi perubahan teks seterusnya adalah perubahan “antidocetic”. Pengikut docetist berfahaman bahawa Jesus adalah keseluruhannya tuhan tapi dia kelihatan seolah-olah seperti manusia. Antara tokoh yang memegang pada fahaman ini adalah Marcion. (162-165) Motif perubahan disebabkan teologi yang terakhir adalah perubahan “anti-separationist”. Golongan separationist ini berfahaman bahawa Jesus terpecah kepada dua bentuk, satu, keseluruhannya adalah tuhan manakala bentuk yang kedua, keseluruhannya adalah manusia. Fahaman separationist ini dipegang oleh aliran Gnostic. Scribes membuat perubahan ke atas teks bagi melawan semua pandangan-pandangan teologi yang dirasakan tidak betul. (170-175)

Selain motif teologi, ada juga perubahan-perubahan keatas teks yang dibuat berdasarkan faktor sosial. Motif sosial ini termasuklah fahaman untuk melimitasikan peranan wanita dalam gereja, penentangan ke atas kaum Yahudi yang dianggap “pembunuh tuhan” (Yahudi dipersalahkan kerana dikatakan berkonspirasi membunuh Jesus), dan penentangan terhadap musuh-musuh pagan. (177-206)

Menurut pandangan Ehrman, Bible versi Raja James (King James Version) banyak bergantung kepada edisi Erasmus dimana Erasmus mengambil sumber dari satu manuskrip abad ke-12 yang merupakan manuskrip paling teruk berbanding manuskrip-manuskrip lain yang ada. Oleh sebab itu kebanyakan terjemahan moden berbeza dengan versi Raja James. Ehrman mengkritik golongan Kristian yang berpura-pura seolah-olah tiada masalah pada edisi Bible mereka, seolah-olah tuhan menurunkan kitab dalam bahasa Inggeris versi Raja James dan bukannya dalam bahasa asalnya iaitu Yunani. Bagi Ehrman, semua edisi mempunyai perkataan yang telah ditukar, malah ada tempat-tempat yang tidak dapat dipastikan apakah bacaaan asalnya. (209)

Dalam kesimpulannya, Ehrman menyatakan perubahan pemikiran beliau terhadap scribes yang menukar perkataan-perkataan dalam Kitab Perjanjian Lama, beliau semakin kurang judgemental terhadap mereka apabila mengkaji dan memikir dengan lebih dalam permasaalahan. Bagi Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkan teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya, atau dalam bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Hal ini dapat kita lihat dari penafsiran teks-teks yang ada. Contohnya teks agama. Teks yang sama ditafsirkan dengan berbeza bagi setiap pentafsir. Teks yang sama juga boleh melahirkan pelbagai pemikiran, mazhab dan ideologi yang berbeza. (216)

Buku ini sememangnya ditulis dengan gaya yang mudah dan seronok dibaca walaupun pada asasnya ia membahaskan topik yang akademik dan ilmiah. Mungkin inilah kelebihan Bart Ehrman berbanding cendiakawan-cendiakawan lain dalam bidang kajian yang mengkaji Kitab Perjanjian Baru. Walaupun dari sudut isi, apa yang diceritakan beliau bukanlah satu fakta yang baru tetapi fakta yang telah lama diketahui oleh pengkaji dan cendiakawan. Gaya penulisan dan persembahan yang membuatkan karya beliau berbeza dan mendapat sambutan yang luar biasa. Buku ini sudah pasti akan menukar pandangan anda pada Kitab Perjanjian Baru dan membuatkan anda untuk mencari lebih banyak buku-buku tulisan beliau.

Rujukan: Buku yang dirujuk dalam penulisan ini adalah buku yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why tulisan Bart D. Ehrman versi kulit lembut (paperback) dengan jumlah mukasurat sebanyak 266 mukasurat. Ia diterbitkan oleh Harper One pada tahun 2005. Nombor didalam kurungan dalam penulisan ini mewakili mukasurat yang dirujuk dalam naskah ini.

Jumaat, 15 Oktober 2021

Talbis Tuah Naim al-Kalantani


Semalam selepas seharian penat bekerja, abang posmen mengutuskan sebuah bungkusan. Bila dibuka, didapati sebuah skrip drama didalamnya. Tidaklah begitu tebal, berbanding ilusi pada gambar promosi, hanya 100 mukasurat dan boleh dihabiskan dalam sehari.

Skrip drama pentas bangsawan bertajuk "Talbis Tuah" ini merupakan hasil tangan pengkritik sastera dan wali agung dari ASWARA (jangan tertukar dengan ASWAJA), Naim al-Kalantani atau nama sebenarnya Naim bin Abd Aziz. Beliau aktif mengkritik karya sastera tempatan dan kadang kala bergaduh dengan penerbit tempatan.

Saya bukanlah pengkritik sastera, jadi tulisan ini hanya bingkisan ringkas saya sebagai pembaca umum perihal hasil tangan sulung beliau ini. Naskah ini adalah naskah genre "historical fiction", sebuah cerita yang punya susur galur sejarah, tetapi telah ditokok tambah untuk menjadikannya lebih dramatik dan mungkin untuk menjadikannya sinematik.

Inti falsafah utamanya adalah persoalan keadilan undang-undang, juga kesetaraan aplikasi undang-undang tersebut. Sebuah undang-undang itu tidak semestinya adil atau bermoral. Dalam bahasa asing disebut "legal does not mean moral". Sebagai contoh, banyak undang-undang dalam sejarah yang kini tidak lagi dianggap bermoral seperti undang-undang perhambaan manusia, undang-undang kolonial, pada zamannya ianya dianggap legal, walaupun ia bersanggahan dari sudut moral. Legality bersifat tidak tetap, ia berubah sepanjang zaman. Apa yang dianggap legal pada satu ketika dahulu mungkin tidak lagi legal hari ini. Moral pula lebih tetap sifatnya, ia tidak berubah sepanjang zaman (walaupun mungkin pengikut fahaman relativisme akan mengatakan moral juga berubah mengikut zaman dan masyarakat).

Contoh internasional yang saya suka perihal hal ini adalah apa yang ditunjukkan dan dibawakan oleh Prof. Howard Zinn. Zinn during his heyday aktif melawan kerajaan Amerika Syarikat untuk menamatkan Perang Vietnam. Beliau membawakan idea "civil disobedience" sebagai satu taktik politikal yang legitimate untuk melumpuhkan kerajaan yang bersifat dengan sifat kejam dan tidak waras. Dalam kata lain, ketika undang-undang berdiri untuk melaksanakan kekejaman dan ketidak-adilan, tugas masyarakat tercerah adalah mengingkari undang-undang tersebut bukan tunduk patuh mengikutinya atas dasar "kedaulatan undang-undang".

Berbalik kepada hasil tangan wali ASWARA, latar kisah beliau adalah perihal Sultan Mahmud di Melaka yang kejam dan gila perempuan. Manakala Laksamana Tuah menuruti semua kehendak Sultan yang pada hematnya satu keperluan kerana menurut Kanun Negeri, Sultan itu tidak mungkin terkhilaf. Manakala adik bongsunya Lekiu lebih waras dan utuh berpegang pada ajaran agama Islam. Bagi beliau arahan yang menyanggahi kewarasan dan hukum agama tidak wajar dilaksanakan. Perbezaan ini mengakibatkan pertempuran antara Tuah yang taat, dengan Lekiu yang waras.

Mungkin sedikit kritik saya perihal naskah ini adalah perihal dialognya. Latar yang dipilih adalah latar klasik dan tradisional, namun ada dialognya yang kedengaran seperti bahasa Melayu Moden, bahasa yang nuansanya sama dengan bahasa yang dipertuturkan oleh budak-budak KL yang melepak di stesen LRT. Contohnya dialog oleh Tun Mutahir:

"Itulah yang ayahanda nak beritahu"

Kedengaran begitu moden, terutamanya perkataan "nak". Mungkin dialog seperti ini boleh diklasikkan lagi sesuai dengan latar zamannya. Mungkin dialog yang lebih sesuai berbunyi seperti ini:

"Itulah yang ayahanda mahu khabarkan padamu".

Ini hanyalah satu contoh dari pelbagai dialog lagi dalam naskah ini. Saya merasakan dialog-dialog itu perlu lebih teliti dan perlu lebih diperhalusi, kerana banyak darinya bernuansa moden dan kedengaran seperti anachronism (dialognya tidak cocok dengan latar zamannya).

Ala kulli hal, tahniah saya ucapkan pada Naim atas karya penerbitan sulung beliau. Moga beliau terus maju di masa hadapan dengan karya dan penulisan yang kritis dan kreatif untuk anak bangsa.

Catatan Baitul Muslim 46: Abi, are you having fun?


Hampir 2 tahun kita terkurung akibat dari pandemik Covid-19. Hidup yang selama ini teratur menjadi caca merba, kita tidak tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, pergerakan terbatas dan kita tidak bebas. Ada manusia yang nasibnya lebih baik dari yang lain. Banyak juga yang dihempas ombak lain selain ombak pandemik, ada yang kehilangan mata pencarian, hilang pendidikan, malah ramai juga yang hilang nyawa dan kehidupan. Apabila graf dilihat semakin melandai, kita mula merasakan ada harapan di hujung terowong. Dengan pengumuman kebebasan rentas negeri, kita akhirnya boleh menarik sedikit nafas setelah ditahan oleh kesesakan yang berpanjangan.

Antara kegusaran saya, dan mungkin juga ibu bapa lain diluar sana adalah pertumbuhan anak-anak mereka. Dengan sekolah yang tergendala, pembelajaran atas talian bukanlah solusi magik yang dapat mengembalikan suasana pendidikan sebenar. Pembelajaran itu bukan hanya proses mengetahui dan menghafal, ia juga adalah proses merasai, mendengar dan melihat sendiri di depan mata, juga melihat contoh dan perilaku pendidik. Semua ini begitu terhad untuk dinikmati anak-anak yang terkurung dalam norma baharu. Semuanya berlegar di belakang skrin. Jika sebelum ini hanya hiburan didapati dibalik skrin, kini pendidikan juga dibalik skrin. Adakah mungkin mereka mampu menjadi manusia sosial yang baik dengan keadaan ini? Persoalan ini menghantui saya.

Saya kira sekolah berfungsi lebih dari kelas. Sekolah juga merupakan tapak semaian anak-anak berjumpa manusia-manusia kecil lain seperti mereka. Tempat untuk belajar bersahabat, belajar berkongsi duka dan gembira bersama kawan-kawan, juga belajar bersosial melalui permainan. Aspek ini hampir semuanya hilang pada sesi pembelajaran skrin.

Kesan kurungan di rumah juga menghadkan aktiviti eksplorasi anak-anak. Anak saya yang pertama dahulu zaman kecilnya dipenuhi aktiviti-aktiviti luar ketika hujung minggu. Pergi memanjat bukit, menaiki bot, melihat pusat pemuliharaan penyu, mandi pantai, bermain di taman permainan, melawat perpustakaan, berkenalan dengan sanak-saudara, namun nikmat ini tidak dirasai oleh adiknya yang mana pengalaman membesarnya hanya berlegar dirumah, skrin, dan barang permainan. Adakah ini akan mempunyai kesan berkekalan pada wataknya kelak? Saya tertanya-tanya.

Semasa berkurung di rumah, anak-anak selalunya mengulang lihat gambar-gambar mereka mandi di pantai di Pulau Sayak, tempat paling dekat untuk mandi pantai dari Sungai Petani. Pantainya juga lebih bersih dan sesuai untuk bermandi manda jika dibandingkan dengan Pantai Merdeka. Dan setiap kali mereka akan bertanya, bila lagi boleh pergi mandi pantai, dan setiap kali saya perlu menerangkan akan situasi semasa yang tidak mengizinkan. Pengumuman perdana menteri pada Oktober 2020 perihal kebenaran untuk melintas negeri juga sebelumnya perihal kebenaran merentas daerah membolehkan saya menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek boleh ke Pulau Sayak untuk berlibur.

Anak-anak sememangnya teruja apabila diberi tahu sudah boleh ke pantai. Hampir setiap hari ditanya bila mahu pergi. Dua tiga hari sebelum pergi mereka sudah mengumpulkan barang-barang ke dalam beg untuk dibawa. Bercerita baju apa yang mereka mahu pakai untuk mandi. Apabila tiba masanya untuk pergi, dan kami semua sudah di dalam kereta, anak pertama akan sentiasa mengulang soalan “dah sampai ke abi?”. Walaupun kereta baru berjalan 2 minit dan baru nak masuk simpang pertama ke jalan besar!

Tetapi apabila sampai, ternyata ia adalah satu percutian sebentar yang bermakna. Melihat kegembiraan anak-anak bermain pantai sedikit melegakan. Mungkin kegembiraan mereka adalah manefestasi pelepasan perasaan setelah terkurung di dalam rumah hampir dua tahun, merasai sendiri ombak yang menghempas badan pastinya tidak sama dengan apa sahaja video di depan skrin. Anak-anak berlari, melompat, berbaring di dalam air, mengutip kulit kerang, main pasir, cuba berenang, akhirnya mereka berjaya melepaskan emosi yang sekian lama terpendam dengan kegembiraan. Saya pula hanya masuk separuh kaki ke dalam pantai, pada mulanya mahu mandi, tetapi melihat ombak yang agak kuat, lebih baik saya menjadi pemerhati melihat anak-anak, takut-takut terhanyut. Di tengah-tengah kegembiraan bermandi-manda ini, ada satu soalan yang dilontarkan oleh anak saya yang pertama, Amni.

“Abi, are you having fun?”

Saya kira dia bukanlah mahu bertanya kepada saya sama ada saya seronok atau tidak, kerana belum sempat saya jawab dia telah berlari semula masuk ke dalam air. Mungkin soalan itu lebih kepada caranya untuk memberi tahu bahawa dia gembira dapat bermain di tepi pantai bersama adiknya. Kegembiraan itu terungkap dengan persoalan. Namun soalan ini meekat di kepala saya, saya cuba memikirkannya dan memberikannya jawapan dari pelbagai sudut.

Sudut pertama yang saya fikirkan adalah pendekatan saya dengan anak-anak. Sering kali di rumah semuanya berbentuk arahan, tiada “fun” yang keluar dari mulut saya. Cepat bangun, cepat mandi, cepat pakai baju, cepat makan, cepat kemas, cepat baca iqra’, cepat tidur, semuanya arahan suruh cepat. Saya terfikir sangat kurang ruang untuk memberi keseronokan pada anak-anak. Padahal usia ini adalah usia untuk bermain, belajar melalui permainan. Soalan anak ini sedikit sebanyak menyoal diri saya yang ada kalanya mahu senang, mahu suasana senyap dan aman, dan mahu semuanya bersih dan tersusun. Walhal anak-anak mahu bermain, bermain pastilah bising, berselerak, dan sering kali comot. Mungkin mereka perlukan lebih banyak ruang keseronokan, rumah tidak sepatutnya menjadi kem tentera.

Sudut kedua mungkin lebih dalam, walaupun mungkin anak saya tidak bermaksud soalannya untuk bertanya sedalam itu, namun bagi saya ia menusuk begitu dalam. Soalan ini masuk menziarahi minda saya, ia duduk di ruang tamu dan tidak mahu berganjak. Mungkin menyuruh saya memikirkannya dengan serious. Sudut kedua ini membawa kepada persoalan kehidupan saya secara keseluruhannya, adakah saya telah mencapai keseronokan dan kebahagiaan? Atau, jika pun belum dicapai, adalah jalan hidup saya kini berada di landasan yang betul menuju kebahagiaan? Ia membuat saya termenung, lama, panjang, dan dalam. Siang dan malam. Mungkin saya memerlukan satu muhasabah yang baharu, untuk memperbaharui hidup.

Bila saya fikir-fikirkan, kata-kata dan soalan anak-anak ini kadangkala mempunyai makna yang sangat dalam, meskipun mereka sendiri tidak sedar akan kekuatan soalan mereka. Jadi saya kira penting untuk kita sentiasa menghidupkan komunikasi dengan anak. Bukan sekadar untuk manfaat kepada mereka, tetapi juga untuk kita. Ada sudut-sudut kehidupan yang sudah terhijab dek kedewasaan, namun tersergam luas buat jiwa-jiwa yang masih segar dan suci. Atau mungkin, saya yang terlebih fikir.