Sabtu, 26 Mac 2022

Catatan Baitul Muslim 52: Kenapa Anak Tak Mahu Bersembang Dengan Ibubapa?


Apabila Amni masuk sekolah darjah 1, setiap hari, apabila menjemputnya pulang, dia akan bercerita tentang apa yang dibuatnya di sekolah. Antara soalan yang aku tanya adalah siapakah nama kawannya di sekolah? Semasa di tadika, aku mengenali nama kawan-kawannya, dari cerita-ceritanya, walaupun mungkin aku tidak mengenali muka kawan-kawannya itu. Bila disebut nama kawan-kawan, dia merasakan bahawa ayahnya dekat dengan dirinya, tahu dunianya, kenal rakan-rakannya.

Jadi apabila mula bersekolah, itu adalah antara soalan harian aku. Namun hari-hari awal, dia masih tidak mengingati nama kawan-kawannya. Walaupun semasa aku menjemputnya pulang, dia mesti sedang bersembang dengan kawan-kawannya. Kadang-kadang jalan-jalan bersama. Katanya dia masih baharu, tak ingat lagi nama kawan. Hinggalah hari keempat, baru dia berjaya memberi aku sebuah nama.

"Kawan kakak nama Nurin".

Berkawan di sekolah merupakan satu pengalaman yang berharga. Jadi aku gembira apabila Amni mempunyai kawan. Kawan ini bagi aku merupakan komponen penting dalam pembangunan kehidupan seseorang. Dengan persahabatan bersama kawan, kita dapat meneroka satu dunia sosial yang baharu, yang tidak sama dengan dunia sosial kita bersama ibu bapa. Dengan ibu bapa kita sentiasa harus berhati-hati, kerana jika kita tersilap, kita mungkin jatuh di daerah derhaka. Tetapi dengan kawan pergaulan kita lebih bebas, lebih selesa, lebih natural. Kita boleh teroka dan bersembang perkara-perkara yang mungkin kita tidak akan buka bersama ibu bapa.

Kadang-kadang aku berasa aneh dengan ibu bapa yang membesarkan anak-anak mereka dengan tegas, segalanya perlu dilalui dengan hormat, tanpa ada ruang untuk anak-anak bersembang dengan ibu bapa. Yang dipentingkan dalam pendidikan adalah ketaatan. Apabila anak-anak ini besar, ibu bapa tadi hairan, kenapa anak-anak ini tidak mahu bersembang dengan mereka? Jawapannya cukup jelas. Mereka dididik untuk taat, bukan untuk bersembang meluahkan perasaan. Ibu bapa hanya dilihat sebagai satu sosok untuk ditaati. Namun sebenarnya, kita bukanlah harus memilih cara pendidikan anak antara mendidik dengan tegas dan mendidik dengan memahami. Tetapi kita boleh mendidik menggunakan jalan tengah, ada ketika kita tegas, dan ada ketika kita terbuka dengan mereka, beri mereka ruang menerangkan keadaan mereka, perasaan mereka, dan keinginan mereka.

Namun sebenarnya, apa pun cara yang kita pilih, hubungan sosial kita dengan anak-anak tidak akan sama dengan hubungan mereka dengan kawan-kawan. Bagi saya, hakikat ini tidak perlu disedihkan. Kerana memang ibu bapa mempunyai fungsi yang berbeza berbanding kawan-kawan dalam kehidupan seorang anak. Cuma mungkin peranan ibu bapa adalah menyediakan peluang bagi anak-anak untuk memilih kawan-kawan yang baik dalam hidupnya. Walaupun pilihan itu tidak dapat dibuat oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka dapat memberi panduan kepada mereka, mengajar mereka memilih. Kerana kawan-kawan ini mempunyai impak yang besar dalam hidup anak-anak.

Semakin seorang anak itu besar, dia semakin boleh memahami. Kapasitinya untuk faham sesuatu perkara meningkat, dia mula mempersoalkan sebab bagi sesuatu perkara berbanding mengikutinya tanpa soal. Oleh itu, seiring peningkatan usia anak-anak, ibu bapa perlu mengurangkan teguran yang berbentuk tegas dan memarahi, dan melebihkan teguran yang berbentuk memahami. Melalui dialog dan bersembang. Semakin anak kita besar, semakin kita perlu berkawan dengan mereka, meskipun kita tidak akan sama dengan kawan-kawan sebaya dengan mereka. Jika ini dilakukan, anak-anak tadi akan lebih selesa untuk bersembang dengan kita apabila mereka sudah besar. Tidaklah nanti bila dewasa mereka mati kutu berjumpa kita, tak tahu apa yang ingin disembangkan kerana mereka tak punya pengalaman, tidak dididik untuk bersembang dengan ibu bapa.

Jadi jangan disalahkan anak-anak yang tidak bersembang dengan ibu bapa mereka apabila mereka sudah dewasa. Besar kemungkinan mereka hanya dididik dengan taat, patuh, dan hormat. Itu sahaja elemen yang ditekankan dalam pendidikan mereka. Tiada ruang untuk mereka membuka perasaan bersama ibu bapa. Apabila mereka sudah dewasa, mereka tidak akan berjaya membuka perasaan mereka, malah jika disuruh sekali pun, mereka akan merasa awkward

Tidak seperti sebahagian anak-anak lain, Amni gembira sahaja memulakan persekolahan pada hari pertama hinggalah tamat minggu transisi. Dia tidak menangis pergi ke sekolah, tidak perlu dipaksa, malah bangun dengan mudah pada pagi hari, harapnya semangatnya kekal seperti ini hingga hari akhir, apabila dia tamat sesi persekolahan. Tugasku pula adalah bertanya apa yang dilakukan di sekolah, dan berbincang dengannya akan apa-apa persoalan yang bermain di mindanya. Apabila anak masuk ke sekolah, aku kira cara kita menjadi ibu bapa juga perlu berubah. Perlu banyakkan elemen berkawan dengan anak-anak berbanding hanya mengarah dan memarah.

Jumaat, 25 Mac 2022

Catatan Baitul Muslim 51: Kita Tiada Masa, Mereka Sudah Dewasa


Pada suatu petang, selepas anak-anak balik rumah dari sekolah dan tadika, mereka keluar bermain dengan kucing di luar. Aku melihat mereka dari tingkap, sekadar melihat. Tidak menganggu. Aku lihat Idlan yang berusia 4 tahun duduk sambil asyik melihat kucing. Aku terfikir bertapa kecilnya anak ini, tidak bersalah, tak tahu apa-apa. Aku terus melihat, sekadar menghayati permandangan anak yang masih kecil. Selagi "ada masa" aku mahu melihat anak kecil ini membesar. Bukan sekadar melihat, tapi melihat dengan sedar bahawa sebenarnya aku tak "ada masa", dan permandangan ini akan hilang tidak lama lagi. Tidak lama lagi mereka akan dewasa.

Dalam dialog harian, kadang-kadang kita selalu sebut "takpa, kita ada masa". Tanpa kita sedar bahawa sebenarnya kita tak punyai masa. Bahkan mungkin "masa" tersengih melihat kita yang mempunyai wishful thinking, merasakan kita memiliki apa yang kita sebenarnya tak ada.

Kadang kala aku suka mencatat perkara-perkara kecil dalam hidup, ada catatan yang saya buka untuk umum, banyak juga yang saya simpan sendiri. Sebab kadang-kadang kita rasa satu benda itu kecil, tak signifikan, tapi apabila beberapa "masa" berlalu, kita harap kita dapat mengingatinya semula, kita harap kita boleh ulanginya semula. Tapi kita tak mampu, sebab kita tak ada "masa", ia bukan milik kita. Menyedari hal ini, catatan-catatan kecil yang tak signifikan ini sebenarnya boleh menjadi kapsul masa. Walaupun mungkin bukan kapsul masa dari sudut hakikat, tapi tetap ia sedikit sebanyak dapat merawat keinginan kita untuk mengulangi masa lampau, mengingati benda-benda kecil dalam hidup yang membuatkan hidup terasa "hidup".

Masa mengubah segala-galanya. Apa yang kita anggap kecil hari ini akan diubah oleh masa, mungkin ia menjadi satu yang sangat besar berharga satu hari nanti, hingga kita mahu berikan seluruh hidup untuk mendapatkannya semula. Tiada manusia yang dapat bertahan melawan masa. Baik sultan yang penuh keagungan, jelitawan, hartawan, atau seorang ayah biasa, semuanya akan hancur seiring masa. Seratus tahun lagi yang tinggal hanya nama. Seribu tahun lagi, mungkin cucu-cicit kita pun tidak akan mengetahui nama kita siapa.

Ada ahli puisi yang menulis bahawa masa umpama pasir-pasir halus di tepi pantai, sekuat mana pun kita genggam, ia akan perlahan-lahan terlepas dari tangan kita. Hanya dalam cerita rekayasa manusia mampu menguasai masa, pergi ke masa belakang dan masa depan. Namun dalam kehidupan realiti, manusia masih dikuasai masa bukan sebaliknya.

Dalam kehidupan kita yang sangat singkat ini, cara kita menggunakan "masa" adalah segala-galanya. Kita perlu berhenti dari tergesa-gesa mahu ke hadapan, dan bila di hadapan, sentiasa meratapi masa lalu, ingin kembali ke belakang. Kita lupa untuk hidup sekarang. Oleh itu, aku sentiasa ingin duduk di tepi cermin itu, melihat anak kecil bermain kucing di luar rumah, kerana aku tidak mempunyai "masa". Sedangkan esok, anakku sudah dewasa.

Victoria tulisan Emmy Hermina Nathasia


Pada 19 Mac 2022, saya selesai membaca naskah tulisan Emmy Hermina Nathasia yang bertajuk Victoria: Rahsia Kemenangan yang Dilupakan. Buku ini kecil sahaja, ringan, dan diterbitkan dengan susun atur yang kemas. Ia ditulis dengan bahasa yang mudah dibaca tanpa "mengebom" pembaca dengan jargon-jargon yang susah difahami. Ia juga tidak hanya membahaskan teori tetapi menggariskan langkah-langkah yang praktikal dalam merancang kejayaan. 

Perbahasan awalnya mengajak pembaca mencari tujuan hidup. Saya kira ini merupakan soalan falsafah asas bagi manusia, untuk manusia itu melaksanakan fungsinya, dia perlu tahu tujuan hidupnya. Proses mencari tujuan hidup ini mungkin memakan masa yang lama, bahkan ada manusia yang mencari tujuan hidup seluruh hidupnya hingga dia sendiri terlupa untuk hidup. Namun jika kita berjaya menjumpai tujuan hidup kita, kita tahu kemana arah tuju kita, kita akan mudah menempuh cabaran-cabaran yang datang.

Bak kata Nietzsche “He who has a why to live for can bear almost any how.”

Kebanyakan manusia menjumpai tujuan hidup yang dapat memanfaatkan orang lain. Ini juga pernah ditulis oleh ahli psikologi seperti Angela Duckworth yang mengkaji psikologi kejayaan. Sesuatu tujuan atau matlamat itu, jika digabungkan dengan sumbangan untuk memberi manfaat kepada manusia akan menjadikan matlamat itu lebih bermakna, lebih jitu dan dalam kesannya terhadap diri sendiri. Apabila kita bermanfaat untuk orang lain kita merasakan bahawa apa yang kita buat itu ada makna yang lebih besar, lebih besar dari diri kita sendiri.

Quote kegemaran saya dalam naskah ini adalah pada mukasurat ke 40:

"Perjalanan mengenali diri sendiri untuk memahami diri dengan lebih dekat dan menyayangi diri. Ini salah satu hasil daripada merenung diri, emosi, perasaan dan kemahuan. Tiada wang yang boleh dikenakan terhadap kegembiraan yang datang dari dalam, yang datangnya daripada proses mengenali diri sendiri".

Keghairahan kita untuk mengejar aspek-aspek kehidupan dunia, terutamanya ketika dunia sekarang dijalari teknologi yang membawa falsafah "cepat itu bagus" kadang-kadang merenggut jiwa kita. Kita tak punya masa untuk duduk berfikir, termenung, berdialog dengan diri sendiri, dan berusaha memahami diri. Kita sibuk terkejar ke sana ke mari hingga akhirnya yang tinggal hanyalah beberapa nafas akhir, tetapi segala peluang yang mungkin kita boleh realisasikan sudah terlepas dari tangan.

Saya juga tertarik dengan sudut praktikal buku ini. Dalam merancang kejayaan kita perlu mencari "rakan akauntibiliti". Iaitu rakan yang mana kita boleh berkongsi dengan mereka perancangan kita, dan rakan ini akan sering bertanya dan mengambil tahu perihal progress perancangan kita. Mereka merupakan pengimbang apabila kita malas atau terleka. Praktikal rakan akauntibiliti ini bagi saya sangat penting, ia membuatkan saya teringat akan ucapan Ted Talk "Refusing to Settle" oleh Adam Poswolsky yang menceritakan bagaimana rakannya yang hari-hari bertanya kepadanya adakah dia sudah melaksanakan perancangannya, hinggalah dia akhirnya melaksanakan rancangannya dan mengubah kehidupannya. Jadi jangan pandang enteng, jenis kawan yang anda pilih dalam hidup!

Tahniah diucapkan kepada penulis atas naskah ini, semoga dari buku ini kita dapat melihat lahirnya banyak kejayaan di bumi tercinta kita ini!

Tautan manusia dengan alam menghalau sunyi


Bagaimana aku mampu bekerja,
tanpa secawan kopi?

Bagaimana aku mampu aman,
tanpa ada bau siraman hujan,
yang membasahi bumi?

Mungkin itulah resam manusia,
rasa-rasa hatinya sentiasa bergantung,
pada alam dan bumi. 

Dengan merasai,
pertautan dengan sekelilingnya,
baru manusia,
dapat menghalau sunyi.

Ahad, 6 Mac 2022

Menentang Perang Putin ke atas Ukraine

 

Я люблю Россию и Я против этой войны.

Hampir setiap hari sekarang saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Ukraine dengan hati yang sedih. Bagi saya penyelesaian kepada keganasan bukanlah dengan mencetuskan keganasan yang baharu, keganasan tidak dapat dirawat dengan perang. Catatan ini bukan catatan perbahasan geo-politik, atau analisa siapa salah, atau propaganda untuk menghasut kita untuk menyokong mana-mana pihak yang berkonflik, saya sekadar mahu mencatat rasa hati melihat apa yang belaku.

Rusia merupakan negara yang dekat dengan hati saya. Takdir menentukan bahawa perjalanan hidup saya tersulam bersama dengan negara yang hebat ini. Rusia merupakan rumah kedua saya, 4 tahun saya berkelana di buminya. Selepas Malaysia, tiada negara lain yang saya pernah menetap lebih lama selain dari Rusia. 4 tahun mencari ilmu disana penuh dengan kenangan yang indah. Saya menetap di sebuah bandar di tepi Finski Zaliv bernama Sankt Peterburg. Sebuah bandar yang cantik, damai, penuh sejarah, dan merupakan ibukota Rusia sebelum Moskva.

Pada mulanya saya tinggal di Avtova sebelum berpindah ke Prospek Stachek. Siapa pun yang menjejakkan kaki ke bumi Rusia pasti mudah jatuh cinta padanya. Negaranya yang indah penuh dengan pemandangan yang mendamaikan. Saya rindu berjalan-jalan di tepi Sungai Neva melihat aliran airnya semasa musim panas. Pada musim sejuk pula, Neva akan membeku membolehkan saya berjalan di atasnya. Saya juga rindu melihat-lihat buku di Dom Knigi, kedai buku ikonik di tengah-tengah bandar berhadapan dengan Kazanski Sabor. Pada hari Jumaat kami akan berhenti di Metro Gorkovskaya dan solat bersama ratusan Muslim yang lain di Masjid Sabornaya.

Melihat salji-salji turun buat kali pertama memang mengasyikkan. Bumi terlihat aman dan bersih ketika musim sejuk kerana semuanya terlitup dalam salji yang tebal. Musim sejuk di Rusia, walaupun cantik, begitu menyakitkan hidung kerana kesejukannya. Musim sejuk inilah yang membantu mengalahkan tentera Napoleon dan Hitler. Ketika musim sejuk siangnya singkat dan malamnya lama. Saya lebih gemar minum kopi panas sambil melihat ribut salji di luar dari tingkap. Beberapa tahun di Rusia, musim yang saya gemari bukanlah musim sejuk, tetapi musim luruh. Pertama kerana cuacanya tidak terlalu sejuk, dan tidak terlalu panas. Berbeza dengan cuaca yang sama pada musim bunga, musim luruh tiada salji separuh cair yang membasahi kasut. Dan yang lebih menggembirakan adalah dedaunan yang berubah kepada warna emas. Ketika musim luruh, saya akan mendaki Bukit Voronya, melihat permandangan kuning keemasan, sambil dibuai angin. Hanya Tuhan yang tahu perasaan yang muncul melihat permandangan seperti itu. Ketika musim buah-buahan tempatan, saya akan memborong buah Chereshnya, dan makan dengan gembira buah yang sama setiap hari. Coklat kegemaran saya pula adalah Aleyonka, coklat sedap dan pembalut coklat juga ikonik, saya suka gambar anak kecil comel pada pembalutnya.

Orang Rusia juga bagi saya merupakan orang yang baik. Mereka kreatif, baik hati, periang, mudah berkawan, dan suka membantu. Kebanyakan guru-guru saya semuanya baik dan rapat dengan saya. Cikgu kegemaran saya adalah Chernov, syarahannya biasanya diselitkan dengan jenaka dan juga pengajaran-pengajaran hidup walaupun subjeknya adalah enjin, pam dan kompresor. Penyelia projek tahun akhir saya adalah Chistyakov, walaupun digeruni pelajar, bagi saya beliau baik sahaja dengan saya serta banyak memudahkan saya untuk lulus cemerlang. Walaupun orang luar mungkin melihat orang Rusia sebagai garang, susah tersenyum, dan ganas, namun jika kita mengenali mereka secara peribadi, segala prejudis itu senang dan cepat sahaja hilang.

Sejarah mereka merupakan sejarah yang panjang, penuh revolusi dan tribulasi. Namun orang-orangnya tetap mempunyai imaginasi yang sama seperti kita, perasaan yang dalam dan penuh kemanusiaan, rasional dan emosional. Antara kata-kata yang sangat saya minati yang ditulis oleh Svetlana Alliluyeva (anak kepada Stalin) ketika saya membaca biografinya adalah tulisan beliau tentang bagaimana kecintaan orang Rusia kepada keindahan laut. Svetlana menulis: “Pushkin berbicara dengan lautan. Pasternak mendengar lagu-lagunya. Gorky pula berkata laut juga boleh ketawa”. 

Mungkin ada yang bertanya, jika benar orang Rusia itu rasional, punya perasaan yang mampu berkasih sayang, kenapa perang ini menunjukkan sisi mereka yang sebaliknya?

Kita harus membezakan rakyat biasa dengan kerajaan. Yang mengishtiharkan perang adalah kerajaan. Saya sangat tersentuh hati melihat orang-orang di bandar yang saya duduki dahulu, Sankt Peterburg, berdemonstrasi beramai-ramai menolak perang. Walaupun kemudian mereka dipukul dan ditangkap polis. Juga bagaimana media-media yang berani melaporkan apa yang terjadi sehingga kerajaan memaksa mereka ditutup. Saya percaya, rakyat Rusia merupakan orang-orang yang mencintai keamanan dan persahabatan.

Jean-Paul Sartre menulis bahawa “when the rich wage war, it's the poor who die”. Bagi saya tentera yang dikerahkan perlu berhenti dari mengikuti arahan. Biarlah presiden, jeneral, dan orang-orang kaya yang mahukan perang itu pergi berperang sendiri. Mereka mudah mengishtiharkan perang kerana bukan mereka yang perlu mati di medan perang, tetapi orang-orang muda dan orang-orang miskin yang dikerahkan. 

Perang bukanlah jalan menyelesaikan konflik. Sejarawan ulung, Howard Zinn pernah mengutarakan bahawa terdapat seribu satu cara boleh kita gunakan selain berperang untuk menyelesaikan konflik. Kegagalan memilih cara lain menggambarkan kemalasan berfikir, kekeringan idea, serta pemikiran primitif bahawa membunuh boleh menyelesaikan masalah. Menurut Robert Fisk, wartawan yang melihat sendiri perang, beliau mengatakan bahawa perang menggambarkan “the total failure of the human spirit".

Oleh sebab itu, saya merasakan serangan Rusia ke atas Ukraine adalah salah. Saya tidak menyokongnya walaupun saya mencintai Rusia. Tidak menyokong Rusia tidak bererti kita secara automatik menyokong Barat dan Amerika Syarikat. Ini adalah pemikiran binari. Sebaliknya tidak menyokong Rusia merupakan komitmen kita yang konsisten menolak keganasan. Kita menolak keganasan yang dilakukan kepada Palestin, Yaman, Iraq, Afghanistan, dan kali ini Ukraine. Kita perlu konsisten, pengeboman Saudi Arabia ke atas anak-anak Yaman adalah sama kejam dengan pengeboman Israel kepada anak-anak Palestin. Walaupun kita sedar Barat dan Amerika Syarikat bersifat hipokrit, etnosentrik (eurosentrik), dan rasis, kita boleh menolak keganasan mereka dalam masa yang sama menolak juga keganasan Rusia. Kita tidak perlu memilih, kerana ia bukanlah pilihan binari. 

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan juga alumni yang menghubungi saya bertanyakan pendapat. Tulisan saya ini bukanlah berniat untuk mendahului mana-mana kenyataan rasmi persatuan yang saya anggotai. Ia hanya coretan perasaan saya atas kapasiti peribadi. Sekadar menulis semula pandangan saya secara publik akan apa yang telah saya sebutkan dalam ruang tertutup dengan pandangan yang umum. Seruan kita haruslah bagi menamatkan konflik, bukan berpihak kepada mana-mana. Tiada siapa yang untuk dalam peperangan kecuali pembekal-pembekal senjata. 

Apa yang kita perlukan adalah keamanan dan persahabatan.


Reunion Gen-13 MATRI: Memutar Semula Memori


Alhamdulillah setelah berbulan-bulan bermesyuarat akhirnya diberi keizinan oleh Allah untuk bersama turun dalam reunion bersama sahabat-sahabat persekolahan di Teluk Senangin, Perak pada 25-17 Februari 2022. Kali terakhir berkumpul mungkin sekitar 2017. Tahun ini memang rasa perbezaannya, jika sebelum ini hanya riuh rendah bersembang sesama sendiri, kali ini riuh rendah dengan anak-anak masing-masing yang sedang membesar. Seronok melihat anak-anak dapat main bersama. Dulu bapak-bapaknya yang bermain bersama.

Persahabatan di sekolah saya kira satu fenomena yang unik. Setelah kita dewasa, kita jarang mencipta persahabatan baharu. Sebaliknya kita akan mencari semula sahabat-sahabat lama. Sahabat-sahabat yang bersama kita masa kita tak punya apa-apa, yang ada hanyalah kasih sayang sesama sendiri. Dengan teman-teman persekolahan biasanya kita boleh bersembang dan bergurau dengan terbuka (walaupun kadang-kadang ada juga yang merajuk), keterbukaan ini kadang-kadang dengan keluarga sendiri pun kita tak dapat lakukan. Dengan sahabat yang kita kenal, percaya dan sayang, kita boleh bercerita semua benda.

Antara persoalan yang sering timbul dalam pertemuan ini adalah "kenapa nak buat reunion?" , "apa tujuannya?". Jika ditanyakan saya sendiri, berjumpa kawan-kawan lama itu satu peluang untuk saya merasai semula kemanisan memori masa lalu, tenggelam dalam sahabat-sahabat lama memberi saya peluang untuk merasa diri saya yang dahulu. Atau dalam kata lain, berjumpa dengan diri sendiri yang lebih muda, yang masih remaja, suci (?), dan keanak-anakan. Juga memberi saya peluang untuk membuka semula hati saya, bercerita perkara-perkara yang mungkin susah atau tak dapat saya ceritakan pada orang lain. Bagi saya, itulah harganya. 

Mengenangkan banyak sahabat-sahabat saya yang saya hargai telah tiada, saya merasakan ia satu peluang yang lebih mahal. Selalu terbayang difikiran saya mungkin ini kali terakhir saya melihat senyum mereka dan mendengar ketawa mereka. Ketua batch kami, Radhi berkata selepas subuh pada hari ketiga, "Jika seseorang itu sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang ringgit untuk sesuatu, sesuatu itu pasti ada nilainya". Begitulah. Bagi saya nilainya sangat besar, satu nilai yang bukan material. Segala penat lelah, kesakitan (sakit kaki) itu akan berlalu. Tetapi kenangan dan amal soleh yang dikumpul bersama akan kekal. 

Ketika negara dan dunia ditimpa dan diliputi pelbagai isu, kerehatan sebentar ini sememangnya saya perlukan. Setelah dua tahun bersarang dirumah, udara segar dan angin laut sememangnya satu vitamin kesegaran. Walaupun sedih meninggalkannya dan kembali kepada rutin harian namun itulah hidup, tiada yang kekal. Ibarat ombak yang hilang setelah menghempas pantai.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang datang dari jauh dan dekat kerana memberi peluang untuk kita duduk bersama satu kali lagi. Memutar semula kenangan dan mencipta kenangan yang baharu. Terima kasih juga kepada pengarah program Muhammad Radhi yang bertungkus lumus menjayakan program. Terima kasih pada tuan rumah Ikhwan Zulkifli yang menyediakan penginapan yang selesa dan makanan yang sedap, juga pada Amin Roseli yang menyumbang pelbagai kepakaran teknikal dalam mengurus duit juga menyediakan baju program. Seterusnya pada semua sahabat-sahabat yang namanya terlalu panjang untuk disebut satu persatu.

Moga kalian dalam jagaan Allah selalu. Jumpa lagi dalam next reunion pada tahun 2024 di Johor.

Selasa, 1 Mac 2022

Bukan Sebab Sedap, Tapi Memori

Balik dari Reunion Gen-13 MATRI di Teluk Senangin saya sempat ber-DOLI di Taiping, Perak. Dahulu, arwah ayah selalu bercerita perihal sejarah bagaimana Doli mula dengan kedai kecil hinggalah mereka berkembang dan ada kedai besar sendiri. Bila saya bagi tahu teman-teman akan hasrat saya ini, bahawa pada perjalanan balik saya nak singgah Doli, ada yang berkata bahawa ramai orang di hujung minggu. Ada juga yang menyatakan bahawa rasa Doli dah tak sama, tak sedap macam dulu. Pada masa saya sampai, memang perlu beratur sekejap, biasalah kedai lama yang sudah established pasti banyak customer di hujung minggu. Selesai makan, alhamdulillah, saya rasa masih sedap. Saya minat sambal kicapnya yang masin-masin sedikit. Saya terfikir, kadang, orang pergi ke kedai lama bukan sebab makanannya yang sedap sangat. Tapi sebab memori.

Catatan Baitul Muslim 50: Memori, Imaginasi & Karya


Pada sebelah petang, apabila mengambil anak-anak balik dari tadika. Biasanya mereka akan menunjukkan kertas, kertas aktiviti, kertas kerja, kertas warna, segala bentuk kertas aktiviti yang mereka buat di tadika. Selepas habis bercerita dan sampai di rumah, biasanya kertas-kertas ini ditinggalkan sahaja dalam kereta untuk sang ayah mengutipnya dan menyimpannya selepas itu.

Saya perasan, karya anak-anak ini biasanya terhasil dari pengalaman dan memorinya. Contohnya satu hari anak saya meninggalkan satu kertas yang tertulis "Pulau Saak" dan dibelakangnya ada gambar orang-orang lidi yang sedang bersuka-ria di tepi pantai. Pulau Saak ini sebenarnya ejaan salah kepada Pulau Sayak. Amni yang menulisnya masih belum dapat mengeja dengan betul ketika umurnya 7 tahun. Pulau Sayak adalah satu-satunya tempat berpantai yang boleh kami kunjungi semasa tempoh larangan rentas negeri sekitar tahun 2020-2021.

Selain makan Mee Udang Usop dan menikmati permandangan matahari terbenam, di sana adalah tempat anak-anak mandi pantai dan kutip kerang-kerangan. Walaupun dari perspektif ibu bapa, pergi ke Pulau Sayak banyak hal yang perlu difikirkan. Contohnya kalau pergi tengah hari, cuacanya sangat panas, kalau pergi petang pula susah sebab masa yang singkat dan tergesa-gesa mengejar solat maghrib. Banyak juga "inconvinience" lain antaranya ketiadaan bilik mandi dan bilik salinan selepas habis mandi di pantai. Tapi dari perspektif seorang anak, hanya ada perasaan seronok sebab dapat mandi pantai. Ia menjadi satu memori yang menggembirakan buat mereka.

Kadang-kadang berhari-hari anak-anak bertanya bila nak ke Pulau Sayak lagi. Saya kira itulah antara tugas ibu bapa, iaitu menyediakan memori-memori yang bahagia dan gembira buat anak-anak. Memang akan ada kesulitan dan inconvenience, tetapi itu semua akan berlalu dan memori itu akan berkekalan. Memori ini akan diterjemahkan dalam bentuk karya dan imaginasi anak-anak.

Karya anak-anak ini kadang-kadang nampak seperti simple, kadang nampak macam conteng-conteng yang tak ada makna. Tapi jika kita menyuruh mereka menerangkan karya mereka, kadang-kadang ketika itu baru kita sedari bahawa anak-anak kita ada pemikiran-pemikiran yang dalam walaupun mereka belum dewasa. Berbincang dan bersembang perihal karya anak-anak juga dapat membantu kita memahami apa yang ada dalam pemikirannya, apa imaginasi dan harapannya.

Anak-anak itu merupakan kain-kain yang bersih. Jadi imaginasi mereka terhasil dari corak yang dilukis oleh ibubapa. Dengan menyediakan kenangan-kenangan, pengalaman, momen, dan memori yang membahagiakan, imaginasi mereka juga akan memancarkan kebahagiaan. Seterusnya karya-karya yang lahir dari tangan mereka juga akan menghasilkan bentuk-bentuk yang membahagiakan hasil dari input-input yang telah kita berikan. Istilah Inggeris menyebut "garbage in garbage out", jika kita masukkan kenangan yang tidak baik, yang tidak baiklah yang akan keluar sebagai hasil. Begitu juga sebaliknya. 

Karya anak-anak ini kadang-kadang sukar untuk disimpan semula. Namun bagi saya, usaha menyimpan itu perlu dilakukan. Kertas-kertas lukisan boleh ditulis nota di belakangnya, nama anak yang berkarya serta tarikhnya. Ia akan menjadi relics yang berharga apabila mereka sudah dewasa nanti. Ketika itu mungkin mereka sendiri sudah lupa akan kertas-kertas karya mereka. Jika punya masa, tenaga, dan kreativiti, kertas-kertas ini juga boleh dibukukan dengan cara binding DIY. Teknik binding kertas secaya DIY ini boleh dipelajari dengan mudah hari ini di laman Youtube. Kaedah lain untuk menyimpan karya anak-anak adalah dengan mendigitalkan karya tersebut. Karya tersebut boleh discan ke dalam komputer atau diambil gambar. Kaedah ini mungkin lebih mudah dan tidak bulky, namun ia menghilangkan fizikaliti karya tersebut.

Masa kecil anak-anak ini akan berlalu dengan cepat. Walaupun kita hari ini merasakan ia satu beban. Bebanan ini nanti akan hilang, yang tinggal adalah memori dan imaginasi, juga karya-karya yang kita simpan dengan baik dan dapat bertahan mengharungi hakisan zaman.

Selasa, 15 Februari 2022

Mengenang Atuk Ho (Sahar bin Sidin)


Pada 23 Januari 2022, saya menerima khabar duka bahawa Atuk Ho yang saya kasihi telah tiada. Atuk Ho atau nama sebenarnya Sahar bin Sidin merupakan adik kepada Wo, Hafsah binti Sidin (nenek saya di sebelah ibu). Atuk Ho merupakan atuk yang sangat peramah, dan selalu bercerita dan melayani kami cucu-cucu yang pulang ke kampung. Setiap kali balik ke Kampung Parit Tengah, Bagan Datuk, rumah Atuk Ho merupakan rumah yang selalu kami singgahi terutamanya pada hari raya. Apabila saya besar sedikit di sekolah menengah, Atuk Ho adalah orang yang menyuruh saya untuk membaca khutbah raya di Surau Kampung Parit Tengah. Tiap kali raya dia akan cari saya untuk bagi buku teks khutbah. Itulah antara pengalaman pertama saya bercakap di depan orang ramai. Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, adik-adik pula mengambil alih tugas membaca khutbah raya kerana kami bersekolah di sekolah agama. Agak mencabar juga membaca teks khutbah dalam tulisan Jawi bila diingat-ingat semula.

Atuk Ho juga merupakan orang yang kuat bekerja. Sehingga tua beliau masih ke kebun dan melakukan kerja-kerja berat seperti meracun. Wo kadangkala ada menasihatinya untuk berhenti berkebun, namun dia tetap juga nak berkebun. Antara dialog yang saya ingat yang pernah diucapkan beliau adalah apabila beliau menjawab cadangan yang diberikan kepadanya untuk berhenti bekerja dan membiarkan anak-anak yang menyaranya. Kata beliau:

"Aku ni bela anak-anak bukan nak suruh depa bela aku bila aku tua, selagi aku boleh bekerja biar aku bekerja cari rezeki sendiri".

Begitulah lebih kurang ayat beliau, walaupun saya tidaklah seratus peratus ingat akan dialog ini, atau betulkah beliau pernah mengucapkannya, tapi dalam ingatan saya, beliau pernah bercakap sebegitu. Biasanya apabila orang tua-tua bersembang di kampung saya dengar sahaja, sama ada saya dengar sambil bermain dengan sepupu sepapat atau saya dengar sambil tengok televisyen.

Beraya di rumah Atuk Ho juga berbeza dengan beraya di rumah atuk-atuk yang lain. Orang lain biasanya memberi duit raya dalam sampul, tetapi di rumah Atuk Ho, setiap kali raya disediakan plastik yang berisi dengan pelbagai gula-gula. Duit raya juga ada dalam plastik berisi gula-gula ini. Ketika Raya Haji, biasanya Atuk Ho akan mengetuai orang-orang kampung menyembelih lembu. Malah sering kali rumahnya menjadi lokasi gotong royong dan merewang. Biasanya di pokok kelapa depan rumahnya akan di tambat lembu korban.

Semasa saya betul-betul kecil (besar sedikit dari bayi), saya merasakan saya antara cucu yang paling disayangi beliau. Pemergian Atuk Ho begitu membekas di hati saya. Hilang satu lagi sosok yang banyak mengisi kenangan zaman kecil saya. Semoga Allah merahmati dan menerima segala amal soleh Atuk Ho dan mengampunkan dosa-dosanya. Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu. 

Semua Benda Perlu Diselamatkan


Selamatkan itu, selamatkan ini.

Antara dialog dalam anime Attack on Titan yang menarik bagi saya adalah ketika Armin memberitahu Gabi bahawa dia tak ada keinginan untuk membunuhnya. 

"Kill this, kill that, that is all in your mind".

Saya rasa dialog ini bergetar kuat dengan situasi kehidupan harian. Terutamanya perihal politik tanah air. Buka sahaja media sosial kita akan lihat pelbagai gerakan, pelbagai seruan, pelbagai orang. Mahu selamatkan itu, selamatkan ini. Selamatkan negara, selamatkan ekonomi, selamatkan alam, selamatkan pokok, selamatkan haiwan, selamatkan planet dan bermacam benda lagi nak diselamatkan.

Yang terbaharu dan paling kelakar adalah buat pilihanraya nak selamatkan ekonomi. Kalau pilihanraya boleh selamatkan ekonomi, elok kita buat pilihanraya seminggu sekali.

Dahulu saya terkesan juga dengan slogan-slogan nak selamatkan "sesuatu" ini. Kita mesti berjuang nak selamatkan sesuatu. Masa saya kecil, saya dengar banyak slogan selamatkan negara, negara ini sudah tenat, negara ini ekonominya parah, sudah mahu bankrap, selamatkan itu, selamatkan ini. Namun bila saya besar saya lihat negara saya berkembang macam itu juga.

Ada salah, silap, dan kurangnya. Bukanlah negara ini sempurna. Kita harus perbaikinya dengan kemampuan kita. Tapi ia bergerak dengan baik secara relatif. Teringat kata-kata Carlin perihal manusia yang mahu menyelamatkan planet, walhal planet sudah wujud berbillion tahun sebelum manusia wujud. Sebenarnya mereka nak selamatkan manusia yang bakal pupus kata Carlin, planet ini baik-baik sahaja.

Mungkin bukan negara ini yang sakit, rosak, bakal hancur, korup, bangkrap, dan sebagainya. Tapi yang rosak itu adalah orang-orang di dalamnya. Negara ini baik-baik sahaja.

Ahad, 13 Februari 2022

Wacana Bersama Ideolog yang Sia-sia

Untuk memahami dunia, kita tidak dapat lari dari memahami ideologi. Kerana ideologi telah mencorak sejarah, dan kita adalah produk sejarah, gagal memahami ideologi bererti kita gagal memahami apa yang telah membentuk masyarakat kita hari ini. Tetapi ideologi bukanlah segala-galanya. Golongan yang terlalu pekat ideologinya cenderung menjadi ideolog, bagi mereka ideologi mereka telah disamakan dengan kebenaran. Walhal boleh jadi kebenaran terletak di luar daerah ideologinya, tapi itu tidak lagi menjadi minatnya. Dia terus memunggungi ideologi walaupun terpaksa menafikan realiti.

Bagi golongan seperti ini, semua wacana adalah wacana ideologi, kebenaran bagi mereka mesti ideologikal, otaknya tak dapat memahami kebenaran di luar ideologinya. Pemikiran mereka adalah pemikiran binari, mana-mana pendapat selain pendapat mereka mesti dicop sebagai ideologi berlawanan, meski pun ia keluar dari kajian yang objektif.

Jika ideolog tersebut cenderung pada ideologi kiri, semua yang melawan pendapatnya akan dicop ideologi kanan, diwarnakan seperti bercumbu dengan kekuasaan. Pemikiran binari inilah yang menyebabkan mereka cenderung mengamalkan budaya cancel culture, yang memberi mereka alat untuk memaksakan ideologi binari mereka ke atas orang lain. Mereka tidak dapat bertahan untuk berhujah. Tidak boleh berwacana, mereka bertindak mendiamkan lawan.

Jika berwacana pun, wacana dengan mereka adalah sia-sia, kerana mereka tak ingin pun untuk melihat isi perbahasan. Mereka lebih cenderung untuk cari modal untuk meletakkan lawan mereka dengan label. Apabila sudah berjaya meletakkan label kanan, maka baginya dia telah berjaya. Apa-apa yang kanan harus ditolak, tak perlu berwacana lagi. Kerja mudah menang debat wacana awam dengan melempar label. Boleh menang mudah dengan melabel, buat apa berwacana?

Apabila diberi contoh, mereka tak akan sibuk melihat contoh, tapi sibuk berusaha untuk mencari siapa yang beri contoh tersebut, bagaimana untuk mengaitkan dia dengan ideologi kanan. Tampal label lebih mudah. Kemudian boleh bersorak "hah! contoh ni kanan kita kena tolak".

Tidaklah semua golongan kiri sebegini, menurut Chomsky golongan kiri yang seperti ini adalah golongan yang melakukan kesilapan dari sudut prinsip dan taktikal, banyak lagi golongan kiri yang sebenarnya bersifat intelektual. Cuma sebahagian yang mengaku "aktivis" dan berkelakuan seperti ini bagi saya langsung tak intelektual. Sebab itu pemikir kiri seperti Noam Chomsky sendiri tak bersetuju dengan cancel culture, malah sign surat yang mendokong kebebasan bersuara dan menolak cancel culture yang menyekat kebebasan bersuara dan berfikir. Apa Chomsky tak faham wacana kekuasaan? Atau Chomsky sekarang sudah masuk golongan kanan?

Bagi saya ideolog anti-intelektual ini membuang masa sahaja jika diajak berwacana. Mereka lebih minat melabel dari bahas isi. Tak banyak beza dengan agamawan yang melempar label "wahabi", cuma golongan ini akan melemparkan label "kanan" , "bigot" dan sebagainya.

Chomsky pernah ditanya, dia tak risau ke kerana ada pendapatnya yang sama dengan golongan Nazi? Jawab Chomsky, kalau Nazi cakap benda betul, betullah, kebenaran tetap kebenaran. Begitu juga apologis Israel pernah bertanya kepada Norman Finkelstein, dia terima ke orang label dia self-hating Jew kerana pandangan dia yang pro-Palestin? Finkelstein dengan tenang jawab "habis kalau aku self-loving Jew, adakah semua yang aku cakap akan jadi betul?". Kata beliau lagi, lihatlah fakta, yang penting adalah fakta, siapa saya tidak relevan.

Tanpa mengurangkan kepentingan untuk kita belajar perihal ideologi, dalam wacana intelektual, bagi saya yang penting adalah fakta bukan ideologi. Follow the evidence wherever it goes. Sebab itu saya rasa tak bermanfaat berwacana dengan ideolog anti-intelektual, mereka tak kisah pasal fakta, mereka hanya berminat bagaimana nak menampal label pada lawan mereka untuk menang mudah, lepas tampal bolehlah mereka berlari-lari sini sana dan bersorak-sorak.

Memaknai Pembacaan: Tahap ketiga


Pernah sekali saya dijemput untuk memberikan satu pengisian kepada pelajar-pelajar sebuah kolej swasta. Salah seorang pendengar pada ketika itu adalah seorang professor. Beliau bertanya kepada saya bagaimana hendak memaknai pembacaan. Saya kira ia soalan yang beliau sendiri sudah tahu jawapannya. Mungkin beliau sengaja mahu menguji saya. Atau paling tidak beliau mempunyai pandangan perihalnya, namun sebelum memberi pandangannya beliau mahu mendengar respon saya.

Saya memberi jawapan bahawa bagi saya untuk memaknai pembacaan, saya biasanya akan membaca dengan perlahan. Saya tidak membaca dalam keadaan memaksa atau terpaksa. Sebaliknya dalam keadaan tenang dan damai. Supaya saya dapat memikirkan perihal apa yang dibahaskan. Jika penat saya akan berehat, dan mula membaca semula ketika saya sudah sedar dan segar. Saya juga akan menandakan pada buku saya mana idea, quote, pandangan yang saya rasakan menarik.

Sambil membaca saya biasanya akan menulis perihal apa yang saya baca sebagai satu proses pencernaan tentang apa yang dibaca. Bagi saya ini juga adalah sebuah rekod akan apa yang saya fahami. Saya boleh rujuk semula nota bacaan saya ini untuk digunakan dan dinukilkan kembali dalam penulisan saya pada masa akan datang. Walaupun ini akan menjadikan pembacaan saya tidak sepantas orang lain, bagi saya ia akan lebih memberatkan dan memperdalamkan kefahaman saya. Bagi saya, begitulah sifat ilmu, ia memerlukan masa. Masa adalah sebahagian dari kandungan dalam resepi untuk mencari ilmu.

Professor itu bersetuju dan dia menambah apa yang dia rasakan dapat lebih memaknai pembacaan. Bagi dirinya, untuk lebih memaknai pembacaan, seseorang itu perlulah berkongsi bahan bacaannya dengan orang lain. Iaitu menjadi altruist reader. Atau dalam kata lain, dia boleh menerangkan kefahaman yang dia dapat kepada orang lain. Dengan menerangkan semula apa yang kita baca, kita dengan itu sebenarnya belajar menyusun informasi, belajar menguji kefahaman kita, belajar berfikir, dan belajar mengolah idea.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Bagi saya aktiviti berkongsi perihal bahan bacaan ini satu proses yang mengayakan kefahaman. Mungkin juga itu boleh dikatakan sebagai tahap ketiga dalam memaknai pembacaan, tahap pertama adalah membaca, tahap kedua adalah memahami, dan tahap ketiga adalah boleh menerangkannya semula. Sebab itu saya sebenarnya gembira jika ada teman-teman yang menjemput saya dalam diskusi buku, saya boleh mencapai ketiga-tiga tahap ini. Walaupun kadangkala masa dalam kehidupan ini terbatas, selagi ada upaya, saya cuba juga penuhi jemputan.

Bagi saya sebenarnya pembacalah yang akhirnya akan memaknai sebuah penulisan itu bukan penulis. Penulis boleh menulis sesuatu penulisan, namun selepas ia diterbitkan, proses pemaknaan penulisan itu sudah terlepas dari kawalan penulis. Sebab itu kita lihat hari ini, teks yang sama boleh melahirkan aliran fikir yang berbeza. Malahan teks yang sama boleh mencambahkan pelbagai mazhab yang berbeza dan saling bertembung antara satu sama lain. Kerana akhirnya, yang memaknai penulisan adalah pembaca bukan penulis. Satu perkataan boleh dimaknai dengan makna yang berbeza-beza.

Contohnya Madilog tulisan Tan Malaka. Bagi Hamka yang membacanya, beliau mengatakan bahawa Tan Malaka mencintai Islam. Namun apabila Madilog yang sama dibaca oleh Syed Hussein Alatas beliau mengatakan bahasa Tan Malaka telah meninggalkan Islam. Kedua-duanya membaca buku yang sama tapi sampai kepada kesimpulan yang berbeza.

Perkara ini pernah dituliskan oleh antara penulis kegemaran saya, Bart D. Ehrman yang mengkaji perubahan-perubahan yang dilakukan oleh scribes dalam evolusi Kitab Perjanjian Baharu. Pada mulanya beliau merasakan apa yang dilakukan scribes ini adalah salah kerana mereka mengubah kebenaran. Namun lama kelamaan, setelah bertahun-tahun beliau mengkaji, beliau semakin kurang judgemental terhadap scribes yang menyalin semula Kitab ini. Bagi Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkan makna teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya sendiri, atau dalam bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Manusia jugalah yang akan menentukan melalui makna-makna yang mereka fahami itu, apa yang akan dilakukan selepas itu.

Berkaitan juga dengan memaknai pembacaan ini, saya juga sekarang terminat akan kajian perihal bahasa-bahasa kuno. Bagaimana manusia dapat mengetahui maksud-maksud yang tersimpan dalam bahasa-bahasa yang telah pupus yang ditulis dalam bentuk cuneiform dan hieroglyph. Ia memenuhi gelas kekaguman saya bagaimana manusia mampu membaca semula tulisan-tulisan ini dan menggali makna-maknanya. Ia bukan kerja mudah, memerlukan ketekunan dan kegigihan beberapa generasi. Antara tokoh yang saya minati akan hal ini adalah Irving Finkel satu sosok yang menarik untuk dibincangkan. Tapi mungkin itu akan menjadi maudhuk dalam penulisan yang lain. 

Selasa, 1 Februari 2022

Anekdot Tahun Baharu 2022


Rousseau ada menulis dalam bukunya The Social Contract, antara kata-kata beliau yang paling terkenal:

“man are born free but everywhere he is in chain”.

Saya memahami kata-kata Rousseau ini sebagai tiadanya apa yang dipanggil kebebasan mutlak. Walaupun Hegel mengatakan sejarah manusia adalah sejarah perjuangan untuk pembebasan, manusia hanya boleh berjuang untuk kebebasan dengan menghampiri kebebasan, namun tidak akan pernah dapat memeluk kebebasan yang mutlak. Di hujungnya pasti akan ada sesuatu yang akan menggari manusia.

Bak kata Kenny Ackerman “everyone is a slave of something”.

Jika pun kita tidak percayakan Tuhan, kita akan bertuhankan perkara lain. Bertuhankan manusia, benda, atau bertuhankan perasaan kita sendiri. Manusia memang dahagakan perubahan dan pembebasan. Tidak sedikit dalam sejarah, lautan darah ditumpahkan atas nama kebebasan. Tidak sedikit juga slogan kebebasan ini akhirnya ditunggang oleh pembebas yang akhirnya menjadi penindas baharu. Akhirnya manusia tetap juga digari, cuma berubah tuan sahaja.

Dalam sejarah pernah dikatakan manusia perlu dibebaskan dari cengkaman raja. Untuk dipimpin oleh kebijakan pekerja. Namun ini juga akhirnya berakhir dengan tragedi yang lebih mencengkam. Diktator raja diganti dengan diktator proletariat. Sebab itu ada pemikir seperti Bakunin, yang beranggap revolusi perubahan itu tidak boleh dipimpin, kerana ada kecenderungan pemimpin revolusi ini akan melahirkan diktator baharu. Bagi Bakunin, tugas perubah-perubah hanya untuk membantu revolusi bukan memimpin revolusi.

Namun pemikiran Bakunin ini ada juga masalahnya. Ruang dan peluang revolusi bukan tiba banyak kali, ia adalah ruang dan peluang yang sempit, jika tidak direbut, ia akan direbut oleh orang lain. Itulah yang berlaku menurut Chomsky apabila Bolshevik mengambil alih Revolusi Rusia, para perubah-perubah asal akhirnya diperangi, dan negara dipimpin oleh ideolog seperti Lenin dan Trotsky dan kemudian baton pemerintahan jatuh kepada pemerintahan kuku besi Stalin. 

Kebebasan merupakan satu punca tenaga yang sangat kuat buat manusia. Walaupun akhirnya mereka tidak akan mungkin memeluk kebebasan mutlak. Kebebasan tetap mengiurkan dan membelai jiwa naluri insan. Akan selalu manusia merinduinya. Seperti Annelis yang menyorok dari buruan tentera fasis, dia hanya mahu keluar dan merasai kehangatan cahaya matahari – cahaya matahari itu adalah simbol perasaan kebebasannya.

Saya memulakan penulisan saya dahulu dengan menerbitkan buku sendiri. Walaupun ketika itu ada teman yang mengajak untuk menerbit bersama menulis di satu rumah penerbitan, saya menolak. Kerana saya merasakan pada ketika itu syarikat yang dicadangkan tidak berapa kena dengan selera pemikiran saya. Terbit sendiri bukan satu hal yang senang, tetapi ia juga tak mustahil di zaman ini. Bagi saya terbit sendiri adalah satu yang membebaskan, kita tidak terikat dengan kehendak-kehendak syarikat penerbitan.

Penulis memang sepatutnya menulis akan perasaannya, pemikirannya, apa yang dia rasakan benar, bukan apa yang orang lain katakan benar. Robert Fisk, seorang wartawan ulung misalnya, mengatakan bahawa penulis mesti memastikan tulisannya diterbitkan, bukan tulisan yang telah diubah menjadi penulisan editor atau pemilik syarikat penerbitan. Biasanya jika ada pihak penerbitan yang tidak mahu menerbitkan penulisan saya atas faktor tidak sesuai dengan pemikiran mereka, saya akan berhenti menulis untuk mereka, kerana saya tidak rasa selesa menulis bagi orang yang ada kecenderungan tertentu, saya mahu bebas menulis dan menerbitkan pemikiran saya. Biar pun mungkin readership-nya terhad, bagi saya itu lebih memuaskan, lebih jujur dan lebih bebas.

Projek Penulisan 2022 - sejak dahulu saya cuba untuk memahami dunia. Untuk memahami dunia tak dapat lari dari perjalanan untuk membaca dan mempelajari ideologi-ideologi yang ada dalam dunia ini. Teras paling dalam yang melahirkan semua pemikiran yang ada dalam pergolakan sejarah dunia saya kira adalah perasaan manusia untuk bebas, atau juga disebut sebagai falsafah pembebasan. Pada setiap zaman manusia mahu bebas dari sesuatu, ideologi lahir sebagai rangka fikir tentang bagaimana mahu bebas. 

Oleh itu salah satu buku saya yang akan terbit tahun ini adalah buku perihal ideologi. Buku ini adalah kumpulan esei saya selama 3 tahun, yang mencakup hal-hal ideologi, falsafah, politik dan rencana umum. Dalam usaha saya untuk merasionalkan dunia. Terima kasih diucapkan kepada Cukong Press yang sudi menerima karya kecil saya untuk diterbitkan. Terima kasih juga pada Ocha Vozvyshennyy yang sudi meneliti manuskrip awal, memberi pandangan dan kritikan. 

Buku kedua yang saya rancang adalah sebuah buku yang meneroka dua aktiviti kegemaran saya, iaitu menulis dan membaca. Disamping meneroka sejarah, falsafah, dan juga objektif bagi menulis dan membaca, buku ini juga merupakan rakaman pengalaman dan pandangan saya akan dua topik ini. Buku ini sebenarnya telah siap sejak tahun lepas lagi, namun disebabkan beberapa kekangan ia tidak dapat diterbitkan pada tahun lepas. Sekarang ia berada dalam proses akhir penerbitan. Penerbit ada memaklumkan bahawa mereka jangkakan buku ini dapat diterbitkan pada bulan Februari 2022. Selain dua buku ini, saya mahu take a break from writing, saya akan lebih memfokuskan penulisan pada tahun ini sekitar hal-hal peribadi yang dekat dengan kehidupan saya. Jadi janganlah tanya saya “tak ada buku baru lagi ke?”.

Di lapangan pembacaan pula saya merasakan ada banyak buku yang saya hanya baca separuh sahaja pada tahun lepas. Oleh itu target pembacaan saya tahun ini adalah untuk menghabiskan buku-buku yang telah saya mulakan pembacaan pada tahun lepas. Antaranya biografi Svetlana Alliluyeva, anak kepada Stalin, masalah Palestin dari kaca mata orang Kristian tulisan Gary Burge, Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (JATI Bil. 02), sebuah novel yang menelusuri sejarah silam China tulisan Susan Barker, kitab Al-Muqaddimah tulisan Ibnu Khaldun, dan akhir sekali naskah klasik falsafah tulisan Jean-Jacques Rousseau. Selepas habis buku-buku ini, barulah saya akan meneroka almari buku saya untuk bacaan baharu. Pembacaan bagi saya tidak lengkap dan memuaskan jika tidak dihabiskan kulit ke kulit buku-buku yang telah dimulakan.

Semoga semua perancangan untuk tahun ini dapat dicapai dengan jayanya. Ameen ya Rabb.

Ahad, 9 Januari 2022

Cancel Culture - Budaya Anti-Intelektual

Evelyn Beatrice Hall merupakan seorang penulis yang menulis biografi Voltaire. Voltaire atau nama sebenar beliau, François-Marie Arouet merupakan seorang penulis dan ahli falsafah pada zaman pencerahan (enlightenment). Beliau merupakan seorang yang kuat memperjuangkan hak-hak sivil, dan berani mengkritik Gereja Roman Katolik semasa zamannya. Kritikan beliau membuatkan banyak karya-karya beliau disekat dan diharamkan pada zamannya. Bagi Hall, Voltaire merupakan seorang yang kuat mempercayai bahawa setiap orang berhak memberikan pendapat, walaupun pendapat tersebut berlawanan dengan pendapat beliau sendiri. Hall menggambarkan sikap Voltaire ini dengan sebuah quote:

“I disapprove of what you say, but I will defend to the death your right to say it”.

Quote ini bukanlah berasal dari Voltaire, ia tidak akan dijumpai dalam mana-mana tulisan Voltaire walaupun orang sering mengaitkan quote ini dengan Voltaire. Sebaliknya ia adalah quote yang menggambarkan sikap Voltaire, yang ditulis oleh biografer beliau Evelyn Beatrice Hall dalam bukunya The Friends of Voltaire (1906). Bagi Hall begitulah Voltaire, sang pencerah yang sanggup mendengar hujah-hujah lawannya, memberikan mereka hak bersuara.

Anehnya, mereka yang kononnya merupakan golongan tercerah hari ini, yang mendabik dada sebagai pejuang kebebasan bersuara, tidak dapat mendengar hujah-hujah yang berlawanan dengan mereka. Malah muncul sebuah budaya untuk membatalkan suara-suara yang bercanggah dengan pendapat “golongan tercerah ini”. Saya secara peribadi dari dahulu lagi tidak gemar akan budaya membatalkan (cancel culture). Setiap kali orang tak bersetuju dengan kita, kita merasakan bahawa kefahaman dia itu offensive, atau jika seseorang itu tidak follow certain line of ideology yang kira harap dia follow, kita perlu cancel dia, unfriend, block, de-platform, pulau dan sebagainya.

Dari satu sudut, “golongan tercerah” ini kononnya memperjuangkan idea dan fahaman marginal, suara minoriti katanya, tetapi apabila ada orang yang marginal dari kefahaman mereka, tiba-tiba mereka tidak boleh terima. Kalau setiap orang yang berbeza pendapat dengan kita, kita kena cancel, akhirnya kita akan hidup dalam bubble kita sendiri. Dengar apa yang kita hendak dengar sahaja. Jadilah kita kambing ideolog, mengikut punggung pemikiran orang lain tanpa boleh berfikir dan menganalisa sendiri.

Perbezaan pendapat adalah benda biasa, jika kita rasa pendapat orang lain ofensif, pendapat kita juga mungkin ofensif untuk orang lain. Jadi macam mana? Adakah kita semua harus saling cancel-mengencel dan duduk dalam tempurung sendiri?

Bagi saya cancel culture ini budaya yang lemah, bila seseorang tidak dapat berhujah dengan kemas, mereka akan melemparkan label. "Ah, dia ni bigot". Lalu mereka block dan retreat ke dalam bubble mereka. Seolah-olah dengan block pandangan tersebut, pandangan tersebut tiba-tiba sudah tidak wujud lagi di dalam dunia. Tidak! Ia tetap wujud, pandangan berbeza tetap akan wujud, dan orang yang hidup di dalam bubble akan hidup dalam ignorance akan kewujudannya. 

Saya teringat ketika saya membaca buku tulisan Edward Said, Orientalism. Said dalam bukunya menulis dengan begitu detail sejarah prejudis Eropah terhadap bangsa Timur. Ia bukan sekadar label, tetapi analisa yang lengkap dari sudut pensejarahan, motif, literatura, lengkap dengan literal quotation dalam bahasa asal seperti bahasa Perancis dan English. Membaca naskah tersebut kita akan merasai bertapa telitinya Edward Said mengkaji pemikiran lawannya. Naskah yang beliau kaji dan selidiki bukan sahaja naskah moden, malah naskah-naskah klasik yang mungkin sudah tidak dibaca orang kini. Antara tokoh-tokoh besar yang tersenarai dalam kritikan Said adalah ahli falsafah seperti Karl Marx dan John Stuart Mill.

Said membahaskan bagaimana dalam kajian Marx terhadap pemerintahan British di India, Marx berpendapat bahawa dengan memusnahkan Asia, British dapat melaksanakan revolusi sosial yang sebenar. Bagi Said, walaupun Marx mempunyai simpati yang kuat kepada kesengsaraan manusia, namun dalam persoalan kolonial India, Marx merestui apa yang dilakukan British. Pemikiran ini menurut Said membingungkan, beliau mempersoalkan dimanakah moral dalam pemikiran Marx? Dimanakah simpati beliau kepada manusia hilang? Kemana ia hilang apabila pemikiran Orientalis menyusup masuk ke dalam pemikiran Marx? Edward Said juga mengkritik John Stuart Mill, yang terkenal dengan On Liberty dan idea Utilitarianism. Mill sendiri bekerja dengan syarikat kolonial East India Company dan mengatakan idea kebebasannya tidak terpakai kepada orang India.

Jadi adakah kita harus cancel Marx dan Mill kerana mereka pro-kolonial? Lebih kelakar adalah golongan kiri yang mengamalkan cancel culture, kenapa mereka tidak cancel Marx? Haramkan semua buku-buku Marx, de-platform dan padam semua nama beliau. Bolehkah kiri wujud tanpa Marx? Atau dalam hal ini mereka bersifat selektif dan cancel culture pujaan mereka tidak terpakai? Begitu juga dengan Mill, adakah kita harus cancel beliau dan memadamkan idea falsafah beliau yang sudah mencorak dunia kita? Jika tidak, kenapa? Jika cancel culture ini merupakan budaya intelektual, Edward Said tidak perlu menulis kritikan panjang terhadap mereka, beliau hanya perlu menulis di Twitter “I have cancelled Marx and Mill”, buat apa susah-susah tulis buku.

Bukanlah maksudnya tidak ada orang yang annoying dalam dunia ini. Berlambak. Saya sendiri kalau rasa annoying akan unfollow seseorang walaupun tidaklah sampai unfriend. Tapi saya tidak pernah membuat sebarang hebahan, pengumuman, bahawa saya telah unfollow somebody. Sebab bagi saya tindakan seperti itu langsung tidak matang. Biasanya bila saya sudah cool down saya akan follow balik orang tersebut. Saya kira ramai pemikir-pemikir besar, dunia tidak bersetuju dengan idea mereka pada zaman mereka. Tindakan mereka? Mereka tidak cancel the world, mereka ambil jalan susah untuk menerangkan idea mereka, menulis buku dan berwacana. Mereka tak ambil jalan orang-orang lemah dengan cancel the world. Sesempurna manapun ideologi kita, ketahuilah, dunia ini tak sempurna.

Voltaire penulis zaman pencerahan juga boleh menerima idea yang berbeza, namun “golongan yang mengaku tercerah” pada hari ini masih sibuk mendiamkan lawan mereka dengan cara yang langsung tidak ilmiah dan tidak intelektual. Jika Voltaire merupakan pengikut cancel culture, saya kira Evelyn Beatrice Hall akan menulis quote baru perihal perangai Voltaire, beliau akan menulis:

“I disapprove of what you say, instead of defending to the death your right to say it, I will cancel you on Twitter and block you on Facebook”.

Sabtu, 8 Januari 2022

Catatan Sukarelawan Banjir 2021


Malam itu (23/12/2021) aku bertolak jam 11.30 malam. Akhirnya aku sampai di Kuala Lumpur sekitar subuh. Sempat aku melelapkan mata selama dua jam sebelum melapor diri di Bilik Gerakan Banjir Selangor di Shah Alam. Pada mulanya aku agak khuatir, maklumlah aku ini sudah tua, biasanya kalau kurang tidur dan buat kerja sehingga penat, kepala biasanya akan diserang migrain. Hari ini alhamdulillah, badanku bekerjasama tanpa gagal. Walaupun tidur dua jam, penat, dan tak makan tengahari, aku dapat membantu mangsa banjir dan berkhidmat dengan selamat, dan selepasnya pulang tanpa sebarang bencana.

Pada mulanya aku ditugaskan ke Kampung Lombong, Shah Alam. Tapi kemudiannya aku ditakdirkan terpisah dari tim asal dari Kedah. Namun hal ini sebenarnya ada suratannya. Ajaib betul, setelah berpuluh-puluh tahun aku bergraduasi dari Rusia, aku masih boleh cam seorang teman berdasarkan jelingan mata dari jauh sahaja di Kampung Lombong pada ketika itu. Rezeki pagi itu berjumpa semula dengan Dr. Ariff Azfarahim Ibrahim di lapangan. Namun, sebab darurat dan keadaan huru-hara, aku hanya sempat bersalaman dengan beliau dan snap satu gambar sahaja sebelum berpisah. Tidak sempat bersembang. 

Kerana sudah terpisah, dan melihat keadaan di Hulu Langat yang lebih teruk berbanding Shah Alam, aku mengambil keputusan untuk ke Hulu Langat. Ditakdirkan, aku dapat bersama tim sukarelawan dari Perlis, yang kebanyakannya muda dan bersemangat. Kami ditugaskan membantu membersihkan rumah di Taman Dusun Nanding. Taman ini betul-betul berada di tepi Sungai Langat. Menurut penduduk tempatan, taman mereka paling awal dinaiki air, dan paling lambat air surut. Air juga naik sampai ke paras bumbung.

Ada penduduk yang berkongsi bahawa mereka hampir rasa berputus asa untuk membersihkan rumah apabila melihat kemusnahan yang berlaku. Ada yang termenung sehingga 3 hari baru mendapat semangat untuk membersih rumah. Ditambah dengan bekalan elektrik dan air yang terputus dan lambat dipulihkan menyukarkan lagi kerja pembersihan. Apa yang aku kagum, ada segelintir penduduk yang sibuk membersihkan rumah jiran, padahal rumahnya sendiri belum dibersihkan. Melihat reaksi penduduk apabila rumah mereka habis dibersihkan memang menyentuh hati. Ada yang menjerit gembira. Kata mereka "sekarang baru nampak macam rumah". Ada juga yang mengucapkan terima kasih, sebab mereka pun tak tahu macam mana nak mula membersihkan rumah, maklumlah kejadian seperti ini jarang berlaku di Hulu Langat. Cuma aku lihat, di Hulu Langat pada ketika itu, masih banyak rumah yang perlu dibantu, memang perlu banyak tenaga dan jentera untuk membersih dan mengangkut harta benda yang musnah. 

Aku sendiri rasa apa yang aku mampu tolong sedikit sangat berbanding kemusnahan yang berlaku. Aku hanya sempat membantu sehari, aku harap ada lagi tim-tim lain yang akan meneruskan bantuan kepada mereka. Tahniah juga buat semua yang bantu membantu. Bak kata kata pujangga "tak hensem takpa, janji kita saling bantu-membantu". Moga yang terkesan dengan musibah ini diberi kekuatan untuk bangkit kembali, dan semoga kita semua juga membantu dengan apa sahaja yang kita ada.

Melihat keadaan banjir dan huru-hara yang berlaku di negara tercinta ini, terdetik rasa hatiku untuk memberikan sedikit pandangan. Negara kita ini merupakan negara yang bertuah, selalu dikurniakan hujan. Air adalah sumber kehidupan dan banyak perkara yang dapat kita lakukan dengan air yang banyak. Ada negara lain yang begitu sedikit hujannya, dan mereka struggle untuk hidup dan menjana ekonomi mereka. Cuma ada kalanya, terutamanya di musim tengkujuh, negara kita akan menerima hujan yang lebih, hingga kadang jumlahnya tidak dapat ditampung oleh sungai-sungai yang ada. Ditambah pula dengan hutan-hutan yang kebanyakannya tidak mampu lagi menyerap air dengan efisien kerana kerakusan pembalakan halal dan pembalakan haram, memburukkan lagi keadaan. Longkang, parit, dan sungai yang tersumbat dipenuhi sampah sarap juga menambahkan lagi faktor berlakunya banjir yang teruk.

Fenomena banjir ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak aku keluar sekolah, sudah bermacam-macam misi banjir yang aku sertai dalam negara, antara yang aku masih ingat adalah di Kuantan pada tahun 2007 dan 2013, Temerloh pada tahun 2015, Permatang Pauh pada 2017 dan yang terbaru adalah di Yan pada bulan Ogos 2021. Kini pada penghujung tahun 2021, negara kita sekali lagi menghadapi banjir di Selangor dan Pahang. Sekali lagi aku turun ke lapangan membantu apa yang termampu. Aku bukanlah hendak menulis bahawa aku ini selalu menolong orang pada musim banjir, aku cuma mahu menggambarkan bahawa banyaknya berlaku banjir seingat pengalaman hidupku.

Aku berfikir bahawa negara kita tidaklah kurang cendiakawan, pakar dan juga graduan. Masalah banjir ini aku kira merupakan masalah yang sepatutnya sudah dapat kita uruskan. Orang Melayu kata jangan jatuh lubang biawak dua kali, kita entah berapa kali terjun lubang biawak yang sama. Aku memikirkan bahawa universiti-universiti kita begitu banyak kursus kejuruteraan. Hampir semua universiti awam ada fakulti kejuruteraan. Malah kita punya pelbagai jenis graduan kejuruteraan. Kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, elektronik, mekatronik, geomatik, kimia, marin, aeroangkasa, automotif, komputer hinggalah ke kejuruteraan genetik, nuklear dan kejuruteraan perniagaan. Segala macam bidang kejuruteraan yang lain, semuanya kita ada. Itu belum kira graduan kejuruteraan dari universiti swasta dan luar negara. Aku kira bakat dan sumber manusia dalam bidang ini sepatutnya telah lama kita gemblengkan untuk menyelesaikan masalah banjir.

Masalah ini mesti di selesaikan secara sistemik, maksudnya ia mesti diwajibkan dalam perancangan bandar, perancangan pembalakan, perancangan pembinaan perumahan dan juga pembinaan bangunan, bukannya kita bina dahulu kemudian baru kita fikir macam mana kita nak buat kalau berlaku banjir secara tiba-tiba.

Aku bukanlah nak menyalahkan universiti, pensyarah atau graduan. Kerana tidak adil mereka dipersalahkan, kerana tugas mereka adalah melahirkan graduan yang boleh bermanfaat untuk negara. Tugas mereka lebih kepada hal-hal eksekutif dalam mendidik dan mengeluarkan tenaga kerja negara. Sedangkan perancangan, polisi, projek, dan dasar ini terletak pada kerajaan. Mereka yang sepatutnya menyediakan projek-projek, dasar-dasar anti-banjir dan memanfaatkan tenaga kejuruteraan yang ada.

Aku kira projek kejuruteraan anti-banjir ini merupakan serampang dua mata. Dalam satu hal kita menyelesaikan masalah yang real dan praktikal. Dalam masa yang sama kita boleh memberi kerja pada graduan kejuruteraan yang asyik tiada kerja dan underpaid. Projek menyelesaikan masalah ini perlu didahulukan. Bukan hanya sibuk membuat projek pencakar langit supaya orang-orang kaya boleh hidup di atas awan, sedang rakyat biasa di bawah mati tenggelam. Harapnya dalam pengumuman Rancangan Malaysia Ke-berapa-entah (RMK) seterusnya nanti, adalah diumumkan projek mega ke, projek giga ke, yang berjumlah berbillion-billion untuk memastikan tidak berlaku banjir besar lagi di negara tercinta kita ini.

Aku tak rasa kita kekurangan tenaga mahupun teknologi. Tetapi mungkin kita kekurangan pemimpin yang berwawasan, yang berfikir dalam jangka masa yang panjang. Bukan sekadar sibuk dengan projek yang boleh memenangkan mereka dalam pilihanraya 5 tahun sekali, tetapi projek yang benar-benar menyelesaikan masalah secara sistemik. Bukan sekadar projek jangka pendek yang berbentuk tempelan-tempelan sahaja. Tugas pemerintah bukan pergi melawat mangsa banjir, berlakon membersihkan taik unggas, atau bersiar-siar menaiki bot di kawasan banjir. Sebaliknya tugas pemerintah yang berwawasan adalah memastikan tiada banjir di tempat pertama, atau orang putih kata, tiada banjir at the first place.

Ini belum kita bahaskan koordinasi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas. Rata-rata masyarakat kecewa dengan respon pihak berwajib apabila bencana melanda. Seolah-olah tiada persediaan dan perancangan, walhal duit-duit peruntukan sudah berjuta-juta diperuntukkan. Aku merasakan, dek kerana kita sudah mempunyai terlalu banyak pengalaman dengan banjir, sepatutnya kita sudah menguasainya, sudah mampu mengurus dan mengelakkannya. Banjir ini patutnya sudah menjadi sejarah, bukan lagi acara tahunan.