Khamis, 3 Julai 2014

Mengenang Murobbiku Ustaz Dahlan Mohd Zain


Penulis: Hilal Asyraf
Tajuk: Mengenang Murobbiku Ustaz Dahlan Mohd Zain

Sudah hampir 7 tahun rasanya keluar dari kepompong tarbiyah di MATRI, begitu pantas masa berlalu, lawatanku ke sana kali terakhir semasa reunion sedikit sebanyak mengubat rindu, namun kini MATRI bukan lagi seperti dulu, kini banyak bangunan baru, mungkin beberapa tahun lagi ia akan berubah 100 peratus. Cuma bangunan musolla masih kekal seperti dulu, binaan kayu, sentimental. Blog ini pun sudah berubah, hampir menjadi book review site, mungkin penulisnya lebih minat membaca dari menulis.

Apa pun Alhamdulillah, saya sempat menghabiskan pembacaan hasil tangan Hilal Asyraf ini baru-baru ini, mungkin ini kali pertama saya membaca hasil karya beliau. Belum berkesempatan membaca karya lain hasil penulisan penulis muda sensasi, kontroversi dan sensasi ini. Membelek gambar-gambar lama didalamnya membuatkan daku terkenang saat-saat lama, saat masih bujang, berjiwa rebel, saat MATRI belum pesat pembangunan infrastukturnya, masih serdehana.

Saya sendiri tiada pengalaman peribadi bersama Al-Fadhil Mudir, cuma di tingkatan satu ada bersama dalam kelas tulisan khat, namun tidak banyak yang saya ingati. Mungkin yang paling saya ingat pun semasa tingkatan 3, waktu itu saya baru menerima hukuman rotan di khalayak umum, jadi saya perlukan sedikit masa untuk balik bercuti, tenangkan fikiran dan muhasabah diri. Jadi saya bertemu Ustaz bersama kakak untuk minta kebenaran, namun tidak di izinkan.

Ya, selepas saya keluar dari sekolah baru saya sedar, ada sesuatu yang lebih dari sekadar sekolah yang diasaskan oleh Ustaz, satu generasi baru, generasi yang jiwanya adalah jiwa Islam, emosinya adalah emosi Islam, generasi yang keluar dan melakukan kebaikan dan pembaikan dalam masyarakat.

Tulisan Hilal ini yang memberi fokus kepada pengalaman bersama Ustaz di hujung usianya sememangnya merupakan satu coretan yang berharga, buat ingatan dan semangat buat generasi mendatang, bukan untuk memuja berlebihan. Kerana ramai orang yang boleh menjadi ustaz atau agamawan, tapi bukan semua orang mampu menjadi murobbi yang membina generasi. Cuma komen saya untuk penambahbaikan, mungkin perlu ada pengalaman dari orang-orang yang berada bersama Ustaz dimasa-masa mudanya, pengalaman bersama-sama membina dan membangun sekolah, berprogram dan berjaulah. 

Tahniah saya ucapkan buat penulisan yang berharga ini, semoga ia menjadi saham akhirat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan