Khamis, 11 September 2014

No God But God



Judul buku: No God But God - The Origins, Evolution and Future of Islam
Penulis: Reza Aslan
Penerbit: Arrow Books
Tahun: 2011

Penulisan dari penulis yang berketurunan Iran dan menetap di Amerika Syarikat ini saya kira merupakan satu penulisan yang baik. Ia banyak mempersoalkan semula beberapa isu kontroversi dalam Islam dari sudut pandang perdebatan akademik. Saya kira kita perlu bersikap terbuka dalam isu-isu ini dan berhujah dengan fakta dan tidak bermain dengan permainan kafir mengkafir atau permainan melabel, hujah akal perlu dipatahkan dengan akal saya kira.

Oleh itu, saya berpendapat buku ini elok dibaca oleh orang Islam yang sudah mempunyai kefahaman Islam yang sempurna. Antara isu yang dibangkitkan seperti hukuman kepada penzina dan fatwa kewajiban hijab, yang mana Reza Aslan berhujah bahawa arahan berhijab ini hanya dituju khas kepada isteri-isteri nabi dan bukan selainnya. Manakala kajian-kajian beliau berkenaan seerah dan perkembangan awal Islam tidaklah membawa kepada naratif baru, tetapi berpegang kepada fahaman seerah mainstream ummat Islam.

Namun saya kagum dengan kebolehan penulis yang menghujahkan isu poligami Rasulullah secara adil dan jujur. Ia memberi gambaran yang jelas, dalam masa yang sama menolak pandangan-pandangan yang cuba memburukkan Islam seperti Nabi Muhammad seorang yang gila seks dan sebagainya. Dalam isu perkembangan agama Syiah juga, Reza Aslan pada pandangan saya memberikan satu analisa yang adil dan tepat dari sudut akademiknya. Ia memberi gambaran jelas bagaimana perpecahan pemahaman politik dalam masyarakat Islam akhirnya melahirkan ritual-ritual baru, dan berevolusi menjadi agama dan fahaman teologi yang baru.

Antara pemikiran yang dibawa oleh Reza Aslan adalah 'Tuhan itu satu, tetapi Islam tidak satu'. Hal ini kerana wujudnya banyak tafsiran dalam memahami teks Al-Qur'an dan Hadith. Beliau juga cenderung kepada fahaman bahawa 'Manusia lah yang mencipta undang-undang, bukan tuhan". Beliau berhujah sekalipun hukum itu dinyatakan dalam wahyu, ianya masih lagi terdedah kepada penafsiran manusia.

Perbahasan yang menarik minat saya adalah yang berkaitan dengan politik Islam. Reza Aslan berpendapat bahawa 'fungsi Ulama dalam demokrasi Islam bukan lah sebagai pemerintah, tetapi ulama berfungsi sebagai penjaga kepada moral sesebuah negara'. Beliau seolah-olah menolak model pemerintahan theocracy yang diamalkan oleh Iran. Namun pada pendapat saya, kajian beliau terhadap lanskap politik Islam tidak menyeluruh dan seolah-olah mengabaikan negara-negara Islam yang progressif seperti Turki dan Malaysia.

Saya tidak mencadangkan buku ini untuk bacaan umum, kerana pada perkiraan saya masyarakat umum kita masih kurang membaca dan tidak mempunyai kefahaman prinsip yang kuat serta mungkin ada sesetengah pemikiran dan perbahasan yang dibawa boleh mengelirukan. Tetapi kepada golongan pengkaji atau ahli agamawan, saya kira buku ini merupakan satu buku yang baik untuk menjana pemikiran dan melontarkan pandangan-pandangan hukum, selagi mana ia didalam ruang kajian ilmiah dan bukan bertujuan untuk mengkafirkan mana-mana pihak.


1 ulasan:

  1. Salam wbt, komentar yang baik dan tersusun. Teruskan menulis, semoga berjaya.!

    BalasPadam