Selasa, 3 Februari 2015

The Selfish Gene


Judul buku: The Selfish Gene
Penulis: Richard Dawkins
Penerbit: Oxford University Press
Edisi: 30th anniversary edition 2006

Teori evolusi merupakan satu teori yang menarik, apabila disebut 'teori' saya lebih gemar memahaminya sebagai satu hipothesis yang boleh diterima atau ditolak setelah diuji. Berbeza dengan teori evolusi klasik yang diasaskan oleh Charles Darwin, buku karya biologis terkenal ini mengetengahkan teori bahawa evolusi berlaku bukan kerana kehendak sesuatu organisma untuk kelangsungan spesies tetapi oleh gen untuk memelihara kelangsungan gen. 

Gen seperti yang diungkapkan oleh Dawkin dalam bukunya ini, merupakan benda yang abadi, ia akan diwariskan kepada generasi seterusnya, dan jasad hanyalah mesin yang digunakan oleh gen untuk berpindah dari satu generasi ke generasi yang lain. Jasad tidak kekal. Pendekatan ini membawa makna bahawa evolusi merupakan satu kaedah yang digunakan oleh gen untuk memelihara kelangsungan nya dengan melakukan modifikasi pada jasad.

Buku ini secara tidak langsung memberi satu refreshment kepada pemahaman biologi, sejak kali terakhir saya mengikuti kelas biologi di sekolah 8 tahun lalu. Pendekatan metafor dan penggunaan bahasa non-technical memudahkan pembacaan, disamping contoh-contoh yang tidak membosankan.

Namun, ada sesuatu perkara yang menarik perhatian saya selain kritikan Dawkins ke atas agama (Dawkins sememangnya terkenal dengan fahaman atheis dan pengkritik agama), iaitu dalam menerangkan perkara-perkara kompleks seperti susun atur chromosom, genom di dalam DNA, Dawkins mengunakan metafora arkitek, dan susunan DNA sebagai binaan arkitek yang seimbang dan tersusun. Namun di akhirnya, beliau menafikan kewujudan arkitek yang digunakan dalam metaforanya. Perkara ini, menunjukkan satu paradoks pemikiran yang bagi saya menguatkan hujah creationist bahawa terdapat arkitek yang menyusun alam yang kompleks ini. Arkitek itu adalah Tuhan.

Namun, walaupun saya tidak bersetuju dengan world view atheis, saya mengagumi mereka. Apabila berdepan dengan soalan-soalan seperti bagaimana kehidupan bermula, mereka tidak menggunakan pendekatan seperti "Jangan berfikir nanti jadi gila" atau "Perkara ini hanya Tuhan sahaja yang tahu". Sebaliknya mereka berfikir dan mengemukakan teori-teori yang hanya bersifat 'mungkin ini sebabnya', kemudian mereka melakukan kajian untuk cuba membuktikan teori tersebut. Menggunakan fakta kajian dan reason. Dalam perjalanan kajian mereka itu, mereka menemui pelbagai keajaiban dan bukti penciptaan, sebahagian mereka menjumpai Tuhan dan beriman, sebahagian yang lain masih belum diberi ALLAH hidayah.

Saya secara peribadi tidak selesa untuk mengatakan seseorang itu sesat, walaupun dia seorang atheis, sebelum mengetahui mengapa dia berfikiran sedemikian. Kerana tiada siapa yang mahu sesat, kesesatan bukan kehendak yang di fitrahkan, tetapi merupakan natijah dari kefahaman dan pemikiran. Buku ini bukan berkisar tentang ketuhanan atau sosial, ia lebih kepada perbahasan biologi, tetapi dapat membantu kita memahami mengapa seseorang boleh berfikiran atheist dari sudut pandang kajian biologi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan