Isnin, 6 April 2015

Aku ingin kembara lagi

Penulis: Prof Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Penerbit: Grup Buku Karangkraf

Saya tidak mempunyai pengalaman peribadi bersama Dr. Asri, namun saya meminati gaya pemikiran yang dibawa oleh beliau. Saya mula mengenali beliau melalaui video-video yang dimuat naik di laman youtube, yang banyak menyentuh berkenaan dengan keinsafan dan kelemahan manusia. Siri-siri kuliah muzikal yang dimuat naik juga antara yang saya minati.

Walaupun pemikiran Dr. Asri juga dimusuhi oleh pelbagai pihak, seperti kes JAIS, juga ustaz-ustaz lain yang melabelnya dengan label Wahabi, namun saya kira Dr. Asri berada dalam class nya yang tersendiri. Fahaman dan pemikiran beliau yang dinamik dan terbuka dalam mengeluarkan pandangan dan hukum membuatkan beliau dekat dihati orang kebanyakan dan dimusuhi oleh golongan berkepentingan. Sikap beliau yang pro-rakyat dan lantang mengkritik pemimpin yang korup dan pihak yang fanatik feudalisma juga menjadikan suaranya lebih relevan berbanding ustaz-ustaz cari makan yang lain.

Saya secara jujur jarang membaca buku bahasa melayu, bukan kerana saya tidak patriotik atau berideakan barat, cuma banyak subjek pembacaan yang saya minati belum dimelayukan. Namun saya akui, buku ini berjaya mencuri perhatian saya, dan sedikit sebanyak mencorak cara saya berfikir berkenaan dengan agama, kehidupan, politik dan fungsi agama itu sendiri.

Ia juga memberi kefahaman yang jelas berkenaan dengan cara kita seharusnya memandang sesuatu hukum, mengambil kira kesesuaian budaya, tempat dan masa. Pandangan-pandangan beliau berkenaan Secular state dan Islamic state juga saya kira adil, namun masih terbuka untuk di bahaskan dengan terperinci. Dalam soal negara Islam dan pemisahan antara agama dan negara ini perlulah kita pandang dari sudut realiti dan praktikal, bukan hanya berdasarkan semangat dan emosi.

Tulisan beliau berkenaan dengan ruh dan alam barzakh juga amat terkesan dihati, kerana saya baru kehilangan bapa mertua. Sungguh kenangan itu sesuatu benda yang menghampiri nyata, kenangan membuatkan kita merasai semula saat yang telah berlalu, kadang ia mengukir senyum dibibir kita, kadang ia membutirkan air mata di kelopak mata. Sayu hati saya melihat air mata keluarga, terutamanya isteri, namun begitulah kehidupan, tiada apa yang kekal, semuanya akan kembali, bezanya adalah waktu. Moga kita mampu redha walaupun dalam linangan air mata. 

Sekiranya cebisan tulisan ini mampu membangkitkan sesuatu kepada saya, saya rasa sesuatu itu adalah perasaan ingin mengembara semula. Sudah  lama rasanya saya tidak sesat didalam hutan dan perbukitan, menghilangkan dahaga dengan air sungai dan menyelimuti badan dengan kabus di kala dini hari. Sudah tiba masanya saya kira untuk saya matikan talifon bimbit seketika, merasai hidup tanpa deringan talifon atau message-message di group whatsapp. Melihat matahari hilang diufuk jauh, tersenyum melihat langit berubah jingga dikala senja. Aku rindu saat-saat keluar dari kota, merasai kehidupan desa yang sederhana tetapi selesa. Sudah tiba masa untuk aku termenung semula. Berfikir bersama alam dan menghirup udara kebebasan.

Terima kasih atas tulisan ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan