Sabtu, 8 Ogos 2015

A brief history of time



Penulis : Stephen Hawking
Penerbit: Bantam Books


Buku ini memang mengujakan. Rasanya sudah lama saya tidak membaca buku yang saya akan mengambil masa kurang dari sebulan untuk menghabiskan pembacaan. Ya, persoalan terbesar yang manusia selalu cuba mencari jawapan sepanjang zaman adalah kenapa alam ini wujud dan bagaimana ia bermula, jangkaan saya soalan ini akan terus menjadi topik pada abad-abad yang akan datang.

Sesetengah manusia apabila berhadapan dengan soalan ini, mungkin akan menjawab bahawa alam ini dicipta Tuhan dan berhenti setakat itu. Manakala, ada pula golongan manusia yang pergi lebih jauh, mereka bertanya alam ini dicipta Tuhan, tetapi bagai mana proses penciptaan itu berlaku, dan apa hukum dan undang-undang yang mengawal perkembangan nya. Buku ini merupakan buku yang ditulis oleh golongan kedua tadi, yang tidak berhenti dan terus mencari.

Kisah hidup Stephen Hawking saya rasa begitu menarik, memberi inspirasi dan motivasi,  ia telah pun di adaptasi ke layar perak pada tahun 2014, dalam filem yang bertajuk The Theory of Everything yang memaparkan kisah hidup Hawking yang mengalami Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) juga dikenali sebagai Motor Neurone Disease, yang mengakibatkan sebahagian tubuhnya lumpuh dan akhirnya hilang kemampuan bertutur. Namun, pemuda Cambridge ini tidak berputus asa dan akhirnya mendapat phD nya dan menjadi penyelidik terkenal dalam bidang theoretical physics.

Buku ini yang cuba untuk mencari rahsia alam menggunakan dua teori fizik utama iaitu general theory of relativity dan quantum mechanic, merupakan sambungan kepada penyelidikan yang diasaskan oleh Galileo, Newton juga Einstein. Apa yang menarik, mereka merupakan golongan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang ada berkenaan dengan alam pada zaman mereka, mereka berfikir dan berfikir. Proses ini walaupun akhirnya tidak dapat menjawab soalan yang utama, iaitu bagai mana alam ini bermula, tetapi akhirnya dapat menjumpai penemuan-penemuan (partial theories) yang merevolusikan sains dan teknologi. Sebenarnya, kebanyakan penemuan sains merupakan penemuan hasil kajian secara tidak sengaja (sebagai contoh penicillin), namun akhirnya memberi sumbangan besar kepada ketamadunan manusia.

Keberanian berfikir dan bertanya soalan-soalan yang lain dari orang lain inilah yang akhirnya, seperti yang diungkapkan Hawking, mengubah 'science's fiction' kepada 'scientific fact'.

Sememangnya perbincangan-perbincangan berkenaan dengan worm holes, black holes, dark matter, dan kemungkinan manusia untuk mencipta mesin time travel dan mengembara antara galaksi mungkin bagi kita mendahului zaman, tetapi mereka berani untuk memulakan nya dan melabur dana besar bagi menyelidikinya. Akhirnya mereka mendominasi cosmology, advance physics dan pelbagai lagi bidang yang berkaitan.

Satu karya yang wajib dibaca walaupun anda bukan pelajar cosmology !

2 ulasan:

  1. sapa tokoh muslim yg mempeloporri ilmu cosmology?

    BalasPadam
  2. banyak, boleh refer link ini -> https://en.wikipedia.org/wiki/Cosmology_in_medieval_Islam#Cosmography

    BalasPadam