Sabtu, 29 Ogos 2015

Monolog Dari Hati 66 Nota Penenang Jiwa



Penulis : 'Ali Irfan Jamalludin
Penerbit: Grup Buku Karangkraf
Tahun: 2014

Buku ini ditulis oleh seorang senior saya semasa di sekolah menengah, beberapa kenangan tarbiyah bersama masih saya ingati sehingga kini. Tulisan berbentuk nota yang santai sesuai untuk pembacaan ringan, boleh berhenti selepas beberapa nota dan menyambung kembali pembacaan di masa lain.

Membaca buku ini membuatkan saya merasakan bahawa sebenarnya semua orang boleh dan seharusnya menulis buku, walaupun setiap orang mungkin menerima proses tarbiyah yang sama, namun corak penerimaan, sudut pandang dan pengalaman setiap orang berbeza. Ia wajar dikongsi dan diperkaya. Tidak semua orang berpeluang melalui proses tarbiyah, perkongsian dari penulisan sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran kepada mereka yang di luar lingkungan tarbiyah, apa sebenarnya yang sedang di alami.

Namun untuk mengetahui sendiri, bagaimana proses tarbiyah itu seseorang itu perlu merasainya sendiri. Kita tidak akan tahu bagaimana rasa durian jika kita tidak pernah makan durian, kita tidak akan tahu bertapa sejuknya air sungai sekiranya kita tidak terjun ke dalam sungai itu.

Antara pesan-pesan yang mengusik jiwa di kala menyelak lembaran-lembaran buku ini adalah peri penting untuk bangun awal pagi sebelum subuh, bertahajjud dan menangis dalam doa. Mengungkap kan nya begitu senang, namun untuk istiqomah melakukan nya memerlukan mujahaadah yang begitu besar.

Saya kira buku-buku berbentuk tarbawi ini memerlukan persediaan pembacaan yang berbeza dari buku biasa. Buku biasa, kita hanya perlu menyediakan akal untuk menerima maklumat, namun apabila membaca pesan-pesan tarbawi, kita perlu membawa hati kita sekali. Kerana target tarbiyyah adalah hati. Satu perkara, yang saya kira semakin hari semakin terhakis dari diri saya. Satu perkara yang perlu kita renung semula dan dijadikan modal muhasabah diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan