Jumaat, 25 September 2015

Setenang layunan lalang hijau



Sinar mentari dikala petang memancar laju
Menyirami lautan lalang saujana luas seluas kalbu
Lalang hijau pun bersinar bercahaya beribu
Sedang aku termenung melihat keagungan ciptaanmu

Perasaanku pun terbang melintasi bintang di udara
Ketenangan datang di kala masa tanpa di duga
Angin bertiup sayup dari utara 
Aku masih dalam lamunanku cuba meneka misteri buana

Sungguh nafas manusia begitu singkat
Semalam menangis merah disambut jururawat
Hari ini sudah memegang tangan isteri erat
Insan baru pula bakal terbit menyambung zuriat

Kadang perasaan kesah memikir belanja
Namun kuasa tuhan tiada yang mampu meneka
Bukankah rezekimu telah tertulis wahai manusia
Menunggu kamu berusaha memetiknya sahaja

Ketenangan datang dalam pelbagai cara
Ada kala ia menyapa dari senyuman yang tercinta
Di kebanyakan masa
Hadir ia dari keindahan semesta

Aku termenung kali ini cuba merungkai rahsia
Sinaran jingga petang membasahi mata
Apa rahsia disebalik keagungan penciptaan yang esa
Mampu menukar duka kepada ketenangan jiwa
Pipit berterbangan merentas angkasa
Sudah senja mereka pulang bersama
Awan merangkak perlahan melintasi puncak gunung
Aku masih lagi termenung

Alam memberi ketenangan yang menusuk jiwa
Lebih dalam dari apa yang mampu dipuaskan harta
Ya tuhan kuharap kekuatan dari engkau
Beriku ketenangan setenang layunan lalang hijau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan