Jumaat, 4 November 2016

The Prince oleh Niccolo Machiavelli


“it is much safer to be feared than loved” – Nicollo Machiavelli.

Ungkapan ini mungkin ungkapan yang paling terkenal oleh Machiavelli, apabila dia menjawab soalan adakah pemerintah perlu dicintai atau ditakuti. Beliau beranggapan bahawa pemerintah perlu memiliki kedua-duanya, namun ini amat sukar. Sekiranya perlu dipilih, pemerintah harus memilih untuk ditakuti. Kerana cinta adalah perkara semulajadi yang sukar dikawal, manakala ketakutan boleh dicipta dan dikawal.

Machiavelli dianggap sebagai pengasas kepada sains politik moden dengan karyanya The Prince. Buku ini ditulis pada 1513 namun diterbitkan 5 tahun selepas kematiannya, iaitu sekitar 1532. Ia menjadi rujukan sebahagian besar pemimpin dunia, termasuk diktator seperti Hitler. Malah Mussolini menjadikannya sebagai subjek kepada thesis doctorate beliau.

Dalam menguasai mana-mana kawasan, Machiavelli menggariskan bahawa penguasa harus sedar bahawa mereka memerlukan bantuan dari penduduk setempat. Sekuat mana pun tentera, tanpa bantuan populasi setempat, kuasa tidak dapat bertahan. Oleh itu, sangat penting bagi penguasa menguasai mereka dengan kekuatan mahupun tipu helah.

Machiavelli membuat analisa berkenaan penaklukan Milan oleh Louis XII, dan bagaimana Louis melakukan kesilapan sehingga dia hilang semula kuasanya. Beberapa perkara perlu dilakukan penakluk untuk kekal berkuasa, terutamanya apabila menakluki satu kawasan baru, yang mempunyai perbezaan budaya. Antaranya memindahkan pusat pemerintahan ke kawasan baru, menanam koloni, menindas hanya golongan miskin yang tidak mampu membalas dendam dan melemahkan kuasa-kuasa disekeliling. Untuk kekal berkuasa, pemberontakan perlu dihapuskan pada peringkat awal, sebelum ia merebak.

Machiavelli dalam analisanya antara empayar France dan Turki mengakui bahawa terdapat perbezaan dalam dua empayar ini. Perancis mudah ditakluki tetapi sukar untuk mengekalkan kuasa. Hal ini kerana, ia mempunyai banyak golongan bangsawan yang mudah dipengaruhi dan digunakan untuk menakluki pemerintah. Namun apabila berkuasa, bangsawan ini akan menjadi ancaman. Berbeza dengan empayar Turki, ia tidak mempunyai golongan bangsawan yang berpengaruh, jadi untuk menewaskan nya, penakluk perlu menghadapi rakyat yang seluruhnya bersatu dibawah kuasa sultan. Ia sukar ditewaskan, tetapi jika sudah dikuasai, mudah dikekalkan.

Dalam usaha menakluki sesuatu kawasan yang sudah mempunyai struktur budaya dan pemerintahan nya sendiri. Terdapat tiga cara bagi kekal menguasai mereka. Yang pertama, memecah belahkan kesatuan mereka. Yang kedua, mengubah pusat kerajaan ke kawasan itu. Dan yang ketiga, melantik kerajaan proksi yang mempunyai hubungan baik. Jika kita lihat didalam sejarah, kesemua taktik ini digunakan oleh kuasa imperial. British sebagai contoh menggunakan teknik pecah dan perintah.
Dalam mengekalkan kestabilan dua faktor mempengaruhi, ujar Machiavelli. Yang pertama adalah undang-undang dan peraturan yang baik. Yang kedua kuasa dan ketenteraan yang kuat. Yang pertama tidak dapat tertegak tanpa yang kedua. Oleh itu, kesimpulan beliau dalam memelihara kestabilan, perlua ada kuasa yang kuat, baik seperti polis atau tentera yang ditakuti oleh orang ramai.

Seseorang pemerintah ujar Machiavelli tidak boleh menyibukkan diri mereka dengan perkara lain kecuali strategi perang, organisasi-organisasi peperangan dan disiplin peperangan, baik semasa aman atau semasa diancam peperangan. Pemerintah yang sibuk mengejar kekayaan dan perempuan akan menemui kehancuran.

Beliau juga mengingatkan agar kita harus menjadi seseorang yang realistik, mengakui kelemahan dan memperbaikinya, kerana ramai manusia yang berkata-kata tentang kerajaan yang baik dan sempurna, walhal tiada dalam sejarah kerajaan yang sempurna. Mereka mengejar bayang-bayang illusi. Machiavelli juga menasihatkan agar pemerintah belajar untuk tidak menjadi baik, kerana dengan membuat kebaikan dia mudah dipergunakan. Namun, dia harus melakukan kejahatan dengan berhati-hati, hanya ketika perlu, dan seharusnya menjaga imej agar tidak kelihatan kejam.


Karya Machiavelli boleh dianggap sebagai licik, jahat dan kejam. Namun, di sudut praktikal ia sangat mudah digunakan untuk memiliki kuasa dan mengekalkan-nya. Meskipun kita mungkin tidak setuju dengan prinsip yang digariskan beliau seperti ‘matlamat meng-halal-kan cara’, namun saya kira ia tetap perlu dikaji dan ditekuni agar seseorang itu dapat mengambil pelajaran dan berhati-hati terhadap orang lain yang mungkin ingin menjatuhkan-nya. Satu karya politik yang praktikal, namun kejam!

Diterbitkan oleh Signet Classic, 1999 (Cetakan pertama 1532)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan