Rabu, 15 Februari 2017

Dear Leader oleh Jang Jin-Sung



Penerbit: Rider, 2014

Sehari selepas saya tamat membaca buku ini, Kim Jong Nam telah dibunuh oleh pembunuh upahan Korea Utara di Malaysia. Ia merupakan peristiwa yang mengabsahkan kekejaman parti buruh komunis dalam usaha mempertahankan kuasa mereka.

Buku ini merupakan sorotan pengalaman seorang penyair yang berkhidmat untuk Kim Jong-Il. Beliau mendapat anugerah khas dari Kim Jong-Il atas puisinya yang patriotik pada usia yang muda. Beliau kemudian berkhidmat di jabatan kerajaan yang bertanggung jawab untuk menyebarkan propaganda ke luar negara juga dalam negara.

Beliau mendapat kebenaran khas untuk membaca bahan-bahan terlarang termasuk bahan penerbitan Korea Selatan. Dari pengalaman beliau melihat keadaan ekonomi dalaman Korea Utara dan dibandingkan dengan kemajuan ekonomi Korea Selatan, Jang tidak dapat lagi menafikan pemikiran beliau bahawa polisi ekonomi sosialis dan ideologi komunis telah gagal di Korea Utara. Beliau berkongsi bahan bacaan terlarang dengan rakan beliau Young-min, namun akhirnya diketahui oleh pihak berkuasa.

Akibatnya mereka berdua terpaksa melarikan diri dengan menyeberangi sungai Tumen dan berlindung di Yanbian, China. Namun di China mereka masih diburu atas tuduhan bunuh, mereka di kejar oleh pihak berkuasa China dan juga Agen korea Utara. Mereka terpaksa bersenbunyi di kaki-kaki bukit.

Di China, etnik Korea diiktiraf sebagai etnik minoriti. Mereka inilah yang banyak membantu saudara mereka yang melarikan diri dari Korea Utara. Kebanyakan rakyat Korea Utara melarikan diri kerana keadaan ekonomi yang buruk, kelaparan, juga undang-undang yang kejam. Keadaan ekonomi yang mundur ini hingga ke tahap seorang ibu terpaksa menjual anaknya dengan harga 100 Won. Jang kemudian ke Shenyang , sebelum akhirnya berjaya sampai ke konsul Korea Selatan di Beijing dan mendapat perlindungan. Jang kemudian dipindahkan ke Seoul.

Selain kisah pelarian mereka, buku ini mendedahkan pelbagai polisi dalaman Korea Utara yang didedahkan oleh Jang selaku pegawai atasan dalam Parti Buruh Komunis. Antara polisi ini adalah strategi penculikan warga Jepun  bagi dijadikan agen Korea Utara, bagaimana ‘Sunshine Policy’ oleh Korea Selatan dimanipulasikan Korea Utara, bagaimana parti memanipulasikan sejarah, juga didedahkan kemewahan dinasti Kim.


Buku ini juga berjaya menyampaikan nilai kemanusiaan. Sepanjang pelarian mereka di China dan diburu oleh Agen Korea Utara, banyak pihak telah membantu mereka. Ada yang baik hati memberikan mereka makanan percuma, tempat tinggal, juga memberikan mereka wang untuk membeli tiket bas. Ia merupakan pengajaran bahawa kita perlu melihat seseorang itu lebih dari sekadar ideologi, agama, bangsa, tetapi sebagai seorang manusia yang mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan bebas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan