Khamis, 22 Jun 2017

Camp De Calais



Penulis: Izzat Ibrahim
Penerbit: Must Read, 2017

Apabila kita melihat dunia hari ini, kita akan mendapati seolah-olah ia terpisah kepada dua blok. Blok pertama adalah negara-negara aman, makmur, damai dan hidup dalam keadaan yang selamat dan tersusun. Rakyatnya boleh belajar, bekerja dan berlibur. Satu blok lagi adalah negara-negara yang hancur dimusnahkan oleh perang, negara yang menjadi medan kuasa-kuasa besar dunia menguji kekuatan tentera mereka dan senjata-senjata moden mereka. Negara-negara yang dimusnahkan ini, dilindungi oleh pelbagai jenis alasan untuk memberi justifikasi kepada misi ketenteraan. Antara justifikasi tipikal adalah menjatuhkan tirani, membawa demokrasi, dan memerangi pengganas dan ekstrimism.

Namun apa yang menyedihkan adalah manusia-manusia yang tersepit ditengah-tengah konflik ini. Anak-anak yang hilang masa depan dan menjadi mangsa percaturan peperangan geo-politik. Keluarga-keluarga yang musnah tempat tinggal mereka, kehidupan mereka hari ini tidak seperti semalam. Malah mereka bertanya “Adakah keadaan ini layak di panggil kehidupan?”

Hasil dari pada peperangan dan perebutan kuasa ini adalah ‘mass migration’. Di mana kehidupan sudah tidak lagi viable, manusia cuba keluar dari kawasan konflik dan mencuba nasib menjadi pelarian di negara orang. Cuba untuk hidup semula. Namun laluan mereka tidak lah mudah, ada yang berjaya, namun kebanyakan nya akhirnya tersangkut di kem-kem pelarian di pelbagai pelusuk dunia.

Buku ini mengisahkan seorang anak muda bangsa Johor, yang meninggalkan kehidupan selesanya, untuk merasai sendiri penderitaan pelarian ini. Izzat Ibrahim yang merupakan siswa di universiti di Kaherah, mengambil keputusan menghabiskan cutinya untuk berkhidmat di sebuah kem pelarian di Calais, Perancis.

Di Calais beliau menyertai pasukan ‘Kitchen in Calais’ bagi menyediakan makanan panas kepada para pelarian yang terdiri dari warga Sudan, Afghanistan, Iraq, dan Syria. Beliau berkongsi pengalaman melihat bagaimana peperangan meragut kehidupan mereka dan meninggalkan trauma mental yang tidak mudah di pulihkan. Izzat cuba sedaya upaya yang beliau ada untuk mengembalikan pelarian yang ada kembali bergantung kepada Allah dengan berpegang dengan ajaran Islam.

Apa yang lebih menarik adalah diversiti para sukarelawan yang datang berkhidmat. Ada yang datang dari Brazil, Scotland, Belanda dan England. Walaupun kebanyakan mereka bukan beragama Islam, mereka tetap memberikan harta dan tenaga mereka bagi membantu pelarian ini atas dasar kemanusiaan. Peluang ini digunakan oleh Izzat bagi mempelajari budaya mereka disamping menonjolkan akhlak Islam sebagai salah satu usaha dakwah. Diakhir buku ini, Izzat meluahkan perasaan jatuh cintanya kepada seorang gadis sukarelawan dari Morocco. Namun setelah beristikharah dan berfikir panjang, Izzat memutuskan untuk terus setia mencari gadis Melayu, kerana baginya ada sesatu yang istimewa pada gadis Melayu yang lebih sesuai dengan perwatakan beliau.


Buku ini merupakan catatan yang penuh inspirasi, ia seharusnya dibaca oleh golongan muda agar mereka dapat menyumbang kepada kerja-kerja sukarela. Ia juga menjadi satu pengajaran dan pelajaran kepada kita semua berkenaan dengan kehancuran yang dibawa oleh peperangan. Kesengsaraan manusia seharusnya menggerakkan hati kita, untuk sama-sama memberi bantuan, baik kecil mahupun besar. 

Dapatkan naskah buku ini melalui link ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan