Sabtu, 12 Mei 2018

PRU14: Politik adakah sekadar pilihanraya




Saya bukan lah siapa-siapa. Sekadar anak muda pengundi kali pertama. Saya juga bukan merupakan ahli parti Islam, jikalau masuk syurga perlu nombor ahli, mungkin saya tidak dapat masuk. Cuma sekadar ingin mencoret sedikit rasa hati.



Ramai yang menulis "Ha itulah dulu suka sangat kafirkan orang terima lah apa terjadi". Kebanyakan nya merupakan kata-kata yang keluar dari golongan muda, yang mungkin tidak merasai hari-hari perjuangan masa lalu. Saya bukan lah pro ideologi takfiri, cuma saya mahu cuba beri pandangan yang lain.

PAS bukan lah parti baru. Bukan parti reaksionari yang tertubuh atas dasar peristiwa, seperti pada tahun 1998. Bukan juga parti yang tumbuh bagai cendawan hasil perpecahan serpihan dari parti lain. Tetapi ia adalah parti yang tertubuh berdasarkan ideologi. Faham kita akan perkara ini, akan membantu kita faham mengapa ia jarang bersama dengan gerakan-gerakan yang populis, kerana ia terikat dengan dasar ideologi.

Ideologi takfiri ini lahir kerana zamannya. Zaman ideologi ini dipegang bukan seperti zaman sekarang, zaman sekarang sudah banyak berubah, anak-anak ke sekolah bertudung satu benda yang biasa. Zaman dahulu, hatta ustazah pun ada yang tidak bertudung.

Zaman dahulu, cengkaman autoriti cukup kuat. Silap bicara ke penjara di bawah ISA. Pelajar juga dibendung menggunakan AUKU. Sebab itu ideologi dizaman itu radikal, kerana lawannya merupakan autoriti yang tiada toleransi. Antara kemuncaknya adalah tragedi berdarah Memali. Luka yang sepatutnya di biar sembuh dan tidak di bawa ke generasi baru.

Benarlah kata-kata As-Syahid Hassan Al-Banna "masa adalah sebahagian dari rawatan". PAS bukan sahaja berlawan di Parlimen, PAS bersama gerakan-gerakan Islam yang lain menubuhkan jaringan tadika, sekolah, kolej. Anak-anak dihantar ke luar negara, yang akhirnya lahir generasi seperti hari ini. Perdana menteri yang mahu menjadi perdana menteri sekali lagi hari ini, cuba menyekat dengan menarik bantuan kepada sekolah agama rakyat. Masyarakat hari ini sudah berubah, kita bukan sahaja ada sekolah Islam, kita ada universiti, malah bank dan sebagainya.

Oleh itu, sesuai dengan peredaran zaman, ideologi keras ini mula pudar. Ia merupakan pendekatan yang baik, walaupun ramai memerli "dulu kafirkan sekarang berkawan", tetapi ia adalah sudut positif. Dan usaha cendiakawan seperti Dr. MAZA harus dipuji, dalam menerangkan bahawa parti bukan agama. Saya yakin walaupun ideologi keras itu masih tersisa, lama kelamaan ia akan berubah sesuai dengan zaman nya.

Jasa PAS akan sentiasa terpahat dalam lembaran sejarah. Mungkin bagi sesetengah pihak atau parti, kehendaknya hanya kuasa, politiknya adalah politik Machiavelli, langkah Kajang, langkah Kijang, semua digunakan. Tetapi saya yakin bahawa PAS faham, politik bukan sekadar pilihanraya. Bagi PAS politik adalah untuk mengubah masyarakat agar lebih mesra dengan Islam.

Orang kata saya tidak handal berhujah, saya terima. Ada yang kata, saya sekarang bukan saya yang dulu, saya juga terima. Cuma harapan saya, kita faham politik adalah lebih dari sekadar kuasa, politik lebih dari sekadar keluarga saya sudah maafkan keluarga awak. Politik lebih dari sekadar anak pemimpin ini adalah waris yang sebenar.

Politik impian anak muda adalah politik yang mendidik. Menguasakan rakyat, bukan sekadar menukar perdana menteri. Selamat memilih rakyat Malaysia. Di harap siapa pun menang, kita terima dengan rasional, menyambung semula perpaduan, dan sama-sama bina negara yang kita cinta ini.

Sungai Petani, 4 Mei 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan