Selasa, 7 Ogos 2018

Buat sahabat: Kau umpama rumput



Buat sahabat.
Bunga mawar yang indah juga mempunyai duri yang bisa melukakan. Begitulah resam manusia, secantik mana, seteguh mana, dia juga punya keburukan. Kadang terkhilaf dikala merentas saujana hidup yang luas, kadang kata yang tidak enak terlepas.
Kehidupan sering kali merupakan satu perjalanan yang penuh misteri, keyakinan kita terhadap masa depan sering terlindung disebalik tabir takdir. Tiada yang kekal, sentiasa berubah, pucuk baru menganti ranting yang patah. Begitu juga manusia dengan hati yang tidak sempurna, mudah sahaja hati berbolak balik apabila dilanda air bah.
Menyoroti ruang kehidupan yang kecil dan sempit ini, sentiasa kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Ada yang menjadi teman, ada juga yang menjadi sahabat yang lebih erat dari keluarga.
Ada ketika kita berubah, kita terkhilaf, namun sahabat setia cekal disisi. Mereka bersahabat bukan kerana emas dunia, bukan juga kerana pangkat dan darjat. Yang dicari hanya ukhuwah dibawah redha tuhan. Mereka ibarat rumput, nampak biasa sahaja, tetapi teguh tidak berganjak apabila dilanda angin taufan.
Mereka bersama kita mendaki gunung. Setia bersama membelah samudera, tidak goyah dengan badai fitnah. Mereka kenal diri kita lebih dari kita mengenali diri sendiri. Ketika kita di lembah hina, mereka tidak malu untuk turun bertemu semula. Memimpin tangan kita kembali ke jalan yang sejahtera.
Dikala kita lemah, kawan berkepentingan menjauh, mereka datang tanpa diundang. Memujuk hati dengan penuh ikhlas. Mereka kenal kita luar dan dalam, kanan dan kiri. Mereka tidak mahu apa-apa, hanya mahu melihat kita bangkit kembali, bersama menadah redha tuhan.
Terima kasih buat semua sahabat.
I will cherish you for the rest of my life

Tiada ulasan:

Catat Ulasan