Sabtu, 28 September 2019

Berjalan-jalan di Laman Filosofi



Kegelapan malam, tatkala jam menghampiri jam dua pagi adalah masa yang baik untuk merenung, berjalan-jalan di laman filosofi, memikir apa yang salah pada hari ini supaya tidak diulangi esok, dan apa yang kita terlepas pandang dan perlu hargai. Melihat semula hari ini, begitu banyak kekurangan yang berlaku. Abaikan lapan jam masa kehidupan yang dibuang menjadi robot untuk memproses data.

“Kenapa abi angry?” soal si kecil cilik kepada umminya. Soalan itu pantas meruntuhkan ego seorang bapa, menyentak jiwa paling dalam, begitu rupanya pandangan seorang anak yang belum pandai menipu. Amarahku terpadam disimbah pertanyaan keanak-anakan. Rupanya aku terlupa sebentar menjadi seorang yang penyayang, aku berubah menjadi pemarah.

Bukan marah itu tidak perlu, tetapi ia tidak boleh diguna selalu. Ia tidak boleh menggantikan sayang, meski ia mudah digunakan. Aku masih belum sempat membaca Glowacki, tetapi aku sempat membelek helaian-helaian awal makalahnya. Anak-anakku kini dalam proses ‘pengindividuan’ – mereka sedang memisahkan diri untuk menjadi individu yang berbeza, mereka mula sedar bahawa mereka bukan ibubapa mereka, dan mereka mula belajar membuat pilihan, menolak pilihan yang diberi. Situasi ini acap kali menimbulkan konflik, jika ia tidak difahami dan diurus. Esok aku akan bermula semula.

Malam ini kisah Will begitu filosofikal, bagaimana seorang pemuda genius mencari diri dan arah kehidupan. Falsafahnya sangat dalam berkisar tentang keberanian untuk berterus terang pada diri sendiri, membuka peluang untuk membenarkan orang lain masuk ke dalam hidup kita, perbezaan antara mengetahui dan merasai, juga pengorbanan dan bantuan orang di sekeliling kita.

Will bernasib baik kerana dia ‘ditemui’ oleh seorang guru bernama Sean yang mencabarnya dengan soalan yang paling mudah “Apa yang engkau mahukan?”. Sean tahu anak muda ini masih belum mengetahui apa yang berharga dalam hidup, dan dia mengambil keputusan untuk bersabar dalam mendidik. Akhirnya pemuda itu sedar, bahawa sekadar pandai tidak cukup, sekadar tahu belum benar. Hidup adalah perasaan yang perlu dirasai, dan ia tidak mungkin kita rasai jika kita tidak mengambil risiko sebagai peluang.

Kita boleh menghafal novel dari kulit ke kulit, tetapi ia tidak mungkin sama dengan pengalaman sendiri mengendong anak yang masih merah dan bertali pusat, bangun ditengah malam memberinya susu, melihat dia belajar berdiri dan berlari, mendengar dia menyebut perkataan pertama. Itulah kehidupan, ia perlu dirasai, hidup bukan novel.

Ah, Idlan menangis lagi, lampinnya perlu ditukar, dia perlu disusukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan