Selasa, 22 Oktober 2019

Sejarah Islam Yang Hilang



Buku Firas Alkhateeb ini sebenarnya telah lama saya intai, seingat saya sejak saya di bangku universiti lagi, namun takdir menentukan selepas beranak dua baru sempat menyelak helaian-helaiannya. Menghadam isi-isinya, serta merenung hikmah-hikmahnya. Tajuk yang beliau pilih adalah Lost Islamic History atau literal dalam Bahasa Melayu (bahasa yang dituduh Siti Kassim sebagai bahasa yang suka mencuri) adalah Sejarah Islam Yang Hilang. Saya rasa naskah ini sudah dialih bahasa oleh teman-teman dari Indonesia. Bahasa Melayu saya tidak pasti.

Pemilihan tajuk ini saya kira adalah kerana beliau mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh buku teks sejarah di Amerika. Di mana pelajar-pelajar Muslim beliau hanya belajar sejarah Islam dari satu-dua muka surat sahaja, natijahnya mereka lebih mengenal pesona-pesona Barat dari pesona, cendiakawan, dan ahli falsafah Islam.

Namun untuk menulis semula 1400 tahun sejarah Islam ke dalam 274 mukasurat merupakan tugas yang sukar jika tidak mustahil. Oleh itu banyak yang perlu dipilih, dipermudah, dan dipersingkatkan. Saya teringat perbincangan saya dengan Akif di Chowrasta Market bagaimana penulisan sejarah tidak dapat lari dari bersifat bias. Kalau pun tidak bias secara ideologi, pemilihan apa yang 'penting' untuk dimasukkan dan apa yang dikesampingkan, adalah terdedah kepada pemilihan dan bias penulis. Apa yang dia rasakan 'penting', bahkan hingga ke tahap apa yang dirasakan sebagai 'sejarah'.

Dalam sesi-sesi pembelajaran kita berkenaan dengan sejarah Islam, baik yang formal atau tidak formal, selalunya yang meniadi fokus adalah kejayaan, kekuasaan, keadilan, kemakmuran kepimpinan dahulu. Fokus ini bertujuan menaikkan semangat kita, memberi motivasi kepada kita untuk menyusuri kejayaan mereka.

Kita jarang sekali berbincang berkenaan dengan kelemahan mereka, kejatuhan mereka, kesilapan mereka, detik-detik hitam, sehingga kadang kala pandangan kita terhadap sejarah itu menjadi terlalu ideal, romantik, bahkan tiada ruang diberi kepada kekhilafan manusiawi. Sejarah 1400 tahun ini penuh dengan jatuh dan bangun, kalah dan menang, namun tema yang sering kali berulang adalah setiap kali zaman kejatuhan pasti ada tangan yang menyambut panji, melakukan islah, membina, hingga menang semula.

Perpecahan pertama, yang membawa kepada implikasi yang besar, bermula dengan pembunuhan Saidina Uthman, yang membahagikan kesatuan kepada dua, Muawiyah di Syria dan Ali di Kuffah. Muawiyah ternyata lebih dominan, datang dari golongan bangsawan Quraisy, dan mempunyai pengalaman sebagai gabenor Syria beliau tidak mahu mengiktiraf pemerintahan Ali sebelum pembunuhan saudaranya Uthman diberi keadilan, manakala Ali berijtihad menghukum pembunuh Uthman akan menyemarakkan lagi konflik dan perpecahan. Mereka cuba berunding namun gagal, sehingga Ali akhirnya dibunuh oleh golongan Khawarij di Kuffah.

Persoalan peralihan kuasa ternyata merupakan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik dan perpecahan. Pemerintahan Muawiyah menandakan permulaan pemerintahan Kerajaan Umayyah yang mana tampuk pemerintahan ditukar menggunakan sistem warisan atau monarki. Monarki mungkin bukan satu pemerintahan yang ideal dari kacamata moden kita hari ini yang mengagungkan demokrasi. Tetapi dari segi latar sejarah ia bukan suatu yang asing pada zaman tersebut, pemerintahan secara monarki mungkin pada pandangan Muawiyah lebih stabil dan mudah. Namun pemerintahan warisnya Yazid, ternyata tidak disenangi, dilihat sebagai tidak Islamik ditambah dengan sistem cukai yang dianggap tidak adil. Ini membawa kepada pemberontakan golongan Abbasid.

Golongan Abbasid berjaya menjatuhkan kepimpinan Umayyah dan mereka memburu dan membunuh saki baki pemerintah Umayyah. Namun seorang putera Umayyah berumur 20-an Abdul Rahman Al-Dakhil berjaya melarikan diri ke semenanjung Iberia dan mengasaskan pemerintahan Umayyah di Cordova. Islam telah membuka semenanjung Iberia pada tahun 711 sebelum kedatangan Abdul Rahman, apabila Komander Tariq bin Ziyad mengalahkan kerajaan Visigothic dibawah Raja Roderic. Gibraltar yang hari ini merupakan kawasan yang dikuasi British berasal dari nama Jabal Tariq dalam bahasa Arab yang membawa maksud bukit Tariq (rupa-rupanya Bahasa Inggeris juga suka mencuri nama orang Arab).

Namun selepas itu perebutan kuasa berlaku dalam kerajaan Umayyah sehinggalah mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil yang dipanggil 'ta'ifah' dan berperang sesama sendiri. Perpecahan ini membuka peluang bagi Castille dibawah Alfonso VI untuk menakluk semula Al-Andalus. Apabila ancaman ini sampai ke Seville, tentera dari Afrika Utara datang membantu atas dasar persaudaraan Islam, mereka dipanggil Al-Murabitun yang merupakan etnik Berber - etnik Berber yang terkenal hari ini adalah Zinedine Zidane - pemain bola Perancis. Tentera Murabitun dipimpin Yusuf Tashfin menyeberangi selat Gibraltar dan berjaya menewaskan Alfonso.

Tidak berminat dengan perpecahan politik Andalus, Yusuf Tashfin kembali semula ke Afrika Utara. Tidak lama selepas itu beliau dipanggil semula untuk membantu, namun kali kedua perpecahan antara raja-raja ta'ifah Andalus semakin meruncing menyebabkan kempen itu gagal, Murabitun pulang sekali lagi dan tidak mahu masuk campur lagi. Kali ketiga dipanggil membantu, Ibnu Tashfin datang dan merampas kuasa dari tai'fah-tai'fah ini serta menyatukan kembali mereka. Begitulah sejarah berputar, namun akhirnya Islam terpadam dari semenanjung Iberia dengan kejatuhan Granada.

Pergaduhan dan perpecahan ini adalah sebahagian dari sejarah Islam yang perlu dikaji dan direnungi. Agar perspektif kita terhadap sejarah tidak terlalu idealistik malah mungkin beredar di laman emosi nostalgia berbanding dengan kebenaran yang objektif. Pada tahun 900-an misalnya kerajaan Islam terpisah kepada tiga Abasiyyah, Fatimiyah, dan Umayyah.

Firas Alkhateeb menutup makalahnya dengan kebangkitan idea negara bangsa yang memecahkan tanah-tanah Islam dengan sempadan yang dilukis oleh tangan-tangan kolonialis. Di era moden ini ummat Islam berada dalam persimpangan dan dilemma. Dalam merasionalkan kejatuhan sejarah yang panjang ini, mereka kini menimbang idea baru dan lama. Satu pihak muncul dengan mengatakan untuk mengembalikan kegemilangan, ummat ini perlu kembali kepada nilai-nilai agamanya yang sejati. Pihak kedua pula mengatakan untuk maju ke depan ummat ini perlu menanggalkan idea-idea agama, dan menerima falsafah liberal, moden, dan sekular seperti negara-negara Barat. Buat masa kini, idea ini masih bertarung dan belum mencapai konsensus dalam kalangan ummat ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan