Rabu, 25 Disember 2019

Catatan Baitul Muslim 24: Apa Guna Suami, Jika


Saya masih ingat ketika mula berkahwin, antara janji saya pada diri sendiri adalah menerima isteri. Terima bukan sahaja apa yang baik, yang disukai, yang sesuai, tetapi menerima juga yang tidak baik, tidak cocok atau tidak sesuai. Kerana seperti manusia-manusia lain, isteri punya baik dan buruk, sama seperti suami, manusia yang punya baik dan buruk. Seperti yang dikalamkan Tuhan, manusia dikurniakan "fujur" dan "thaqwa".

Kenapa penting berjanji pada diri? Kerana cinta itu perasaan, ia bersifat datang dan pergi. Ia mungkin kuat dipermulaan tetapi bisa hilang di tengahari. Ia bersinggahsana di hati, yang selalunya berbolak-balik. Tetapi kalaupun perasaan itu hilang, janji akan terus kekal. Ia tanggungjawab saat kita menerima akad, kekal harapnya hingga ke hujung hayat. Maka tika marah kita bertanggungjawab, ketika sedih kita bertanggungjawab, ketika bahagia kita bertanggungjawab. Kekal janji itu sebagai tali.

Dan hidup, hidup itu kadang kita rasa seperti anugerah, kadang kita merasa ia perit persis satu sumpah. Apa guna suami jika dia tidak menjadi penyambung nyawa buat isteri, penyejuk hati saat dia marah, penguat hati saat dia kalah, pemberi senyum saat dia gundah. Sama-sama hidup di saat mewah, juga kekal bersama saat yang tinggal hanya kuah.

Tugas suami bukan hanya memetik nikmat ketika dia berminat, namun hilang ketika hidup terasa berat dan penat. Haruslah dia setia melukis bahagia, walaupun dihalang seluruh dunia, setia bersama hingga takdir mengambil nyawa. Pasti ada saat-saat yang gawat, ada saat suhunya tinggi, kata-katanya marah, matanya pasrah. Pada ketika itu bukalah semula naskah-naskah janji, bukankah sumpah kalian berbunyi setia ketika diuji? Sekuat mana pun ribut, ia akan berlalu. Sekelam mana pun malam, akan tiba pagi yang baru. Segelap manapun gerhana, mentari akan bersinar semula. Ketika semuanya sudah kembali, kita akan merasakan nikmat dan manisnya setia.

Dan itu, itulah maknanya cinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan