Selasa, 10 Disember 2019

Membaca Rambut Panjang Simbol Perlawanan


'Rambut Panjang Simbol Perlawanan' merupakan zine kedua yang saya baca pada tahun 2019. Ia ditulis oleh Mr. Copyleft dan diterbitkan oleh Republik Zine. Walaupun temanya berbaur politikal dan ideologikal, ia masih lagi boleh dikategorikan sebagai bacaan ringan, sesuai dengan bentuknya sebagai sebuah zine.

Ia dibuka dengan satu petikan akhbar mengenang tahun 1992 dimana penyanyi-penyanyi rock di Malaysia diperintahkan oleh menteri untuk memotong rambut. Mereka yang degil tidak mendapat tempat dalam televisyen dan radio, hingga penaja konsert pon menarik diri, akhirnya penyanyi terkenal seperti Amy Search dan Awie akur dan memotong rambut mereka. Saya baru tahu bahawa ini semua pernah terjadi di Malaysia! Bagaimana lelaki berfesyen dengan rambut panjang diperangi kerajaan. 

Persoalan rambut dipandang sangat berat oleh kerajaan, ini mengingatkan saya berkenaan dengan konsep "totalitarian democracy" yang saya baca tidak lama dulu. Walaupun kita memilih penguasa menggunakan saluran demokrasi, kehidupan rakyat dikawal dari setiap segi, tidak banyak beza dengan sistem totalitarianism, cuma bezanya adalah kaedah pengawalan. Dalam sistem demokrasi kita punya pelbagai kementerian, dari kementerian sukan hingga kementerian kebudayaan, ekonomi, semuanya perlu dikawal dan diselia, "kebebasan" tidak lebih dari sekadar slogan. Begitulah juga dengan aspek penampilan dan urusan rambut.

Zine ini banyak mengambil contoh-contoh dan inspirasi dari Indonesia, sehingga saya merasakan bahawa ia lebih mengkritik dan memperhalusi isu ini di sana, walaupun sekali sekala penulis cuba membawa garis persamaan itu ke Malaysia di bawah pemerintahan Mahathir. Di Indonesia, lelaki berambut panjang digelar Gondrong. Media Indonesia sering menyamakan fesyen rambut panjang atau gondrong ini sebagai orang yang jahat dan berbahaya.

Persoalan rambut panjang juga menjadi lebih sistematik dalam masyarakat nusantara dengan kedatangan agama Islam, sebelum ini rambut panjang merupakan perkara biasa bagi pendekar-pendekar. Pengaruh agama membawa nuansa baru, budaya dan cara baru, ia juga dikaitkan dengan gender dimana lelaki disinonimkan dengan rambut pendek, rapi dan kemas, manakala wanita berambut panjang.

Namun saya kira zine ini mempunyai paradoks yang jelas. Sebagai contoh pada satu ketika penulis menulis "Gondrong hanya sebuah cara fesyen atau gaya rambut yang sama sekali tidak berkaitan dengan moral dan status sosial.Semua ini benda luaran...tentunya tidak mampu mewakili sesuatu yang berada di dalam diri" (Mukasurat. 22). Atau dalam kata lain, rambut panjang hanya gaya fesyen bukan mewakili apa-apa yang bersifat dalaman seperti moral atau ideologi.

Namun pada ketika yang lain, penulis menulis "rambut tidak sekadar mahkota anda, tapi boleh jadi menjelaskan pendirian politik anda" (Mukasurat 47). Di sini penulis mengatakan bahawa rambut boleh mewakili sesuatu yang bersifat dalaman seperti pendirian politik. Maka kita ditinggalkan dengan satu paradoks, adakah rambut panjang sekadar satu fesyen atau ia melambangkan pendirian politik? Bagi saya sebenarnya, dengan mengatakan bahawa rambut panjang sekadar fesyen, ia bertentangan dengan raison d'etre zine ini sendiri iaitu "rambut panjang simbol perlawanan".



Juga permasalahan istilah yang diketengahkan saya kira merupakan persoalan yang remeh. Sebagai contoh penulis mengatakan bahawa penggunaan istilah "belia" menggantikan kata "pemuda" merupakan "pemesongan sejarah" kerana istilah pemuda bagi penulis lebih menggigit, menggugat, subversif dan revolusioner. Saya kira banyak lagi perkara penting yang elok kita gaduhkan dari persoalan pemilihan istilah.

Akhir sekali penulis menyimpulkan bahawa rambut panjang tidak semestinya melambangkan perlawanan, tetapi sekadar pemilihan. Terutamanya generasi muda yang mahukan kelainan dari peraturan sedia ada, untuk mereka menonjolkan ke-individua-an mereka. Tidak semestinya ideologikal, kemungkinan sekadar rebel without cause.

Apa yang saya suka mengenai zine ini bukanlah ketepatan sejarah atau pendapat penulisnya, tetapi argumen-argumen yang melaraskan otak-otak pembaca untuk berfikir, kita tidak semestinya akan bersetuju, tetapi kita akan berfikir. Zine ini penuh dengan paradoks, contoh-contoh dan sumber dari Indonesia, yang tidak terlalu berat untuk difikirkan. Sesuai untuk bacaan ringan bagi sebuah zine.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan