Rabu, 8 Januari 2020

Qasem Soleimani: Dimana letaknya pendirian kita?



Pembunuhan Qasem oleh Amerika di Baghdad merupakan satu peristiwa besar yang membuka tirai tahun baru 2020. Dalam isu ini kita melihat polarisasi reaksi dunia, perbezaan reaksi ini membolehkan kita mengagak di manakah satu-satu negara itu meletakkan kepercayaan mereka kepada kutub-kutub kuasa dunia.

Israel segera menyokong tindakan pembunuhan oleh Amerika ini. Russia mengutuk serangan tersebut sementara China mengeluarkan kenyataan agar Amerika berhenti dari “mencabuli negara lain dengan menggunakan kekerasan”. Iraq pula membuat keputusan untuk “menghalau” semua askar-askar asing yang ada di tanah air mereka. Maka seharusnya dimana kita perlu meletakkan pendirian kita?

Isu besar disini adalah pencabulan kuasa, penggunaan aksi terorisma dengan membunuh berbanding pendekatan diplomatik, aksi unilateral kuasa asing di negara berdaulat yang lain, penguasaan negara besar terhadap negara-negara lemah dan kecil. Jika kita melihat dari kacamata ini, kita akan sama-sama menolak dan mengutuk pembunuhan ini.

Namun sayangnya, tatkala negara-negara Islam diceroboh, dihancurkan, dibakar, ustaz-ustaz kita masih melihat semua ini dari naratif dan kacamata Sunni-Syiah. Tatkala negara-negara Islam perlukan kesatuan, kebersamaan, sokong-menyokong, ustaz-ustaz kita lebih gemar meniupkan api sengketa Sunni-Syiah.

Dalam masa yang sama, ramai ustaz-ustaz ini mengkagumi sosok seperti Erdogan di Turki, yang dianggap penyambut obor khilafah yang hilang, sebagai singa baru dunia Islam. Mereka juga mengkagumi perjuangan Hamas dalam memerangi golongan kolonialis Zionis. Ada dikotomi besar dalam pemikiran mereka ini. Kerana tatkala mereka menolak Iran atas dasar akidah, dan mengagungkan Erdogan dan Hamas, Erdogan dan Hamas sendiri merupakan sekutu baik Iran.

Lebih kelakar pemikiran mereka yang meniupkan api kebencian terhadap Iran yang dilihat sebagai Syiah, apabila Ismail Haniya, orang kanan Hamas juga mengistiharkan bahawa Soleimani sebagai syahid, malah lebih tinggi beliau diistihar sebagai Syahid memperjuangkan Baitul Maqdis. Sekarang macam mana? Adakah Hamas Syiah? Jika betul perlukah kita hentikan bantuan pada Gaza? Ustaz-ustaz ini pernahkah diishtiharkan sebagai pejuang Baitul Maqdis?

Sengketa Sunni-Syiah ini sudah beratus tahun, selama beratus tahun itu ummat berbunuhan, tak terbilang nyawa dan darah yang sudah mengalir. Perlukah kita panjangkan lagi sengketa ini buat ratusan tahun mendatang? Perlukah anak-anak kita terus benci-membenci antara satu sama lain, berbunuhan tanpa henti?

Sebab itu saya secara peribadi hormati pendekatan, baik Tuan Guru Hadi, baik Tun Dr. Mahathir dalam isu ini, yang mengambil pendekatan jalan tengah, kita jalin hubungan baik dengan mereka, tidak bermakna kita mengiktiraf akidah mereka. Kita jalin hubungan dengan China, adakah ia menjadikan akidah kita Komunisme? Kita jalin hubungan dengan Filipina, adakah itu menjadikan akidah kita Kristian Katolik? Tidak. Kita hidup dalam dunia yang lebih besar dari sekadar Muslim-Sunni. Buka lah mata. Dalam dunia yang besar ini kita perlu bekerjasama dengan orang yang tidak sama dengan akidah kita dalam hal-hal kebaikan.

Bukan isu akidah itu tidak penting. Kita juga membaca kitab Fathi Yakan Maza Yakni Intima’ Lil Islam, kita menelaah permasalahan “saya mestilah Islam dari sudut akidah”. Tetapi bukan semua perkara perlu kita lihat dalam lensa ini. Hal-hal berkenaan dengan strategi perlu diambil kira. Perlu kita lihat mana yang lebih dekat dengan kita, sebab itu ketika Rom berperang dengan Parsi, baginda nabi mengharapkan kemenangan Rom, malah diberitakan Allah akan kemenangan Rom, adakah itu bermakna baginda berakidah dengan akidah Rom pada ketika itu? Tentu sahaja tidak.

Mungkin ustaz-ustaz kita perlu juga membaca tulisan Henry Kissinger, arkitek polisi luar Amerika, buku tulisan Samuel Huntington, yang mencipta kerangka baru dalam menamakan Islam sebagai musuh baru peradaban barat dalam teori “clash of civilization” beliau. Juga buku operatif-operatif CIA seperti Graham Fuller dan Michael Scheuer. Agar mereka faham bahawa persengketaan, faksi-faksi kita ini telah lama mereka faham, kaji, dan gunakan dalam melemahkan kesatuan ummat. Mereka mungkin nampak gagah dengan dalil-dalil agama mereka, nampak berani, tetapi sebenarnya mereka sedang memenangkan musuh tanpa mereka sedari.

Persoalan ini adalah persoalan keganasan Amerika menindas negara-negara lain yang lemah agar tunduk pada hegemoni mereka. Amerika dalam sejarah imperialnya membunuh jutaan manusia, bukan sahaja Muslim. Dari Jepun, Vietnam, Laos, Kemboja, Iraq, Afghanistan, sejarah keganasan imperial ini panjang dan masih berterusan. Dalam mengekang cengkaman Amerika keatas negara-negara kecil, lemah, mundur, dan membangun, adakah perspektif kita masih Sunni-Syiah? Mana suara kita ketika Saudi Arabia membunuh anak-anak Yaman?

Sudah terlalu lama kita berbunuhan disebabkan perbezaan akidah. Kitab-kitab yang dikarang oleh kedua-dua belah pihak juga sudah jutaan, dengan dakwat sebesar lautan. Cukuplah kita generasi baru setuju untuk tidak bersetuju dalam permasalahan akidah Sunni-Syiah, kita lukis garisan akidah kita disitu, dan berganding bahu dalam perkara-perkara lain untuk kemakmuran bersama. Cukuplah sejarah sebagai guru kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan