Sabtu, 23 Mei 2020

Catatan Baitul Muslim 29: Anak Menangis Malam



Menidurkan anak menangis di malam hari merupakan satu peperangan yang akan dilalui oleh ibu bapa yang membesarkan anak ketika mereka berumur 1-2 tahun. Perang ini bertambah mencabar jika anak tersebut menangis dan meraung tanpa henti hingga lewat pagi, sedangkan kedua ibu bapa akan bekerja esok pagi. Di sini biasanya hubungan suami isteri bakal teruji, apabila kesabaran sampai ke tahap breaking point.

Kadang-kadang kita juga tertanya-tanya bagaimana anak kecil ini mempunyai begitu banyak tenaga menangis dengan begitu lama. Anak menangis mungkin disebabkan pelbagai perkara, namun jika lampinnya telah disalin, dan susu telah diberi, jika dia masih konsisten menangis, ibu bapa bakal menjadi buntu. Mereka perlu meneka apa kehendak anak kecil tersebut kerana dia tidak mampu lagi bertutur. Dalam situasi ini, pendekatan kita seharusnya mencari sebab-sebab luaran, bukan terus mengambil keputusan bahawa bayi kecil itu dirasuk syaitan.

Boleh jadi perutnya sakit, atau giginya mahu tumbuh, atau mimpi buruk. Kita harus faham bahawa anak ini baru mengenal dunia, baru mengenal emosi, kemungkinan besar dia menangis tanpa henti kerana dia masih belum berjaya mengawal emosi. Seperti di awal usia di mana dia belum mahir mengawal kaki untuk berjalan.

Suami juga dalam hal ini perlu bertimbang rasa. Tidak boleh semuanya diletak di bahu isteri. Suami yang baik adalah suami yang rela berkorban untuk bangun membancuh susu, atau mengambil giliran mendodoi anak dan memberi peluang kepada isteri untuk tidur. 

Sememangnya ia waktu yang sangat mencabar. Masing-masing penat dan buntu. Keadaan genting dengan jeritan dan tangisan, mudah untuk masing-masing jatuh ke lembah amarah. Bercakap perihal sabar pada situasi ini terbukti seribu kali lebih senang dari betul-betul dapat bersabar. Waktu malam kadang-kala menjadi satu waktu yang sangat menyiksakan, menakutkan, memenatkan, dan meninggalkan perasaan trauma. Namun andai diurus bersama dengan baik, kasih sayang akan mengatasi amarah. Anak itu akan membesar dan belajar mengawal emosi, jadual tidurnya akan menjadi lebih teratur dan konsisten, keadaan akan kembali tenang.

Oleh itu, kepada ibu bapa yang masih bertarung untuk menidurkan anak di malam hari, ketahuilah bahawa ia adalah ribut sebentar yang akan berlalu pergi. Selepas berlalunya ribut ini, malam akan tenang semula disuluh cahaya bulan dan diterangi jutaan bintang. Teruskan perjuangan, satu hari nanti anda akan tersenyum bersama mengenangkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan