Khamis, 2 Julai 2020

MATRI: Sekolah Kecil

Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)/Gambar Kredit: Faiz Malek
Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)/Gambar Kredit: Faiz Malek.


Baru-baru ini mendapat berita bahawa ustaz yang disayangi, Ustaz Abdul Hadi Osman mendapat anugerah sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2020. Mendengar sesi temuramah yang diadakan oleh JPN Perlis di rumah ustaz di Kampung Tunjung sangat menggamit memori. Ustaz Hadi adalah ustaz yang banyak memberi sentuhan pendidikan peribadi kepada saya, terutamanya ketika di tingkatan satu. Ustaz sering solat subuh berjemaah bersama kami jika dia tidak mempunyai kuliah luar, sebelum kami dilepaskan untuk sarapan biasanya ustaz akan bagi sedikit tazkirah 2-3 minit. Antara peringatan yang saya masih ingat sehingga ke hari ini adalah apabila ustaz menyebut "Jangan kita padamkan masa depan akhirat anak-anak kita". Walaupun pada ketika itu saya masih belum berkahwin atau mempunyai anak, pesanan itu entah kenapa, melekat sehingga ke hari ini dalam kotak memori.

Ustaz juga seorang yang suka membaca, antara tips membaca yang pernah dikongsi oleh ustaz adalah baca sedikit sebelum tidur, dua tiga helai muka surat pun mencukupi, lama-lama akan habis satu buku dibaca. Antara pesanan lain ustaz, yang saya ingat diberikan ketika program Pelajar Lepasan MATRI (PLM) adalah perlunya pelajar MATRI berkahwin dengan pelajar MATRI supaya ibubapa yang mempunyai kefahaman Islam yang sama dapat meneruskan melahirkan generasi seterusnya yang berfikrah dengan fikrah Islam yang jelas. Pada ketika mendengar nasihat itu saya tersenyum didalam hati, walaupun dahulu saya pelajar ustaz yang nakal, sekurang-kurangnya nasihat ustaz yang ini saya laksanakan.

MATRI ini sekolah yang kecil, duduk pula dalam kebun getah di negeri yang hujung di utara Malaysia. Ketika sekolah-sekolah lain sibuk melahirkan pelajar untuk dipasarkan di pasaran kerja, sekolah kecil ini mengambil pendekatan yang berbeza. Sekolah kecil ini tidak mengejar untuk melahirkan robot-robot untuk dipasarkan ke industri, tetapi melihat masalah masyarakat yang ada dan beriltizam untuk melahirkan "manusia". Manusia dalam erti kata sebenar, sesuai dengan fitrah serta kemampuannya. Bukan manusia yang menjadi haiwan ekonomi tanpa ada nilai-nilai manusiawi.

Saya masih ingat, antara subjek yang saya kira tidak ditawarkan di sekolah lain adalah subjek "Pendidikan Jiwa", pada ketika itu diajar oleh Sir Rosdi Baharom yang lebih mesra dengan panggilan Pakcik Rosdi. Merupakan graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang teknologi mineral, beliau juga pernah menuntut di Imperial College dan University of Leeds. Kelas ini biasanya disusun sebagai kelas pertama di awal pagi sebelum kelas-kelas lain, waktu yang paling segar dan produktif. Sesiapa yang pernah mengikuti kelas, ceramah, bengkel, atau forum bersama Pakcik Rosdi mereka akan tahu bertapa tona suara beliau, ekspresi muka, juga pesona oratori beliau begitu meresapi jiwa. Buku yang digunakan sebagai silibus pada ketika itu adalah antaranya In the Early Hours tulisan Khurram Murad. Oleh kerana pendidikan jiwa itu sangat membekas di hati saya, saya dapat mengingati buku tersebut, dan selepas keluar universiti dan sudah punya duit sedikit saya cari semula buku itu, akhirnya berjumpa naskahnya di Kinokuniya KLCC.

Kerana buku itu terlalu istimewa bagi saya, saya membawa buku itu berjumpa Pakcik Rosdi setelah bertahun-tahun keluar dari sekolah kecil ini. Di helaian pertama beliau menconteng pada buku tersebut "Semoga Allah SWT mensucikan hati enta dan memilih enta sebagai perindu Syurga". Buat doa itu saya ucapkan "Ameen". Buku Khurram Murad ini memang targetnya adalah pembangunan jiwa, dan melihat syurga sebagai tempat yang harus kita fokus untuk tuju. Antara bab-bab awal dalam helaian naskah tersebut adalah langkah pertama ke syurga. Khurram Murad menulis:

"The first step in self development, then, is to concentrate single-mindedly on Paradise. Indeed, the one who is unsure of his destiny in life, torn between this world and the Next, like one standing with his feet in two separate boats - will be thrown off balance."

Walaupun sekolah kecil ini berusaha melahirkan "manusia", ini tidak bererti produk keluarannya "mandul" dalam industri atau tidak berdaya kerja. Malah saban tahun, anak-anak dari sekolah kecil ini dipetik oleh institusi-institusi pengajian tinggi, baik dalam dan luar negara. Tidak sedikit yang menjadi doktor, usahawan, tokoh masyarakat, guru, yang kembali menyumbang bakti pada pembangunan negara. Saya masih ingat ketika mendapat tawaran biasiswa menyambung pengajian ke St. Petersburg, ketika sesi temuduga, calon lain semua ber"coat" dan bertali leher, sijil-sijil mereka tebal dalam file kulit keras, sementara saya hanya berbekal file plastik RM3 untuk mengisi sijil, itupun tidak penuh. Ketika minggu induksi, masing-masing menyebut nama sekolah mereka, dari maktab rendah sains, sekolah berasrama penuh, sekolah sains, setiap kali itu pelajar lain akan menyebut "wow". Tiba giliran saya, saya sedikit gugup untuk menyebut nama sekolah kecil saya, tiada "wow" yang saya terima, yang ada cuma soalan "sekolah apa? MATI?". Tapi Alhamdulillah, walaupun dari sekolah kecil, meminjam skrip Ustaz Hadi "Allah kasihan pada saya", saya diizin menamatkan pengajian dengan kelas kepujian paling tinggi, satu-satunya pelajar lelaki yang berjaya mendapat kelas kepujian tertinggi dalam batch saya. Itu semua bukan kerana kebijakan saya, tetapi kurnia Tuhan yang mengasihi. 

Hari ini "sekolah kecil" saya mungkin sudah tidak kecil lagi dari sudut pembangunannya, pelajar baharu mungkin tidak merasa mandi air telaga payau yang dipam oleh generator seperti zaman saya dahulu. Kecemerlangan sekolah telah menarik minat penyumbang awam dan swasta dan sekolah semakin terbangun infrastrukturnya. Harapan kecil saya, se-gah manapun bangunan baru yang dibina, harapnya matlamatnya tetap sama, harap sekolah kecil ini terus melahirkan "manusia" untuk dipulangkan kepada masyarakat kita.

Semoga Allah mengasihani guru, ustaz, cikgu, warden yang setia mendidik kami ketika kecil. Allahumma ameen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan