Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli
parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar
menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap
dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat
dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita
tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri.
Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60
tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.
Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di
tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru.
Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan,
ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia,
dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa
Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar
ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji
polisi pendidikan negara.
Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu
berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau
keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak
bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan.
Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi
saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa
Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh
ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika
kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap
Malaysia?
Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26,
dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland
(Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut
World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI
lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang
dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia,
Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di
tempat kedua.
Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han,
pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah
dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan
negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi.
Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai
semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian
berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan
aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika
Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia.
Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?
Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika
kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi
dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar
bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita
tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan