Sabtu, 1 Ogos 2020

Anti-Antithesis: Kritik Terhadap Antithesis Yang Ditulis Benz Ali


Amaran awal, reviu ini mungkin sangat panjang, kerana ia akan dirangkumkan sekali dengan pemikiran dan pengalaman peribadi, so, read at your own peril. Sebelum kita membicarakan buku yang ada ditangan, izinkan saya ber-cherita tentang bagaimana buku ini boleh sampai ke tangan saya.

Saya pernah mendengar nama Benz Ali sejak zaman universiti lagi, ketika itu saya masih sibuk dengan usrah-usrah di luar negara (usrah ini melalaikan menurut Benz, boleh baca disini), saya dengar persoalan-persoalan ketuhanan yang dibangkitkan oleh Benz, tetapi pada kira saya ketika itu persoalan ketuhanan yang membingungkan manusia ini ditanya sepanjang zaman, malah ia telah dijawab sepanjang zaman, cuma mungkin belum dijumpai oleh generasi baru, jadi tidak ada apa yang istimewa dan saya tidak mengikutinya dengan dekat.

Jauh selepas saya keluar dari zaman universiti, bergelumang dengan hidup dan kehidupan, seorang teman, Israr, mengajak saya ke Kuliah Buku yang diadakan di Pulau Pinang. Beliau kelihatan begitu bersungguh mengajak saya, malah beliau membeli naskah buku tulisan saya (buku yang dikritik Benz). Malam itu adalah kali pertama saya bertemu beliau mendengar kuliah yang disampaikan oleh Anas Abd Jalil yang bertajuk 'Kerajaan Pakatan Di Bawah Telunjuk Rejim Neo-Liberal Mahathir-Daim'. Selepas ber-kuliah di MacDonalds berdekatan USM kami menyambung per-sembang-an di Restoran Nasi Kandar Pelita. Selepas pertemuan itu Israr saya lihat banyak menulis di satu Page Facebook perihal musik Indie sebelum beliau hilang tanpa jejak, usaha menjejaki nombor talifon beliau juga tidak berjaya, satu misteri. Kali kedua saya bertemu Benz adalah ketika event Pasar Buku 2020 yang dianjurkan oleh Buku Jalanan Bagan.

Pada Pesta Buku KL 2019, saya diajak teman karib saya, Izzat Ibrahim untuk bersama beliau menjual buku di kiosk swaterbit yang disediakan penganjur. Kiosk ini dikhaskan untuk penerbit yang menerbit karya sendiri, ia adalah usaha mengetengahkan buku yang tidak diterbit oleh penerbit besar negara. Walaupun lokasinya sedikit terpuruk kedalam, aura pesta buku berjaya menghabiskan jualan semua buku yang saya cetak. Salah seorang pembelinya adalah seorang wanita yang dihantar Benz Ali – yang saya syak merupakan Kia Syakira. Di buku tersebut saya titipkan pesan mohon ia di-reviu dan Benz bermurah hati mengkritik buku saya itu dalam dua bahagian (bahagian satu dan dua). Di depan kiosk kami pada ketika itu adalah kiosk Kementerian Dalam Negeri (KDN), apabila tiada pengunjung, saya ringankan kaki untuk berkunjung di kiosk KDN. Selain buku-buku pro-komunis yang dipamerkan sebagai buku haram, buku ‘Antithesis’ juga merupakan antara buku yang dipamerkan sebagai buku haram, selain komunis, perkara-perkara yang mempromosi marijuana (dadah) juga merupakan bahan yang diharamkan, antara bahan pameran lain adalah seluar dalam yang mempunyai lambang daun marijuana. Saya bersembang dengan pegawai bertugas, saya bertanya bagaimana bahan-bahan pro-komunis diharamkan tetapi saya masih boleh membeli The Communist Manifesto di gedung buku terbesar negara di tengah ibukota? (nama kedai dirahsiakan atas faktor keselamatan dari risikan dan serbuan). Pegawai tersebut mengatakan penguatkuasaan mereka terhad, mereka hanya bertindak atas laporan, jika tak dilapor mereka tidak tahu (ambil tahu).

Selepas itu baru saya mempunyai keinginan untuk membaca buku ‘Antithesis’ yang telah diharamkan ini, saya pernah mencari buku ini dalam senarai katalog OPAC Perpustakaan Negara (OPAC PNM), walaupun mempunyai ISBN number, ternyata buku haram ini tidak keluar dalam senarai carian. Apabila saya menggunakan terma ‘buku haram’ dalam tulisan ini, saya tidak bermaksud ia dalam konotasi pejoratif, tetapi hanya kenyataan objektif. Kerana pada fikir saya, banyak buku-buku yang baik sepanjang sejarah pernah diharamkan, jadi pengharaman buku ini mesti disebabkan ia mengandungi sesuatu, ada substance, jadi pengharaman pada pandangan saya merupakan pencapaian bahawa buku ini mempunyai substance, ia diiktiraf oleh kerajaan bahawa ia mampu mempengaruhi manusia. Namun akhirnya saya tetap mendapatkan naskah buku haram tersebut untuk dibaca (cara mendapatkannya dirahsiakan).

Saya kira ini buku terbitan Dubook pertama yang saya dapatkan (mungkin juga terakhir). Semasa Dubook naik mencanak dahulu, saya merupakan antara orang yang tidak ambil kisah, bukan saya mempunyai dendam peribadi terhadap Dubook yang ‘liar dan angkuh’, tetapi saya secara peribadi tidak meminati bahasa-bahasa kempen yang digunakan, yang bagi saya terlalu kesat, tidak melambangkan nilai intelektual buku seperti yang saya faham. Walaupun saya faham, ia merupakan kaedah mereka untuk melakukan marketing – tetapi ia tidak masuk dengan saya. Mungkin jika saya tidak punya pengalaman berkenalan secara peribadi, saya tidak akan mendapatkan buku ini.

Baik, sekarang mungkin kita boleh masuk kedalam isi buku.

Bacaan awal saya secara umum mendapati tulisan Benz Ali ini memang agak kasar, jadi anda boleh menjumpai frasa seperti ‘intelektualisme punggung’ dan 'f*** you' di dalamnya, ia kasar mengkritik kerajaan dan juga orang-orang yang beragama (agama Islam secara spesifik), jadi mungkin itu menjadi sebab ia diharamkan. Namun persoalan-persoalanan ketuhanan yang dibangkitkan, contohnya soal peranan tuhan dalam isu evil, pain, and suffering tidaklah begitu mengugat keimanan pada amatan saya. Saya secara peribadi telah lama cuba memahami isu ini. Sejak dari awal lagi saya telah membaca buku-buku yang ditulis oleh tokoh gerakan The New Atheist, antara yang saya baca adalah Richard Dawkins yang merupakan militant atheist dengan naskah beliau yang berjudul The Selfish Gene dan The God Delusion. Lebih aneh, buku-buku ini tidak diharamkan di Malaysia, malah ada dalam senarai OPAC PNM. Seorang tokoh lain yang saya gemari adalah Christopher Hitchen, hampir kesemua perbahasan Hitchen di Youtube telah saya tekuni, dari beliau muda dan merokok dalam wawancara bersama C-Span hinggalah beliau telah kurus dan botak hasil rawatan kanser. Walaupun saya bukanlah seorang atheist, dan saya juga dapati kadangkala Hitchen menggunakan falasi bagi melawan hujah theist, tetap Hitchen merupakan antara figura yang saya gemari kerana ilmunya dan luasnya pembacaan beliau. Tokoh atheist baru lain seperti Sam Harris dan Dennett entah kenapa saya tidak begitu gemari, saya pernah juga mendengar syarahan Harris tetapi berhenti ditengah jalan, bagi saya beliau tidak punya vigor dan rigor seperti Hitchen.

Antara kritik awal dalam buku ini adalah soal pengajian Islam di universiti yang berbayar, beliau menulis “jika kamu tiada duit, kamu tidak boleh menjadi Muslim yang baik..yang cerdik”. Saya secara peribadi bersetuju dengan premis bahawa ilmu itu bukan semestinya hanya boleh dicapai melalui jalan universiti, malah saya mungkin pergi lebih jauh dengan mengatakan bahawa ada ilmu yang mustahil kita dapat di universiti, ilmu itu luas dan mustahil dapat disatukan dalam satu universiti atau perpustakaan. Tetapi saya tetap mengiktiraf universiti sebagai institusi yang mengabsahkan seseorang itu mempunyai ilmu, atau dalam kata lain universiti mengeluarkan sebuah kertas memperakui seseorang itu mempunyai sedikit ilmu. Dalam mengkritik Islam sebagai kapitalis yang membuat bisnes pendidikan berbayar bagi saya tidak berlaku adil. Malah mungkin Islam adalah agama terbesar yang memberi pendidikan percuma. Jika kita ingin mendalami Islam dan tidak berduit, kita boleh mengikuti kuliah-kuliah di masjid secara percuma. Malah banyak institusi tahfiz dan pondok yang memberi pendidikan percuma pada anak-anak yang susah. Jika kita masih tidak berpuas hati, dan tetap ingin menyambung pengajian secara percuma, kita boleh cuba dapatkan bantuan zakat. Saya tidak bersetuju pengajian Islam sahaja disuruh diajar secara percuma, jika kita hendak mengatakan ia merupakan pengajian yang tidak memerlukan modal untuk membeli alatan makmal dan membuat eksperimen, banyak kursus lain yang berbentuk seperti ini seperti pengajian falsafah, ekonomi, politik, pengurusan dan lain-lain yang tidak punya modal untuk melakukan kajian eksperimental. Saya masih ingat semasa di Damshik, Syiria sebelum revolusi, saya pernah masuk ke Jamek Umawi semasa malam hari, saya dapati ketika itu terdapat ramai orang dan sedang berlangsung kuliah bersama Sheikh Ramadhan Al-Buthi. Seorang tokoh Islam besar ketika itu, mungkin yang kedua terbesar selepas Sheikh Yusuf Al-Qardhawi. Saya ada membaca kitab beliau Fiqhul Seerah, kuliah bersama tokoh ke-2 terbesar Islam di zaman tersebut diadakan secara percuma! Semoga Allah mencucurkan rahmat keatas roh Sheikh Ramadhan Al-Buthi yang terkorban dalam revolusi.

Perihal komunis, dalam buku haram ditulis “muncul komunisme, reaksi sunnah bukan mahu mengambil apa yang baik... tetapi memilih untuk mengkafirkan komunisme, yakni menolak komunisme secara total”. Kerana buku ini mungkin kumpulan status Facebook, jadi mungkin saya tidak dapat mengetahui rangka awal atas kesimpulan ini. Tetapi saya mengambil jalan mudah dengan memahaminya sebagai kritik penolakan komunisme di Malaysia dan dilabel sebagai kafir. Kerana komunisme merupakan ideologi yang mempengaruhi banyak pemikiran umat Islam jika kita meninjau gerakan Islam di Mesir, Palestin, Iraq, Libya dan sebagainya, tetapi di Malaysia ia seolah-olah adalah taboo. Pada saya, ia lebih kepada kesan daripada sejarah berbanding ideologi, penolakan komunis di Malaysia walaupun sering ditolak menggunkan label ‘kafir’ adalah kesan dari sejarah hitam berdarah di Malaysia. Dalam masa yang sama, saya ambil maklum dengan hujah yang mengatakan bahawa, British, Jepun, Portugis, Belanda turut menjajah kita, kenapa kita tidak begitu anti mereka sebagai mana kita anti kepada komunis? Untuk soalan ini, bagi saya jawapannya adalah pada polisi propaganda pemerintah yang mengambil kuasa selepas British dalam menanam semangat patriotik dalam negara. Saya secara peribadi merasakan pengharaman komunis secara total di Malaysia ini sedikit bermasalah dalam memberi ruang kebebasan berfikir. Kerana bagi saya sumbangan komunis (kiri) bukan kerana ia benar dari sudut ideologi atau sistem ekonomi, tetapi banyak kepincangan dan masalah sistem kapitalis dapat difahami dari membaca literature kiri, ini pada saya sumbangan komunis, mengetengahkan masalah sistem yang dominan sekarang. Hampir mustahil bagi saya untuk kita boleh memahami discourse ideologi Barat baik dari sudut politik, sosial, atau ekonomi jika kita tidak membaca tulisan-tulisan kiri.

Saya faham Benz Ali begitu anti dengan gerakan Islam Haraki dan usrah. Saya tidak pasti usrah mana yang beliau ikuti atau gerakan haraki yang mana, dan saya sendiri sudah banyak menjawab perihal ini (saya tulis disini, disini dan disini). Bacaan saya, pandangan beliau terhadap usrah hanya satu sisi dan mengabaikan sisi-sisi yang lain, sudut pandangnya usrah hanya berbicara soal halal-haram dan kafir mengkafir, beliau menulis “apakah campur tangan agama pada makanan, cuma sekitar tetek bengek halal – haram, babi dan alkohol?” Beliau menulis lagi “Bill Gates yang kafir itu mencipta Microsoft Word..kau nak buat minit usrah pun perlukan Microsoft yang dibuat oleh orang-orang kafir”. Pada saya usrah telah ada sebelum Microsof Word, jadi tidak timbul isu usrah perlukan Microsoft Word. Penggunaan teknologi itu pada saya sekadar mengikut perkembangan zaman, jika tidak digunakan, mungkin nanti muncul pula Benz Abu (di parallel universe) yang mengkritik bahawa Islam ini anti teknologi. Dari sudut terima kasih, kita berterima kasih dengan membayar kepada Microsoft, tetapi kita juga perlu berterima kasih kepada tulisan intelektual Islam seperti Al Jabr (yang sering disebut Algebra) yang banyak menyumbang kepada ilmu matematik moden yang tanpanya komputer dan Microsoft tidak dapat dihasilkan. Pandangan saya terhadap usrah berlainan dari beliau, saya melihat orang-orang usrah turun ke pedalaman di Simuning, Sabah memberi pendidikan pada orang-orang yang hidup di laut, saya melihat mereka mengumpul duit sesama sendiri mendirikan sekolah, saya melihat mereka mendirikan rumah-rumah perlindungan untuk warga Rohingya walaupun masyarakat mencemuh mereka, saya melihat orang usrah menghantar bantuan apabila Aceh dilanda tsunami, mereka ke Syria, Palestin, Somalia menghantar bantuan makanan, membayar yuran anak-anak mereka belajar, saya melihat orang usrah membuka rumah penyayang untuk masyarakat miskin dan yatim. Namun entah kenapa sisi-sisi ini tidak pernah disebut oleh Benz Ali dalam bukunya, mungkin beliau tidak tahu akan hal ini dari pengalaman singkat usrah beliau, atau mungkin beliau tidak mahu membangkitkannya kerana ia akan meruntuhkan perspektif selektif dan reductionist beliau.

Namun pada saya apa yang kita perlu ambil dari penulisan ini bukanlah sisi pandang selektif atau reductionist itu, tetapi melihat kepada kritik-kritik itu secara spesifik dan cuba merenung, menilai dan cuba menambah baik sudut tersebut. Contohnya apabila beliau mengkritik golongan usrah tidak “membaca atau menulis apa-apa”. Ini semestinya tidak betul secara objektif, ia merupakan generalisasi dari masalah kecil dan dibesarkan kepada keseluruhan kumpulan, tentunya ada yang membaca dan menulis. Seperti pemikiran jika golongan Buddhist menindas Rohingya di Myanmar kita menyimpulkan semua pengikut Buddha adalah pengganas, tentulah ia tidak benar. Namun golongan usrah perlu memandang kritik ini dari sudut yang berbeza, dari menjadi defensif, mereka (termasuk saya) perlu proaktif, membaca dan menulis lebih banyak lagi sehingga menjadikan andaian “golongan usrah tidak membaca dan menulis” itu sukar dipertahankan hanya dengan melihat keadaan luar secara umum. Jadi imej itu diperbaiki dengan usaha (amalan) bukan sekadar kita berdebat untuk menang hujah.

Tetapi ada juga persoalan-persoalan beliau yang saya rasa dekat di hati, contohnya beliau bertanya “Apakah Islam hanya di ranjang?” tentu sahaja beliau bukan bermaksud Islam hanya di ranjang, tetapi ia adalah kritik sosial terhadap masyarakat kita yang selalu memandang permasalahan nikah kahwin, poligami, dan sebagainya sebagai isu utama yang dibincangkan. Saya sendiri pernah menulis perihal lawak kahwin dua dan poligami, yang saya rasa tak lawak langsung. Kerana banyak lagi perkara-perkara penting yang perlu kita lakukan sebelum kita mati dan ditanam didalam kubur. Juga persoalan beliau yang membangkitkan bagaimana aktivis dan naqib-naqibah usrah yang memperjuangkan idealisme mereka di universiti, tetapi hilang apabila bergraduasi dan bergelumang dengan masalah kehidupan. Saya kira ini bukan masalah golongan usrah sahaja, saya pernah membaca status komrad PSM mengeluh akan hal yang sama, mungkin itu memang lumrah manusia, bukan semua orang tahan berjuang, tidak kira ideologi apa pun. Antara perbahasan beliau yang lain yang saya kira saya bersetuju adalah “kerajinan boleh mengatasi kesarjanaan”, ini saya kira harus menjadi motivasi masyarakat diluar universiti, mereka harus sedar bahawa mereka juga mampu menajamkan intelektual mereka tanpa membayar yuran pengajian universiti.

Akhir sekali, ulasan buku ini lambat 6 tahun kerana buku ini diterbitkan pertama kali pada tahun 2014, dan mungkin banyak pandangan-pandangan beliau yang telah beliau tinggalkan, kerana beliau sendiri menulis disclaimer di awal buku ini bahawa buku ini “bukan Al-Qur’an”. Contohnya dalam buku ini beliau menulis bahawa “kau hanya memberatkan Planet Bumi dengan menjadi malas”, tetapi dua minggu sudah beliau berhujah di Youtube tentang “Kenapa Malas Itu Penting?”. Buku ini saya kira banyak persoalan-persoalan, dan banyak persoalan itu hanya selapis, tidak diterangkan atau dihuraikan dengan dalam (mungkin kerana ianya status Facebook, bukan kajian dan tekunan yang panjang). Jika orang lain memberi komentar bahawa Benz Ali ini bagus tetapi dia banyak sangat berfikir perkara yang bukan-bukan, saya pula berpendapat bahawa dia perlu berfikir lebih banyak lagi, lebih dalam lagi, bukan berhenti berfikir. Kerana soalan-soalan ini ada jawapannya, maka ia perlu dicari hingga satu hari nanti akan ketemu jawapan yang memuaskan hati, insha’Allah. Apa-apa pun syabas kepada Benz, sekurang-kurangnya dia telah menjalankan perintah Tuhan untuk berfikir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan