Jumaat, 7 Ogos 2020

Negara Ini Negara Orang Tua

 

Sebuah empayar besar
Di Euro-Asia terbubar
Dari Gorbachev takhta diberi kepada Yeltsin
Begitu dunia berubah sepertiupan angin.


Di antara tahun-tahun yang berkecamuk itu
Aku diberi Tuhan sebutir nyawa dari seorang ibu
Di sebuah ibukota
Di sebuah negara yang merdeka.


Apalah yang aku tahu perihal dunia ini
Aku hanya menurut kesana kemari
Membesar dengan melihat-lihat
Negaraku sihat berkembang pesat.


Sembilan puluh lapan aku masih di ibukota
Melihat pertiwi yang bersengketa
Askar hitam berhelmet merah
Dengan baton memukul marah
Ada peristiwa yang menggegarkan negara
Namun aku terlalu kecil untuk bertanya.


Apabila aku sudah layak
Meletakkan suara di dalam kotak
Aku masih melihat sengketa sama
Pelakon-pelakon tua mengemudi negara
Dengan drama dan segala nista.


Apabila naik mereka angkuh
Mengutuk yang kalah sebagai bodoh
Kerana percaya pada kemenangan tertangguh.


Namun Tuhan
Punya perancangan lebih ampuh
Kemenangan angkuh itu tidak utuh
Akhirnya tanpa angin rebah sendiri jatuh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan