Rabu, 12 Ogos 2020

Oncu Mun Kembali Ke Rahmatullah

Gambar Oncu Mun ketika beliau kecil. Gambar circa 1991.

Saya sedang berbaring bersama isteri, jam menunjukkan pukul satu pagi, kami bersembang seketika sebelum menutup mata bagi menamatkan satu lagi hari hidup bersama. Talifon isteri saya berbunyi, adik saya Syed Ihsan menalifon, dia pada mulanya cuba menalifon saya namun tidak berangkat, kerana saya memang selalunya meninggalkan talifon di bilik lain dan tidak dibawa bersama ketika tidur, dan biasanya saya perlahankan suara talifon, jadi deringannya tidak menganggu dan tidak kedengaran.

Ihsan memberitahu bahawa Oncu Mun meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan di Tanjung Karang. Motosikal yang dinaikinya merempuh kenderaan milik TNB dan beliau menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian. Saya terus mendapatkan talifon di bilik sebelah dan menalifon ibu. Kemudian saya membuka komputer untuk menghantar email kepada pengurus bahawa saya akan bercuti esok hari untuk menghadiri pengebumian.

Selepas Solat Subuh sekitar jam 6.20 pagi saya terus bertolak dari Sungai Petani, memasuki lebuhraya PLUS dan keluar di Changkat Jering, melalui jalan dalam dari Trong ke Pantai Remis, melalui Seri Manjung, Hutan Melintang dan akhirnya sampai ke Bagan Datuk sekitar jam 10.15 pagi. Jalan tidak sesak hari ini, cuma ada beberapa kali terhenti kerana ada kemalangan dan pemeriksaan polis. Jenazah pada ketika itu sedang dibawa oleh van ke masjid. Saya sempat bersama sembahyang jenazah sebelum ke tanah perkuburan. Sewaktu di masjid kelihatan atuk berjalan pantas, walaupun bertongkat atuk kelihatan bersungguh tidak mahu terlepas solat jenazah. Jarang lihat atuk cuba bergerak pantas diusia senja ini.

Saya cuba meneka apa yang ada dalam fikiran atuk. Saya pernah mengebumikan ayah sendiri, jadi mungkin saya faham perasaan sedih itu, tapi saya belum pernah merasai perasaan mengebumikan anak sendiri. Ia merupakan kesedihan yang lain saya kira. Wo (panggilan untuk nenek dalam masyarakat Kampar) kelihatan menangis tetapi tidak atuk.

Oncu Mun merupakan panggilan yang kami panggil kepada pakcik yang paling bongsu, "Oncu" adalah Paksu dalam Bahasa Kampar dalam mengklasifikasikan hiraki bapa saudara. Manakala "Mun" adalah dari nama beliau "Munsif", kadangkala kami panggil "Chu Mun" sahaja. Kali terakhir kami berjumpa adalah sekitar seminggu lepas ketika hari raya Aidiladha.

Jenazah diangkat untuk dibawa ke kubur selepas selesai disolatkan.

Proses memasukkan keranda ke dalam kubur.

Anak-anak Oncu Mun menyiram air ke atas kubur ayah mereka.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Moga Allah mengampunkan dosa-dosanya, menerima amal ibadahnya, serta menerima ruhnya dalam kalangan orang beriman. Ameen.

Ahmad Munsif bin Mohamed Noh (21 Mac 1983 - 10 Ogos 2020).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan