Ahad, 20 September 2020

Apabila anak panah sudah keluar busur, usah lagi bimbang


Esok keputusan peperiksaan professional saya akan keluar, sudah hampir sebulan saya memikirkannya, dan hari ini, apabila ia semakin dekat, minda saya semakin risau memikirkannya. Namun sebenarnya tidak ada apa yang boleh diperbuat lagi selain merungsingkan pemikiran, kerana anak panah sudah keluar busur. Mungkin pada ketika ini saya harus mengamalkan pemikiran Stoic, agar lebih tenang sehingga menyamput keputusan esok hari. 

Stoicism bukan agama, tetapi falsafah-falsafah dan renungan-renungan hidup yang menekankan kehidupan yang aman dan minda yang tenang, bagi Stoic kita harus hidup selari dengan alam. Menurut Prof. Massimo Pigliucci, ia berasal dari ahli fasafah Yunani kuno bernama Zeno. Zeno merupakan seorang pedagang yang kaya, namun dia hilang segala-galanya apabila kapal dagangnya tenggelam. Selepas itu Zeno pergi ke kedai buku, dia terbaca perihal falsafah, kemudian mencari ahli falsafah, kemudian dia menjadi ahli falsafah. Namun berbeza dengan ahli falsafah lain, Zeno berbicara dengan masyarakat di jalanan tanpa mempunyai sekolah tersendiri. Pemikiran-pemikiran beliau melahirkan aliran pemikiran Stoic.

Ramai pemikir-pemikir yang terkemudian dari Zeno mempunyai pengaruh Stoic yang kuat antaranya Seneca dan Marcus Aurelius, sebelum kebangkitan Kristian yang memadamkan pengaruh kuatnya dalam masyarakat. Bagi Stoic, kita perlu hidup sesuai dengan fitrah manusia iaitu hidup secara sosial dan hidup dengan menggunakan kebolehan untuk menggunakan logik akal.

Antara pemikiran Stoic lain adalah perkara dalam dunia ini terbahagi kepada dua, satu yang boleh kita kawal, yang kedua perkara yang kita tidak boleh kawal. Dan kita hanya perlu risau berkenaan dengan perkara yang kita boleh kawal, dan untuk hidup dengan tenang, berhenti berasa bimbang dengan perkara diluar kawalan kita. Antara ungkapan Stoic yang menarik berkenaan dengan hal ini adalah dari Epictetus, dimana beliau menulis:

“Saya akan mati. Jika sekarang, maka saya akan mati sekarang, jika kemudian, sekarang adalah masa untuk saya makan tengahari, kerana masa makan tengahari telah tiba, manakala mati saya akan hadapinya kemudian”.

Maksudnya disini adalah bukan kita tidak harus bersedia untuk mati, tetapi mati adalah satu kepastian. Jika kita takut berlebihan atau kita tenang menjalani kehidupan, ia tidak akan mengubah kenyataan bahawa kita akan mati. Oleh itu kita harus menumpukan perhatian kita pada perkara-perkara yang kita boleh kawal di saat ini, sekiranya perkara itu adalah makan tengahari, maka itu seharusnya menjadi fokus kita buat masa tersebut. Ia lebih dekat dengan pemikiran Eckhart Tolle bahawa kita perlu hidup dimasa kini, sekarang, bukan masa lampau atau masa depan.

Kita boleh mengumpamakan pemikiran ini dengan aktiviti memanah. Kita boleh berlatih bertahun-tahun untuk menguasai ilmu memanah. Kita boleh cuba untuk mendapatkan anak panah dan busur yang berkualiti. Tetapi apabila kita memanah, sebaik sahaja kita sudah melepaskan anak panah dari busur, ia bukan lagi dalam kawalan kita. Mungkin akan ada angin yang membuatkan panahan kita tersasar, atau sasaran kita bergerak menyebabkan ia tersasar.

Dalam hidup kita hari ini, mungkin kita boleh lihat ia melalui usaha-usaha kita untuk mencapai sesuatu. Dalam peperiksaan contohnya, fokus dan kebimbangan kita perlulah pada usaha kita, kerajinan kita untuk mengulangkaji, memahami teori, tetapi apabila kita sudah menjawab peperiksaan, anak panah telah kita lepaskan dari busur, kita tidak perlu lagi bimbang atau gelisah kerana ia bukan lagi dalam kawalan kita. Kita perlu menerima keputusannya, dan jika tidak baik kita perlu berusaha lebih keras lagi selepas itu.

Mungkin saya patut akhiri penulisan pendek ini dengan ungkapan kegemaran saya dari Seneca, yang saya kira sangat bagus untuk direnung-renungkan. Seneca berkata “kita semua sentiasa merungut perihal kesingkatan masa, namun, dalam masa yang sama kita punya terlalu banyak masa sehingga kita tidak tahu apa yang kita hendak perbuat dengannya”.

Harap-harap dengan menjadi Stoic saya dapat menerima keputusan dengan tenang esok!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan