Selasa, 22 September 2020

Membebaskan Minda Dari Sampah Sarap

 

 Antara tulisan Marcus Aurelius yang saya minati dalam renungan “Meditations” beliau adalah perihal pemikiran, kata Marcus “The happiness of your life depends upon the quality of your thoughts”. Dalam erti kata lain apa yang membuatkan kita gembira bukanlah keadaan luaran kita, tetapi tafsiran pemikiran kita terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Oleh itu Marcus Aurelius yang merupakan seorang raja dan ahli falsafah menitikberatkan perihal apa yang sepatutnya kita fikirkan, dan apa pemikiran yang kita patut benarkan masuk ke dalam minda kita.

Perkara ini mungkin lebih senang dilakukan pada zaman Pax Romana kerana pada ketika itu belum wujud smartphone, Tik Tok, Facebook dan seribu satu lagi rekaan teknologi yang mengebom kita dengan informasi pada setiap hari. Hampir kemana sahaja kita toleh hari ini kita disuap dengan iklan, promosi produk, propaganda politik, gambar makanan, gambar percutian orang lain, membuatkan fikiran kita sering sahaja terliuk-liuk kesana dan kemari.

Bumi hari ini terlalu bising dengan informasi, sebab itu Jeneral Zod menghadapi kesukaran ketika kali pertama dia mendarat di bumi dan hilang helmet ajaib beliau, begitu juga dengan Clark Kent ketika membesar di bumi, terlalu bising menyebabkan beliau sukar fokus kerana mempunyai deria yang sensitif. Begitu jugalah perihal diri kita, perkara-perkara yang kita lihat seharian di media sosial menyebabkan kita sering hilang fokus terhadap apa yang penting di dalam kehidupan kita.

Melihat percutian orang lain menyebabkan kita merasakan kita juga perlu berehat ditepi pantai. Melihat gambar burger cheese meleleh menyebabkan kita menyesal kerana kita makan nasi berlauk ikan temenung sahaja. Melihat itu, melihat ini, kita terus didahagakan dengan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan hidup kita. Kita bincangkan dan bimbangkan masalah orang lain, akhirnya kita tidak benar-benar hidup untuk hidup kita, sentiasa mahu menjadi orang lain, di keadaan lain.

Dalam siri jenayah-misteri-komedi-drama Sherlock yang dihasilkan oleh BBC, Sherlock Holmes ketika beliau berdiskusi dengan Dr. John Watson di pagi hari, beliau berkata perihal minda. Bagaimana mindanya merupakan pusat informasi, tetapi untuk mindanya berfungsi beliau harus melupakan informasi-informasi yang tidak berguna dan hanya menyimpan informasi yang berguna sahaja. Sementara orang kebanyakan menghimpunkan pelbagai jenis informasi berstatus sampah-sarap di dalam pemikiran mereka. Jadi menurut Sherlock, jika kita ingin menggunakan minda kita dengan berkesan dan dengan potensi penuh, kita harus meninggalkan perkara-perkara yang tidak berguna. Bagi Stoic perkara yang kita tidak punya upaya mengubahnya adalah perkara yang tidak perlu kita bimbangkan.

Perihal meninggalkan perkara yang sampah dan tidak berguna ini juga telah lama diajar dalam Islam, seperti yang diperingatkan oleh abang senior kesayangan saya, Ahmad Nabil MJ berkenaan dengan sebuah hadith dalam kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi, hadith ke-12 yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang bermaksud "Antara tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak penting baginya". Oleh itu membebaskan minda dari perkara yang tidak bermanfaat ini bukan sahaja kebijaksanaan Stoic, atau saranan watak fiksyen, ia adalah suruhan Nabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan