Jumaat, 16 Oktober 2020

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sosialisma?


Persoalan Komunisma-Sosialima merupakan persoalan usang, namun ia masih relevan sehingga ke hari ini. Perlawanan ideologi dua mazhab ekonomi ini telah diperdebatkan sejak zaman berzaman, darah telah ditumpahkan, revolusi tercetus, menyebabkan jatuhnya monarki dan feudalisma, malah lautan dakwat telah ditumpahkan ke atas lembaran untuk menulis kitab perihalnya, untuk menyokong atau mengkritiknya.

Dahulu saya mencari makna sosialisma ini dengan kacamata bahawa ia punya satu definisi objektif yang jelas. Namun kini saya tersedar bahawa ia adalah satu kanta yang silap, sosialisma tidak punya satu makna, tidak punya satu definisi, ia berbeza mengikut pemikir, mengikut geografi, latar masa dan suasana. Saya sedar akan hal ini apabila saya mengikuti pelbagai syarahan ahli ekonomi Marxis, Profesor Richard D. Wolff, yang digelar oleh majalah The New York Times sebagai ahli ekonomi Marxis yang paling ulung di Amerika.

Entah kenapa, apabila saya mendengar perbahasan ekonomi dari aliran kiri, ia lebih masuk akal, mudah difahami, menarik, hujahnya kedengaran lebih elegan, mungkin teori ekonomi arus perdana terlalu kompleks dan matematikal untuk otak manusia biasa seperti saya, atau teori ekonomi aliran kiri berbentuk simplistik, saya tidak pasti. Tapi syarahan Prof. Wolff begitu menarik, hampir satu minggu saya habiskan mendengar syarahannya, saya dengar syarahan beliau di Talks at Google, di Levy Economics Institute of Bard College, ACLU SoCal Lecture di Occidental College, di Webster University, juga temuramah beliau bersama Bill Moyers, temuramah beliau bersama Amy Goodman dan Paul Krugman di Democracy Now! juga debat beliau melawan Gene Epstein di Soho Forum Debate. Ada lagi syarahan beliau yang saya ikuti, tapi ia akan membuatkan perenggan ini terlalu panjang. Apa yang hendak saya katakan adalah syarahan beliau menangkap imaginasi, mudah difahami, serta menyebabkan saya mahu mendengar lebih lagi.

Antara ulasan beliau yang sangat mencerahkan adalah perkembangan sosialisma, seperti sistem lain termasuk sistem kapitalisma, sosialisma berubah mengikut zaman, ia tidak statik, ada idea yang dicuba dan gagal, ada idea-idea baru. Sosialisma lama menurut beliau adalah kefahaman bahawa sosialisma bermaksud perniagaan semuanya diuruskan oleh kerajaan dengan ekonomi dikawal ketat oleh kerajaan pusat (central planning). Model ini telah dicuba oleh Kesatuan Soviet tetapi gagal, komunis China pula tidak mengamalkan dasar ini secara monolitik sebaliknya membuka ruang besar untuk ekonominya dijalankan menggunakan sistem kapitalis walaupun menggunakan nama dan pakaian komunis.

Sosialisma Alaf-21 menurut Richard Wolff merupakan fahaman bukan bermaksud ekonomi perlu dikawal kerajaan, kerana apa yang dilakukan sebelum ini adalah menggantikan sekelompok kecil kapitalis yang menguasai syarikat dan menggantikannya dengan pegawai-pegawai kerajaan, ini menurut Wolff tidak mengubah struktur hiraki syarikat dan ini juga bukan idea asal Karl Marx, Marx dalam tulisan-tulisannya tidak memandang berat soal campurtangan kerajaan dalam ekonomi kerana itu bukan apa yang ingin beliau teliti. Apabila struktur hiraki tidak berubah, ia masih dikawal oleh segolongan kecil manusia yang membuat keputusan untuk populasi pekerja yang lebih besar, cuma bezanya sebelum ini mereka ditindas oleh kapitalis, sekarang mereka ditindas oleh pegawai kerajaan.

Bagi Wolff, sosialisma Alaf-21 bermaksud pendemokrasian tempat berkerja. Bukan sekadar menukar elit kecil yang membuat keputusan ekonomi. Tempat kerja adalah tempat yang kita habiskan sebahagian besar umur produktif kita, jika kita mempercayai demokrasi, mengapa sebahagian besar hidup kita ini tidak ditukarkan ke sistem demokrasi? tanya Wolff. Solusi beliau adalah mewujudkan syarikat milik pekerja (workers co-op). Apabila pekerja yang memiliki syarikat dan punya kuasa dalam membuat keputusan ekonomi, mereka akan membuat keputusan-keputusan yang memihak kepada sebahagian besar pekerja, bukan golongan elit kecil, baik elit kapitalis atau elit kerajaan. Bagi mereka yang skeptik dengan solusi ini, beliau sering mengulang-ulang kejayaan Corporacion Mondragon, sebuah syarikat milik pekerja di Basque, Sepanyol yang kini sudah berkembang menjadi konglomerat dengan 81,507 pekerja (data tahun 2019).

Saya teringat polemik saya bersama Komrad Benz Ali berkaitan dengan kebergantungan golongan kiri kepada golongan kanan. Jika kapitalis adalah sistem kanan, Richard Wolff dalam syarahannya sering menekankan kebergantungan sosialisma dengan kapitalisma, beliau menyebut bahawa "capitalism produced Karl Marx" dan dalam syarahan lain beliau menyebut "socialism is a product of capitalism". Dalam pelbagai definisi sosialisma, mungkin para sosialis bersetuju dengan satu definisi, bahawa sosialisma bermaksud lawan kepada kapitalisma, ia akan wujud selagi kapitalisma wujud, ia adalah "self-critiscm" buat kapitalisma.

Jika anda ingin cuba memahami teori ekonomi Marxis atau ingin memahami apa yang dimaksudkan dengan sosialisma tapi mendapati bahawa artikel ini tidak begitu jelas untuk memuaskan nafsu intelektual anda, saya sarankan anda mendengar sendiri syarahan Prof. Richard David Wolff, tidak perlu dengar semua yang saya telah senaraikan, satu sudah memadai kerana kesemuanya kebanyakannya mempunyai isi fundamental yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan