Ahad, 6 Disember 2020

Buku Berfikir Tentang Pemikiran Edisi Baharu

 

Alhamdulillah. Setelah sekian lama mendapat pengkhabaran dari alam maya sahaja, hari ini abang frontliner posmen mengirim naskah edisi baharu buku Berfikir Tentang Pemikiran yang diterbitkan semula oleh The Biblio Press dan dipasarkan secara meluas oleh The Bibliophile Bookshop. Saya secara peribadi sangat berpuas hati dengan naskah terbaru, lebih kemas, lebih professional, dan lebih mesra pembaca berbanding naskah asal yang saya terbitkan 2 tahun yang lalu. Setelah disusun semula, ketebalan juga menjadi dua kali ganda.

Mungkin pada penulisan Ahad ini saya hendak merakam sedikit sejarah dan kisah-kisah disebalik buku ini, kerana saya melihat ramai juga yang bertanya "buku ini pasal apa?".

Sebelum saya pergi jauh ke halaman itu. Saya hendak merakamkan jutaan terima kasih kepada penerbit yang memberi peluang dan kepercayaan kepada penulisan saya untuk diterbitkan semula dan menemui pembaca baharu. Terima kasih juga kepada Aktivis Buku Negara, Puan Emmy Hermina Nathasia yang sudi menukil sedikit kata pengantar buat edisi baharu ini, tentulah saya sebagai penulis tersentuh dan berterima kasih atas kesudian ini. Mungkin cadangan saya pada penerbit jika mahu dicetak lagi dituliskan "Kata Pengantar Oleh" di muka hadapan untuk cetakan seterusnya sebagai penghargaan pada Puan Emmy.

Baik. Sedikit sejarah dan latar belakang. Saya merupakan seorang yang mengikuti gerakan Islam di Malaysia. Saya mengikuti pelbagai program dakwah dan tarbiyah dari kecil hinggalah ke usia saya hari ini. Dan dalam proses tersebut saya mengenali ramai manusia, ada yang manis, ada yang kurang, ada yang bersemangat, ada yang berfikiran jauh, ada yang akhirnya menjadi isteri (ops!), dan saya merasakan ia satu pengalaman yang sangat berharga. Saya merasakan ia satu kerugian sekiranya apa yang saya kutip ini hilang seiring hilangnya memori saya apabila saya menutupkan kelipan mata terakhir.

Maka saya mula menulis, menulis, dan menulis. Ia adalah pandangan dan pemikiran jujur saya, meski bagi sesetengah pengkritik merasakan ia berbentuk didaktik atau terlalu pekat usrah. Kadangkala saya menulis di bilik, di rumah, di universiti, di atas bas, di surau hentian bas. Saya menulis semua pengalaman, perasaan dan pemikiran saya. Proses penulisan ini bukan sehari, seminggu, atau sebulan, hampir empat ke lima tahun. Dihujungnya saya juga rasa sukar hendak berhenti, kerana ada sahaja benda baharu yang ingin dimasukkan. Sepanjang penulisan itu saya juga banyak membaca buku-buku lain, membuatkan saya berfikir tentang perkara-perkara lain, idea yang saya kira sangat menarik, dan saya masukkan, ulaskan, dan tuliskan ke dalam buku tersebut. Oleh kerana itu buku itu berevolusi, kerana pemikiran saya juga sedang berevolusi pada ketika menulis itu seiring pengalaman dan pembacaan saya.

Dalam proses evolusi ini, buku ini saya berikan banyak nama, ia saling bertukar-tukar. Pada ketika itu saya sedar memberi nama kepada buku ini merupakan satu perkara yang sukar, lebih sukar dari menamakan anak. Saya tidak boleh memberi nama yang eksklusif kedengaran Islamik kerana terlalu banyak perkara lain yang turut saya bincangkan. Jadi saya mengambil keputusan, hasil dari bacaan saya dalam buku "Langkah Bermula" oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid (atau mungkin ulasan berkenaan buku tersebut, saya tidak berapa pasti), iaitu menggunakan metodologi Al-Qur'an dalam menamakan surah. Surah Al-Baqarah sebagai contoh dinamakan bersempena kisah lembu Bani Israel, meskipun surah tersebut berkisar tentang banyak perkara lain selain kisah tersebut. Jadi saya memilih satu daripada bab untuk dijadikan tajuk buku iaitu bab "Berfikir Tentang Pemikiran". Bab itu saya pilih kerana ia bersifat umum, dapat merangkumi semua penulisan saya.

Saya tiada tujuan untuk menjadikan buku ini kedengaran seperti buku falsafah, dan buku ini bukanlah buku berkenaan dengan falsafah - walaupun Puan Emmy menulis dalam sidang pengantar ia adalah buku ini bersifat "berat dan ilmiah". Ia adalah buku yang bagi saya memuatkan kisah-kisah peribadi. Bagi saya buku ini mempunyai personal effect yang kuat dengan diri saya sendiri, sebab itu saya ada juga menolak tawaran untuk diterbitkan bersama dengan penulis lain yang sudah ada nama dalam industri buku, bukan kerana sombong atau besar diri, tetapi saya merasakan ia adalah rakaman pengalaman peribadi dan lebih selesa diterbitkan sendiri meski mungkin tidak dapat pergi jauh. Saya juga ada menolak penerbitan dari penerbit yang saya rasa tidak sesuai, alasannya adalah sekali lagi kerana ia adalah refleksi pemikiran-pemikiran peribadi.

Saya secara peribadi ingin mengamalkan nasihat Howard Zinn yang tidak membaca buku sendiri, namun atas nasihat teman yang dikasihi Akmal Sabri yang membaca buku saya awalnya sebanyak dua kali dan mengkritik panjang buku ini, mungkin saya akan baca semula, dan menilai semula pemikiran lama saya. Naskah yang disusun secara kemas ini juga menjadi pemangkin untuk saya menyelaknya semula.

Terima kasih kepada penerbit, penulis kata pengantar, pereka kulit, teman-teman pembaca, rakan-rakan yang sudi membeli, membaca, mengkritik dan menulis ulasan, kalian semua adalah permata yang sangat berharga buat diri saya secara peribadi. Membuatkan saya ingin menulis lagi dan menyambung projek-projek penulisan yang sekian lama tergendala di dalam folder draft.

Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan