Sabtu, 26 Disember 2020

Membunuh Pemimpi Mencipta Robot


Peristiwa itu tidak dapat aku padam dari memori. Walaupun setelah 17 tahun berlalu. Bila teringat, bila terimbau, ia membuatkan api rebel remaja dalam diriku bergolak semula, meski pun aku merasakan api itu sepatutnya telah lama terpadam di usia tua ini.

Di tepi cermin dia melukis, khusyuk, tenggelam dalam kretiviti dan imaginasi. Penselnya mengusap-ngusap kertas melahirkan watak-watak komik imaginasinya. Diberi jalan cerita. Berhelai-helai kertas lukisannya, dikumpul sehingga menjadi seperti sebuah buku. Disudut kanan kelas itu dia khusyuk melukis, mencuri masa lapang antara dua waktu kelas, saat guru tiada. Aku melihat sahaja teman sebelah mejaku dengan mata malas tengahari itu, sambil membungkam songkok ke dalam muka. “Ahh sekolah ini memang mengantukkan jiwa” gumam jiwa remajaku, separuh di bumi, separuh lagi di alam mimpi.

Temanku itu sememangnya punya tangan emas, yang dihadiahkan kepada sebahagian kecil kanak-kanak sahaja oleh Tuhan. Melukis komik merupakan impianku sewaktu kecil, sebaris dengan seribu cita-citaku yang lain termasuklah ingin menjadi tukang kayu, penternak ayam, juga saintis NASA. Namun tanganku merupakan tangan manusia biasa, tidak bisa mencipta realiti fiksi. Kadang-kala aku meminjam juga komik temanku itu, sekadar hiburan anak-anak di sekolah yang sepi ini, yang jauh dari hiruk pikuk kota tempat aku lahir, terselindung disebalik hutan getah juga bukit-bukit hijau.

Namun satu hari imaginasinya itu direnggut oleh seorang dewasa yang lalu diluar cermin tingkap kelas. Cuma di usia tua ini memoriku sedikit kabur, aku tidak ingat dengan pasti, sama ada perenggut itu merupakan seorang kerani yang berlagak seperti guru disiplin atau ustaz berkaca mata dengan rambut lebat yang disikat rapat. Temanku itu terbungkam, jiwanya pecah berkecai, dia cuba mendapatkan semula hasil kerja jiwanya itu namun gagal.

Bila difikir di usia tua ini, kadang kala ia membuatkan aku marah, kadang kecewa. Mungkin komik dilihat di sekolah sebagai “dadah” yang berbahaya, mengkhayalkan anak-anak yang sepatutnya menjadi komputer menyelesaikan persamaan matematik dan menyelesaikan permasalahan yang diberi dalam peperiksaan. Mungkin kretiviti tidak seberat nilainya akademik. Di sekolah aku memang seorang rebel. Masih ingat selepas tamat dirotan dikhalayak ramai, aku pergi ke belakang asrama bersama sehelai baju putih dan spray berwarna hitam. Di baju itu aku tulis menggunakan spray tarikh hari tersebut, biar semua orang tahu bahawa aku terima apa yang berlaku dengan bangga. Baju itu aku akan pakai di dalam baju putih sekolah, jadi ia nampak diluar.

Seorang senior yang juga merupakan kaki rebel bersembang denganku petang itu, entah kenapa dia cuba untuk memadamkan hasratku “Sudahlah, berbaloi ke kau buat semua ni, nak dapat apa?”. Entah, aku tak punya jawapan untuk soalan itu, mungkin jiwa muda rela dunianya dibakar hanya kerana semangat kemarahan.

Temanku sang pelukis komik itu memang ditakdirkan hidup dengan tangannya. Setelah beberapa tahun dia berjaya menjadi seorang arkitek. Aku sendiri tidak pasti jika komiknya dahulu tidak dirampas, apakah dia akan menjadi kartunis atau mangaka hari ini, aliran takdir adalah sesuatu diluar batas tekaan manusia. Tapi yang aku pasti, jika ia tidak dirampas dia tidak akan berasa kecewa pada hari itu.

Namun di hela usia tua ini, aku sudah ketemu pelbagai wajah dan watak, api rebel juga sudah mula surut, aku lihat dunia dengan apa yang adanya, dunia itu memangnya tidak sempurna, kadang ia tidak adil malah kejam. Tidak semua orang dewasa atau tua itu merupakan pembunuh mimpi orang muda. Mungkin aku juga kini sudah dewasa. Beberapa minggu lepas aku ada bermesyuarat dengan seorang Datuk, seorang ahli akademik yang sudah menulis puluhan buku, sudah dipuncak kerjaya dan menaiki takhta presiden di universiti awam. Namun apabila manusia-manusia muda bertanya, dia merendahkan pedang authoritinya, menjawab dengan penuh hati-hati, kerana dia sedar golongan muda adalah pemimpi.

“Saya boleh beri macam-macam nasihat, jangan itu dan jangan ini, tetapi kamu adalah pemimpi, kamu ada cita-cita sendiri, jadi walau apa pun nasihat dan pandangan saya, ia adalah pandangan orang luar yang tidak faham akan mimpi kamu, jadi jangan jadikan ia penghalang apa pun hasrat dan impian anda” ujarnya.

Aku tertarik sekali dengan kata-katanya. Seolah dia tahu manusia itu bukanlah perlu diprogramkan sebagai robot untuk dipasarkan di kilang dan pejabat. Tetapi digalakkan imaginasinya, dibiarkan dia mengejar cita-citanya.

T.E. Lawrence mungkin merupakan sosok yang dibenci dalam dunia Islam, kerana peranannya menghasut bangsa Arab untuk rebel melawan Khilafah Turki semasa perang dunia pertama. Tetapi aku kira ada satu kata-katanya yang benar, dan kebenaran itu harus kita ambil dari siapa pun, kawan atau lawan.

“Setiap manusia bermimpi, tapi tidak secara sama. Mereka yang bermimpi di malam hari dalam lamunan mindanya akan terjaga di siang hari dan mendapati bahawa ianya hanyalah khayalan, tetapi pemimpi di siang hari adalah manusia yang berbahaya, kerana mereka mampu berkerja menjayakan mimpinya dengan mata yang terbuka, dan menjadikannya satu kenyataan.” tulis Lawrence dalam kitabnya Seven Pillars of Wisdom.

Di hela usia tua ini, jika ada jiwa muda yang datang dengan cawan untuk di isi dengan nasihat, aku akan menasihati mereka agar menjadi pemimpi dengan mata yang terbuka. Mengejar cita-cita mereka meski yang tua mengatakan ia mustahil. Kerana tidak semua mata yang memandang dari luar itu faham semarak api mimpi dalam cita-cita pemuda. Maka bermimpilah, bercita-citalah, dan berkerjalah untuknya. Meski apapun pesan pesimis yang tiba, bisik “jangan” yang datang, teruslah mara dengan semangat pekerja muda. Walau apa pun pancaroba yang tiba, ingatlah jeritan Erwin Smith “Susume!!”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan