Jumaat, 1 Januari 2021

Kuliah 3T: Fikrah Mahasiswa Dalam Dakwah


Pada malam tahun baharu, saya dijemput oleh beberapa mahasiswa untuk memberi sedikit pengisian di dalam Kuliah 3T Tea Talk Together dengan tajuk Fikrah Mahasiswa Dalam Dakwah. Saya kira elok kiranya saya kongsikan disini sedikit nota penyampaian untuk rekod dan rujukan. 

Fikrah dari sudut bahasanya adalah daya fikir atau pemikiran. Pemikiran ini dibentuk melalui pengalaman kita, pendidikan, keluarga, juga suasana sekeliling. Cara kita berfikir, mentafsir dan melihat dunia ini dalam bahasa Inggeris disebut sebagai worldview. Dari sudut pandang dan pemikiran inilah yang menggerakkan kehidupan kita. Kenapa worldview ini penting?

Kerana ialah yang mencorak kehidupan kita. Jika worldview kita adalah moral nihilism kita akan hidup bertuhankan nafsu, tiada hala tuju. Jika fikrah atau worldview kita adalah materialism kita akan hidup hanya untuk memenuhi kehendak material tetapi mempunyai jiwa dan hati yang mati. Dan hidup kita ini hanya sekali, tiada peluang yang kedua, jika fikrah atau worldview kita salah dari awal, maka kita akan bazirkan satu-satunya peluang hidup ini, dan kita tidak ada peluang yang kedua.

Oleh itu kita perlu berpegang dengan fikrah yang benar, worldview yang bukan sahaja memberi kita kejayaan di dunia, tetapi juga kejayaan di kampung abadi kita, akhirat.

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera” (Surah Asy-Syu’araa: 88-89)

Kita hendak pulang dengan Qalbin Saleem. Oleh itu fikrah kita hendaklah fikrah Islam, dengan fikrah itu kita melihat dunia dan beramal di dalamnya sesuai dengan tujuan penciptaan kita. Fikrah kita adalah fikrah Islam yang syumul, menyeluruh, bukan dipisah-pisahkan. Seperti yang diungkapkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalah at-Ta’alim pada usul yang pertama dalam Usul ‘Isyrin:

“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang – undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sohih.”

Jadi jika pemikiran atau fikrah kita jelas akan lengkapnya sistem Islam ini, maka kita juga perlu sedar bahawa ia tidak dapat dilakukan berseorangan. Kita perlukan teman, rakan, suami, isteri, yang sama-sama memahami akan tuntutan fikrah ini, dan sama-sama berkerja sama untuk menjayakannya secara amal jama’ei.

Peranan mahasiswa bukan satu, tetapi pelbagai. Semuanya penting dan perlu dijayakan. Mahasiswa merupakan manusia yang sedang berada dalam fasa kehidupan yang unik, yang punya semangat kuat membakar, perasaan lapar akan pengalaman dan ingin tahu, tenaga yang kuat, intelek yang cerdas, dan masa yang banyak. Ia adalah fasa emas yang tidak boleh disia-siakan.

Yang pertama adalah peranan mahasiswa sebagai pencandu ilmu. Mahasiswa yang mempunyai fikrah Islam hendaklah sedar bahawa kejayaan akademiknya adalah dakwah. Oleh itu dia bukan sahaja perlu berjaya, malah dia perlu berjaya dengan cemerlang. Tidak boleh alasan dakwah dan tarbiyah digunakan untuk menghalalkan kegagalan akademik.

Yang pertama juga adalah keterlibatan mahasiswa dalam program dan aktiviti dakwah dan tarbiyah kampus. Ini juga adalah peranan yang pertama, zaman ini merupakan zaman emas untuk memahami selok belok organisasi, belajar bekerja sesama manusia lain, dan juga membina jaringan ukhuwah Islamiyah sesama aktivis dakwah.

Peranan yang pertama seterusnya adalah memahami masyarakat, bersama masyarakat, dan menyumbang kepada masyarakat. Tenaga, masa, dan intelektual mahasiswa perlulah dirasai masyarakat, jika tidak mahasiswa itu akan menjadi mahasiswa abstrak, yang tenggelam dalam teori-teori tetapi lupa untuk membaiki manusia di bumi.

Untuk membaiki masyarakat, yang pertama kita perlu memahami masyarakat kita. Kita tidak boleh membaiki apa yang kita tidak faham. Kita boleh baca teori dan bahan akademik, tetapi jika kita tak memahami realiti, kita akan kalah. Oleh itu adalah keperluan yang kritikal untuk mahasiswa dan aktivis dakwah memahami pemikiran dan worldview lain, agar mereka punya alatan yang betul, cara yang betul untuk berhujah dan menanganinya. Buku-buku fikrah juga tidak boleh kita fahami secara literal, tetapi disesuaikan mengikut waqi’ dan suasana setempat.

Kita tidak dapat memberi pada orang lain sesuatu yang kita tidak ada. Oleh itu, kita sendiri perlu melalui proses pembaikan, proses tarbiyah, sebelum kita boleh mengajak orang lain. Ini tidak bermakna jika kita sudah mula berdakwah kita meninggalkan tarbiyah, tetapi ia jalan seiring, tarbiyah adalah proses berterusan hingga hujung nyawa. Tarbiyah ini adalah tangungjawab kita sendiri, bukan tangungjawab naqib atau naqibah usrah, kerana objek tarbiyah adalah hati, walau sekuat manapun usaha naqib dan naqibah hanya kita yang boleh membuka hati kita untuk disapa tarbiyah.

Ke mana kita hendak mengajak manusia? Tanya Imam Hassan Al-Banna. Kepada Allah. Kita bukan mahu mengajak manusia kepada peribadi kita, persatuan kita, gerakan kita, tetapi kita hendak mengajak manusia kepada Allah.

Gerakan kita bukanlah satu-satunya gerakan Islam, tetapi gerakan kita adalah sebahagian dari gerakan-gerakan Islam. Masing-masing ikhlas dan punya cara mereka. Kita maafkan perbezaan dan bekerjasama dalam persamaan. Antara buku yang baik untuk memahami strategi berdakwah adalah buku Al-Muntalaq atau terjemahannya Langkah Bermula oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan