Khamis, 18 Februari 2021

Reviu Buku Kembara Darus Senawi 1963

 

Buku ini pada saya merupakan sebuah karya kembara legenda, unik, malah mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai "magikal". Itulah kuasa buku seperti yang dikatakan Carl Sagan, mampu membawa kita mengembara ke masa lalu. Karya ini legenda dalam pelbagai level. Pertamanya, ia merupakan coretan berharga, kisah pengembaraan orang dahulu, bagaimana orang dahulu punya kisah Euro Trip. Sisi ini sangat berharga kerana bagi saya orang-orang lama menyimpan pelbagai permata sejarah, dan permata itu hanya boleh kita temui jika mereka bertinta.

Yang kedua, ia mendedahkan sisi Ustaz Darus yang tidak diketahui sebelum ini. Saya kenal beliau hanya sekadar sebagai penterjemah, saya ada membaca Kitab Fiqh Seerah karangan Said Ramadhan Al-Buti yang diterjemah oleh Ustaz Darus semasa saya mengaji di St. Petersburg, Rusia, naskah ini memberikan saya sisi manusiawi pada penterjemah yang saya kenal itu.

Yang ketiga, buku ini membuatkan saya berasa takjub, dan mungkin sedikit cemburu dengan kesungguhan beliau mengembara dan bersusah payah untuk mencari ilmu. Beliau meredah lautan (secara literal) untuk mengejar cita-cita yang tersemat dalam jiwanya. Sanggup mengetepikan perasaan malu, perasaan rendah diri, perasaan tidak cukup, untuk keluar mengembara, melihat dunia dan menggali ilmu.

Benarlah tulisan beliau, bahawa dengan kembara, dengan menuntut ilmu, bersusah payah, kita akan menjadi insan yang lain. Pengembaraan, pembelajaran, pembacaan mengubah cara kita berfikir, cara kita berperspektif, juga cara kita memahami dunia dan segala isinya. Saya sendiri tidak dapat bayangkan pemikiran saya sekiranya saya sendiri tidak pernah kembara.

Bercakap perihal kembara, buku ini menjawab satu persoalan minda saya. Apakah barang keperluan yang paling penting untuk dibawa kembara? Buku nota dan pen! Dalam bingkisan kembara ini Ustaz Darus menceritakan bagaimana beliau akan duduk menulis dalam kembaranya, malah ada ketika penanya dicopet, segera dia membeli pena baru. Catatan kembaranya lengkap, dengan peristiwa, tarikh, juga nama watak. Sekali lagi ia membuat saya cemburu, saya ada juga mencoret sedikit kisah kembara saya dahulu disana sini, tetapi tidak selengkap Ustaz Darus. Alangkah bagusnya jika buku ini keluar dan saya baca ketika saya masih mentah remaja!

Dalam buku ini juga disebut dengan ringkas bagaimana Ustaz Darus bertemu semula dengan Ustaz Dahlan Mohd Zain sebagai tenaga pengajar di Madrasah Mashoor, Pulau Pinang. Mereka mengaji bersama sebelum itu di Madrasah Alawiyah.

Buku ini juga pada saya merupakan satu tinta yang jujur, Ustaz Darus menceritakan perihal bagaimana ketika terkandas di India, beliau dihimpit dengan kesusahan yang berat, sehingga terpaksa menumpang rumah di kampung setinggan bersama keluarga miskin Bombay. Kesusahan itu begitu menghimpit sehingga dia hampir hilang kepercayaan pada Allah dan ingin menukar agama. Namun akhirnya akidah beliau ditakdirkan selamat, kisahnya? Kena baca sendiri dalam buku ini.

Bingkisan ini juga secara tidak langsung memperbaharui kepercayaan saya pada institusi pendidikan Islam. Pelbagai kritikan dilemparkan pada institusi pendidikan Islam hari ini, antaranya bersifat kapitalis. Namun dalam buku ini saya kagum, bagaimana seorang anak kampung yang sebelum ini hanya bertukang dengan sebilah parang menangkap ikan keli di sawah, diberi biasiswa oleh Waqaf Al-Azhar sehingga mampu menjadi seorang intelektual yang menguasai sastera Arab. Walaupun keilmuan Islam sering diperlekeh kerana ketinggalan dari sudut teknologi dengan keilmuan Barat, namun melalui naskah ini, bagi saya secara peribadi, Universiti Al-Azhar yang berumur 1,000 tahun itu besar sumbangannya pada keilmuan juga pembinaan umat, dan tidak salah untuk dibanggakan.

Ketika Ustaz Darus menceritakan bagaimana beliau membeli kitab Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun untuk mencari semula frasa "Kezaliman petanda kepada keruntuhan tamadun" saya teringat pengalaman peribadi saya sendiri. Bagaimana setelah pulang ke Malaysia, saya membeli dan membaca buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1,264 muka surat, hanya untuk mencari semula frasa "the invisible hand" yang pernah disyarahkan oleh pensyarah ekonomi saya di universiti dahulu.

Buku ini sangat menyeronokkan untuk dibaca, saya sedikit sedih apabila habis dibaca dan menutupnya, alangkah baiknya jika ia disambung seratus mukasurat lagi! Buku ini bukan buku travelog tipikal, ia memperkenalkan banyak tokoh sastera Islam seperti Omar Khayyam, Imaduddin Asfahani, Taha Husain dan banyak lagi, sesuai dengan kepakaran beliau dalam sastera Arab.

Dalam penutupnya, Ustaz Darus menekankan bahawa untuk mencari ilmu, kita tidak seharusnya bergantung pada ibu bapa atau institusi kewangan, sebaliknya ia perlu didalangi azam, tekad, dan wawasan yang yang kuat. Penutup ini sangat mengesani hati saya. Saya ada duduk bersembang bersama isteri di meja makan, usia 30-40 tahun ini saya hendak cuba untuk menghabiskan sarjana. Manakala 40-50 tahun mahu cuba menghabiskan pengajian kedoktoran. Buku ini memberi suntikan semangat baru dalam diri ini, mungkin sudah tiba masanya saya kembara mencari ilmu semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan