Ahad, 7 Mac 2021

Memaknai Rumi: Siri 11


 "Love, without which the world does not evolve." (55)

Ada benarnya gumaman Rumi dalam bait ini, perihal pentingnya cinta dalam menggerakkan dunia. Cintalah yang menyebabkan kita mengasihi dan menyayangi pasangan kita, dan dari kasih itu lahir anak-anak baru yang bakal meneruskan kehidupan di dunia. Kecintaan kita pada Tuhan memberi kita asbab untuk berlaku baik dan menyusun kehidupan dunia sebaik yang kita mampu. Kecintaan kita pada ilmu juga misalnya, membuatkan kita meneroka dan mencipta, yang akhirnya menjadikan kehidupan manusia lebih mudah dan bertahan lama.

Namun ini tidak menafikan adanya kebencian dalam dunia ini, ada perkara yang dilakukan atas dasar benci, atas dasar tidak suka. Namun ia tidak bertahan lama, perlakuan itu tidak melahirkan generasi baru, malah seringkali merosakkan, menghancurkan, juga membantutkan perkembangan ketamadunan manusia.

"Do not act in such heat." (56)

Bait ini merupakan amaran, agar kita berhenti berkelakuan apabila diri kita dikawal emosi dan amarah. Emosi ini mungkin saja merupakan perasaan marah, atau kecewa, atau ketika mana akal rasional kita tidak berfungsi sepenuhnya kerana dikawal oleh keghairahan syahwat. Pada ketika itu elok kita duduk diam, mententeramkan diri, sehinggalah akal kita kembali, dan kita mampu mengawal diri. Keputusan dan tindakan yang kita lakukan tanpa sedar ketika kita sedang dikawal emosi sering akan kita sesali di kemudian hari. Ia mungkin sesuatu yang kita tidak boleh padam semula atau tidak boleh kita tarik balik.

"Having the idea is not living,
the reality, of anything.
There's no courage in the idea of battle" (58)

Bait ini bagi saya punya satu pesanan yang dalam. Menyuruh kita bukan hanya berteori tetapi mengotorkan tangan. Bukan bersembang bab kemiskinan tetapi pergi keluar membantu orang miskin, bukan sibuk bersyarah tentang kebahagiaan tetapi berusaha membahagiakan diri, bukan bersembang untuk berjuang tetapi keluar berpeluh dan berpenat di arena perjuangan. Kehidupan sebenar menurut Rumi adalah diluar sana, bukan dalam perangkap pemikiran.

"A branch of blossom does not look like seed" (60)

Dalam bait ini saya membacanya dengan agak filosofikal. Saya teringat akan dialektik Hegel, mungkin juga Hegel mendapat idea dialektiknya dari Rumi. Benih yang berubah menjadi sebatang pohon dan mengeluarkan bunga adalah tumbuhan yang sama, tetapi masing-masing adalah objek yang berbeza. Masing-masing punyai warna berlainan, kelembutan berlainan, bau berlainan, juga rasa yang berlainan, walaupun asalnya adalah tumbuhan yang sama. Dialektik Hegel membawakan konsep perubahan dalam kerangka falsafah ini, walaupun perubahan berlaku, kita melihat sesuatu yang baru, namun di lapisan falsafah ia berasal dari perkara yang sama, perubahan itu bergantung kepada bentuk sebelumnya. Tanpa bentuk sebelumnya perubahan itu tidak dapat berhasil.

Itulah hakikat kehidupan, hakikat kehidupan adalah perubahan. Dari hidup kepada mati. Dari tiada kepada kelahiran. Dari tua kepada muda. Semuanya berubah. Saya teringat akan kisah ombak kecil yang diceritakan Morrie, ombak itu sangat takut untuk menghampiri pantai, kerana dia akan terhempas, dan hilang. Menghempas pantai dan hilang itu seolah satu kematian yang menakutkan bagi si ombak kecil. Maka ombak besar menasihatinya, kau bukan ombak tetapi sebahagian dari lautan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan