Khamis, 4 Mac 2021

Reviu Zine Fagiyu #10


Isu ke-10 zine Fagiyu seperti biasa tidak mengecewakan. Ia dimulakan dengan bual bicara bersama seorang penyajak muda yang berpindah dari Johor ke Kuantan, Pahang dan mengusahakan rumah makan Ah Lee, iaitu Ali Adenan. Bual bicara ini berkisar perjuangan, kehidupan, perniagaan sate dan mee rebus, juga pengaruh WS Rendra terhadap karya seni Ali Adenan. Mungkin paling menangkap fikiran adalah rangkap baris puisi WS Rendra dalam Sajak Pertemuan Mahasiswa, baris ini berbunyi "Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini, akan menjadi alat pembebasan, atau alat penindasan?". Padu beb.

Catatan pengalaman Cordon Sanitaire oleh Abdul Fatah pula mengisahkan perihal bagaimana dunia kehidupan berubah dek kerana virus Korona. Beliau juga berkongsi pengalam dijangkiti virus ini. Saya tertarik dengan nasihat Abdul Fatah perihal apa yang perlu dilakukan orang muda. Bagi beliau orang muda tidak seharusnya bergaduh perihal agama dan politik, itu adalah tugas orang tua. Orang muda harus maki ahli politik sekali sahaja, kemudian kembali menuang tenaga pada kerja-kerjanya mencerahkan masyarakat dalam soal hal miskin bandar, anak tak bersekolah, masalah ketagihan dadah, juga pengabaian anak-anak kerana ibubapa yang gemar berjudi. Ini adalah fungsi orang muda menurutnya.

Fagiyuuroskop oleh Erin pula mengandungi nasihat-nasihat untuk kita meneruskan kehidupan dan pekerjaan. Ada juga tilikan horoskop yang mengarut dan wajar untuk tidak dipercayai, tetapi nasihat-nasihat itu harus kita hargai. Tulisan Syafix Saadon dalam Garis Masa Punk Pandemik saya kira merupakan satu kisah yang ditulis dengan kelakar. Saya tertawa sendirian membacanya sambil mencicah biskut Hup Seng ke dalam cawan kopi suam. Beliau mengisahkan pengalamannya menghadiri gig kumpulan kugiran punk Kelantan, No Good. Antara baris yang berjaya membuat saya ketawa adalah tulisan beliau bahawa ketika konsert, hadirin "yang sopan terpukau tadi melompat bagai dirasuk syaitan nirrojim", beliau juga menulis virus korona sebagai "coronasetan" kerana menghalangnya untuk menghadiri gig kali kedua. Ha ha ha.

Bingkisan oleh Yaya Ashim perihal Teater Virtual Malam Keliwon @ Colonial pada saya merupakan bingkisan yang ringkas. Saya juga tertanya-tanya bagaimana teater boleh dipersembahkan melalui Zoom dengan pelakon semuanya di lokasi berbeza. Sungguh ia adalah satu cabaran buat penggiat seni yang tidak mahu mati. Diserang pandemik pun masih teguh berdiri. Update perihal industri musik membawakan bual-tanya bersama band Wolgaja.

Saya memang meminati subjek pembacaan dan penulisan. Jadi ulasan perihal zine Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk adalah salah satu segmen yang dekat dengan minat saya. Antara tajuk yang menangkap pemerhatian saya adalah puisi Di Mana Anarkis Pada Usia 30-an tulisan Sue Emoqwin. Walaupun tidak diulas dalam zine ini, juga tidak dipetik puisinya, ia mengingatkan saya perihal pertanyaan seorang komrad tentang hilangnya aktivis gerakan Islam apabila mereka keluar dari universiti, walaupun dahulunya mereka merupakan mas'ul dan mas'ulah. Persoalan ini nyata terjadi juga buat gerakan ideologi lain, mungkin itu sifat manusia, berideologi di masa muda, namun apabila melangkah ke alam realiti mereka sedar bahawa untuk melangsungkan hidup, mereka perlu menyesuaikan diri walaupun terkorbannya ideologi. Puisi-puisi ini juga merupakan rekod suara anak muda yang punya kesedaran tentang masalah-masalah yang menimpa masyarakat.

Zine kedua yang diulas adalah Varian Bias, kumpulan sajak dan prosa yang ditulis oleh Ruby M. Aris. Namun dalam ulasan zine kedua ini, aspek penulisan juga falsafah berpuisi lebih meresap kedalam minda saya berbanding ulasan zine. Perihal pentingnya prakata bagi buku, ada yang mencadangkan ia ditulis sampai 20 muka surat untuk menyediakan pembaca menghadapi halaman seterusnya. Saya gemar sekali petikan pandangan Sue Emoqwin perihal falsafah berpuisi, bagi beliau puisi membuka ruang peribadi pemuisi pada dunia, pemuisi ingin berkongsi namun dalam masa yang sama bertarik-tali dengan perasaan ingin menyembunyi. Pemuisi harus membuat keputusan apa yang ingin diberi dan apa yang disimpan. Bagi Sue, puisi adalah bahasa yang paling hening.

Pada kolum puisi, ada puisi berkenaan dengan Covid-19 oleh Lucy M dan Sarrah Rahim. Ada baris puisi dari Petak Daud yang saya rasakan sangat tajam unsur perlawanannya, berbunyi "kencingya keras, banjirnya deras" pada bait kiasan awalnya, saya tilik ia sedang menkritik sebuah negeri di Pantai Timur yang ditadbir oleh parti Bulan. Ada satu puisi ditulis oleh tulisantigapagi yang saya rasa tak dapat ditafsir manusia, saya merasakan ia bukan puisi, mungkin anak main phone, puisi ini bertajuk Percuma, saya tanyakan Petak Daud akan maknanya, beliau menjawab bahawa (saya quote verbatim): 

"Puisi begini antara puisi berbentuk yang selalu dibincangkan orang, adakah ianya puisi atau apa. Barangkali ada sesuatu yang ingin disampaikan/dipermainkan/diperolokkan oleh penulis."

Puisi lain yang ditulis oleh tulisantigapagi dalam zine ini adalah Aku Taknak Mati; Kadang2 Harap Aku Tak Pernah Lahir, June, Akutanpakau. Kemudian dua puisi singkat oleh Musalman Toya perihan kesunyian dan kerinduan. Akhir sekali adalah cerpen tulisan Benazir perihal pengkhianatan dua orang bekas temannya dan juga perihal perubahan manusia dalam hidup. Zine yang ke-10 Fagiyu ini meraikan keluaran mereka yang ke-10 dengan menyenaraikan semua yang menyokong dan menyumbang kepada penerbitan mereka yang kini memasuki 10 edisi. Kata-kata akhirnya adalah:

"Terus hidup! Dibunuh-bunuh pun, tetap hidup!".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan