Rabu, 2 Jun 2021

Konflik Geo-Politik Untuk Menguasai Laut China Selatan

 

Buku Asia’s Caulderon: The South China Sea and the End of a Stable Pacific tulisan Robert D. Kaplan ini sebenarnya telah lama saya beli. Sekian lama ia duduk terperam di almari bacaan saya. Seingat saya, saya membelinya seiring dengan minat saya pada satu ketika dahulu untuk memahami ekonomi negara-negara di Asia Tenggara. Walaupun setelah beberapa ketika minat itu pudar, di pertengahan 2021 baru saya sempat membuka naskah ini dan merenung isi-isinya dalam setiap helaian mukasurat. Saya membaca buku ini sejurus selepas saya menghabiskan bacaan perihal Orientalism yang ditulis oleh Edward Said, pengaruh Orientalism masih tebal dan segar dalam minda saya, oleh itu, tidak dapat tidak pandangan saya terhadap buku ini perspektifnya tebal melalui lensa metodologi yang digariskan Edward Said, tambahan pula buku ini ditulis oleh orang Barat perihal bangsa Timur.

Dalam prolognya, Kaplan memulakan analisanya dengan membahaskan kemusnahan tamadun Champa, "The Ruins of Champa" tulis Kaplan. Saya tidak dapat lari dari merasakan jelik apabila beliau menggunakan pendekatan yang reductionist dalam menggambarkan masyarakat Champa sebagai bangsa pelaut dan bangsa lanun, “Champa represents a seafaring, piratical race” tulis beliau. (xvi) Perkara seperti ini yang menjadi objek kritikan Said dalam makalah beliau, bagaimana bangsa Eropah sering membuat generalisasi yang buruk terhadap ketamadunan Timur. Mungkin ada sebahagian orang-orang Champa yang menjadi lanun, tetapi menggambarkan seluruh bangsa Champa sebagai lanun bagi saya tidak masuk akal. Beliau juga menulis bagaimana legasi Champa “diselamatkan” oleh arkeologis Perancis, seolah-olah Champa tidak mampu menjaga dirinya sendiri dan sentiasa perlu berharap kepada Eropah untuk “diselamatkan”. (xvii)

Begitu juga dalam membincangkan kebudayaan Melayu, beliau meminjam kata-kata Owen Harries dan menggambarkan bahawa budaya melayu penuh dengan budaya kroni dan korupsi. Saya tidak mempunyai masalah jika dikatakan dalam masyarakat Melayu ada banyak elemen kroni dan korupsi. Tetapi untuk reduce the whole Malay culture wholesale as “easygoing cronyism that shaded into corruption” is simply reductionist, yang mana tidak lain dan tidak bukan berakar dari lensa Orientalism barat yang penuh prejudis dan stereotype. (100)

Saya sedar bahawa setiap orang mempunyai pandangan masing-masing, melihat kepada latar belakang karier Kaplan, sudut pandang beliau tidaklah begitu sukar untuk ditafsirkan. Memang sepanjang membaca buku ini, tulisan beliau dipenuhi dengan ideologi American exceptionalism, juga perspektif bahawa interaksi antara tamadun sentiasa bersifat antagonistik, sebuah pemikiran yang saya kira susur galurnya akan sampai kepada thesis Clash of Civilisazion Samuel Huntington. Ketiadaan peperangan dan konflik akan menyebabkan kontraktor-kontraktor tentera, juga komentator konflik geo-politik seperti beliau kehilangan kerja dan relevansi. 

Kaplan juga saya lihat sering menyamakan apa yang berlaku di Asia Tenggara dengan pengalaman Amerika dan Eropah. Mungkin ini dilakukan bagi memudahkan kefahaman bagi pembaca Barat. Namun saya melihatnya sebagai kegagalan Kaplan untuk melihat Asia sebagai geografi yang unik. Seolah-olah Asia tidak original dan sentiasa mengikuti Barat. Posisi tentera China di Laut China Selatan disamakan dengan pengalaman Amerika di Caribbean, manakala Taiwan diumpamakan seperti Berlin di Asia. (13,139). Walaupun saya kritikal terhadap perspektif dan sudut pandang beliau, tidaklah bermakna buku ini tiada langsung kebaikan yang boleh dipelajari.

Sentral kepada thesis buku ini adalah bagaimana geografi menjadi faktor penting dalam konflik di Asia Tenggara. Berbeza dengan konflik Eropah yang memfokuskan peperangan darat, Asia Tenggara akan menyaksikan konflik di laut. Beliau memetik pandangan saintis politik Amerika, John Mearsheimer yang membawakan idea “stopping power of water”, kawasan perairan menyukarkan logistik peperangan terutamanya untuk membawa askar bagi menawan mana-mana kawasan pantai. (7) Bagi Kaplan peperangan merupakan sesuatu yang mempunyai moral, hal ini sangat berbeza dengan pemahaman ahli sejarah lain. Howard Zinn sebagai contoh sering mengutarakan bahawa terdapat seribu cara lain untuk menyelesaikan konflik selain dari berperang, perang menurut Zinn adalah kegagalan manusia menggunakan kreativiti mereka untuk menyelesaikan masalah. Perang sentiasa mempunyai hujah moral menurut Kaplan, pelbagai alasan digunakan untuk menjustifikasikan perang, antaranya untuk melawan fasis, komunis, melawan penghapusan etnik, melawan teroris, serta memperjuangkan demokrasi. Ketiadaan hujah moral untuk berperang di Asia Tenggara menurut Kaplan adalah kerana negara-negara didalamnya hanya memfokuskan usaha mereka kepada bisnes dan perniagaan, jadi tiada hujah humanis yang boleh digunakan untuk justifikasi perang. (15) Kaplan memetik kata-kata Kenneth N. Waltz bahawa perang adalah perkara biasa dalam fitrah alam. (169)

Thucydides menulis bahawa “the strong do what they can and the week suffer what they must”, bagi Kaplan inilah strategi China dalam menekan negara-negara kecil di Asia Tenggara bagi menjayakan polisi mereka. Memetik Machiavelli, bagi Kaplan konflik tidak dapat dipisahkan dari manusia, konflik adalah kenderaan yang membawa progress kepada kemanusiaan. (18) Dengan nada penuh Machiavellian Kaplan mengungkapkan bahawa apa yang penting bukanlah nilai kita, tapi kekuatan ketenteraan yang boleh menegakkan nilai tersebut. (31) Tulisan Kaplan juga penuh dengan self-congratulation dan American exceptionalism, beliau menulis bagaimana terima kasih kepada Amerika dunia berada dalam keadaan aman (tiba-tiba beliau terlupa perang-perang yang dimulakan Amerika), tanpa Amerika globalisasi tidak akan berlaku tulis beliau lagi, semua ini hanya dapat dikecapi melalui keamanan yang dijaga oleh Amerika. (25) Menurut Kaplan, China tidak boleh mendominasi dunia, kerana ia secara semulajadi akan menatijahkan dunia yang lebih teruk dari dominasi Amerika, bagi saya Kaplan tidak menerangkan dengan lengkap mengapa dominasi China lebih buruk dari Amerika. Adakah kita hanya harus menerima apa yang dikatakannya sebagai fakta? (27) Tulisan Kaplan juga seolah-olah mahu Amerika terus berbelanja dalam industri ketenteraan, ia memberi justifikasi bahawa Amerika perlu kekal militeristik untuk kestabilan dunia. Logik Kaplan ini bertentangan dengan apa yang diungkapkan Noam Chomsky, bagi Kaplan untuk menjaga keamanan, Amerika perlu lebih militaristik, manakala bagi Chomsky adalah sebaliknya, kata Chomsky “how to stop terrorism? Stop participating in it”.

Kaplan meminjam banyak tulisan Mearsheimer di dalam buku ini, selain the stopping power of water, beliau juga meminjam pandangan Mearsheimer yang beranggapan bahawa dengan peningkatan kuasa China, Amerika akan dihalau keluar dari Laut China Selatan sama seperti kuasa-kuasa Eropah dihalau keluar apabila Amerika memegang tampuk hegemoni di Lautan Carribean. Apakah sebab bagi China untuk bertindak berlainan? tanya Mearsheimer, adalah mereka lebih beretika? berprinsip? atau kurang nasionalistik? soal Mearsheimer penuh retorik. (44)

Antara kekuatan buku ini adalah kebolehan Kaplan dalam memberikan snapshot sejarah moden bagi negara-negara Asia tenggara serta pemimpinnya. Dalam membincangkan sejarah moden Vietnam, beliau memuji Ho Chi Minh sebagai pemimpin yang pragmatik yang berjaya mencantumkan Marxism, Confucianism dan nationalism sebagai senjata untuk mengusir keluar penjajahan Perancis, China, dan Amerika. (52) Namun bagi Kaplan, memetik tulisan wartawan David Lamb, penduduk Vietnam terutamanya golongan muda menyukai Amerika, bagi beliau mereka sanggup meletakkan sejarah perang melawan Amerika di belakang bagi menghadapi ancaman China. (55) Ia mengingatkan saya tentang sebuah novel yang ditulis oleh Mitch Albom, tentang bagaimana seorang askar yang pernah membakar kanak-kanak di Vietnam akhirnya masuk ke syurga. Seolah-olah segala kekejaman Amerika, senjata kimia seperti Agent Orange yang digunakan ke atas populasi Vietnam, semuanya sudah diampunkan, ianya hanya “beberapa halaman dalam 2,500 tahun sejarah Vietnam”. Kaplan bukan sahaja menulis dengan nada self-congratulation, tetapi juga self-apology.

Sebagai rakyat Malaysia, tentulah saya tertarik apabila negara saya dibincangkan di dalam buku ini. Apabila membincangkan Malaysia, beliau membincangkan bagaimana Islam dilihat dalam bentuk sebuah tamadun. Beliau memetik pemikiran antropologis Ernest Gellner yang mengatakan bahawa Islam lahir di luar empayar zamannya, tidak seperti Kristian yang lahir di dalam empayar Rom. Oleh itu Islam tidak mempunyai beban sejarah dari empayar lalu tetapi dapat membangunkan empayarnya yang tersendiri. Namun, apabila melihat kemodenan Malaysia, Kaplan tidak mengaitkannya dengan Islam tetapi mengaitkannya dengan fitrah manusia, beliau meminjam frasa Clifford Geertz “basic unity of mankind”, iaitu walaupun mempunyai budaya dan tamadun berbeza, Malaysia tetap mempunyai fitrah manusia yang terzahir dalam bentuk consumerism. (72-73)

Analisa nasionalisme di Malaysia oleh Kaplan bagi saya merupakan analisa yang tepat. Beliau mengungkapkan bagaimana Malaysia tidak mempunyai satu identiti yang boleh membentuk semangat patriotisme nasionalisme. Kepelbagaian kaum, Melayu, Cina, India, kaum dan suku Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai identiti dan budaya yang berbeza. Semangat nasionalisme anti-China seperti yang ada di Vietnam tidak wujud di Malaysia menurut Kaplan. Malaysia terdiri dari komuniti berbeza yang hidup secara harmoni bersama. Malaysia is beyond nationalism without having ever experienced it. (75-76, 87)

Kaplan menghuraikan bagaimana Mahathir berjaya membangunkan Malaysia dengan model “reverse of Kemalism”, di mana Ataturk membangunkan Turki dengan sekularisma, Mahathir membangunkan Malaysia dengan Islamisasi. Mahathir berjaya membuktikan bahawa V.S. Naipaul salah, beliau membuktikan bagaimana Islam sesuai dengan pembangunan ekonomi dan sosial yang dinamik. Malaysia berjaya melahirkan sebuah negara yang moderate dengan teknokrat muslimnya sendiri. Mahathir berjaya mengajar dunia bagaimana untuk menjadi moden tanpa menjadi western. Atas kejayaan model Malaysia ini, Mahathir disanjung oleh negara-negara Arab dan Iran. (83)

Pada penghujung buku ini, ketika membicarakan tentang Sabah, Kaplan menulis dengan penuh romantik kononnya penduduk tempatan sangat merindui pemerintahan Syarikat Borneo Utara British di mana setiap kaum tahu tempat masing-masing, Cina di bandar, Melayu di kampung, dan India di ladang, semunya gembira di bawah payung kolonial Eropah. Mungkin ini adalah kenyataan yang paling bodoh dalam buku ini, realitinya tiada siapa yang mahu duduk dibawah payung Eropah. Malah semua rakyat berjuang untuk menghalau British dan untuk merdeka. (188)

Antara perbahasan menarik yang saya minati dalam naskah ini adalah masalah dalam sistem demokrasi, ketika beliau membahaskan pemerintah autokrat yang baik seperti Mahathir dan Lee Kuan Yew dan membawakan pemikiran John Stuart Mill. Bagi Mill, kebebasan hanya bermakna selepas masyarakat mampu berdiskusi dengan bebas, sebelum dari itu kebebasan tidak bermakna, malah masyarakat perlu mematuhi pemimpin autokrat yang ada. Bagi Mill, authoriti perlu diasaskan dahulu sebelum dibataskan untuk mencipta masyarakat yang bebas. Kerana tanpa authoriti yang mampu menjaga keamanan, masyarakat tidak mampu untuk kedepan dan progress. Bagi Kaplan, Mahathir dan Lee berjaya membentuk authoriti ini tanpa menjadi begitu oppressive seperti Sadam di Iraq, ia berjaya menyediakan masyarakat kepada situasi yang lebih bebas di fasa pemerintahan seterusnya. (108)

Kaplan menyambung perbahasan ini dengan mengetengahkan pemikiran Isaiah Berlin yang mengungkapkan bahawa manusia yang hidup tanpa makanan, tempat tinggal, juga keperluan dan keselamatan asas tidak akan mengambil peduli perihal kebebasan bersuara. Tidak semua orang merasakan kebebasan individu adalah perkara terpenting, malah bagi Berlin kebebasan individu tidak punya kaitan dengan demokrasi, ada kemungkinan seorang pemerintah itu tidak demokratik namun membenarkan masyarakat hidup dengan kebebasan individu yang luas. Malah kerajaan yang berbentuk demokratik juga seringkali perlu menggunakan kekerasan dan paksaan, kerana masyarakat mungkin tidak bersedia dengan perubahan progresif dan visi pemerintah, mereka perlu dipaksa kearah itu. Bagi Kaplan, inilah yang dilakukan Mahathir dan Lee. Namun, seperti adanya pemerintah demokratik yang baik dan buruk, pemerintahan autokratik juga mempunyai varian yang baik dan buruk. (109)

Namun menurut Kaplan, pemerintahan autokratik kapitalisma seperti yang dilakukan oleh Mahathir dan Lee, mempunyai batas. Ia akan kekal mendapat legitimasi selagi ekonomi berkembang. Namun apabila ekonomi berhenti berkembang, masalah legitimasi akan kembali timbul. Bagi Kaplan model pemerintahan Mahathir dan Lee bukanlah alternatif kepada demokrasi ala Barat, tetapi hanya sekadar fasa dalam mematangkan masyarakat, menyediakan mereka untuk pemerintahan yang lebih demokratik. (115)

Bagi saya buku ini terlalu melihat situasi di Laut China Selatan dengan lensa antagonistik. Hujah-hujahnya dibuat dengan hipothesis bahawa China merupakan ancaman untuk negara-negara serantau dan Amerika adalah pembela yang dapat mengimbangi China. Ada perbahasan-perbahasan yang menarik perihal sifat demokrasi juga bentuk pemerintahan autokrat yang berjaya membangunkan ekonomi dengan pesat. Namun dari sudut menggambarkan budaya timur, banyak kenyataan beliau yang bersifat reductionist dan juga stereotyping.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan