Sabtu, 31 Julai 2021

Membaca Zine Hubooks Edisi-2

Gambar Oleh Paksu Sbx.

Zine Hubooks ini sememangnya menyelerakan. Kerana ia membincangkan persoalan buku, perihal penulisnya, pembacanya, penggemarnya, pengumpulnya, ia sangat dekat di hati saya. Tulisan Hafez J. Malim dalam naskah ini menyoroti pengalaman peribadi beliau bagaimana sebuah novel kanak-kanak pernah menjadikan beliau seorang pembaca buku. Novel Anak Din Biola tulisan Maaruf Mahmud. Apabila sudah dewasa, menemui semula naskah Anak Din Biola merungkai pelbagai nostalgia buat beliau.

Bicara kolektor bersama Dr. Saiful Akram, Jiwa Rasa, dan Rosli Yaakob juga menarik bagi saya. Walaupun saya bukan kolektor, membaca jawapan temuramah mereka sangat memberikan inspirasi. Terdetik hati untuk mengira naskah di almari buku peribadi, setelah dikira, almari saya hanya memuatkan sekitar 200 buku sahaja. Jauh tertinggal dari ribuan buku yang ada dalam almari para kolektor ini. Walaupun kagum, saya tidaklah berkeinginan mengumpul buku dengan banyak sekarang. Saya lebih kepada seorang pembaca dari penyimpan, walaupun setelah dibaca saya tidak akan jual, tetap akan simpan, fokus saya adalah membaca. Dari jumlah buku yang saya ada ini, kira-kira 30 peratus sudah dibaca.

Aisyah Rais mengimbau sejarah zine Fragranfrantik yang aktif dari tahun 2010 hingga 2014. Apabila membaca, saya terfikir, begitulah sifatnya penulisan. Walaupun sirinya mungkin sudah berakhir, jika ia berjaya menyentuh pembaca, ia akan timbul semula dalam peredaran zaman. Tulisan Yohana Hermadi dalam bahasa Inggeris juga memercik sedikit fikiran di minda saya. Beliau mengisahkan kesukaran beliau untuk mendapatkan naskah buku-buku sejarah Sabah. Membaca pengalamannya saya sedikit rasa bersalah dalam diri. Ada banyak ketika saya mengemas rumah-rumah lama pusaka, keluarga saya sendiri atau keluarga orang lain, saya banyak menemui buku langka tetapi tidak menyelamatkannya. Membaca tulisan beliau ini membuatkan saya kini berazam, jika peluang itu hadir lagi saya akan selamatkan naskah langka. Jika bukan pun untuk saya, saya boleh sediakan untuk para kolektor. Mungkin boleh juga dijadikan bisnes kecil-kecilan.

Sedikit cerita peribadi. Naskah zine ini mengandungi gambar koleksi buku lama yang gambarnya tidak berapa sopan. Saya sendiri tidak tahu pada mulanya kerana tidak menyelaknya habis pada ketika itu. Ia dibelek oleh isteri tercinta. Beliau kemudian menasihati saya agar tidak mempromosikannya dan tidak berkongsi akannya di media sosial walaupun ada tulisan saya di dalam naskah zine ini. Beliau juga mengingatkan agar ia tidak sampai ke tangan anak-anak. Saya akur dengan nasihat beliau lalu menggunakan upaya kreatif saya untuk menghilangkan gambar-gambar yang tidak sopan ini dalam masa yang sama memelihara tulisan-tulisan yang lain. 

Banyak lagi tulisan-tulisan dalam naskah ini yang tidak saya sentuh dalam komentar ringkas ini. Antara penulis lain termasuklah Mohd Jazuan, Fazli Malek, Benz Ali, Iqbal, Omar Bachok, dan Yen. Edisi kali ini juga ada peningkatan dengan penyenaraian buku-buku yang disebut dan dipetik dalam zine ini. Senarai buku ini ada di muka surat hujung, walau bagaimana pun saya merasakan ada nama naskah buku yang tertinggal dari senarai ini. Moga edisi baharu nanti lebih banyak isi dan perbahasan perihal buku yang menarik, juga mungkin, lebih sopan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan