Selasa, 24 Ogos 2021

Pembaca Adalah Pelajar Sejarah


Jika anda merupakan seorang pembaca, anda adalah seorang pelajar sejarah. Jika anda seorang penulis anda adalah seorang perekod sejarah. Hakikatnya semua buku adalah buku sejarah. Meski pun buku itu ditulis perihal isu semasa, apabila ia sampai ke tangan pembaca, ia sudah menjadi peristiwa lalu, ia sudah menjadi sebahagian dari sejarah.

Sejarah adalah satu subjek yang sangat mengasyikkan. Bagaimana peristiwa yang memakan masa beribu dan beratus tahun berlalu sekelip mata didepan kita dibalik helaian-helaian buku. Namun sejarah, seperti mana tulisan-tulisan manusia lain tidaklah seratus peratus objektif. Ia terdedah dengan perspektif penulis, ideologi mereka, cara mereka memilih sumber, juga metodologi mereka dalam menentukan apa yang ingin dimasukkan dan tidak dimasukkan ke dalam sejarah.

Ada penulis yang sekadar merekod apa yang sampai kepada mereka. Metodologi mereka adalah mengumpul, mereka memasukkan semua cerita tanpa menapis sama ada cerita tersebut tepat atau tidak. Mereka tidak mempertimbangkan sama ada ia masuk akal atau tidak. Ibnu Khaldun mengkritik metodologi ini, bagi beliau sejarah perlu diasingkan dari mitos dan cerita rekaan. Bagi Ibnu Khaldun, seorang sejarawan perlu bersifat kritikal dalam pemilihan sumber, menapisnya menggunakan ilmu-ilmu yang ada secara objektif dan logikal.

"Setiap sejarawan masuk ke dalam arkib melalui pintu yang sama, tetapi mereka keluar dari pintu yang berbeza. Pintu keluar yang mereka pilih ini berkait rapat dengan orientasi politik, pemahaman moral, dan juga keinginan untuk mencabar naratif hegemonik yang mendidik mereka dari kecilsehinggalah mereka menjumpai bukti-bukti yang baru" kata Ilan Pappe. Seorang sejarawan yang berani mencabar naratif sejarah Zionis walaupun beliau sendiri merupakan seorang Yahudi. Beliau mengkritik sejarawan seangkatan dengan beliau yang tidak mahu menulis sejarah dengan bukti-bukti baru kerana terbelenggu dengan ideologi nasional. 

Bagi Bart Ehrman, seorang sejarawan yang mengkaji Perjanjian Baru dalam Kitab Injil, sejarah bukanlah apa yang berlaku pada masa lalu, tetapi apa yang kita dapat buktikan bahawa ia berlaku pada masa lalu. Metodologi Ehrman ini lebih ketat berbanding Ibnu Khaldun, menurut Ehrman untuk sesuatu itu layak diklasifikasikan sebagai sejarah, ia bukan sahaja perlu melepasi ujian logik dan rasional, ia juga perlu datang dengan bukti. Ini bermakna peristiwa yang logik tapi tidak dapat dibuktikan pernah berlaku bukanlah sejarah tetapi diklasifikasikan sebagai spekulasi atau cerita.

Pembaca awam mungkin tidak mempunyai kemahiran untuk menapis sejarah seperti Ibnu Khaldun, kerana ia memerlukan kita untuk menguasai ilmu semasa. Untuk menentukan sesuatu itu logik atau rasional kita hendaklah menggunakan neraca zaman tersebut, bukan neraca zaman moden kini. Kita juga mungkin tidak mempunyai kemahiran pembuktian seperti Ehrman, untuk mengkaji bukti sejarah kita mungkin perlu menguasai bahasa-bahasa kuno yang telah pupus untuk menganalisa sumber primer. Namun kita masih boleh menjadi pelajar dengan membaca tulisan-tulisan sejarawan yang mempunyai kemahiran ini, kemahiran membaca cukup untuk menjadikan kita seorang pelajar sejarah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan