Selasa, 7 September 2021

Perihal Dua Jenis Penulisan

 

Menulis itu ada dua jenis. Pertamanya kita penulis perihal idea, pemikiran, kisah, dan pengalaman orang lain. Kita boleh menggali sumbernya melalui bacaan, diskusi, atau mendengar dialog dan ceramah. Kita tidak dapat mengembara ke semua tempat, kita tidak dapat berjumpa dengan semua guru, tokoh, orang alim, cendiakawan, ulama, tetapi kita boleh membaca kisah dan idea mereka, baik yang ditulis mereka sendiri atau yang ditulis oleh orang lain perihal mereka. Dari kisah-kisah mereka ini, idea-idea mereka, kita boleh gunakan dan kembangkan dalam penulisan kita.

Jenis kedua adalah penulisan yang berakar dari pengalaman, pemikiran dan idea kita sendiri. Ini adalah jenis penulisan yang saya gemari. Aksara yang lahir dari perasaan kita sendiri. Namun ia tidaklah begitu mudah didapatkan kerana ada ketika idea tidak mahu datang, walaupun sesudah kita menghabiskan sepuluh cawan kopi pada jam tiga setengah pagi. Pengalaman juga sesuatu yang kadang kala sukar didapatkan kerana keadaan-keadaan semasa yang tidak memungkinkan. Maka ketika ia datang, ia adalah anugerah.

Masuk ke dalam hutan juga merupakan anugerah. Setelah sekian lama berkurung selama hampir 2 tahun, pada awal September 2021 saya berkesempatan untuk membantu penduduk di Yan, Kedah yang terjejas akibat banjir. Kami bersama masuk ke dalam hutan bagi membaiki paip air masyarakat yang menggunakan sumber air gunung. Mendengar musik yang dialunkan oleh unggas, burung dan serangga, musik yang dialunkan adalah musik ketenangan. Merasai sejuknya air sungai yang mengalir di badan. Duduk diatas batu menahan air terjun yang menderu-deru laju begitu menenangkan. Alangkah baiknya jika air yang menderu-deru laju ini boleh membasuh dosa-dosa, membasuh semua duka, membasuh fikiran-fikiran yang buruk, membasuh kesedihan dari cinta yang tak kesampaian, juga membasuh diri dari rindu kepada insan yang telah hilang.

Walaupun setelah hampir sebulan musibah banjir besar berlalu. Air sungai di kaki Gunung Jerai masih lagi berbaur lumpur. Namun apabila cahaya matahari memercik ke dalam air yang terjun di celah-celah batu ia menatijahkan cahaya yang berkerlipan yang mempesonakan. Pesonanya membuatkan saya tidak mahu berpisah dengan alunan air sungai ini.

Kembali kepada topik dua jenis penulisan tadi. Penulisan hasil pengalaman dan getusan perasaan sendiri ini, selain merupakan penulisan yang jujur, original, ia juga merupakan penulisan yang hanya boleh ditulis oleh kita sendiri. Kerana setiap manusia itu unik. Penulisan jenis ini adalah penulisan yang unik. Ramai penulis dan pengkaji membahaskan bahawa penulisan jenis ini merupakan sarana menenangkan diri, menghilangkan stress, serta mencipta saat-saat indah dimana kita berjumpa dengan diri kita sendiri. Menulis perihal perasaan adalah pertemuan antara kita dan jiwa. Manusia itu sememangnya mempunyai dualiti, minda kita boleh bersembang dengan jiwa, oleh kerana itu manulia mampu bermonolog. Pertemuan dengan jiwa ini merupakan saat yang membahagiakan, kerana tiada siapa yang memahami diri kita dengan baik melainkan diri kita sendiri. Oleh itu kita boleh katakan bahawa jenis penulisan yang kedua ini adalah proses kita bertemu diri sendiri.

Jenis penulisan pertama biasanya bersifat aqliyah, intelektual, dan kering. Ia lebih cenderung dengan fakta, nombor dan logika. Manakala jenis penulisan yang kedua pula lebih bersifat ruhiyah, penerokaan perasaan yang penuh emosional dan beraspek dengan aspek-aspek kejiwaan. Manusia bukanlah robot biologikal, mereka mempunyai jiwa yang lebih dalam, jiwa yang kedalamannya tak tercapai dengan kiraan logik. Dari kedalaman jiwa inilah lahirnya seni dan kesenian. Walaupun kedengaran seperti saya mengagungkan jenis penulisan kedua, tidaklah bermakna tulisan jenis pertama itu tidak berguna dan perlu ditinggalkan. Kita hidup dalam alam realiti yang natural dan punya sifat dan sudut material. Maka disini tulisan jenis pertama memainkan peranan penting mereka dalam menjelaskan aspek ini kepada kita. 

Kedua-duanya penting. Cuma jika ditanyakan pada saya mana yang lebih dekat dengan jiwa, tentulah jawapan saya adalah yang kedua. Jika ditanya kenapa? Tidak mampu saya terangkan, kerana saya sudah katakan bahawa ia diluar penerangan logika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan