Ahad, 10 Oktober 2021

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Pendidikan


Pada bulan Oktober 2021, seorang ahli parlimen muda dari Muar, Johor mencadangkan agar subjek-subjek universiti seperti Pengajian Malaysia, TITAS, Hubungan Etnik, Etika, dan Falsafah ditukar dari wajib kepada elektif. Menurut beliau subjek seperti ini tidak memberi nilai kepada mahasiswa dan memanjangkan tempoh pengajian. Mahasiswa perlu segera dihantar ke industri untuk mendapatkan pengalaman dan menjadi kompetetif. Cadangan beliau ini membuatkan saya terfikir perihal pengajian saya sendiri pada satu ketika dahulu.

Saya dahulu diberi peluang untuk melanjutkan pengajian di Rusia dalam bidang kejuruteraan (tempoh pengajian adalah selama 5 tahun termasuk setahun foundation). Antara perkara pertama yang saya perhatikan di Rusia adalah sangat sukar untuk bertemu dengan orang muda yang gemuk atau obest (no body shaming intended).
Walaupun saya mengambil jurusan kejuruteraan. Terdapat banyak subjek wajib yang tiada kena mengena dengan kejuruteraan. Antaranya ekonomi, marketing, falsafah, sejarah, ekologi, ergonomik, informatik. Mungkin ada kena mengena secara sipi-sipi dan tidak secara langsung, tetapi ia bukanlah subjek kejuruteraan.
Walaupun tidak berkenaan, subjek-subjek ini adalah antara subjek yang saya minati. Kerana ia membantu saya berfikir. Dari kelas ekonomi sebagai contoh, saya mengenali Adam Smith dan bukunya The Wealth of Nation (dalam bahasa Rusia tajuk buku ini adalah "Bogatstva Narodov"). Perbahasan tentang "the invisible hand" akhirnya menyebabkan saya mencari buku Smith selepas tamat belajar, dan membacanya kulit ke kulit untuk cuba memahami diskusi ekonomi tentang apa yang dimaksudkan dengan "tangan ghaib" yang mengawal pasaran.
Berbalik kepada pemerhatian pertama saya tadi. Apabila mula kuliah, saya mendapati, setiap semester setiap pelajar wajib lulus subjek yang bernama "fizkultura" dalam bahasa Melayu mungkin boleh disebut sebagai "Budaya Fizikal" jika diterjemah secara literal. Secara kontekstual, setiap semester pelajar wajib lulus subjek pendidikan jasmani. Kewajipan ini bukan sahaja kepada "grashdan" (pelajar warganegara Rusia) tetapi juga kepada "inostranets" (pelajar antarabangsa seperti kami).
Walaupun bagaimanapun, pelajar antarabangsa punya pilihan. Jika tidak mahu berlari ditengah salji bersama "Ruski" (orang Rusia), tidak mahu lenguh tangan berlatih di gym, mereka dibenarkan memilih sukan yang lebih mudah. Pelajar Malaysia banyak memilih untuk menyertai kelab billiard (sukan seperti snooker) untuk tidak berpeluh. Walaupun fizkultura ini mencabar, saya tetap menikmatinya, saya masih ingat pensyarah yang juga merupakan jurulatih saya bernama Kleshev. Semasa berjoging di kesejukan musim sejuk, beliau sentiasa memberi kata semangat pada saya.
"Begi! Cherez ni magu!" jerit beliau dengan wajah yang bengis (beliau tak pernah senyum atau ketawa seingat saya). Dalam bahasa Kedah maksudnya "hang kena laghi jugak, walaupun tak larat". Kadangkala, Kleshev akan memberi syarahan ringkas perihal kenapa perlu bersukan dan kaitannya dengan kehidupan. Sebagai contoh, jika kita berlari di belakang, kita harus sentiasa bertanya kepada diri mengapa kita tidak di depan bersama orang lain. Jadi aktiviti sukan dan latihan fizikal ini bagi saya sangat bernilai sehingga ke hari ini. Kesannya pasti tidak sama jika ia hanya disebut dalam bilik kuliah sahaja. Pandangan hidup bagi saya, adalah bukan untuk sekadar kita menjadi economic animal, tetapi hidup dengan lengkap dari sudut akal, jasmani, dan rohani. Mungkin sebab wajibnya fizkultura ini menyebabkan sangat sukar untuk berjumpa orang muda yang gemuk di sana.
Saya kira begitulah pendidikan, bukan sekadar akal. Termasuk juga budaya dan kesihatan. Namun terpulanglah kepada kita untuk memilih, apa yang dimaksudkan dengan pendidikan kita. Sekadar mahu menyediakan robot ke kilang dan pejabat, atau membina insan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan