Selasa, 19 Oktober 2021

Biodata & Sosok Peribadi Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam

 

Penulisan ini merupakan nota program Cinta Rasul yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom pada hari Selasa, 19 Oktober 2021 di mana saya dijemput menjadi panel bersama Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Adni Abd Razak sebagai rakan panelis. Ustaz Abd Hadi Abu Kassim menjadi moderator pada program ini. Program ini merupakan anjuran Biro Pembangunan Keluarga HALUAN Negeri Kedah bersama Sekolah Rendah Islam Ummi (SeRU).

Pengenalan

Setiap tahun kita menyambut kelahiran Nabi Muhammad dalam sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini tidak seharusnya dijadikan acara tahunan bagi bergaduh sesama kita perihal persoalan sama ada ia adalah sambutan yang baik atau pun merupakan bid’ah. Sebaliknya ia perlu digunakan sebagai wadah untuk kita memperingati kekasih agung kita, membaca kisah-kisah baginda serta memperbaharui kecintaan kita kepada Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam. Pada penulisan ringkas ini, kita akan melihat semula sebahagian dari kisah kehidupan baginda serta akhlak dan peribadi baginda.

Biodata Ringkas Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam

Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam adalah Nabi yang paling hebat dalam sejarah. Mengapa kita mengatakan Nabi Muhammad paling hebat?

Allah berfirman:

“Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Surah Al-Baqarah 2: 253) [1]

Jadi dari ayat ini kita fahami bahawa nabi-nabi ini mempunyai martabat dan darjat yang berbeza disisi Allah. Ada nabi yang kisahnya diceritakan di dalam Al-Qur’an dan ada juga yang tidak diceritakan. Setiap dari mereka diuji dengan tribulasi yang berbeza untuk mengangkat darjat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Dan Nabi Muhammad merupakan Nabi yang diuji dengan ujian yang paling berat. Menurut Mufti Ismail ibn Musa Menk, Nabi Muhammad merupakan insan yang paling disayangi Allah, tetapi Allah tidak memberi segala kesenangan dunia kepada baginda. [2] Oleh itu kita dapat fahami bahawa, jika Allah tidak memberi kesenangan dunia kepada kita, itu tidak bererti Allah tidak sayang kepada kita. Sedangkan Rasulullah sendiri tidak hidup dalam kesenangan, tetapi Allah memberi pada baginda ketenangan hati.

Ayah baginda wafat sebelum kelahiran baginda. Baginda lahir pada zaman ketika mana manusia belum lagi mempunyai teknologi seperti elektrik, kereta, smart phone, atau roket, tetapi beliau merupakan insan yang dipilih Allah untuk menjadi Rasul. Rasulullah yatim sejak lahir. Mengapa Allah memilih seorang yang yatim sebagai insan yang paling mulia? Ini kerana Allah ingin memberi ketenangan kepada anak-anak yatim lain di dunia. Seorang yatim itu bukan menjadi yatim kerana tidak disukai Allah, tetapi mungkin kerana Allah lebi sayang pada mereka jadi Allah menjadikan mereka yatim seperti yatimnya Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad kemudian disusukan oleh Halimatus Sa’diyah, pada ketika dalam jagaan Halimatus Sa’diyah ini Allah menghantar malaikat Jibril untuk membersihkan hati baginda. Beliau kemudian pulang ke pangkuan ibunya pada umur 5 tahun, dan dalam sesetengah riwayat, ibunya meninggal dunia ketika dia berumur 6 tahun. Hari ini umur 6 tahun ini adalah umur tadika, belum masuk darjah 1. Segala kesusahan ini tidak bermakna Allah tidak mencintai baginda Rasul, oleh itu jika kita menghadapi cabaran dan kesusahan dalam hidup, itu tidak bermakna Allah tidak sayang kita, tetapi Allah mahu kita lebih dekat dengan-Nya. Kita kena sentiasa mensyukuri apa yang kita ada, dan mengetahui bahawa setiap orang diuji dengan masalah. Semakin berat ujian itu semakin Allah mahu kita mendekati-Nya.

Selepas itu Nabi dijaga oleh datuknya, namun selepas 2 tahun, datuknya pula meninggal. Bayangkan pada umur 8 tahun (darjah 2), kita sudah kehilangan 3 orang yang kita cintai, orang yang membesarkan dan menjaga kita. Saya sendiri kehilangan ayah pada umur 30-tahun, perasaan sedihnya itu tak mampu diungkapkan. Kemudian Nabi dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Abu Thalib merupakan ayah kepada Ali Radiallahu-anhu, tetapi Ali pada ketika itu belum lagi lahir.

Apabila Rasulullah semakin membesar dan semakin dewasa, baginda dikenali oleh masyarakat pada ketika itu sebagai orang yang boleh dipercayai “Al-Ameen”. Jadi kita pula bagaimana? Adakah ibu, ayah, guru, cikgu kita merasakan kita ini seorang yang jujur dan boleh dipercayai. Adakah orang kampung kita kenal kita sebagai seorang yang baik? Hatta sebelum baginda dilantik menjadi Nabi, masyarakat merujuk kepada beliau untuk menyelesaikan perbalahan yang ada. Sebagai contoh, pada ketika kaum-kaum di Mekah berbalah siapa yang lebih layak meletakkan Hajar-ul-Aswad, Nabi Muhammad dirujuk dan setiap kaum menerima resolusi yang diberikan oleh baginda.

Sosok Peribadi Rasulullah Sallallahu-alaihi-wasallam

Keperibadian Rasulullah ini sangat tinggi dan boleh kita lihat dari pelbagai sudut. Dan banyak penulis yang menulis tentang peribadi Rasul dari pelbagai sudut. Ada yang menulis peribadi Rasulullah ketika perang, bagaimana berinteraksi dengan musuh. Ada yang menulis peribadi Rasulullah dalam menjadi pemimpin masyarakat. Ada juga yang menulis bagaimana Rasulullah mendidik anak-anak, contohnya buku Children Around The Prophet tulisan Dr. Hesham Al-Wadi. Di kesempatan yang singkat ini saya ingin berkongsi peribadi Rasulullah berurusan dan berinteraksi dengan manusia.

Sheikh Abi Khalid Aiman bin Abdul Aziz menulis berkenaan “Syamail Rasul” (penampilan atau keperibadian Rasul) bahawa Rasulullah adalah orang yang paling baik wajahnya dan paling baik perangainya. [3] Rasulullah ini bukanlah seorang yang suka berkata “fahisyan” – perkataan-perkataan kotor. Sedangkan dalam kalangan kita ada sesetengah orang yang fahisyan ini menjadi sifat mereka. Gurauan mereka penuh dengan kata-kata kotor, carutan, dan maki hamun, malah hari ini sosial media mereka penuh dengan perkataan-perkataan kotor. Kata-kata kotor ini seolah-olah menjadi zikir mereka. Dan nabi bukan “mutafahish” – iaitu orang yang apabila dia marah dia mengeluarkan kata-kata yang kotor. Jadi kita juga kena berhati-hati, menjaga perkataan ketika marah, sebaik-baiknya kita diam dan tunggu lepas kemarahan reda. Jangan apabila bergaduh kita menengking kawan kita.

Nabi juga bukan seorang yang suka menjerit-jerit suaranya, seperti orang-orang di pasar. Nabi bukan seorang yang suka jerkah-jerkah orang ketika berkata-kata. Rasulullah juga sangat pemaaf orangnya, baginda tidak pernah membalas sesuatu kejahatan dengan kejahatan. Beliau juga tidak pernah membalas kezaliman yang dilakukan kepada dirinya kecuali perkara yang dilakukan itu melanggar suruhan Allah. Jika seseorang itu melanggar perintah Allah baru kita lihat Rasulullah marah. Jadi inilah peribadi Rasul yang kita kena contohi, mendahulukan kepentingan Allah dari kepentingan diri sendiri.

Rasulullah juga sifatnya memudahkan urusan manusia. Jika diberi pilihan, Rasulullah sentiasa memilih yang senang selagi mana ia tidak berdosa. Dalam Islam ini ada perkara-perkara yang bersifat usul (tsawabit) seperti ke-Esa-an Allah dan ada perkara yang furu’ (mutaghaiyirat) – perkara yang ada pelbagai pandangan mazhab seperti dalam fiqh dan muamalah. Jadi dalam hal-hal pilihan ini kita boleh memilih yang lebih mudah. Jadi kita juga perlu begitu, perlu ada toleransi, dan sifat memahami seperti Nabi, kita memudahkan urusan orang lain.

Selain itu sifat peribadi Rasulullah adalah beliau tidak pernah memukul dengan tangan baginda. Baginda tidak pernah memukul hamba, perempuan, atau khadam melainkan ketika jihad fi sabilillah. Kata Anas Radiallahu-anhu “Aku berkhidmat kepada Rasululullah 10 tahun (ashara sinin), tak pernah baginda katakan kepadaku uff (hei), tak pernah juga baginda bertanya kenapa akan perbuatanku, iaitu kenapa kau berbuat begitu? tidak pernah juga akan perkara yang aku tertinggal, baginda bertanya kenapa tidak kau lakukan?”.

Rasulullah sangat menjaga hubungan sesama manusia. Jika baginda berjabat tangan (bersalaman) dengan seseorang, baginda tidak akan mengangkat tangannya melainkan orang yang bersalam dengannya telah mengangkat tangan. Jika bercakap dengan seseorang, baginda akan menghalakan wajahnya dan perkataannya kepada orang itu, sehingga orang itu merasa dia adalah orang yang dekat dengan nabi, dan dia rasa bahawa Nabi sayang padanya. Seperti kata Amru Bin Asr, apabila beliau masuk Islam dan bercakap dengan Nabi, dia rasakan seolah-olah Nabi paling sayang pada dirinya. Setiap sahabat Nabi rasa mereka disayangi, mereka rasa mereka paling dekat dengan Nabi. Tapi apabila ditanya Nabi, siapa yang dia paling sayang, jawapan baginda adalah Abu Bakr.

Kata Jarir Ibni Abdillah Radiallahu-anhu “Rasulullah tak pernah tengok aku selepas aku Islam, (illa tabassum) melainkan bila dia tengok aku dia senyum”. Kata Abdullah bin Harith “Aku tidak pernah melihat orang yang paling banyak senyum lebih dari Rasulullah”.

Kesimpulan

Semoga dengan penulisan ini kita dapat memperbaharui semula kecintaan kita pada baginda nabi. Dari kisah awal kehidupan baginda kita dapat fahami bahawa segala ujian dan cabaran itu bukanlah bermakna Allah tidak sayang akan seseorang tetapi sebaliknya, dari perjalanan hidup baginda kita dapat fahami bahawa Allah sentiasa menguji hamba-hambanya yang dia kasihi. Kita juga telah melihat keperibadian baginda termasuklah tidak berkata kotor, pemaaf, memudahkan manusia, bercakap baik dengan manusia serta selalu menghadiahkan senyuman. Ini semua adalah sifat-sifat yang perlu kita contohi dan amalkan atas dasar kecintaan kita pada baginda.

Rujukan:

[1] Al-Qur’an. Surah Al-Baqarah. (2:253)

[2] Ismail ibn Musa Menk (Mufti Menk). The Storyof Prophet Muhammad. Light Upon Light Winter Conference, 1 Januari 2021. 

[3] Mohd Asri Zainul Abidin. Akhlak dankeperibadian Nabi SAW / Karomah Usaid dan Abbad R.A. (Dirakam pada 01 Mac 2011). Islam Itu Indah, 2 Jun 2013. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan