Ahad, 3 Oktober 2021

Erti Hidup Pada Mencari


Rumi pernah berpuisi.

Telah aku katakan padamu,
bahawa setiap seniman itu,
mencari apa yang tidak dia temu,
untuk menghasilkan karyanya itu.

Tukang bina mencari rumah yang berlubang,
bekerja membaharui atap yang hilang.
Pembawa air mencari baldi kosong yang satu,
dan tukang kayu berhenti pada rumah tanpa pintu.

Menurut Rumi begitulah manusia. Mereka mencari erti pada benda yang tiada. Rumah yang berlubang dan tiada atap, itulah yang dicari tukang bina, agar dia dapat melakukan pekerjaannya. Rumah yang telah siap dan cantik tidak menarik minatnya. Pengangkat air mencari baldi kosong, agar bisa digunakannya dan tukang kayu mencari rumah yang rosak pintunya, agar dia dapat membuat pintu yang baru. Tanpa kekosongan dan ketiadaan, manusia tidak dapat melakukan pekerjaannya, keinginannya.

Aku kira benarlah puisi Rumi, erti hidup adalah pada mencari.

Di setiap fasa kehidupan kita mencari, asyik sahaja kita mencari sesuatu dalam hidup. Tanpa pencarian, kehidupan terasa kosong, terasa berlubang, terasa kaku, terasa kosong, terasa tidak hidup. Ketika kita baru lahir ke dunia kita mencari bagaimana untuk menggunakan deria. Anak kecil akan sentiasa sahaja mahu memegang benda, dimasukkan semuanya ke dalam mulut, anak kecil mahu mencari rasa. Sekian lama dia membesar, dia mula mencari cara menggunakan deria-derianya, menggunakan anggota-anggotanya. Dia mula menjalani proses individuasi – dia mula sedar bahawa dia adalah dirinya sendiri. Dia bukan insan yang sama seperti ibu dan ayahnya. Dia belajar menolak dan menyebut “tak nak” sebagai tanda bahawa dia adalah individu tersendiri.

Besar sedikit, anak kecil mula mencari kawan. Pada mulanya kawan yang dia ada hanyalah ibu dan ayah. Juga adik beradik. Namun kemudian dia berjumpa manusia-manusia kecil lain. Mencari persahabatan begitu menyeronokkan. Begitu menghidupkan. Persahabatan sangat mengkhayalkan. Dia juga mula mencari ilmu, mahu memahami dunia perlu belajar. Belajar membaca, menulis, mengira, mendengar, memahami, dan berfikir. Dia mula meneroka, di dalam dan di luar kelas. Dari rumah, tadika, sekolah, universiti, dia terus mencari. Dunia adalah gurunya, semesta adalah batas pencariannya.

Apabila tiba usianya, dia mula pula mencari kerja. Pencarian ilmu berpindah dari dunia akademik kepada dunia industri, dari ilmu kelas dan bilik darjah kepada ilmu di pejabat dan rumah-rumah perniagaan dan kilang perusahaan. Begitulah dia dengan pencariannya. Walaupun sudah punya belanja, punya makan dan pakai. Jiwanya belum aman. Masih terasa ada kekosongan, masih perlu ada yang dicari, dicari pula pasangan. Pasangan untuk berkongsi cinta, tangis, ketawa, dan kebahagiaan. Dari pasangan dicari pula zuriat untuk meneruskan warisan.

Di sela-sela pencarian besar ini manusia mengisi hidupnya dengan pencarian-pencarian kecil. Ketika lapar dia mencari makanan. Ketika dahaga dia mencari kopi dan teh. Ketika mengantuk dia mencari bantal. Ketika kusam dicari pantai, sungai dan pergunungan. Sentiasa sahaja hidup manusia itu dipenuhi pencarian, carian kecil dan besar, kerana tanpanya diri tidak merasa hidup.

Namun aku kira pencarian terbesar manusia adalah untuk mencari bahagia. Pelbagai manusia mencari pelbagai jenis bahagia. Terkait juga dengan pencarian bahagia ini adalah pencarian makna. Makna hidup. Untuk apa mahu dihabiskan hidup yang sebentar ini? Hidup yang boleh hilang pada bila-bila masa. Kadang kala aku berasa sangat takut memikirkan kematian, ketakutan yang sangat dalam sehingga meresap ke tulang rusuk mengenangkan aku akan meninggalkan insan-insan tersayang. Ada di kala yang lain aku berharap aku diciptakan sebagai batu atau tanah, yang tidak perlu merasai kesedihan, ketakutan, dan kekecewaan. Namun sebenarnya peluang untuk hidup ini, walaupun begitu singkat, merupakan satu anugerah. Semasa proses pensenyawaan, berbillion sel lain berpeluang untuk menjadi manusia. Tetapi hanya beberapa yang terpilih, berbillion manusia lain, tidak berpeluang untuk hidup. 

Terima kasih Tuhan kerana memberikan aku sedikit masa lagi, untuk terus hidup, dan untuk terus mencari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan