Isnin, 18 Oktober 2021

Sejarah Penulisan dan Periwayatan Kitab Perjanjian Baru


Saya sebenarnya sudah lama mengenali Bart D. Ehrman melalui video-video beliau di Youtube. Hampir semua syarahan, temubual, dan perdebatan beliau telah saya tontoni tanpa jemu. Malah hampir setiap hari saya mendengarnya. Mungkin syarahan beliau adalah syarahan kegemaran saya selepas Chomsky dan Zinn. Atas minat saya perihal syarahan-syarahan beliau, akhirnya saya membeli buku beliau yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. Saya dapati gaya penulisan beliau sangat mirip dengan cara syarahan beliau, energetic, persuasive, passionate dan convincing. Saya hanya mengambil masa 10 hari untuk menghabiskan buku beliau, walhal ada buku yang saya masih baca sejak tahun lalu pun belum dihabiskan!

Beliau memulakan penulisannya dengan autobiografi, perjalanan peribadi beliau, bagaimana beliau masuk ke dalam bidang kajian manuskrip perjanjian baru (New Testament studies) dengan fokus pada kritik tekstual (textual criticism). Perkara ini bermula ketika remaja, apabila beliau merasa kekosongan hidup dan berjumpa seorang brother bernama Bruce. Bruce meyakinkan beliau kekosongan hidup yang dirasainya adalah kerana ketiadaan Jesus dalam dirinya. Bart kemudian mengikuti Bruce dan menjadi born again Christian, mengikuti aliran Evangelikal pekat yang percaya bahawa Bible adalah perkataan dari Tuhan tanpa sebarang kesilapan (inerrant word of God).

Komitmen beliau terhadap Bible ini kemudian diteruskan dengan pengajian beliau di sebuah institusi fundamentalis bernama Moody Bible Institute. Masih tidak berasa puas, beliau menyambung pengajian ke institusi lebih tinggi di Wheaton dan kemudian di Princeton untuk menguasai bahasa kuno Yunani bagi membolehkannya membaca Kitab Perjanjian Baru dalam bahasa asal mereka ditulis. Pengajian tinggi ini akhirnya membuka mata Bart bahawa terdapat pelbagai kesilapan dan berbezaan antara manuskrip-manuskrip Kitab Perjanjian Baru. Beliau akhirnya menukar fikiran dan tidak lagi berpegang dengan fahaman fundamentalis evangelikal.

“The Bible began to appear to me as a very human book. Just as human scribes had copied, and changed, the text of scripture, so too had human authors originally written the texts of scripture. This was a human book from beginning to end” (11)

Dalam menelusuri sejarah awal Kristian, Bart Ehrman mengemukakan bagaimana agama Kristian berbeza dari agama polytheist dan agama pagan pada zamannya dari sudut sifatnya yang bookish – menutamakan kitab (ahli kitab). Agama polytheist dan agama pagan tidak mempunyai doktrin moral dan etika seperti agama berpandukan kitab, bukan bermaksud mereka tidak bermoral atau tidak beretika tetapi moral dan etika bukan sebahagian dari agama tetapi dianggap sebahagian dari falsafah peribadi. Berbeza dengan Kristian, mereka tidak mempunyai “kod etika” atau “doktrin yang benar” tetapi agama pagan lebih memfokuskan tentang bagaimana untuk menyembah tuhan dengan berkorban dan acara ritual. (19)

Selain Gospels (tulisan perihal kisah hidup Jesus), kebanyakan kandungan Kitab Perjanjian Baru adalah surat-surat yang ditulis Paul dan pemimpin awal Kristian kepada komuniti dan sesetengahnya kepada individu. Contohnya Galatians dan Corinthians (tempat), juga pada Philemon (individu). (22) Masalah utama dengan Kitab Perjanjian Baru adalah ketiadaan manuskrip asal (autograf), sebaliknya apa yang ada adalah manuskrip-manuskrip terkemudian yang merupakan salinan beratus-ratus tahun selepas salinan asal ditulis. Dan salinan kepada salinan kepada salinan kepada salinan ini dipenuhi dengan kesilapan dan perbezaan. Untuk menyelesaikan masalah ini, scholar (cendiakawan) membuat penilaian kritis terhadap teks (textual criticism) sebagai cubaan untuk menentukan tulisan asal (original). Walau bagaimanapun perbezaan ini terlalu banyak sehingga sesetengah cendiakawan merasakan usaha untuk menentukan tulisan yang original ini tidak mungkin dicapai. Dalam kata lain tulisan asal ini telah hilang dan tidak lagi wujud. (58)

Antara sejarah penulisan Kitab Perjanjian Baru yang diketengahkan oleh Ehrman adalah bagaimana Desiderius Erasmus menerbitkan edisi pertama Kitab ini dalam bahasa Yunani. Namun edisi Erasmus ini menimbulkan kontroversi kerana ia tidak mempunyai ayat penting dari 1 John (5:7-8) atau ayat yang lebih dikenali sebagai Johannine Comma. Ayat ini sangat penting kerana ia merupakan ayat penting untuk menjadi dalil kepada tiga tuhan (triune God) atau lebih dikenali sebagai doktrin triniti. Ayat ini tiada dalam kebanyakan manuskrip Yunani yang dirujuk oleh Erasmus oleh itu Erasmus tidak memasukkannya, tetapi ayat tersebut ada dalam manuskrip Vulgate dalam bahasa Latin. Erasmus berjanji akan memasukkan ayat tersebut pada edisi seterusnya dengan syarat pengkritiknya dapat memberikan manuskrip Yunani yang mempunyai Johannine Comma. Lalu pengkritiknya menterjemahkan ayat tersebut dari Latin, dan mencipta sebuah manuskrip Yunani baharu dan diserahkan pada Erasmus. Dari manuskrip yang dicipta ini, Erasmus memasukkan semula ayat tersebut pada edisi beliau yang baharu. (81-82)

Kebanyakan kesilapan dari manuskrip-manuskrip yang ada adalah kesilapan kecil yang tidak disengajakan, hal ini disebabkan oleh scribes yang tidak fokus, tidak attentif, mengantuk, atau tersilap. Namun terdapat banyak perbezaan-perbezaan yang disengajakan. Dan para cendiakawan dan pengkaji secara majoritinya bersetuju bahawa teks asal telah diubah. Yang menjadi pertikaian cendiakawan adalah bacaan mana yang merupakan bacaan asal apabila membandingkan perbezaan bacaan dalam kalangan manuskrip ini. (94)

Perubahan bacaan ini juga menjadi perdebatan sentral dalam perpecahan Katolik dan Protestan. Oleh kerana manuskrip-manuskrip ini terdapat banyak masalah, scripture (kitab) tidak dapat dijadikan satu-satunya sumber agama tetapi ia perlu kepada panduan apostolic tradition (autoriti Pope) hujah kelompok Katolik. Ini bertentangan dengan pandangan golongan Protestan yang bergantung penuh pada kitab melalui konsep sola scriptura. Richard Simon menkritik fahaman Protestan menulis:

“The great changes that have taken place in the manuscripts of the Bible…since the first originals were lost, completely destroy the principle of the Protestants…, who only consult these same manuscripts of the Bible in the form they are today. If the truth of religion had not lived on in the Church, it would not be safe to look for it now in books that have been subjected to so many changes and that in so many matters dependent on the will of the copyists”. (104)

Salah satu metodologi yang digunakan oleh cendiakawan dalam menentukan bacaan original adalah mengutamakan bacaan yang sukar. Logik dari metodologi ini adalah tendensi scribes untuk memudahkan bacaan apabila mereka menjumpai ayat yang sukar. Formulasi ini diasaskan oleh Johann Albrecht Bengel yang berbunyi “the more difficult reading is preferable to the easier one”. (111) Antara doktrin utama Kristian adalah ketuhanan Jesus. Bart Ehrman membawakan kisah pengkajian cendiakawan bernama Johann J. Wettstein yang diberi akses untuk mengkaji antara manuskrip tertua iaitu Codex Alexandrinus di England. Kajian Wettstein mendapati ayat-ayat yang digunakan untuk dijadikan dalil ketuhanan Jesus secara tipikal mempunyai masalah teks (dalam kata lain, ayat-ayat ini telah diubahsuai). Apabila masalah ini diselesaikan menggunakan metodologi kritik teks, dalam kebanyakan kes bacaan sebenar tidak mengakui ketuhanan Jesus. (113)

Pada pandangan Ehrman, kebanyakan naskah terjemahan Kitab Perjanjian Baru dalam bahasa Inggeris yang ada pada hari ini adalah berdasarkan teks yang salah. Teks yang salah ini menatijahkan tafsiran yang salah pula dibuat ke atasnya. Dalam kata lain, tafsiran yang dibuat tidak dapat menyampaikan maksud penulis asal. (127) Antara motif perubahan teks ini adalah kerana terdapat perdebatan perihal teologi pada fasa permulaan agama Kristian dan scribes yang menyalin semula manuskrip ingin memastikan bahawa teks yang disalin menyokong teologi mereka. Perkara ini berlaku pada peringkat awal sebelum kemunculan scribes yang dilatih secara professional. Peringkat awal ini, iaitu pada abad ke-2 dan ke-3 permulaan agama Kristian, persoalan teologi masih belum konklusif (aliran yang boleh dianggap orthodoks belum wujud). Ada Kristian yang mengakui ke-Esa-an tuhan (hanya ada satu tuhan), ada yang mengakui adanya dua tuhan (tuhan perjanjian lama dan tuhan perjanjian baru), ada juga yang mengatakan tuhan itu ada 12 malah ada yang mengatakan ada 365 tuhan! (152)

Bart Ehrman kemudian membawa pembaca menganalisa perubahan-perubahan yang dibuat bermotifkan teologi ini. Yang pertama adalah perubahan “anti-adoptionist”. Ada kelompok adoptionist yang mengatakan bahawa Jesus bukanlah tuhan tetapi manusia biasa yang diangkat (adopted) menjadi anak tuhan. Scribes menukar ayat-ayat yang menyokong fahaman adoptionist ini – oleh itu perubahan yang dilakukan ini ditermakan sebagai “anti-adoptionist”. (155-157) Motif teologi perubahan teks seterusnya adalah perubahan “antidocetic”. Pengikut docetist berfahaman bahawa Jesus adalah keseluruhannya tuhan tapi dia kelihatan seolah-olah seperti manusia. Antara tokoh yang memegang pada fahaman ini adalah Marcion. (162-165) Motif perubahan disebabkan teologi yang terakhir adalah perubahan “anti-separationist”. Golongan separationist ini berfahaman bahawa Jesus terpecah kepada dua bentuk, satu, keseluruhannya adalah tuhan manakala bentuk yang kedua, keseluruhannya adalah manusia. Fahaman separationist ini dipegang oleh aliran Gnostic. Scribes membuat perubahan ke atas teks bagi melawan semua pandangan-pandangan teologi yang dirasakan tidak betul. (170-175)

Selain motif teologi, ada juga perubahan-perubahan keatas teks yang dibuat berdasarkan faktor sosial. Motif sosial ini termasuklah fahaman untuk melimitasikan peranan wanita dalam gereja, penentangan ke atas kaum Yahudi yang dianggap “pembunuh tuhan” (Yahudi dipersalahkan kerana dikatakan berkonspirasi membunuh Jesus), dan penentangan terhadap musuh-musuh pagan. (177-206)

Menurut pandangan Ehrman, Bible versi Raja James (King James Version) banyak bergantung kepada edisi Erasmus dimana Erasmus mengambil sumber dari satu manuskrip abad ke-12 yang merupakan manuskrip paling teruk berbanding manuskrip-manuskrip lain yang ada. Oleh sebab itu kebanyakan terjemahan moden berbeza dengan versi Raja James. Ehrman mengkritik golongan Kristian yang berpura-pura seolah-olah tiada masalah pada edisi Bible mereka, seolah-olah tuhan menurunkan kitab dalam bahasa Inggeris versi Raja James dan bukannya dalam bahasa asalnya iaitu Yunani. Bagi Ehrman, semua edisi mempunyai perkataan yang telah ditukar, malah ada tempat-tempat yang tidak dapat dipastikan apakah bacaaan asalnya. (209)

Dalam kesimpulannya, Ehrman menyatakan perubahan pemikiran beliau terhadap scribes yang menukar perkataan-perkataan dalam Kitab Perjanjian Lama, beliau semakin kurang judgemental terhadap mereka apabila mengkaji dan memikir dengan lebih dalam permasaalahan. Bagi Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkan teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya, atau dalam bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Hal ini dapat kita lihat dari penafsiran teks-teks yang ada. Contohnya teks agama. Teks yang sama ditafsirkan dengan berbeza bagi setiap pentafsir. Teks yang sama juga boleh melahirkan pelbagai pemikiran, mazhab dan ideologi yang berbeza. (216)

Buku ini sememangnya ditulis dengan gaya yang mudah dan seronok dibaca walaupun pada asasnya ia membahaskan topik yang akademik dan ilmiah. Mungkin inilah kelebihan Bart Ehrman berbanding cendiakawan-cendiakawan lain dalam bidang kajian yang mengkaji Kitab Perjanjian Baru. Walaupun dari sudut isi, apa yang diceritakan beliau bukanlah satu fakta yang baru tetapi fakta yang telah lama diketahui oleh pengkaji dan cendiakawan. Gaya penulisan dan persembahan yang membuatkan karya beliau berbeza dan mendapat sambutan yang luar biasa. Buku ini sudah pasti akan menukar pandangan anda pada Kitab Perjanjian Baru dan membuatkan anda untuk mencari lebih banyak buku-buku tulisan beliau.

Rujukan: Buku yang dirujuk dalam penulisan ini adalah buku yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why tulisan Bart D. Ehrman versi kulit lembut (paperback) dengan jumlah mukasurat sebanyak 266 mukasurat. Ia diterbitkan oleh Harper One pada tahun 2005. Nombor didalam kurungan dalam penulisan ini mewakili mukasurat yang dirujuk dalam naskah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan